Wednesday, May 13, 2009

BICARA: HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA
(Bahagian 1)

1. Pernah suatu ketika, saya ditanya oleh seorang rakan baik, apakah moto atau falsafah hidup saya.
2. Lazimnya, setiap orang ada falsafah hidup yang dipegangnya, walaupun bukan sedikit yang memiliki deretan falsafah yang satu pun tidak diterapkan dalam kehidupannya.
3. Bercakap soal ini, saya sering melihat masyarakat yang berpegang pada falsafah yang tidak relevan, tidak sesuai, atau tidak berpadanan dengan keupayaan dan kemampuannya. Banyak yang suka berfalsafah, tetapi tidak mengamalkan nilai atau semangat falsafahnya itu. Sering terjadi demikian.
4. Saya tertanya-tanya, perlukah setiap orang memiliki falsafah?
5. Antara falsafah yang sering dapat dibaca atau didengar ialah “Aku adalah aku” (ungkapan ini sungguh muak kerana terlalu basi!), “Hidup ini perjuangan”, “Jujur dan ikhlas”, “Usaha tangga kejayaan” (ungkapan ini sesuai untuk budak-budak sekolah yang belum bersunat!). Maaf, jika ada yang tersinggung…
6. Berbalik kepada pertanyaan, perlukah setiap orang memiliki falsafah, jawapan saya ialah “Ya”.
7. Dan berbalik kepada pertanyaan rakan baik saya itu, apakah falsafah hidup saya, judul entri ini akan saya ucapkan.
8. Ya, tuan-tuan dan saudara-saudara, rakan-rakan blog sekalian yang amat saya kasihi dan hormati.
9. HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA.
10. Saya percaya dalam kehidupan ini, kita tidak mampu untuk menjadi terbaik dalam semua perkara dan semua bidang. Kita tidak mampu untuk memenuhi segala keperluan untuk menjadi yang terbaik dalam segala hal. Kita tidak seharusnya memiliki pandangan sarwa yang pernah dianggap keramat suatu masa masa dahulu, iaitu “berusahalah untuk menjadi orang yang serba boleh”.
11. Saya melihat hal ini dengan pandangan yang agak serius. Saya melihat sekeliling dan masyarakatnya. Oleh sebab saya tidak mempercayai ungkapan “serba boleh” itu, saya percaya kita tidak mampu untuk menjadi juara dalam semua pekerjaan yang kita ingin dan sedang malahan akan dilakukan. Kita tidak dibekalkan dengan kudrat sebegitu hebat.
11. Mungkin ada yang berjaya dalam banyak perkara dalam satu-satu masa, saya tidak begitu meyakini bahawa orang itu menjadi terbaik dalam setiap perkara. Oleh sebab itu, saya tidak boleh memberikan contoh dalam hal ini kerana saya tidak pernah membaca atau melihat situasi ini berlaku. Jikalau ada, kita boleh berkongsi, tuan-tuan.
12. Jika anda melihat dalam diri anda, sedarkah bahawa anda bukan yang terbaik dalam banyak hal, tetapi saya percaya anda mungkin yang terbaik (sekurang-kurangnya tidaklah yang paling lemah) dalam satu perkara. Jikalau demikian, mengapakah perkara yang kita lebih kuasai itu tidak dikuasai lagi. Ya, kita perlu menjadi pakar dalam bidang tersebut. Untuk menjadi pakar, kita perlu bertindak melebihi orang lain bertindak. Cuba anda rujuk catatan biografi individu terkenal dunia dan hayati pengalaman mereka sebelum mereka menjadi terkenal atau terbaik. Mungkin sampai satu peringkat, kita hampir-hampir tidak percaya apa yang telah dilakukan oleh mereka.
13. Secara analoginya, jikalau anda memilih untuk menjadi pemain bola sepak terhandal, terbaik, atau terhebat, anda tidak mungkin mampu menjadi pemain badminton yang terbaik juga. Jikalau ada, sila berikan contohnya…mungkin akan dapat kita contohinya. David Beckham bukanlah pakar dalam bidang golf, tuan-tuan, tetapi tentang bola sepak, jikalau anda tidak mengenalinya, samalah anda tidak mengetahui apa itu bola sepak. Siapakah Tiger Woods? Jikalau anda memberitahu sepupu anda bahawa dia ialah penyanyi, saya percaya anda tidak pernah faham tentang permainan golf. Mungkin hendak eja golf pun anda salah!
14. Itu analogi mudah. Dalam kehidupan kita, kadangkala untuk menjadi yang terbaik atau sekurang-kurangnya yang mantap atau mahir atau terampil (jikalau tidak yang terbaik), ada perkara yang terpaksa dilepaskan. Jikalau anda sudah berumah tangga, dan dalam waktu yang sama, anda ingin menjadi pekerja yang terbaik di organisasi anda, saya lebih cenderung mengatakan bahawa anda bukanlah suami/isteri yang terbaik, dan bukan juga ayah/ibu yang terhebat. Jikalau anda memilih untuk menjadi suami/isteri dan ayah/ibu yang terbaik, saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa anda bukanlah pekerja yang terbaik dalam organisasi anda. Ya, anda boleh bersetuju dan anda boleh tidak bersetuju dengan pandangan ini. Cerminlah diri masing-masing…
15. Ini pandangan peribadi. Oleh itu, berbalik kepada isu yang ingin saya lontarkan, iaitu kita harus berusaha untuk menjadi pakar dalam satu-satu bidang. Jikalau anda seorang guru, untuk menjadi guru yang terbaik, anda perlu melakukan usaha yang melebihi orang lain untuk menjadi yang guru yang terbaik. Jikalau ada guru yang mengetahui selok-belok hal perguruan lengkap dengan ilmu dan pengetahuan pedagoginya yang berjela-jela, anda perlu mengetahui berbukit-bukit. Jikalau ada guru yang membaca buku rujukan sebanyak lima naskhah, anda perlu membaca buku rujukan sebanyak 10 naskhah.
16. Akan ada kos melepas, atau perkara yang perlu dilepaskan. Anda perlu melepaskan banyak masa dan ruang untuk melakukan pekerjaan lain. Tidak mungkin anda berjaya menjadi guru yang terbaik dengan mengharapkan orang lain membaca buku rujukan tiga naskhah, sedangkan ada banyak guru lain yang membaca buku rujukan sebanyak lima naskhah. Oleh itu, pertimbangkan yang manakah yang akan menjadi kos melepas anda. Itu pun jikalau anda ingin menjadi guru yang terbaik. Jikalau anda memilih untuk menjadi guru biasa, anda berhak melakukannya kerana anda ada pilihan.
17. Dalam kehidupan ini, setiap orang wajar mengetahui dengan mendalam satu perkara. Yang lebih baik dan lebih penting, perkara itu boleh mendatangkan manfaat kepada kita, khususnya manfaat dari segi pulangan atau pendapatan.
18. Jikalau anda ingin membeli lampu hiasan, Kedai A menjual pelbagai peralatan rumah termasuk lampu hiasan, dan Kedai B menjual lampu hiasan sahaja, saya percaya Kedai B akan menjadi pilihan kita kerana kita tahu Kedai B merupakan kedai “pakar” dalam bidang lampu hiasan, manakala Kedai A ialah kedai “serba boleh”. Sebab itulah janganlah hairan jika kita melihat banyak kedai yang dibuka di bandar besar, dengan sewa yang amat tinggi, tetapi hanya menjual kunci sahaja, ataupun menjual stoking sahaja, ataupun menjual aksesori wanita sahaja! Ya, kedai itu mampu dan akan terus hidup kerana …mereka pakar dalam bidang itu! Mereka bukan daripada golongan yang serba boleh. Mereka dipercayai. Dan pelanggan mempercayai mereka.
19. Untuk mencapai tahap itu, kita (dibaca: saya dan rakan-rakan yang budiman yang bersetuju dengan pandangan ini), perlu sentiasa berlapang dada untuk terus meningkatkan ilmu dalam bidang yang kita ceburi, kita minati, dan kita telah berada di dalamnya. Tujuannya supaya kita mampu menjadi pakar dan berpengetahuan tinggi dalam bidang itu. Untuk mencapainya, kita perlu bersikap ekstrem. Kita tidak boleh, sama sekali, bersikap sederhana. Orang yang sederhana dari segi usahanya, akan memperoleh pencapaian yang sederhana juga. Jikalau tuan-tuan menabur segenggam benih padi, mustahillah yang akan dituai nanti selori padi!
20. Ekstrem dalam konteks ini ialah “keterlaluan, melampau, melampaui batas kesederhanaan – Kamus Dewan Edisi Keempat). Mengapakah sampai begitu sekali untuk berjaya dalam kehidupan sehingga perlu menjadi ekstrem? Mungkinkah ini persoalan yang sedang atau akan muncul daripada benak saudara? Jawapannya ialah “HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA”. Dan, dengan izin daripada Allah, akan saya kupas falsafah ini selepas ini…Terus layan!

4 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Saya bersetuju dengan ungkapan... "Orang yang sederhana dari segi usahanya, akan memperoleh pencapaian yang sederhana juga. Jikalau tuan-tuan menabur segenggam benih padi, mustahillah yang akan dituai nanti selori padi!"

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Menarik perbincang kali ini. Ada unsur-unsur falsafah. Semasa pertemuan kembali bekas guru-guru Sek. Keb. LKTP Sungai Sayong baru-baru ini Cikgu Ishak Haji Nor dalam ucapannya ada menyatakan bahawa rasnya baru semalam kita sama-sama menjadi guru, kini sudah bersara. Apa makna semua ini? Katanya lagi, 'hidup ini terlalu singkat rupanya'. Kebanyakan rakan-rakan sudha berjaya dalam kerjaya, anak-anak juga berjaya. Sebagai guru juga sudah nampak hasilnya. Ramai anak didik yang berjaya. Dan kita akhirnya kembali menjadi orang biasa.
Moralnya di sini kami telah menabur segemggam ilmu, hasilnya adalah kepuasan yang seperti(bukan sahaja selori padi) tetapi tak ternialai rasanya.
Inilah yang diharapkan oleh seorang guru biasa.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih kerana bersetuju dengan ungkapan itu. Ya, memang benar saudara RAR, mustahil akan berlaku keajaiban sepanjang masa kerana keajaiban hanya berlaku apabila kita tidak menjangkanya.

Salam TUAN HAJI yang amat dihormati,
Memang benar, Tuan Haji. Hidup ini terlalu singkat. Jangka hayat kita di negara ini dianggarkan hanya 70-80 tahun. Jadi, sementara dibekalkan nadi dan nyawa, kita harus berjuang atas nama Allah, demi melihat bangsa kita tidak lebur dimamah zaman. Sebagai guru dan bekas guru, insya-Allah kita akan dirahmati selagi ikhlas.

zura halid said...

Saya bukan sorg yang ambitious sejak lahir (mungkin...). Hidup ikut sistem yg telah ditetapkan. Cukuplah saya dikenang sebagai ibu mithali dan isteri solehah. Hidup ini, cukup makan, cukup pakai,hidup sihat, hidup bahagia, boleh ketawa, mudah beribadat, mudah segala urusan. Bila dah tak nak bekerja, boleh melancong seluruh dunia...tapi sekarang...life must goes on.