Friday, December 25, 2009

PUISI: SEMARAKKAN KEMBALI

Aksara bertuah memugar liku kembara
menafaskan inspirasi menuntut merdeka
menjalin bahasa yang bermaruah
laungkan segala gema yang tulen
agar padulah bangsa seintim mungkin.

Makin didewasakan oleh kemajuan
bangsa terlupa sesuatu yang ditinggalkan
terkhilaf seketika kembalikan semula
maruah bangsa yang setia mencatat
perjalanan semarak bangsa yang teguh
membina jati diri yang ampuh
tidak rela martabatnya diruntuh.

Aksara yang menjadi inti sejarah
telah dikembalikan jernih pusaka
setelah taman nurani itu lengang
untuk menguji di mana peribadi
terkadang berani terkadang sembunyi
usahlah dikocakkan aksara waris
dengan segala uji kaji lagi!

2 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Nama cikgu disebut-sebut dalam Dialog Penyair Johor di Restoran Baser (Nasi Ayam), Kota Tinggi. Hamba rasa bangga dan terharu...

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Nama saya disebut-sebut? Saya pun rasa terharu dan bangga. Namun begitu, terkilan dan sedikit ralat kerana:
a) tidak dapat bersama-sama dlm majlis itu
b) tidak dapat mengikuti mesyuarat PPJ
c) tidak dapat bersama-sama dgn rakan-rakan seperjuangan
d) tidak dapat berbual-bual dgn rakan-rakan yg telah banyak memberikan sokongan
e) tidak ada karya terbaharu dlm tempoh masa yang lama
f) belum ada buku antologi sendiri lagi
g) dan sebagainya...
Terima kasih RAR atas info ini.