Wednesday, January 06, 2010

ISTILAH DALAM BAHASA MELAYU: SIRI KETIGA

Salah satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh pengguna bahasa ialah kesukaran untuk memperoleh terjemahan yang betul (seperti yang digariskan oleh DBP) bagi istilah/perkataan dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab persoalan tersebut wajar diberi perhatian, maka WITRA akan cuba membantu setakat yang terdaya atas kesedaran untuk membantu DBP untuk mengembangkan bahasa Melayu. Apatah lagi, siri sebelumnya turut mendapat perhatian dalam ruangan Mewah Bahasa, Berita Harian. Kita mulakan dengan serangkap pantun...

Besi waja dikimpal dipateri,
Patah pula di bahagian hujung;
Siri Ketiga pengisi entri;
Moga bermanfaat untuk pengunjung.
Jikalau dalam bahasa Inggeris, PENTHOUSE, dalam bahasa Melayu cukup indah, iaitu MEGAPURI.

BAHASA INGGERIS - BAHASA MELAYU
1 Fitting room - Bilik acu
2 Facial scrub - Penyental muka
3 Flat - Rumah pangsa
4 Front office - Pejabat depan
5 Hillside mansions - Puri lereng bukit
6 Home education - Didikan rumah
7 Home entertainment - Hiburan rumah
8 Homepage - Laman
9 Home theatre set - Set pawagam rumah
10 Homestay - Pelancongan desa
11 Homestead - Teratak desa
12 Hypermarket - Pasar raya besar
13 Information literacy - Celik maklumat
14 Intelligent building - Bangunan pintar
15 Kiosk - Kios;pondok
16 Lounge - Peristirahatan
17 Motorcross - Lumba kereta lasak
18 Net addict - Gila Internet
19 Nugget - Nuget
20 Paperless government - Kerajaan tanpa kertas
21 Park and ride - Letak dan naik
22 Parkview - Hadap taman;hala taman
23 Penthouse - Megapuri
24 Pre-paid ticket - Tiket prabayar
25 Resort - Peranginan;persantaian
26 Resort apartment - Pangsapuri peranginan
27 Risk management - Pengurusan risiko
28 Roadshow - Jerayawara
29 Server - Pelayan
30 Shop and pay - Beli dan bayar

10 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
Teringat tahun 1997 - April 2001 ketika berkhidmat di Bahagian Pengenbangan Bahasa Sektor Swasta DBP Kuala Lumpur (sebuah tempat yang mengasah serta menambahkan ilmu tentang bahasa Melayu untuk diri ini), pelbagai istilah sebegini dan pelbagai buku serta risalah panduan bahasa (tatabahasa dan istilah) banyak juga disebarkan kepada umum. Petambahan istilah dalam bahasa Melayu semakin bertambah tahun demi tahun mengikut bidang dan perkembangan terbaharu. Teruskan cikgu dengan entri sebegini, sebuah balasan pantun segera cipta ini buat Sifuku:

Penyental muka bangkitkan seri,
Sambil istirahat di teratak desa;
Teruskan usaha niat yang murni,
Agar bahasa dimulia dibangga.

Manakala ini pantun segera cipta ini untuk cikgu jawab:

Penat lelah jerayawara hamba,
Berehat sebentar di megapuri;
Maksud yang tepat apakah makna,
Kata 'mastering' diguna pakai?

Unknown said...

Salam Munsyi. Terima kasih kerana sudi berkongsi pendapat tentang beberapa istilah. Namun, ada beberapa istilah yang bagi saya perlu dibahaskan lagi, seperti yang berikut:
1. Facial scrub - penyental muka - kata sental bunyi terlalu keras (strong) untuk muka (kalau lantai ok). Saya cadangkan cucian muka.
2.Front office - istilah DBP ialah pentadbiran. Tetapi bagi saya,yang ini kena ikut konteks.
3. Home education - didikan rumah. Pendapat saya kena ada di, iaitu didikan di rumah.
4. Home entertainment - sama seperti no.3, hiburan di rumah.
5. Home theatre set - pawagam bunyinya agak keras (kata pawagam ialah gabungan kata panggung wayang gambar). Saya lebih suka pada Set Theater Rumah
6. Homestay - Ini bukan pelancongan, tetapi tempat tinggal semasa melancong. Saya lebih gemar memberi istilah Kediaman Bajet.
7. Net Addict - Gila internet bunyinya agak keras. Saya lebih suka kaki internet.
8.Park & ride - letak & naik, bunyinya ganjil. Tanpa bahasa Inggeris, orang akan garu kepala. Jadi, kena fikirkan makna dalam bentuk penjelasan dan ikut konteks.
Resort - Peranginan,persantaian tidak dinafikan betul, tetapi kebiasaan meletakkan perkataan "tempat" di hadapan peranginan/persantaian menjadikan istilah tanpa "tempat" ganjil didengar. DBP beri 2 pilihan,kedua-dua di atas betul.
Paperless Government - Istilah kerajaan tanpa kertas tidak dapat ditangkap terus oleh fikiran (jika tanpa bahasa Inggeris). Dalam hal ini, saya lebih menyukai istilah paperless government diperjelaskan, bukan diberi istilah, seperti amalan mengurangkan penggunaan kertas di sektor awam. Wallahualam.

azura said...

Salam Cikgu,
Sedikit kemusykilan. Mengapa istilah Hypermarket diterjemah Pasar Raya Besar? Bukankah RAYA sudah menunjukkan BESAR? Pasar Raya saja sudah memadai (barangkali?). Dan Nugget pula mengapa di eja N.U.G.E.T? Sedangkan sebutannya NAGET? Kenapa tidak dieja N.A.G.E.T? Dan, istilah SERVER (pelayan) tiadakah istilah lain yang lebih 'cantik' dan sesuai? Jika ayat [Pelayan itu bekerja sambilan sebagai pengaturcara. Hari ini dia memasuki bilik pelayan untuk membaiki pelayan kerana pelayan di restoran tempat dia bekerja rosak teruk]. Agak-agaknya...pening tak kepala nak fikir?

Unknown said...

Salam Munsyi. Izinkan menjawab pertanyaan yang dibuat oleh Azura. Jika salah, tuan tolong betulkan.
1. Untuk membezakan antara supermarket dengan hypermarket, maka terpaksa tambah besar;
2. Saya setuju dengan Azura supaya nuget dieja naget. Asasnya budget dieja bajet.
3. Istilah pelayan untuk server telah diiktiraf oleh DBP. Rasanya kena ikutlah supaya ada satu standard. Jika banyak istilah, akan jadi serabut.

Ok ke Munsyi?

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU Munsyi,
Jika tidak silap saya, perkataan "nuget" dieja sedemikian seperti perkataan "burger" juga. Burger tidak dieja "berger". Untuk pengetahuan Babah, perkataan "bajet" belum boleh diterima pakai sebagai BM standard kerana kita sudah ada istilah yang lebih sesuai, iaitu "belanjawan".

Unknown said...

Selewat usia ini, dan lebih dua puluh tahun mengajar bahasa, baru kini saya dapat meneroka ruang bahasa yang merentas maya. Syabas kepada semua para pejuang bahasa. Harap dapat saya tingkatkan pengetahuan melalui ruang ini.

Azhar Salleh said...

Salam semua pengunjung WITRA yang menitipkan komen,
Mohon maaf banyak-banyak kerana mengambil masa yang amat lama untuk membalas segala komen dan pertanyaan.

Salam RAR,
Seluar ketat zaman otai,
Baju Loudness Rosli Bakir;
Kata 'mastering' diguna pakai,
Istilah yang tepat belum terfikir.

Salam TUAN SAMSUDIN,
1. Facial scrub - Mungkin istilah scrub merujuk kepada sental/penyental, yg diterjemah secara harfiah. Cucian muka merujuk kepada 'facial cleanser'.
2.Front office - Untuk makluman tuan, semua istilah ini dirujuk terus daripada Lembar Bahasa DBP.
3. Home education - Didikan di rumah, betul juga, tetapi oleh sebab ini merupakan istilah, maka tidak perlu dibina ayat. Didikan di rumah, lengkap dari segi subjek dan predikat.
4. Home entertainment - Hiburan di rumah, telah menjadi ayat, dan tidak wajar dalam konteks pembinaan istilah.
5. Home theatre set - Set teater rumah, lebih tepat jika diterjemahkan secara langsung. Namun begitu, mungkin atas pertimbangan pawagam lebih kemelayuan, maka teater disisikan.
6. Homestay - Jika kediaman bajet, ada homestay yang mahal. Memang ini bukan pelancongan, tetapi pengunaan pelancongan desa dirasakan lebih luas konteksnya. Satu lagi yang disarankan DBP ialah Inap Desa.
7. Net Addict - Kaki Internet dirasakan tidak menjurus ke arah istilah, tetapi bahasa kiasan. Mungkin sesuai dalam konteks bahasa percakapan.
8.Park & ride - Memang bunyinya ganjil sebab tidak digunakan secara meluas. Begitu juga dengan Pandu Lalu (Drive Thru), tetapi sekarang tidak lagi canggung kerana digunakan secara meluas.
Resort - Dalam pembentukan istilah, salah satu faktor terpenting ialah sifat ekonomi. Jadi, meletakkan kata sendi nama 'di' di hadapan, akan menyebabkan kelewahan kata berlaku, dan tidak begitu sesuai, sekali lagi, dalam konteks pembentukan istilah.
Paperless Government - Jika diperjelaskan, maka tiada lagi istilah bagi istilah ini. Untuk mengatasi masalah kefahaman pengguna, gerakan memperkasakan istilah BM perlu dilakukan secra giat.
Terima kasih tuan atas kesudian memberikan komen dan pandangan yan amat membina dan memberangsangkan. Saya mengagumi dan menghormati pandangan tuan. Wallahualam.

Salam AZURA,
1. Saya bersetuju dengan pandangan Tuan Samsudin tentang pasar raya besar. Terima kasih, tuan.
2. Perkataan nuget, dieja demikian kerana dalam BI, ejaannya ialah nugget. Sebutan dalam BI memang 'naget', tetapi sebutan dalam BM, ialah nuget, bukan naget. Demikianlah sebutan baku. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1086. Tentang 'pelayan' DBP terjemahkan terus secara harfiah. Ayat tersebut dapat di'cantik'kan begini.
Pelayan itu bekerja sambilan sebagai pengaturcara. Hari ini dia memasuki bilik pelayan untuk membaiki pelayan kerana alat tersebut rosak teruk]. Tak pening pun...he..he...he...

Salam SAHABAT MD. NIZAR,
Benar, burger tidak dieja berger, dan sebutannya ialah burger, bukannya berger. DBP masih mempertahankan bentuk 'belanjawan' sebagai bentuk yang baku. Perkataan bajet tidak diterima sebagai bentuk rasmi dan standard. Sila rujuk Kamus Dewan. Terima kasih sahabat atas kesudian memberikan pandangan.

Salam PN. KHATY,
Salam silaturahim. Mudah-mudahan akan terus mengikuti WITRA. Mungkin pengalaman cikgu selama lebih dua puluh tahun tersebut dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama-sama.

pataniah said...

Salam, saya nak tanya, ada tak perkataan 'skrub' dalam Bahasa Melayu? Terima kasih.

marylee said...

Terima Kasih banyak banyak

Unknown said...

salam. saya ingin tahu ppa maksud '# tag" dalam bahasa melayu