Thursday, December 17, 2009

CATATAN DARMAWISATA: PULAU LEGENDA, LANGKAWI

Assalamualaikum, kawan-kawan! Nampaknya, siri darmawisata masih belum berakhir. Semasa cuti yang lepas, gua ada pergi ke Pulau Langkawi. Gua pergi semasa pameran LIMA 09. Pada hari kedua, gua ada ambil trip menaiki bot ke beberapa lokasi di sekitar Pulau Langkawi, serta melawati beberapa tempat yang sinonim dengannya. Gua perturunkan beberapa foto dan kisahnya. Foto dirakamkan di Tasik Dayang Bunting. Perjalanannya amat mendebarkan kerana menaiki bot kecil yang menentang arus dan ombak kuat. Hairan jugak gua apabila melihat tasik ini yang dikelilingi oleh pulau dan laut. Ini kali pertama gua ke sini. Air tasiknya tenang dan sejuk. Pengunjung yang nak mandi pun boleh. Di sini ada kolam yang apabila direndamkan kaki, ikan keli akan menggelikan kaki kita.
Jet yang dipamerkan semasa pameran LIMA. Tapi, waktu gua di situ, orang awam tak boleh masuk lagi. Hanya VIP sahaja. Gua masuk jugak ke situ. Nasib baik tak kena halau. Orang awam boleh masuk ke pameran pada hari terakhir pameran. Itu yang lecehnya pameran LIMA ni. Lain kali buat kat Parlimen lagi bagus!
Foto dirakamkan ketika berada di dalam bot. Bot yang gua maksudkan seperti bot yang terakam dalam gambar ini. Gua dan famili naik bot lain. Bayaran untuk menaiki bot ini RM35 seorang. Pengunjung akan dibawa selama 4 jam menaiki bot ke Tasik Dayang Bunting, Pulau Beras Basah, dan Pulau Singa.

Di Pulau Singa, pengunjung boleh melihat banyak burung helang terbang sambil menyambar makanan yang dilemparkan oleh pemandu bot. Memang mengujakan apabila menyaksikan detik helang menyambar makanan.

Di Pulau Beras Basah, yang dikatakan oleh ejen pelancong, sebagai antara 99 buah pulau tercantik di dunia (entahlah, betul ke tidak), gua hanya beristirahat sambil menyaksikan pemandangan yang indah. Ramai pengunjung bermandi-manda di sini. Pulaunya bersih dan airnya hijau kebiruan. Awas sedikit kerana ramai mat saleh dan minah saleh mandi dengan pakaian yang 'teramat sopan' di sini. Nasib baik bukan Azhar Salleh!

Gua dan anak-anak tak lupa ke Telaga Mahsuri. Inilah telaganya. Di sebelah telaga itu, dijual air dari telaga yang telah disuling dengan harga RM1 sebotol. Gua beli 5 botol. Air telaganya sejuk (ada ke air telaga hangat!). Basuh muka dgn air telaga tu rasa segar sikit. Betul ke ini Telaga Mahsuri punya? Entahlah...gua pua malas nak fikir. Semua yang jumpa nak kena fikir, letih juga gua.

Gaya otai! Di hadapan rumah Mahsuri. Kepala telah dipangkas sebelum ke Langkawi. Amacam bro, ada stail rock otai 80-an...tak? Nasib baik gua tak ada baju gambaq matahari, kalau tidak, dah macam Loudness! He...he...

Gua dan anak-anak di hadapan Makam Mahsuri. Di makam ini, Mahsuri dikebumikan. Gua pun tak pasti pulak, betul ke tidak yang dalam makam tu jenazah Mahsuri. Mungkin replika makam sahaja. Gua pun tanya petugas di situ. Depa pun tak tau. Kalau depa pun tak tau, apatah lagi gua! Kalau bro nak tahu jugak, tanya orang lain. Kalau tanya gua, gua suruh bro bawa cangkul sekali waktu naik feri!

Isteri gua dan anak-anak di dalam bilik hotel. Gua menginap di Hotel Grand Continental. Oleh sebab masa gua pergi, pameran LIMA diadakan, jadi bilik hotel dan calet di Langkawi boleh dikatakan hampir semuanya telah ditempah. Kerana tidak mahu menghampakan anak-anak, gua pergi juga. Nasiblah kalau ada hotel atau calet lagi. Ambil feri dan gua melilau cari hotel. Akhirnya, dapat hotel ni kat pekan Kuah. Kat pekan Chenang, bukan setakat calet atau hotel dah habis, rumah Mak Cik Senah pun ada pelancong menumpang. (jangan tanya gua lak sapa Mak Cik Senah!). Harga semalam, RM430. Perghh...! Kalau hari biasa (bukan masa LIMA), bilik ni harganya RM205. Gua tinggal dua malam. RM860 terbanggg....! Perghh dan perghh! Satu lagi, kalau bro nak ke Langkawi, nasihat gua, jangan tinggal kat hotel ni. Dia punya staf berlagak tahap Power Rangers! Dan kalau bro tak minat kapal laut dan kapal terbang, jangan pi Langkawi waktu LIMA. Bukan apa, takut nanti balik Langkawi, tinggal LIMA ringgit!

Di Beras Terbakar, dikatakan bahawa dahulu, ketika Siam menyerang Langkawi selepas Mahsuri dibunuh, penduduk Langkawi diarahkan untuk membakar beras yang disimpan supaya Siam tidak dapat merampasnya. (gua pun tak tau betul ke tak?). Kini, serpihan dan baki beras tersebut masih wujud (walaupun penat juga gua nak cari beras tu kat mana). Menurut jurujual di kawasan ini, jikalau hari hujan, kesan beras terbakar boleh dilihat. Hujan pulak tak turun masa tu. Kat Beras Terbakar, kebanyakan pelancong hanya datang nak ambil gambar sahaja kat situ. Aktiviti sampingan yang terkenal di sini ialah menghabiskan wang ringgit anda untuk membeli kain batik dan minyak gamat. Paling tidak pun, baju T warna putih yang harganya sehelai RM5.00, yang ada gambar burung lang dan tulisan "Langkawi". Sebab tu kalau datang Beras Terbakar, dengan duit gua pun terbakar! Dah..dah...jangan nangis...

5 comments:

Unknown said...

Salam Cikgu Azhar. Cuba berkali-kali telefon dan sms tuan tetapi tidak kesampaian. Mengapa gerangan?

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Yang tetap hamba tertarik foto entri darmawisata Bro ini (juga entri darmawisata yang sebelum ini) tentang foto 'rock otai' yang Bro gayakan di hadapan rumah Mahsuri; memang menjadi tapi jika ada 'gitar elektrik yang bercabang dua' di sisi pasti lebih 'menangkap' Bro!
Kali terakhir hamba ke Langkawi rasa-rasanya tahun 2003/2004, banyak perubahan agaknya. Tempat yang Bro pergi itu juga hamba pernah pergi (kecuali lihat pameran LIMA) iaitu ketika hamba bekerja di RTM awal tahun 1997 (sebelum masuk DBP) kerana buat penggambaran rancangan televisyen, semua tempat utama @ popular di Langkawi dikunjungi - menaiki bot dan ke sana ke mari berkenderaan semuanya percuma... ya kerana tugasan rasmi.

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Berdarmawisata tidak mengapa, jangan "berdrama swasta" sudahlah. Oh, Langkawi! Pulau ini menyimpan kenangan manis buat saya (lokasi tempat yang berbulan madu). Masih segar dalam ingatan, ketika itu bah besar melanda selatan tanah air! Tetapi di Langkawi panas terik!

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Saya pun hairan kenapa demikian gerangannya. Kalau tuan telefon atau SMS pada 16 dan 17 Dis yang lalu, memang tak dapat sebab saya berada di luar kawasan. Kalau lepas tarikh tu, rasa-rasanya mesti dapat. Ataupun salah nombor tak. Nombor saya - 012-7645831. Boleh tuan berikan no telefon tuan. Biar saya telefon tuan pula.

Salam RAR,
Entahlah, makin tua, makin gila penyakit otai gua. Nasib baik gua cikgu, kalau tak, mungkin dah rambut panjang balik, sambil pakai baju Loudness atai Iron Maiden. Kena pulak pegang gitar cabang dua yang ada gambar tengkorak!

Salam SAHABAT,
Gua rasa ketika bah besar di selatan, tapi di Langkawi, bah besar jugak sebab lu pi sana untuk berbulan madu! Lu malu nak cakap tak! He...he...

Anonymous said...

Hello,

can anyone tell me which is the best counter strike guide ? :)...i found this one :

http://www.downloadzdb.com/Counter_Strike_Best_Guide

What do you remember primitively it ?

Thanx in advance

Sorry for my bad english :s