Monday, January 18, 2010

PERANCANGAN KEWANGAN; BENARKAH HANYA ORANG KAYA PERLU MENGETAHUINYA?

Assalamualaikum.
Terima kasih atas sokongan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan, dorongan, dan perangsang kepada saya. Allah SWT jua yang akan membalasnya.

1. Kita sering melihat kehidupan orang kaya; sama ada di dunia realiti, mahupun di alam halusinasi. Alam halusinasi yang realiti ialah di kaca TV apabila menonton drama Melayu.Sebab itulah, saya tidak mahu terus dibayangi halusinasi realiti dengan membuat keputusan untuk tidak menonton drama Melayu!
2. Kehidupan orang kaya secara ringkas begini; menaiki kereta BMW atau Mercedez, tinggal di banglo tiga empat lantai (issyy...lantai pulak, tingkat!- RAR tersenyum nampak). Mereka menguruskan perniagaan bernilai jutaan dan bilion ringgit. Gaya mereka hebat, pakaian mahal dan perabot dari Itali menghiasai rumah. Pakai baju tidur yang berkilat sedangkan kita pakai kain pelekat. Mereka kaya-raya dan wang bertimbun. Kita bertimbun hutang. Hutang kereta yang tak selesai-selesai, hutang rumah sampai pencen baru habis, hutang kad kredit, hutang insurans, bil telefon, bil TNB, bil SAJ, dan sebagainya yang sekiranya diletakkan tempat kosong untuk diisi (fill in the blank), maka cikgu kita kena pakai pembaris kayu yang panjang di kelas untuk buat tempat kosong!
3. Kita terfikir bahawa mereka (orang kaya) ditakdirkan begitu oleh Tuhan untuk mengecap kemewahan dan kesenangan. Bukankah kekayaan tidak dibawa ke kubur, tuan munsyi? Ya, benar. Jadi, saya perlu meletakkan noktah sekiranya ayat sebegitu sering kita ucapkan, untuk menyedapkan hati kita. Benar, kekayaan tidak akan bersama-sama kita ke kubur, tetapi jika David Arumugam pun pernah berkata'andainya aku pergi dulu', apa yang akan terjadi kepada waris kita jika 'aku' dalam lagu itu ialah saya atau anda? Telah banyak kali saya tegaskan bahawa Islam memerlukan umatnya kaya takwa, kaya budi bahasa, kaya kasih sayang, dan kaya sifat zuhud dan tawaduk. Tetapi, Islam tidak pernah menghalang umatnya kaya harta, kaya rumah, kaya wang ringgit, dan kaya kereta. Jikalau demikian, tidak ada sebarang halangan untuk kita mencari kekayaan harta selagi kita terus menjadi kaya takwa dan kaya zuhud. Oleh sebab saya bukan Ismail Kamus atau Ustaz Fauzi, Al'Kulliyah TV3, saya akan berfokus pada kaya harta. Ya, kaya wang ringgit yang menjadi 'nyawa' kehidupan manusia masa ini. Tanpanya, kita tidak dapat bayar bil TNB dan bil SAJ. Ke tempat kerja naik teksi atau tumpang kawan. Ya, tanpa wang, hidup ini telah kita sesiakan kerana kita tidak mampu menjadi ketua keluarga yang baik, suami atau isteri yang baik, anak yang baik, dan kawan yang baik. Mungkin juga bukan umat yang baik, kerana kita telah menafikan suatu nikmat Allah SWT untuk menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Saudara boleh bersetuju atau tidak bersetuju dalam hal ini kerana saya tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa pun tersalah atau bersalah.
4. Saya mengaitkan kehidupan orang kaya di atas kerana banyak orang (bukan tuan-tuan) yang beranggapan bahawa orang kaya lebih berhak untuk menguasai bidang kewangan dan segalanya tentang pengurusannya. Orang sederhana dan orang miskin tidak perlu bersusah payah untuk mempelajarinyakerana perkataan 'kaya' menggerunkan mereka. Bukankah kita perlu kaya budi bahasa, tuan munsyi? Balik-balik itu juga yang kita jadikan ayat penyedap halwa telinga dan halwa maskat!
5. Orang kaya perlu belajar dan menguasai aspek kewangan kerana mereka perlu mengetahui kaedah, cara dan sistem yang baik untuk menguruskan wang mereka yang bertimbun-timbun itu.Orang sederhana dan orang miskin tidak perlu belajar tentangnya kerana mereka tidak ada wang bertimbun atau harta berlonggok. Terus terang saya katakan bahawa pandangan sebegini akan menyebabkan orang kaya akan bertambah kaya dan orang miskin akan terus-menerus miskin. Jika terjadi begini,orang tidak kaya akan bertambah gulana, menyalahkan orang kaya kerana merebut harta orang lain tanpa memikirkan kehidupan orang tidak kaya. Mungkin betul premis ini, jika dilihat dengan mata kasar, tetapi saya tidak yakin premis ini benar dalam semua keadaan dan lazimnya, tidak begitu terjadi demikian. Melalui Yayasan Gates, Bill Gates merupakan penyumbang terbesar kepada negara yang miskin dan porak-peranda. Mengapa, sebab dia kaya dan dia mampu, malahan mungkin dia bersifat dermawan dan berhati baik.
6. Jadi, saya ingin mengatakan bahawa aspek perancangan kewangan bukan suatu pilihan, melainkan suatu kewajipan yang perlu dipelajari dan dikuasai, lebih-lebih lagi kepada orang yang sederhana dan kurang berkemampuan.
7. Ya, bukan suatu pilihan, membawa maksud aspek ini menjadi sangat penting untuk kita pelajari dan kuasai, bukan untuk sesiapa, melainkan untuk kita dan keluarga kita.
8. Memang benar, aspek ini bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup kita. Malah, tidak sepatutnya tidak menjadi yang kedua atau yang ketiga pentingnya. Namun begitu, aspek ini penting kerana pada zaman ini, kewujudan kita bergantung padanya. Ya, sangat bergantung.
9. Untuk terus maju jaya, kita perlu menguruskan aspek perancangan kewangan dengan baik dan wajar.Bukan hanya perlu dibuat apabila kita sudah sampai tahap untuk bersara. Juga bukan pada ketika kita sedang dilanda masalah kewangan, ataupun sedang berkira-kira untuk memiliki kereta baru, rumah baru, atau isteri baru! Kita perlu belajar tentangnya, sekarang. Lebih awal, lebih baik. Lebih lewat, tidak mustahil kita akan semakin jauh ketinggalan daripada orang lain.
10. Ironinya, kita lebih gemar memberikan perhatian yang secukupnya tentang hal yang lain; misalnyapencapaian kita, minat dan hobi kita, dan kesihatan serta ketampanan kita. Ya, tuan-tuan tampan seperti saya juga! He..he..gurau aje. Tak kan tak boleh, kot?
11. Aspek ini dianggap seperti tabu atau pantang larang yang jangan dibicarakan atau dipersoalkan.Tetapi, kita lebih banyak bercakap soal artis, sukan, dan politik. Memang benar, inilah rencah yang akan menggembirakan hati kita bersama-sama rakan sambil 'mengeteh' tetapi saya percaya soal wang jauh lebihpenting daripada itu. Mungkin sesekali berbicara soal yang lain dapat melarikan diri kita daripada permasalahan di tempat kerja atau di rumah, namun berbicara tentang pengurusan wang seperti cara untuk menambahkan pendapatan, saya percaya lebih berfaedah. Dengan memiliki wang yang banyak, perbualan kita tentang artis, sukan, dan politik akan menjadi lebih menarik! Betul tak? Terima kasih kerana tidak bersetuju dengan saya.
12. Banyak orang yang tidak mahu berbicara soal kewangan kerana menurut mereka, hal ini menjadi sangat peribadi dan perbincangan tentangnya akan lebih memperlihatkan kejahilan mereka tentang subjek ini. Sekali lagi, saya tidak bersetuju kerana dengan berbuat demikian, kita telah menolak untuk mempelajari sesuatu yang baru, dan tidak mustahil, sesuatu yang sangat mengujakan! Ya, tuan-tuan, saya boleh diajak berbual tentang hal ini hingga kedai mamak tutup, walaupun kedai mamak tidak akan tutup kerana beroperasi 24 jam. Ada restoran di Parit Jawa yang dibuka 25 jam! Hairan bin ajaib! Mungkin pemiliknya tak lulus Matematik masa SRP dulu. Tak dapat naik Tingkatan 4. Nak return, malu kat member pulak!
13. Akhir sekali, saya ingin menurunkan satu fakta yang benar (ya, fakta memang benar!).Sebanyak 9.8 juta pencarum KWSP yang mewakili 96%, memiliki kurang daripada RM100 000.00 dalam akaun mereka apabila mereka bersara kelak. (Dapatan pada Disember 2002). Persoalannya, cukupkah wang sebanyak itu untuk menyara mereka dan keluarga mereka selepas mereka bersara nanti? Jika mereka berbelanja sebanyak RM1000.00 sebulan, maka wang sebanyak itu akan lesap dan ghaib selepas 4 tahun sahaja. Maka, jika dia bersara pada umur 58 tahun, pada umur 62 tahun, dia terpaksa bekerja semula! Ada yang bekerja semula kerana minat dan bosan tinggal dengan tidak berbuat apa-apa di rumah, tetapi banyak yang bekerja semula kerana bosan tidak ada wang!
14. Yang terakhir, eh belum habis lagi! Tuan-tuan, mudah-mudahan saya dan tuan-tuan dapat mempelajari sesuatu daripada entri ini. Jika terdapat kesalahan fakta dan pandangan, izinkan saya memohon maaf kerana saya masih belajar tentang subjek ini. (p/s: Tuan Samsudin @ MyBabah jauh lebih arif dan berpengalaman, saya percaya!). Hidup hanya bergantung pada kasih sayang dan kerukunan rumah tangga sahaja, pada masa ini, tidak menjanjikan kebahagiaan lagi! Data daripada pejabat agama mungkin boleh membuktikan hakikat ini kerana peningkatan jumlah suami isteri yang bercerai banyak disebabkan soal kewangan! Oleh itu, kita haruslah sedar bahawa, akhirnya, wang juga diambil kira! Tak percaya,cuba berhenti kerja dan pastikan anda tidak memperoleh sebarang pendapatan selama lima bulan, saya tidak menolak kemungkinan bahawa anda sedang memilih jalan yang sengsara! Allah Maha Kaya. Kepada-Nya, kita memohon kekayaan dunia dan kekayaan akhirat.

7 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
1. Selamat kembali dengan diiringi entri kewangan yang sudah lama (bukan 2-3 minggu tapi sudah 3-4 bulan) tidak menghiasi WITRA ini.
2. Entri sebegini yang diri ini labelkan (label buat diri sendiri cuma...) sebagai motivasi kewangan sememangnya serta setidak-tidaknya membangkitkan kesedaran diri sendiri dalam upaya yang ada.
3. LANTAI...? jenis simen atau jenis kayu atau jenis marmar? Hehehe... diri ini mengerti...
4. Beberapa ungkapan dalam entri seperti ini yang cikgu sampaikan sering membuatkan diri ini 'tersenyum dalam kelalaian' untuk kembali bermotivasi diri.

Citra Delima said...

Salam Cikgu Azhar,
Perancangan Kewangan penting untuk semua peringkat, tetapi adalah lebih penting semua orang mempunyai perancangan dalam kehidupan untuk di akhirat nanti.

Mybabah said...

Salam Cikgu. Selama tiga tahun saya menjelajah ke seluruh negara menerangkan kepada orang ramai apa yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan. Saya boleh berceramah 3jam tanpa henti untuk mengupas satu persatu tajuk dalam komponen perancangan kewangan (aliran tunai,perbelanjaan, pelaburan, simpanan, insurans, zakat, faraid dan banyak lagi komponen kecil). Namun, pengalaman 3 tahun itu hanya meninggalkan kenangan sedih. Sedih melihat sikap orang Melayu yang tidak berminat langsung untuk merancang kewangan, sama ada di bandar atau di luar bandar. Bilangan rumah tanggga yang bercerai-berai kerana kesempitan wang, tak cukup jari mengiranya. Mengapa ini berlaku? 3 jam lagi berdiri untuk menerangkannya. Namun,jika diajukan pertanyaan kepada saya siapakah yang lebih perlu merancang kewangan, yang kaya atau yang miskin? Dengan spontan saya akan menjawab, "yang miskinlah, kerana mereka berada di tepi jurang dan perlu lebih berhati-hati ketika berjalan...". Wallahualam.

ajahare said...

:) TERUSKAN MENULIS..

Melihat Kesunyataan said...

Tuan Sifu,
Saya ingin cadangkan supaya tuan bincangkan pula tentang adab-adab yang perlu ditekankan semasa seseorang itu mencari atau mengejar kekayaan.
Kadang-kadang kita khuatir dalam bab mencari kekayaan 'wang' itu kita lupa pada halal-haram dan juga hak orang miskin yang perlu kita tunaikan.
Contohnya katalah, kita menjadi kaya setelah masuk politik. Apa pendapat tuan Sifu? Kerana setelah berkecimpung dalam politik barulah banyak peluang untuk kaya terdedah kepada kita.

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU,MUNSYI,
Setelah berfikir-fikir, baharulah saya mencatatkan sesuatu untuk entri ini. Kekayaan bolehlah didefinisikan begini, satu dari segi material, satu dari segi akhlak dan budi dan satu lagi dari segi keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t (paling utama). Saya yakin dan percaya, Allah tidak pernah melarang umatnya daripada berusaha untuk memperoleh kekayaan; "beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi." Dunia hari ini menuntut umat Islam mengumpulkan harta dan kekayaan memandangkan orang bukan Islam nampaknya telah mendominasi ekonomi dunia hari ini (lebih-lebih lagi Yahudi). Harta memainkan peranan yang penting untuk menjamin kelangsungan dan kesejahteraan hidup. Orang miskin perlu menguasai aspek pengurusan kewangan untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan agar kemiskinan itu tidak menjadi sesuatu yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi. Apakah peranan orang Islam yang telah diberikan nikmat kekayaan oleh Allah s.w.t? Golongan ini sangat perlu untuk terus menyuntik dana (wang dan harta) untuk membantu golongan fakir miskin agar mereka tidak terus terpinggir. Sebab itulah umat Islam perlu membayar zakat harta benda yang dimiliki. Kesimpulannya, umat Islam perlu lebih cerdik dan bijak dalam menguruskan asetnya agar nikmat kekayaan ini dapat dikongsi dengan umat Islam yang lain, BUKAN mendominasi kekayaan itu dengan menggunakan Si Miskin sebagai batu loncatan atau alat tunggangan untuk terus menikmati kekayaan yang ada.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih kerana masih tegar utk membaca entri kewangan saya, yang masih mentah ini. Memang benar, agak lama menyepi tentang bicara kewangan. Insya-Allah, saya akan kembali mencatatnya kerana sekiranya entri ini tidak menguntungkan sesiapa, sekurang-kurangnya tidak merugikan saya.

Salam TUAN HAJI CITRA DELIMA,
Saya bukan sahaja setuju dengan pandangan tuan, malahan berasa amat setuju, agar perancangan untuk akhirat perlu diutamakan. Namun begitu, saya bukanlah orang yang cendekia untuk berbicara soal perancangan akhirat kerana tidak ada tauliah! Nanti JAIS tangkap saya pula...he..he..he...gurau je!

Salam TUAN HAJI SAMSUDIN,
Saya rasa 3 jam tuan berdiri tidak akan mampu untuk menerangkan hal ini kpd orang Melayu. Tuan memerlukan 3 dekad, dan itu pun belum tentu utk meyakinkan sebilangan besar orang Melayu untuk belajar ttg pengurusan kewangan. Namun demikian, usahlah kita (dibaca: saya, tuan, dan sesiapa yang berkenaan) berasa kecewa dgn hakkat ini. Insya-Allah, saya melihat perkembangan dunia pengurusan kewangan peribadi semakin mendapat tempat. Buktinya, buku ttg kewangan sentiasa laris di pasaran. Buku Azizi Ali, misalnya menjadikan Azizi bertambah kaya. Mungkin suatu hari nanti, saya akan dapat membaca buku tuan pula, ttg kewangan.

Salam SAUDARA AJAHARE,
Dengan izin Allah SWT, saya akan terus menulis selagi tulisan saya memberikan manfaat.

Salam TUAN HAJI SHAPIAI,
Pertama sekali, saya mohon maaf krn belum berkesempatan menemui tuan berkaitan dgn perbualan melalui telefon tempoh hari. Insya-Allah, saya sedang mencari masa yang sesuai. Tentang pandangan tuan, saya akan cuba mengupasnya nanti. Saya tidak bersetuju dgn pandangan yg mengatakan masuk politik, baru boleh jadi kaya. Ada kawan saya yang memegang jawatan dlm parti politik, tetapi tidak kaya juga walaupun berusaha keras tk mendapat kontrak itu ini.Adab utk memperoleh kekayaan telah digariskan dengan jelas oleh Islam. Ikuti dan patuhi, insya-Allah rezeki akan dikurniakan kpd kita. Kalau telah berusaha, namun masih belum mencapai tahap yang unggul dalam kewangan, mungkin ada hal lain yang 'mengganggu'. Rezeki yang tidak berkat kerana makan harta haram. Bukan salah sistem atau politik, tetapi salahnya diri yang tidak mengenal hukum. Jika ditakdirkan saya menjadi Ketua UMNO Bahagian pun, tetapi saya tidak akan kaya juga sekiranya itu ketentuan Allah SWT. Saya akan cuba mengupas adab-adab tersebut nanti.

Salam SAHABAT MD. NIZAR,
Mungkin kita boleh berbicara panjang pd 26 - 28 hb nanti di BTP Skudai, ketika gubal UPPM 1. Bawa pen drive. Saya ada 'bingkisan' utk SAHABAT. Saya melihat pandangan tuan menjurus ke arah pengurusan kewangan Islamik, ya, benar, asas dalam hal ini ialah keberkatan rezeki drpd Allah SWT. Namun begitu, saya melihat kebanyakan orang, secara sedar atau tidak sedar, sentiasa menyalahkan kuasa dan takdir Allah SWT lantaran tidak menjadi kaya. Saya melihat banyak pandangan ttg persepsi bahawa orang kaya selalunya jahat dan bertindak tidak adil. Saya sentiasa dihadapkan dgn pandangan bahawa orang kaya selalunya zalim dan menyalahi hukum dan peraturan. Saya memang kurang bersetuju dgn pandangan ini. Adakah boleh diterima premis ini secara total sekiranya yang banyak meringkuk di dalam penjara ialah orang miskin! Berapa banyak orang kaya ditangkap kerana melakukan jenayah? Ya, jumlahnya memang banyak, tetapi jika dianalisis secara rambang, penghuni penjara lebih banyak terdiri daripada orang miskin! Premis yang dapat menghalang utk seseorang menjadi kaya memang banyak, namun saya melihatnya sebagai suatu alasan. Jangan kita menjadi takut atau gentar untuk berusaha menjadi kaya. Percayalah, bahawa orang kaya lebih banyak perkara yang dapat dilakukan untuk mendapat kesenangan dunia dan akhirat. Menjadi kaya tidak akan menjerumuskan kita ke lembah hina. Agama Islam tidak mengajar sebegitu. Bukankah hadis mengatakan bahawa 'kemiskinan membawa kepada kekufuran'!