Thursday, April 08, 2010

TABIAT JUTAWAN YANG KESEMBILAN

HORMATI DAN SAYANGI WANG

1. Sebenarnya, entri kali ini seharusnya memaparkan tabiat jutawan yang pertama, iaitu “sentiasa lakukan yang lebih baik daripada apa yang diharapkan”. Namun begitu, sebagai menghormati seorang yang sangat saya hormati dan segani, Tuan Haji Shapiai yang telah melontarkan pertanyaan melalui entri terdahulu, saya akan mengupasnya tabiat yang kesembilan dahulu. Terima kasih tuan haji kerana sentiasa mendorong saya untuk mengupas sesuatu dengan lebih telus, rinci, dan mendalam. Dan yang lebih penting, ‘tidak sering membenarkan’ apa-apa yang saya fikirkan, dan dengannya, mudah-mudahan saya menjadi lebih matang dalam menghujahkan sesuatu.
2. Apabila saya menelaah buku tulisan Adam Khoo tersebut, dan apabila beliau menyatakan bahawa jutawan memiliki tabiat ini, iaitu ‘hormati dan sayangi wang’, saya pun bersikap skeptikal. Namun, selepas membaca kandungan subtajuk tersebut, saya mendapati ada justifikasi yang dapat mengajak kita berfikir tentangnya.
3. Dalam konteks ini, kita tidak seharusnya menyangka bahawa dengan menghormati dan menyayangi wang, kita akan dianggap sebagai hamba wang. Menghormati dan menyayangi wang lebih menjurus kepada usaha kita untuk memastikan wang yang kita gunakan dan belanjakan itu berbaloi dan sebaik-baiknya mendatangkan manfaat yang besar. Bukan mudah untuk mendapatkan wang pada hari ini.
4. Ya, kita bertungkus-lumus untuk mendapatkan wang pada setiap hari. Saya sendiri bekerja tujuh hari seminggu, siang dan malam untuk mendapatkan wang dan menjejak rezeki. Lazimnya, setiap orang akan berehat pada hari minggu (Ahad) dan bersama-sama keluarga pada hari itu. Tetapi, saya terpaksa mengorbankan suasana tersebut. Kadangkala saya berasa agak sedih kerana bekerja setiap hari. Hari cuti saya hanyalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Pada bulan Disember, saya berehat selama dua minggu. Dan keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun yang lalu hingga sekarang. Memandangkan saya bekerja agak keras, (isteri saya akan membenarkan penyataan ini, jika ditanya kepadanya), maka saya perlu menggunakan wang yang saya peroleh dengan sebaik-baiknya. Sebab yang pertama tentulah kerana saya berasa ‘sayang’ akan wang tersebut kerana kudrat yang saya gunakan untuk mendapatkannya memaksa saya untuk melepaskan sesuatu yang berharga, antaranya masa dengan keluarga.
5. Menghormati dan menyayangi wang bukanlah bermakna kita perlu menjadi hamba kepada wang. Wang bukanlah segala-galanya tidak menjadi falsafah yang saya pegang. Saya berani menyatakan bahawa itu bukanlah saya. Tetapi, saya semakin percaya bahawa hampir segalanya berkaitan dengan wang. Saya tidak pernah menganggap saya menjadi hamba wang. Walaupun demikian, yang saya perhatikan, kita sering mengatakan bahawa kita tidak menjadi hamba wang, tetapi saya melihat kebanyakan orang sering bersikap tidak seperti kata-katanya. Ramai orang telah menjadi hamba wang. Zaman ini, zaman yang hanya mengutamakan kejujuran, baik hati, kerukunan dan kasih sayang semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan yang diharap-harapkan. Ya, saya tahu ramai yang bersetuju dengan saya dalam hal ini, dan dalam masa yang sama, lebih ramai yang tidak bersetuju. Tetapi, perbezaan pandangan dan persepsi tidak harus dilihat sebagai suatu masalah besar. Saya amat menyukai asam pedas ikan merah, dan isteri saya sendiri lebih menyukai asam pedam ikan pari. Kedua-duanya tidak salah dan kedua-duanya betul.
6. Baiklah, sekiranya saya tidak melakukan kerja-kerja tambahan atau sambilan seperti mengajar di pusat tuisyen, berceramah di sana sini, dan mengajar di Pusat Pendidikan Luar UPM, rasa-rasanya saya masih boleh menjalani kehidupan dengan agak selesa kerana isteri saya juga bekerja. Pendapatan saya dan isteri dengan bekerja sebagai guru lebih kurang RM7000.00 sebulan. Jumlah ini, sekurang-kurangnya, kalau tidak dilabelkan sebagai kaya, saya tidaklah berada dalam zon orang yang susah. Insya-Allah, kami sekeluarga dapat makan minum, pakaian, dan kenderaan yang agak selesa dengan pendapatan sebanyak itu. Namun demikian, saya tidak mahu (mudah-mudahan begini dalam tempoh yang lama) berada dalam zon selesa. Saya melakukan banyak pekerjaan sambilan untuk memastikan angan-angan saya untuk mencapai kebebasan kewangan akan lebih pantas tercapai. Untuk itu, saya bekerja lebih masa. Ya, pada hari Ahad, saya bekerja lapan jam di sebuah pusat tuisyen, dan bayaran yang saya terima pada hari Ahad itu, memang mengujakan. Empat angka untuk bekerja satu hari!
7. Selepas saya penat (memang penat!) bekerja untuk mencari wang, adakah saya perlu membelanjakan wang itu sesuka hati kerana saya telah penat bekerja? Adakah perlu saya menjadi boros semata-mata untuk ‘membalas dendam’ kerana saya telah memperuntukkan masa yang banyak serta mengorbankan masa yang panjang untuk mendapatkan wang tersebut? Saya percaya tindakan itu bukanlah tindakan yang bijak. Oleh sebab itulah, saya menghormati wang yang saya dapat. Saya menyayangi wang tersebut kerana saya mendapatkannya bukan melalui warisan harta pusaka atau menang loteri!
8. Memang ramai yang mahu menjadi kaya. Saya akui saya salah seorang daripadanya. Keinginan tersebut telah lama saya pendamkan dan sekarang, saya berusaha keras (seperti yang saya ceritakan atau seperti yang rakan-rakan karib saya lihat) untuk mencapainya. Kenapa?
9. Walaupun soalan di atas saya yang bertanya, tetapi biarlah saya juga yang menjawabnya. Ya, kerana saya sedar wang adalah penting dalam kehidupan saya. Janganlah ada yang memandang sinis atau tersenyum kambing (saya memang suka beriani kambing!) dan berkata, “Dunia, dunia! Akhirat, bagaimana?”. Nampaknya, kalau semua perkara perlu saya perkatakan, blog ini akan ditutup akhirnya kerana saya tidak mampu untuk bercakap semuanya. Mungkin tuan-tuan boleh mengunjungi blog Raihan atau Rabbani. Maaf, saya bukan tidak berminat tentang soal-soal agama, malahan saya sedang menelaah buku “Manhaj Fiqh As-Shafie” yang harganya ratusan ringgit sebelum saya menulis entri ini. Biarlah soal yang cenderung ke arah ini dikupas oleh orang yang lebih ahli. Saya tidak ahli dalam bidang ini. Selagi saya masih di landasan yang diredai Allah SWT, saya tidak melakukan kesalahan. Allah menyayangi hamba-Nya yang kaya di dunia dan kaya untuk bekalan di akhirat.
10. Sebenarnya, saya telah banyak tersasul! Maafkan saya, tuan! Kita ingin menjadi kaya, tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyedari bahawa minda separa sedar kita terlalu banyak pemikiran negatif terhadap wang dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Pemikiran negatif ini akhirnya akan membuatkan mereka menolak wang dan menghalang mereka daripada menjadi kaya tanpa disedari. Jikalau kita ada wang banyak, kita cenderung untuk membelanjakannya dengan lebih bebas, dan apabila wang kita semakin berkurangan, kita akan kembali bekerja keras. Kitaran ini akan menjejaskan peluang kita untuk mencapai kebebasan kewangan. Orang yang sebegini tidak menyayangi dan menghormati wang mereka. Buktinya, cuba lihat apabila seorang kakitangan awam atau swasta yang mendapat bonus, kebanyakan mereka cenderung untuk membelanjakannya lebih daripada kebiasaan. Memang sesekali kita boleh berbelanja lebih daripada kebiasaannya, namun sikap ini memperlihatkan sikap negatif kita terhadap wang. Mereka beranggapan wang tidak begitu berharga. (Jika berharga, mereka akan memastikan wang bonus tersebut dimanfaatkan dengan lebih baik). Sikap untuk menghormati dan menyayangi wang tidak begitu mendesak pemikiran mereka. Kekallah dengan cara demikian, dan kedudukan kewangan kita pun akan kekal sebegitu.
11. Pemikiran negatif tentang wang menyebabkan kita tidak melihat wang sebagai anugerah Allah SWT yang penting. Ya, ketakwaan jauh lebih penting. Saya amat sedar tentang hal itu. Mungkin sejak kecil kita telah ditanam dengan suatu tanggapan yang salah tentang wang. Antaranya, orang kaya itu sombong dan jahat. Orang yang banyak wang tidak banyak kawan. Orang kaya bermata duitan. Orang kaya tidak sembahyang. Orang kaya banyak menipu. Orang banyak duit selalu disisihkan oleh masyarakat. Duit punca atau paksi kemungkaran. Wang menjadikan kita materialistik. Orang kaya bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Orang kaya kedekut. Wang tidak menjanjikan kebahagiaan. Wang tidak penting kepada saya.Wang dan orang berada selalu diberi label negatif. Lihatlah drama atau filem kita. Rasa-rasanya jarang-jarang kita dapat lihat orang kaya diberi perwatakan yang baik dalam filem, lebih-lebih lagi drama Melayu. Tetapi, kalau orang kaya itu jahat, saya hairan juga kerana yang banyak meringkuk dalam penjara ialah orang miskin!
12. Ya, minda separa sedar kita akan mengaitkan wang dengan unsur-unsur negatif jika kita diasuh begitu. Minda ini tidak akan mengizinkan kita untuk menjadi kaya kerana kekayaan akan mendatangkan masalah kepada kita. Ataupun, kita akan menjadi sangat buruk kelakuan dengan menjadi kaya. Saya percaya persepsi begini tidak selalunya benar kerana Tan Sri Mokhtar al-Bukhary telah membuktikan bahawa kekayaan yang dimilikinya menyebabkan beliau menjadi seorang dermawan yang unggul. Banyak masjid telah didirikan olehnya. Ribuan pelajar telah mendapat manfaat daripada kekayaannya. Kalaulah Bill Gates seorang Islam, mungkin beliau mendapat banyak pahala kerana sumbangannya sangat besar kepada masyarakat dunia, termasuklah kepada penduduk di negara Islam!
13. Banyak mitos tentang wang yang perlu dikupas. Ya, dengan izin Allah SWT, saya akan mengupasnya, sama ada tuan-tuan bersetuju ataupun tidak dengan pandangan saya ini. Jikalau kita mengatakan wang bukan segala-galanya, saya percaya bahawa segala-galanya memerlukan wang. Keselesaan, kebahagiaan, kesenangan, dan memiliki kesihatan yang baik juga memerlukan wang.
14. Oleh sebab itu, kita perlu menghormati dan menyayangi wang. Kita bekerja keras untuk mendapatkannya, maka kita perlu menghormatinya. Hormat, dalam konteks ini, bukan menjadi hambanya, melainkan kita menyedari bahawa banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan wang. Kita perlu sedar bahawa wang memberikan banyak keuntungan dan kelebihan kepada mereka yang memilikinya. Janganlah kita berpura-pura. Jikalau tuan berasakan wang tidak penting, saya tahu ungkapan itu hanya untuk menyedapkan hati semata-mata. Dengan wang, kita boleh melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukan oleh orang yang tidak berwang. Saya teringat suatu ungkapan menarik tentang hal ini, iaitu, orang kaya tidak dipandang rendah jika membeli sesuatu yang murah. Mungkin ada kaitan dengan hal yang dinyatakan ini.
15. Menyayangi wang bererti menggunakan wang dengan penuh perasaan ‘sayang’. Sayang di sini membawa dua maksud; satu, sayang yang bermakna kasih dan cinta; kedua, sayang yang bermaksud berhati-hati untuk membelanjakannya. Kedua-duanya relevan dengan subjek ini. Hendaklah kita menyayangi wang kerana kita telah berusaha untuk mendapatkannya. Hendaklah kita menyayangi wang kerana wang akan menjamin masa hadapan kita. Kalaulah kita tidak sempat untuk menggunakan wang yang kita kumpulkan dan laburkan itu, percayalah, tidak akan ada sesiapa yang akan rugi kerana anak isteri kita pasti akan mewarisinya. Saya tidak mahu keluarga saya dirundung kesempitan jika saya tiada di dunia ini lagi. Oleh sebab itu, saya menghormati dan menyayangi wang. Wahai intan payung, ke marilah kepadaku!

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
Diri ini sememangnya HORMATI DAN SAYANG kepada Sifuku yang seorang ini... HORMATI kerana kegigihan dan kepakaran pelbagai ilmu yang dimiliki, SAYANG kerana insan seperti ini merupakan insan yang terpilih oleh-Nya untuk banyak berbakti kepada insan yang lain.

Apa-apapun biarkan 'pasukan merah' itu kecewa walaupun menang... eh..eh.. tersasul pula... maaf Sifuku...

ajahare said...

Bro ,
Teruskan mencari wang..yang penting kita yang 'menguasai' wang bukan kita membiarkan wang menguasai diri kita...

Melihat Kesunyataan said...

Azhar Sifu,
Terima kasih kerana memberi respon yang begitu panjang terhadap pertanyaan saya. Setelah membacanya, dan merujuk sendiri buku Adam Khoo itu, saya berpendapat bahawa apa yang dikatakan, 'menyayangi dan menghormati wang' itu sebenarnya lebih kepada bagaimana kita memanipulasikan wang.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih. Saya tampil hanya sekadar mengisi kekosongan dan ruang...Atas kepercayaan selama ini, terimalah sebuah lagu bertajuk "Cik Mek Molek"! Ehh...!

Salam AJAHARE,
Insya-Allah, saya tidak akan berputus asa untuk mencari rezeki. Doakan saya kerana saya akan turut mendoakan tuan...

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Ya, benar. Bagaimana kita memanipulasikan wang menjadi inti pati bicara ini. Tetapi, yang saya catatkan di atas lebih menjurus ke arah pandangan, persepsi, dan interpretasi saya sendiri dari kaca seorang guru biasa...

Anonymous said...

Assalam saudaraku,

Terjumpa blog ini kerana sedang mencari puisi tentang kejayaan utk majlis yg saya akan anjurkan kepada bakal2 Jutawan dari rangkaian biz yg sedang saya usahakan.

Tidak mustahil utk menjadi seorang Jutawan!Saya telah buktikan dan kini hidup sebagai MultiJutawan hanya dlm masa setahun setengah menceburi bidang keusahawan secara jaringan atau Network Marketing. kata Rober T Kiyosaki amat tepat..The Rich build networks..the rest of the people Looks for works..!Andai berminat..sudikan keep in touch ke fb saya..Retire Young Retire Rich!Hebatt!Salam Jutawan