Sunday, May 24, 2009

BICARA: HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA (BAHAGIAN 2)

MEMAHAMI MAKSUD “SEDERHANA”

1. Bayangkan jika Nabi Muhammad saw bersikap sederhana dalam mengembangkan syiar Islam. Bayangkan dan cuba kita ramalkan apa yang akan terjadi. Adakah Islam akan tersebar ke serata pelosok dunia?
2. Dan, jikalau demikian, mungkinkah kita akan menjadi seorang Islam? Tuan-tuan, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Nabi Muhammad saw diutuskan sebagai Rasul Allah untuk mengembangkan ajaran yang benar ini kepada seluruh umat manusia. Namun, adakah kita menyedari bahawa tindakan dan gerakan penyebaran Islam yang dilakukan oleh baginda tidak bersifat sederhana. Ya, saya ulangi, tidak bersifat sederhana. Baginda bersikap melebihi tahap kesederhanaan. Baginda bertindak ekstrem untuk memastikan syiar Islam diterima melalui pelbagai pendekatan, malahan nyawa baginda sendiri menjadi pertaruhan!
3. Saya bukanlah seorang ustaz untuk bercakap tentang hal ini secara panjang lebar. Saya bukanlah pegawai JAIJ untuk menyampaikan ceramah tentang perkara ini dalam sambutan Maulidur Rasul atau Maal Hijrah di taman perumahan anda! Tetapi, saya hendak berkongsi makna kesederhanaan daripada kaca mata, perspektif atau dimensi seorang yang sedang berusaha untuk tidak mahu dikenali sebagai insan sederhana.
4. Sederhana. Satu perkataan yang sering diucapkan, dilafazkan, dan dipegang oleh majoriti orang. Dan lazimnya, malahan saya percaya perkataan ini sering digunakan tanpa asas yang kukuh. Saya juga percaya, pada satu tahap, perkataan ini sering disalahgunakan, khasnya untuk menutup kelemahan atau kekurangan yang ada.
5. Benarkah kita perlu diajar agar bersikap sederhana dalam semua aspek atau perkara? Benarkah anda mahu bersikap sederhana hingga mengorbankan segala upaya dan kemampuan yang ada. Jika dirujuk hal ini dari segi agama, saya percaya kita tidak boleh bersikap sederhana. Nabi Muhammad saw tidak bersikap sederhana dalam mengembangkan syiar Islam, malahan dalam ibadat, baginda tidak mengamalkan prinsip tersebut. Diriwayatkan bahawa baginda bersembahyang hingga pecah tumit kakinya! Baginda berzikir dan bermunajat kepada Allah hingga tidak tercapai oleh sesiapa pun. Adakah baginda bersederhana?
6. Adakah tuan-tuan, rakan-rakan yang amat saya kasihi percaya bahawa dengan bersikap sederhana, kita akan berjaya mencapai matlamat hidup. Jika anda percaya bahawa hidup ini tidak perlu mengejar yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang, saya rasa anda meletakkan suatu situasi yang tidak adil, bukan kepada sesiapa, tetapi kepada diri anda sendiri.
7. Dalam mencapai sesuatu yang lebih tinggi, kita tidak boleh sama sekali mengambil pendekatan sederhana. Mahukah anda jika anak anda bercakap jujur dengan anda pada paras sederhana? Mahukan jika isteri/suami anda berlaku setia kepada anda pada tahap sederhana? Mahukah anda jikalau anda anda berhak memperoleh gaji sebanyak RM5,000.00 tetapi, lantaran kesederhanaan yang anda miliki, cukuplah anda dibayar sebanyak RM2,500.00? Mahukah anda mendapat kerjasama daripada rakan sejawat atau sepejabat dengan kerjasama yang sederhana? Jika jawapannya ya, saya ucapkan tahniah kerana anda berhak mengecapi makna kehidupan yang anda tentukan. Tiada sesiapa yang akan menghalang anda daripada mengambil keputusan itu. Selagi anda bahagia, anda berhak membuat keputusan. Ya, apa juga keputusan anda, anda bertanggungjawab ke atasnya.
8. Jika jawapannya tidak atau bukan, anda perlu bertegas untuk mengatakan bahawa kita tidak boleh bersikap sederhana dalam hampir banyak perkara.
9. Kadangkala saya mengemukakan analogi ini kepada peserta yang mengikuti ceramah saya. Jikalau anda diberi 10 biji epal, dan anda seorang yang sederhana, berapakah yang akan anda ambil? Ramai yang menjawab 2, ada yang menjawab 3, dan terlalu banyak yang menjawab 5, kerana itulah konsep sederhana yang mereka fahami. Dalam hal ini tidak ada sesiapa yang betul dan tidak ada sesiapa yang salah. Semua jawapan adalah betul.
10. Jika pertanyaan itu diajukan kepada saya, jumlah bilangan epal yang akan saya ambil ialah 10 biji epal! Eh cikgu, kalau ambil 10 biji epal, bukan namanya sederhana! Jika bukan sederhana, namanya apa? Saya bertanya kembali.
11. Itu namanya tamak! Saya terdengar seorang peserta yang berada di bahagian belakang sebelah kiri dewan berkata dalam hatinya.
12. Ya, itu namanya tamak! Seorang peserta di sebelahnya menyampuk, seperti terdengar kawan di sebelahnya bermonolog!
13. Saya tidak tamak, tuan-tuan. Jikalau saya ambil kurang daripada 10 biji, katakanlah 8 biji, saya telah melepaskan 2 peluang yang sepatutnya saya peroleh, tetapi kerana sentimen sederhana sentiasa berlegar-legar dan mempengaruhi akal fikiran saya, maka saya telah mengalami kerugian. Bukankah itu namanya kerugian! Dan sesiapa yang rela dan suka mendapat kerugian, silalah ambil 1 biji epal sahaja! Tuan-tuan bukan sahaja mendapat kerugian, malahan tuan-tuan tidak mendapat keuntungan. Jikalau tidak menguntungkan, tetapi tidak merugikan, itu masih boleh diterima oleh akal yang sihat.
14. Tamak, menurut pengertian yang saya fahami dan saya pegang, saya cuba untuk mendapatkan 11 biji epal! Mengapa kita perlu melepaskan sesuatu yang mampu kita miliki. Sekali lagi saya terdengar alasan yang sama, iaitu kita mesti bersikap sederhana.
15. Jikalau masih begitu fikiran dan pandangannya, adakah anda akan bersembahyang 3 kali sehari semalam? Adakah anda akan berpuasa 15 hari sahaja dalam bulan Ramadan? Adakah anda akan memberikan separuh wang gaji anda kepada saya kerana anda bersikap sederhana? Mana boleh dibuat perbandingan begitu! Kata seorang pembaca entri ini. Sila berikan contoh yang lain, jikalau saya tersilap. Ya, manusia sering tersilap…mudah-mudahan, pada kali ini saya tidak tersilap.
16. Cuba anda bayangkan David Beckham mula berlatih bermain bola sepak pada usia 20 tahun! Adakah Beckham akan menjadi seperti hari ini? Adakah Lance Armstrong (pelumba basikal yang terkemuka) berlatih 1 jam sehari? Adakah Jackie Chan berlatih kungfu ketika berusia 18 tahun? Jawapannya, tidak! Mereka melakukan tindakan yang sangat ekstrem! Ya, sangat ekstrem. Seperti yang saya nyatakan pada Bahagian 1, maksud ekstrem ialah melakukan sesuatu pada tahap yang melebihi kesederhanaan. Beckham bermain bola ketika berusia kurang 2 tahun, dan Armstrong berlatih lumba basikal pada tahap yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Suatu hal lagi, ketika semua orang tidak lagi memberikan keyakinan kepadanya selepas menjalani pembedahan membuang “sebiji” testisnya, dia bangkit dengan mengumpulkan segala semangat untuk menjuarai Tour de France untuk kali kelima! Mereka bersikap ekstrem! Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great?) menakluk pelosok dunia, bagaimana? Sederhanakah dia? Jackie Chan berlatih kungfu ketika berusia 5 tahun dan latihannya bermula pada jam 5.30 pagi dan berakhir jam 10 malam! Sederhanakah usahanya?
17. Pada pandangan saya, kita perlu bersikap ekstrem. Kita perlu melakukan sesuatu melebihi orang lain. Itu pun jikalau kita hendak berada di atas orang lain, atau sekurang-kurangnya mencapai tahap yang lebih tinggi atau lebih baik pada hari ini. Jikalau anda berharap dengan mengamalkan hidup sederhana, akan membahagiakan anda, teruskan. Ya, teruskan kerana pilihan di tangan masing-masing.
18. Saya percaya ada ketikanya kita perlu bersederhana dalam banyak hal. Kita perlu bersederhana ketika berbelanja di pasar raya, kita perlu bersederhana ketika bercakap agar kelihatan sopan, kita perlu bersederhana ketika … (isi tempat kosong dengan jawapan yang sesuai). Ya, memang benar, ramai atau terlalu ramai manusia yang berjaya di dunia tetapi mereka hidup sederhana. Tuan-tuan, saya tidak menyatakan bahawa kita perlu hidup secara esktrem, tetapi usaha kita mestilah tidak sederhana. Saya tidak menyatakan bahawa kita perlu bermegah-megah dengan kehidupan yang mewah, tetapi kita perlu melihat dunia realitinya. Banyak jutawan atau hartawan atau individu terkemuka hidup secara sederhana, tetapi mereka tidak berusaha secara sederhana. Ada satu perkara yang kita terlupa apabila mengatakan mereka pun bersikap sederhana, iaitu harta, wang, atau pencapaian mereka sangat luar biasa! Tidak sederhana! Mengapa? Bukankah usaha mereka tidak sederhana! Tetapi ingat, janganlah bersederhana ketika memandu kereta. Anda mungkin ditimpa kemalangan! Anda perlu memberikan fokus 100% ketika itu kerana jikalau anda bersederhana ketika memandu, anda berusaha untuk mencari bala! Eh, bukankah 100% itu nilainya sama dengan 10 biji epal!
19. Akhir sekali, saya percaya kita pasti memiliki pandangan yang mungkin tidak sama. Terimalah perbezaan pandangan itu sebagai suatu yang positif. Saya berpendirian sebegini kerana…
20. HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA…

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Ya... bercakap dalam konteks PPSMI, jelas bahawa beberapa pemimpin besar yang katanya berpegang konsep 1 Malaysia terus bersikap 'serdahana' terhadap isu PPSMI sedangkan mereka punyai kuasa dan hak untuk 'segera' bertindak...
2. Bukankah hal PPSMI telah lama diungkit serta diperkatakan secara ilmiah sejak mula beroperasi 5-6 tahun belakangan ini?
3. Dalam hal ini, 'ekstrem' perlu juga diisi dalam beberapa bentuk tindakan agar menyedarkan golongan pemimpin 'sederhana' ini?

Citra Wangsa said...

Cikgu, jika demikian adanya, mungkin istilah 'sederhana' dlm KD, perlu 'baik pulih'. Jika tidak, org akan akur dgn maknanya 'tidak lebih dan tidak kurang'.

Fadzli said...

Salam ziarah...

Cadangan agar cikgu dapat membuka ruangan cBox untuk perbincangan yang lebih berinteraktif...

Jemput ke web www.cikgumalaysia.com

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Menarik perkara yang cuba diketengahkan. Cuma perkataan ekstrem itu membawa maksud keterlaluan atau melampau (lihat KD). Macam pertubuhan Hinraf yang memohon supaya semua penduduk Malaysia yang lahir sejak tahun 1957 diiktiraf sebagai bumiputera. Ini sudah melampau (ekstrem).
Begitu juga dengan Mat Rempit, kerana keterlaluan mereka kini digelar samsing jalan raya.
Contoh 10 biji epal, memang kalau ikut hati memang sepatutnya kita ambil semua, tapi kalau ada dua orang elok kita bahagia dua, seorang dapat 5 biji epal. Barulah adil.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Saya amat bersetuju sekiranya PPSMI, jika diteruskan, pelaksana dasarnya perlu "dididik" dgn tindakan yang ekstrem.

Salam AZURA,
Rasanya, tidak perlulah dibaik pulih maksud dalam KD kerana maksudnya secara harfiah sudah tepat. Yang penting, kita harus sedar bahawa perkataan ekstrem jika dilihat dari pandangan positif, tidak mustahil kita mampu melastik ke bintang! Jika dipandang negatif, apakan daya...

Salam SAUDARA FADZLI,
Terima kasih atas kunjungan saudara. Untuk membuka CBox, saya bukannya tak mahu, tapi tak reti nak buat macam mana...mungkin tunjuk ajar saudara akan membantu saya. Saya telah ziarah www.cikgumalaysia.com dan menarik sekali kandungannya, sesuai sangat bagi seorang guru seperti saya menjadikannya sebagai web wajib! Tahniah dan salam silaturahim...

Salam TUAN HAJI YANG AMAT SAYA HORMATI DAN KAGUMI,
Tidak salah definisi yg diberikan oleh KD itu. Memang benar itulah maksudnya "keterlaluan dan melampau". Jika dilihat maksudnya, dan kita cenderung melihatnya ada unsur negatif, saya percaya akan jadi negatiflah definisi tersebut. Dan dengan mengaitkan maknanya dengan situasi negatif, seperti Hindraf dan Mat Rempit, memang amat sesuai. Tetapi, saya percaya bahawa yang saya perkatakan dan lontarkan, segalanya menjurus ke arah pembentukan diri dan semangat yg positif. Kita bertindak ekstrem dalam ruang positif. Kita "melampau" dan "keterlaluan" dlm konteks positif. Untuk mencapainya, memang sukar, namun tiada yg mustahil kerana "kita akan menuai apa yang disemai". Jika tindakan kita bertaraf sederhana, kita akan mencapainya pada tahap yg sederhana juga. Lantaran itu, pandanglah makna ekstrem dgn perkara yg positif, bukan negatif utk mencapai tahap yg lebih baik dari semalam. Saya bersetuju dgn pandangan Tuan Haji ttg 10 biji epal itu. Ya, kita perlu bersikap adil dgn membahagikannya kepada dua bahagian, jika ada dua orang. Tetapi, saya percaya bahawa jikalau kita mendapat 5 biji epal, maka yg diperuntukkan kpd kita bukannya 10 biji, tetapi 5 biji sahaja, dan jika kita berangan-angan utk mendapatkan 10 biji, kita akan dikira sebagai tamak! Jadi, 5 biji epal itu sebenarnya bersamaan dgn 10 biji epal juga! Terima kasih atas pandangan dan komen yg amat merangsang adrenalin saya!