Saturday, May 16, 2009

PUISI: LIDAH BANGSA

LIDAH BANGSA
Lidah bangsa makin berani
memperkatakan maruah dan jati diri
membicarakan ketuanan yang menipis
menyuarakan kepincangan tergaris
menzahirkan rasa yang terhiris
tanpa sebarang bibit prejudis.

Lidah bangsa makin menggertak
dibakar oleh lahar yang memberontak
sesekali ingin berlaku waras
dalam nada tegas dan keras.

Lidah ini lidah pusaka
ingin melihat ketuanannya merdeka
walau getar dan debar ini disanggah
tetap mengalir di urat darah
bangsa ini bangsa bermaruah.

Lidah bangsa ini
ingin berkata benar dan jujur
walau mungkin langkahnya terlanjur
tidak salah andai fikir terundur
kembalikan semangat yang makin luntur
cekangkan semula muafakat yang kendur.

Lidah bangsa ini
berbicaralah dengan hemah
kutiplah gugusan hikmah
setelah kali ini terduga
satukan segera suara pusaka.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.
Berita Harian, 16 Mei 2009

3 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Peranan guru sebagai lidah bangsa yang berwibawa. Selamat hari guru.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Tahniah... LIDAH BANGSA yang cekal kembali. Walau 'Lidah Bangsa' hanya boleh menyanggah melalui kata-kata terhadap pemimpin yang pertahankan PPSMI... namun 'Lidah Bangsa' juga boleh menyanggah melalui 'coretan pangkah' nanti...

Azhar Salleh said...

Salam TUAN HAJI,
Terima kasih atas ucapan itu, dan saya kembalikan ucapan itu kepada Tuan Haji, yang teramat besar jasa dalam membangunkan anak bangsa. Ya, "Lidah Bangsa" tidak akan berhenti bersuara...

Salam RAR,
Terima kasih. Lidah dikurniakan oleh Allah untuk membetulkan kepincangan kerana "tangan-tangan" ini telah dikakukan. Kita tiada upaya lagi, melainkan tangan ini yang akan menentukan kotak mana yang perlu dipangkah! Mudah-mudahan, dengan cara itu, akan tersedarlah golongan pengampu itu.