Friday, December 18, 2009

CATATAN DARMAWISATA: MAKAN HINGGA BOROI!

Lazimnya, apabila gua pulang ke kampung di Pulau Pinang dan Kedah, gua pasti gila makan. Bukan kerana kat JB tak cukup makan atau makan tak best, tapi biasalah, gua membesar dengan makanan utara. Jadi, gua paparkan beberapa foto yang sempat dirakamkan (walaupun banyak sungguh tempat makan yang gua kunjungi) yang ada 'nilai sentimental' kepada gua dan famili gua. Foto ini dirakamkan ketika gua bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang. Gua singgah sekejap di Pantai Shamrock. Pantai ini terletak di antara Tanjung Bungah dengan Batu Feringgi. Pantai ini taklah popular sangat, sebab itu mungkin anda tidak perasan. Kalau ke Batu Feringgi, sebelum jumpa Pantai Miami, jumpa pantai ini dulu. Kat sini, gua pekena laksa Penang dan bihun sup. Cuba tengok di atas meja, sebelah kotak rokok Mild Seven tu, mangkuk laksa tu dah settle. Itu mangkuk laksa gua! Gua belasah dua mangkuk, bro! Anak-anak gua pun suka laksa kat sini. Laksanya boleh dikatakan sedap jugak walaupun laksa mak gua buat jauh lagi sedap! Bihun supnya pun power tahap Ultraman Gaia! Kat sebelah utara, bihun supnya tak sama dengan bihun sup selatan, timur, atau tengah.
Mungkin anda tertanya-tanya, gua buat apa tu? Kalau perhatikan betul-betul, gua sedang pekena rojak kat Bagan (Butterworth). Rojak di sini digelar 'rojak tonggek'. Pasai apa digelar macam tu. Sapa-sapa yang pekena rojak ini, dia kena tonggek sikit. Takut kuah rojak terkena baju atau kasut. Rojak tonggek ni tak sama dengan rojak buah yang lain. Buah yang dipotong seperti timun, epal hijau, kedondong, tomato, nanas, dll dicucuk dengan lidi dan dipamerkan di gerai motor. Gua akan pilih buah yang dicucuk itu dan kemudiannya mencelup atau mencecahnya di dalam kuah rojak yang dimasukkan di dalam mangkuk. Ada kuah pedas dan ada kuah manis yang ditabur kacang tumbuk. Lepas gua makan, pekena air cincau. Kemudian, bayar. Secucuk 30 sen ( 3 kupang). Mana pi isteri dan anak-anak gua. Depa kat dalam kereta pasai malu nak pekena rojak tonggek!

Dalam perjalanan pulang dari JB, gua singgah di Taiping. Kemudian gua pi Kuala Sepetang yang popular dengan mi udang banjir. Kenapa mi udang banjir? Cuba tengok mangkuk mi udang di bawah, dah tak nampak mi sebab udangnya banjir. Lebih kurang 10-12 ekor udang kertas memenuhi mangkuk mi hingga tenggelam mi. Rasanya boleh tahan walaupun gua rasa mi udang Sungai Dua, P. Pinang lagi sedap (biasalah...sapa lagi yang nak naikkan tempat sendiri!). Yang bestnya, udang kat sini segar, banyak, dan harganya tidak mahal. Semangkuk mi berharga RM11.00. Kalau udang kecil sedikit, harganya RM9.00.
Betul tak, udangnya "banjir"! Meleleh ayaq liuq gua! Bro pun macam tu jugak ka!

Nasi kandaq! Gua, kalau kat kampung, nasi kandaq belasah gila! Kari ayam, teloq sotong, dan bendi rebus memang menu gua. Gua paling suka kari ayam kampungnya. Hairan jugak, ayam kampung kedai mamak besaq gila! Tengoklah paha ayam di atas. Ayam kampung mamak ni makan burger ke apa! Teloq sotong, rasa-rasanya kat Penang je ada tak. Pekena nasi kandaq hari-hari, perut gua terus boroi tahap Gaban! Kat Penang, nak cari kedai nasi kandaq senang sangat. Berlambak-lambak! Yang famous, Line Clear, Subaidah, Kassim Mustaffa, dan Pelita. Tapi, gua paling suka nasi kandaq kat pekan gua, nasi kandar Khaleel, sebelah Public Bank, Kepala Batas. Karinya terangkat sampai balik rumah, tangan masih bau kari ayam! Mamak, kasi kuah campurrr....!

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Tajuk entri kali ini hamba tidak setuju, bukannya MAKAN HINGGA BOROI tapi MAKAN KERANA RAHMAT BESAR-NYA.
Entri kali ini 'penuh unsur provokasi' buat hamba... Hehehe..., kena ke P. Pinang lagi nampaknya dalam waktu terdekat ini (terakhir ke P. Pinang pada Jun yang lalu).
Selain memang 'gila' nasi kandar, pernah nikmati bihun sup di Balik Pulau, memang menyelerakan...
Kenapa anak bongsu itu macam menangis untuk nikmati mi udang banjir?
Kali ini pihak MILD SEVEN harus 'bayar honorarium' kepada cikgu kerana mempromosikan produknya... Hehehe...

Unknown said...

Salam Munsyi. Al-kisah bermulanya nama Rojak Tonggek diambil sempena nama pencipta rojak itu, iaitu anak mami jarum yang tonggek. Disebabkan terlalu ramai yang menjual rojak di kawasan itu, maka digelar orang rojak anak mami jarum dengan Rojak Tonggek bagi menggambarkan keunikan rojak itu. Meskipun kini anak mami tidak lagi tonggek lagi setelah menjalani terapi di London, nama itu kekal hingga sekarang. He..he..

Melihat Kesunyataan said...

Nampaknya Sifu kita ni bercuti sakan. Meskipun tujuannya untuk balik kampung, tapi sambil menyelamlah katakan. Tentang mee udang banjir tu, nampaknya saya kenalah balik taiping. Tak tahu pula ada mee udang banjir di Kuala Sepetang.

Azura said...

Salam Cikgu,
Ni bukan 'makan' lagi ni...ni dah kira 'melantak'! Teringat akan sabda Nabi "Kami adalah kaum yang tidak makan sebelum lapar dan bila kami makan tidak pernah sampai kenyang." Mungkin molek dijadikan panduan hidup.

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Salah nikmat yang diberi oleh-Nya ialah "makan". Sebenarnya kita bukan selalu berpeluang untuk menikmati makanan Malaysia yang lazat-lazat ini. Sekali-sekala ada peluang, "bedal" sahajalah. Sebab, ada ketikanya kita memang tidak ada selera untuk makan. )Gua dah kata, lu boleh ganti Maria Tunku Sabri - Tapi lu tukar tajuk dia, "Jalan-Jalan Cari Jajan!". Ok, bro., selamat makan).

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Wah, nampaknya lu benar-benar menghayati Salam Maal Hijrah, bro! Ya, makan kerana rahmat dan rezeki Allah SWT yang dikurniakan tidak terhitung banyaknya. Gua amat bersyukur atas segala kurnia-Nya. Anak bongsu tu memang menangis sebab waktu itu, dia nak makan mi udang banjir kat gazebo di sebelah meja tu. Mild Seven memang perlu bayar kat gua honorarium sebab gua dah lama promosi percuma kat dia!

Salam TUAN SAMSUDIN,
Nampaknya tuan arif ttg cerita di sebalik tabir! Boleh buat "In Making of Rojak Tonggek" ni! Nak jumpa anak mami tonggek, kena pi Penang selalu!

Salam TUAN HAJI,
Lepas ni, kalau tuan haji balik kpg, jangan lupa pekena mi udang banjir. Saya jamin rasanya sedap, dan harganya masih boleh tahan. Memang saya sambil menyelam minum air sebab mi udangnya banjir!

Salam USTAZAH MARIA,
Saya sudah insaf, ustazah. Selepas ini, saya tidak akan melantak lagi. Saya berharap agar ustazah tidak akan marahkan saya lagi. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mamak, nasi kandaq kuah campur satuuuuu....!

Salam SAHABAT,
Bila gamaknya Maria Tunku Sabri nak resign? Gua dah tak sabaq-sabaq lagi nak ganti tempat dia. Salah satu perangai gua ialah, bila gua ke sesuatu tempat, gua akan cuba cari makanan yang popular di situ, bukan kerana gua kaki makan, tapi kerana itu perangai gua. Gua dah insaf selepas ditarbiah oleh Ustazah Maria. Lepas ni, gua makan Sumi dengan biskut Tiger pun cukup, takut nanti Ustazah Maria cop gua melantak pulak!