Saturday, January 16, 2010

KEMBALI

1. Salam sejahtera kepada semua rakan seperjuangan dan rakan di alam maya ini. Saya perlu berterima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar sistem mesej singkat (SMS) yang bertanyakan blog WITRA ini telah agak lama tidak dimuatkan sebarang entri terkini. Saya perlu memohon maaf atas keadaan ini.
2. Entah mengapa, saya tidak ada 'perasaan' dan keinginan untuk mencatat biarpun hanya sebaris ayat sejak dua minggu yang lalu. Ujian Allah SWT saya reda, malah amat berterima kasih kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya bermuhasabah ketika berhadapan dengan hati rusuh dan jiwa tanpa tenteram akhir-akhir ini.
3. Saya tidak mampu mendalami rahsia Allah SWT yang Maha Luas dan Maha Kaya itu. Fikiran saya terganggu dengan pelbagai celaru, keliru, dan kemelut yang menghentak ketibaan tahun 2010 ini. Rasa-rasanya, saya tidak wajar untuk menyenaraikan kekusutan ini kerana saya tidak begitu pasti secara jelas dan nyata sebab kecelaruan ini menghukum.
4. Namun, dengan secebis kekuatan yang dikumpulkan secara naluri, saya harus bersikap rasional untuk terus mendepani hari mendatang dengan kekuatan dan semangat yang makin menumpul.
5. Setiap yang berlaku itu tersirat hikmahnya, dan pastinya saya akan cuba untuk mendepaninya dengan kekuatan yang mudah-mudahan akan muncul dari pelbagai arah dan sumber. Kerana, 'HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA".
6. Terima kasih Tuhan!

6 comments:

Mybabah said...

Assalamulaikum Tuan Munsyi. Alhamdulillah dan lega apabila melihat kehadiran semula tuan di alam blog. Kekeliruan dan resah jiwa hanya fenomena biasa. Semua orang yang bernama manusia akan merasainya. Yang penting kita "cool" dan "calm" (C&C). Saya juga "kerap" menghadapi kemelut sedemikian lebih-lebih lagi di tempat baharu dengan persekitaran baharu yang memerlukan komitmen yang baharu juga. C&C bro...

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Semoga tabah dan teguh dengan pelbagai hal (besar mahupun kecil) yang melanda diri, namun diri ini amat yakin dengan upaya dan kekuatan dalaman Cikgu yang diri ini kenali serba adanya.
Pasti Cikgu seorang yang gagah dan berani mengharungi segalanya dengan rahmat-Nya.

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Lega rasanya apabila SAHABAT kembali mencatatkan sesuatu di sini. Saya sangat yakin dan percaya, SAHABAT akan mampu menyerap segala tekanan yang sedang dihadapi sekarang. Ujian yang kita terima datang daripada-Nya, maka kepada-Nya juga mesti kita meminta pertolongan. Saya mendoakan semoga SAHABAT akan terus tabah dan kuat. Amin.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Segala masalah dan kecelaruan itu biasanya adalah aset yang berguna bagi seseorang yang berfikiran kreatif dan terbuka.
Selagi kita bernama manusia. Selagi itulah...
Yang penting kita perlu tempat yang sesuai untuk mencurahkannya.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Segala masalah dan kecelaruan itu biasanya adalah aset yang berguna bagi seseorang yang berfikiran kreatif dan terbuka.
Selagi kita bernama manusia. Selagi itulah...
Yang penting kita perlu tempat yang sesuai untuk mencurahkannya.

Azhar Salleh said...

Salam rakan-rakan yang amat saya hormati, kasihi, dan segani.
Tuan Samsudin, RAR, SAHABAT, dan TUAN HAJI, "Tiada ungkapan yang paling bermakna kepada saya ketika ini, melainkan titipan pesan, nasihat, dan perangsang daripada sekalian rakan! Saya mendoakan Allah SWT merahmati kalian dan keluarga kalian. Memang pada ketika gelombang dugaan sedang galak untuk menghanyutkan dan melemaskan saya ke tengah lautan, namun saya percaya bahawa sebuah kolek akan mudik ke arah saya untuk melayarkan saya ke tepian yang sejahtera.
Semakin gelap langit di angkasa, semakin bersinar bintang-bintangnya!
Terima kasih tuan-tuan, rakan yang saya kasihi.