Wednesday, December 30, 2009

MEWAH BAHASA: PISANG SEJOLI

Salam hormat, pengunjung WITRA.
Ketika sedang mesyuarat di sekolah pagi tadi, lebih kurang pukul 10.30, Saudara Armin (Editor Pelita Bahasa) menghantar Sistem Mesej Singkat (SMS) kepada saya. SMS beliau menyatakan bahawa dalam Berita Harian hari ini, nama saya disebut dalam kolum Mewah Bahasa. Selepas itu, Puan Azura@Maria menghantar SMS yang sama, dengan maksud yang sama. (Azura, jangan tak hapus pulak SMS saya tu!). Terima kasih kepada Saudara Armin dan Puan Azura.
Dalam perjalanan ke Kempas untuk mengambil isteri, terdengar Abby Fana berbicara dan berceloteh tentang perkataan "Pisang Sejoli" ketika mengendalikan segmennya melalui radio Sinar FM. Beliau meminta pendengar memberikan makna perkataan tersebut. Wah, nampaknya perkataan "Pisang Sejoli" mencetuskan sedikit 'fenomena kecil' hari ini. Jadi, di sini saya perturunkan artikel tersebut sebagai suatu dokumentasi. Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman (kolumnis Mewah Bahasa) kerana memberikan kredit kepada saya dan blog WITRA ini dalam artikel tersebut. Mudah-mudahan, pengguna bahasa dan masyarakat yang peka akan bersama-sama untuk menggunakan bahasa Melayu dan berbangga akan penggunaan bahasa yang amat kita sayangi ini.BERITA HARIAN – 30 DISEMBER 2009
Mewah Bahasa: 'Pisang sejoli'
Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


USUP dan Azli menjamu selera di sebuah restoran ....
Pelayan: Selamat petang encik, ini menunya. Encik boleh pesan minuman dulu sementara memilih makanan.
Usup: Haa, Li .... kau nak minum apa? Kau pesan aje, hari ni aku belanja.
Azli: Hai! Mimpi apa pulak ni, tiba-tiba nak belanja? Kalau kau nak belanja, mari menu tu, aku nak order yang sedap-sedap dan mahal-mahal.
Usup: Bonoslah! Aku kerja swasta, hujung tahun ni dapat le bonos sikit. Nah! Tengoklah dalam menu tu, macam-macam ada. Kita pesan minuman dulu, karang makanan pulak. Azli: Aku tak mau minum, tapi aku nak aiskrim yang macam dalam gambar ni.
Usup: Ok, cik! Bagi saya apungan satu dan untuk kawan saya ni bagi pisang sejoli. Pelayan: Maaf encik, di sini jual minuman dan makanan masak sahaja. Kami tidak jual pelampung dan pisang. Kalau encik hendak pisang, encik boleh beli kat kedai buah di seberang jalan sana. Usup: Macam mana boleh tak ada? Yang saya pesan tu semua ada dalam menu.
Azli: Haa la, Usup! Kau order apa dengan cik adik ni? Aku dah tunjuk dah kat kau apa yang aku hendak. Kau order yang bukan-bukan pulak. Kau betul ikhlas ke, nak belanja ni?
Usup: Ikhlaslah! Aku pesan ikut apa yang ada dalam menu, untuk kau aku pesan apa yang kau tunjuk tadi.
Azli: Aku tak mau pelampung, aku nak aiskrim!
Usup: Bukan pelampunglah, apungan! Aku yang nak apungan, kau pulak pesan pisang sejoli, itulah aiskrim yang kau tunjuk tadi.
Pelayan: Maaf encik, apungan dan pisang sejoli tak ada dalam menu ni. Usup: Siapa kata tak ada?! Ni ha, siap dengan gambar lagi.
Pelayan: Ini float dan banana split, encik.
Usup: Ha tau pun! Itulah yang saya nak pesan, dalam menu tu cakap orang putih, cakap Melayunya apungan dan pisang sejoli. Bagi kami yang itu dulu, karang saya pesan makanan pulak.
Azli: Ha! Ha! Ha! Kelakarlah kau ni Usup, kesian aku tengok pelayan comel tu tadi, terkebil-kebil dia bila kau guna istilah yang tak pernah orang pakai. Kau ni pandai-pandai aje bagi nama macam tu, aku pun tak pernah dengar! Kau tengok kat dapur tu, pekerja kat belakang tu pakat ketawa ramai-ramai sambil jeling kat kau. Siap tekan perut lagi. Mana kau dapat nama-nama pelik ni? Aku rasa dalam Kamus Dewan pun tak ada.
Usup: Itulah kau! Tak mau guna bahasa sendiri, semua orang kat Malaysia ni ada sikap macam kau ni, tak sayang bahasa kebangsaan sendiri! Gunalah perkataan dalam bahasa Melayu, tak perlulah guna bahasa Inggeris bila cakap dalam bahasa Melayu. Banggalah dengan bahasa kebangsaan kita! Kalau kita bercakap dalam bahasa Inggeris, kita gunalah perkataan dan istilah dalam bahasa Inggeris. Bila kita bercakap dalam bahasa Melayu, kita gunakanlah perkataan dan istilah dalam bahasa Melayu. Jangan dirojakkan!
Azli: Betul ke istilah yang kaugunakan tu? Mana kau dapat? Entah-entah kaupakai hentam aje kut?!
Usup: Li! Bahasa ni dinamis tau, sentiasa berkembang dan berubah. Bila ada benda baru dan konsep baru, kena adalah perkataan untuk konsep tu. Bila perkataan baru diperkenalkan, mula-mula memanglah rasa janggal dan lucu, tapi bila kita dah guna hari-hari, kita biasalah dengan perkataan tu. Perkataan yang aku guna tadi aku dapat dari Witra, blog Azhar Salleh. Kita kena gunalah, bila semua orang guna, nanti bila Dewan mengemas kini kamus, perkataan ini boleh dimasukkan.
Azli: Rasa macam dengar ceramah motivasi pulak dah. Tu ... pesanan kita dah nak sampai!

Nota Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

8 comments:

Rusdi Abd Rahman said...
This comment has been removed by the author.
Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Saya membaca tentang PISANG SEJOLI dalam ruangan Mewah Bahasa awal pagi lagi (sekitar pukul 8 - 8.20 pagi), sedari akan nama Witra @ Azhar Salleh disebut, entah mengapa hajat hendak kirim SMS tertangguh kerana ada urusan segera (hal rumah yang rosak dan urusan akhir bayaran program). Cuma sempat SMS sudah tengah hari untuk bertanya tentang barang yang ingin diberikan kepada cikgu... Apa-apapun blog cikgu pada tahap 'Fenomena' luar biasa kini. Tahniah.
2. Pasal PISANG SEJOLI ini segera teringat 'Paparan Akhbar Singapura dan Kisah Singapura', jadinya bila mahu ke sana lagi ya...? paling tidak boleh membantu mencari produk 'metal' yang dihajati itu...

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Saya membaca tentang PISANG SEJOLI dalam ruangan Mewah Bahasa awal pagi lagi (sekitar pukul 8 - 8.20 pagi), sedari akan nama Witra @ Azhar Salleh disebut, entah mengapa hajat hendak kirim SMS tertangguh kerana ada urusan segera (hal rumah yang rosak dan urusan akhir bayaran program). Cuma sempat SMS sudah tengah hari untuk bertanya tentang barang yang ingin diberikan kepada cikgu... Apa-apapun blog cikgu pada tahap 'Fenomena' luar biasa kini. Tahniah.
2. Pasal PISANG SEJOLI ini segera teringat 'Paparan Akhbar Singapura dan Kisah Singapura', jadinya bila mahu ke sana lagi ya...? paling tidak boleh membantu mencari produk 'metal' yang dihajati itu...

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Saya percaya bahawa blog WITRA adalah antara blog yang paling berwibawa dalam hal memartabatkan bahasa Melayu ini selain blog bahasa yang lain (pandangan ikhlas daripada saya). Apabila saya terbaca istilah "pisang sejoli" dalam Mewah Bahasa tengah hari tadi, ingatan saya terus menerpa terhadap SAHABAT. Dan telahan saya tepat, nama SAHABAT turut tercatat dalam dialog itu. Saya pernah mencuba menggunakan istilah ini ketika memesan makanan di sebuat restoran makanan segera, ada orang terpisat-pisat.... Hehehehe...

Anonymous said...

Salam Munsyi,
Selamat Menyambut Tahun Baru 2010, semuga dapat banyak lagi idea terbaru.

Wahyu Budiwa Rendra said...

wah, tahniah kanda azhar! WITRA sudah diperkatakan di akhbar. ni dah kira promosi tahap ultraman gaia nih.he.he.

ajahare said...

tahniah tuan munsyi,
saya juga mendengar siaran di sinar fm tadi semasa balik dari site ..

Azhar Salleh said...

Salam RAR,SAHABAT, ANONYMOUS (?),DINDA WAHYU dan AJAHARE,
Terima kasih atas segala sokongan dan catatan. Saya akan cuba mencatatkan lebih banyak istilah dalam BM yang kaya dan mewah itu!