Thursday, May 07, 2009

PERISTIWA: SUATU HARI YANG MALANG DI PEKARANGAN MASJID

1. Pada 24 April yang lalu, suatu kejadian malang menimpa saya.
2. Ketika saya bersembahyang Jumaat di Masjid Taman Pelangi, JB, kereta saya kena pecah. Cermin penumpang sebelah pemandu dipecahkan dan saya kehilangan sebuah beg.
3. Di dalam beg tersebut ada beberapa batang pendrive yang mengandungi pelbagai bahan, khususnya bahan tuisyen, bahan sekolah, dan yang paling penting, bahan ceramah. Turut hilang ialah sebuah modem broadband Celcom.
4. Saya juga kehilangan sebuah buku Azizi Ali, "Jutawan Ekstrem", selain beberapa keping slip gaji, dokumen seperti surat yang berkaitan dengan tugas, dan bahan-bahan yang saya gunakan dalam ceramah.
5. Mujurlah, dengan izin Allah, lap top yang saya tinggalkan di bahagian belakang kereta tidak dikebas juga. Mungkin penjenayah ini melihat beg yang dicurinya itu ada lap top kerana bentuknya seperti sebuah beg lap top.
6. Saya membawa lap top kerana selepas sembahyang Jumaat, saya akan ke tuisyen, dan selepas itu, saya terus ke Hotel Selesa untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel Sahibba untuk guru-guru negeri Johor.
7. Kehilangan itu menyebabkan saya tidak dapat melayari Internet dan mengemaskinikan blog ini, sehinggalah pada hari ini, setelah saya membeli broadband yang baru dan membuat pendaftaran baru. Saya juga terpaksa melakukan pelbagai perkara ekoran daripada kejadian ini; mencari bahan-bahan ceramah yang masih bersisa dalam lap top lama (lap top yang ada di tangan saya tidak saya muatkan bahan), membuat pendaftaran Internet baru di Celcom (pelbagai masalah timbul akibat modem baru tidak dapat berfungsi), dan pelbagai lagi...
8. Kejadian ini memberikan pengajaran kepada saya agar lebih berwaspada. Mudah-mudahan, saya berdoa, saya dan saudara yang membaca entri ini akan lebih berhati-hati kerana penjenayah seperti itu ada di mana-mana. Jikalau boleh berlaku kepada saya, tidak mustahil akan berlaku juga kepada saudara. Mudahan-mudahan perkara ini dijauhkan oleh Allah daripada menimpa kita.
9. Pengajarannya, belajar daripada kesilapan diri sendiri sangat baik, tetapi saya percaya bahawa belajar daripada kesilapan orang lain jauh lebih baik...fikirkanlah wahai rakan-rakan sekalian...

6 comments:

Syaidul Azam Bin Kamarudin said...

salam.
saya bersimpati dengan apa yg telah terjadi. semoga cikgu tabah dengan dugaan ini.

Elakkan meninggalkan sebarang beg di dalam kereta walaupun beg sekolah anak. Rakan fotopages saya juga pernah mengalami peristiwa serupa.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Atas sifat dan sikap profesionalisme cikgu yang lama telah saya kenali, saya amat yakin bahawa bahan-bahan yang bermutu tinggi dan penuh manfaat yang telah hilang itu akan digantikan dengan menerbitkan lagi bahan @ dokumen yang lebih tinggi mutu dan lebih besar manfaatnya oleh cikgu.

Azhar Salleh said...

Salam AZAM,
Terima kasih atas rasa yang dihulurkan. Saya akan cuba menjadi tabah. Saya teringat suatu falsafah, iaitu "bintang akan lebih bercahaya sekiranya langit semakin gelap".

Salam RAR,
Terima kasih atas rasa yang sama. Insya-Allah, saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dari segi penyediaan bahan atas nama perjuangan bahasa! Selama ini, sokongan RAR amat-amat diharapkan kerana menjadi pendorong dan pencetus dalam banyak hal. Terima kasih sekali lagi kerana mengambil berat tentang gelodak minda ini.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Saya percaya pencuri itu tidak mampu mencuri ilmu yang ada pada dirimu. Saudara Azhar sebenarnya tidak kehilangan apa-apa. Percayalah.

Citra Wangsa said...

Cikgu,
Kisah sedih itu lama saya ketahui melalui RAR. Saya sungguh simpati, tp dalam hati saya doakan agar cikgu dilindungi Allah.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Harta benda boleh dicari,
Kalau hilang bukanlah malang.

Azhar Salleh said...

Salam TUAN HAJI,
Mungkin ada benarnya pandangan itu. Pencuri itu memang tidak mencuri ilmu saya tetapi dia curi beg saya! Wuuahhh...! Terima kasih Tuan Haji atas sokongan dan dorongan ini. Semoga Azhar Salleh akan terus kuat dan cekal!

Salam AZURA,
Terima kasih kerana sudi berkongsi kesedihan...
Nampaknya pantun kena jawab tu...
Dua tiga pencuri berlari,
Mana nak sama pencuri ni sorang,
Dua tiga pendrive boleh kubeli,
Mana nak sama yang telah hilang!