Cerpen ini dikarang oleh seorang pelajar tuisyen aku, Ooi Dai Jing. Pelajar yang baru tingkatan satu (2008) ini belajar di Sekolah Seri Omega, Johor Bahru. Cerpen ini merupakan cerpen pertamanya yang dihantar kepada aku untuk dimurnikan. Tahniah kepada Ooi Dai Jing! Cikgu berharap agar kamu akan terus berkarya kerana kamu mamou menjadi penulis yang baik.
SUATU PEMERGIAN
“Nama saya Andy, kamu?”
“Raja,” kata seorang remaja sambil menyarung jaketnya. Dia menghampiri motosikalnya lalu menghidupkan enjinnya. Tanpa menoleh ke arah Andy, dia memecut laju. Andy melihat kelibatnya pergi sambil tersenyum tawar. Raja merupakan jiran baharunya yang baru berpindah dan Andy berasa mereka sebaya. Tubuhnya tinggi lampai dan rambut sedikit keriting. Andy berasa mungkin dia akan bersekolah di sekolahnya juga. Daripada gayanya, Andy mengagak Raja pasti akan ditemuinya lagi di sekolah nanti. Mungkinkah mereka akan berada di kelas yang sama? Harap-harap tidak, getus hati kecilnya.
Keesokan harinya, Andy terkesima tatkala melihat kelibat Raja di kelasnya. Kelas 5 Dedikasi agak berubah pada hari itu kerana kemasukan Raja. Walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke kelas itu, kelihatan Raja tidak canggung. Dia mudah mendapat kawan kerana pandai bergurau dan sungguh ramah. Banyak juga hal yang dibincangkan mereka. Walaupun baru hari pertama di sini, Raja seolah-olah sudah ingin menunjukkan belangnya. Andy percaya memang itu kerenahnya kerana walaupun mereka berjiran, Raja bukan sahaja telah memperlihatkan belang, namun taringnya. Andy hanya memperhatikan gelagat Raja dari jauh sambil terfikir-fikir tentang sesuatu. Sebenarnya, dia dan keluarganya tidak begitu menyukai Raja dan keluarganya, Encik Muthu dan Puan Devi. Walaupun baru berpindah, namun mereka kelihatan sombong. Andy paling benci orang yang bersikap bongkak sebegitu. Sekurang-kurangnya, ada sekelumit perasaan ingin menghormati jiran tetangga. Apatah lagi, mereka yang baru berpindah. Hairan juga Andy dan keluarganya dengan perangai yang ditunjukkan oleh Raja sekeluarga.
Daripada gelagat Raja, sudah dapat melihat keburukannya dengan jelas, bisik Andy dalam hatinya. Raja seorang murid yang tidak memiliki sahsiah yang baik dan suka berpelesiran. Setelah dua minggu bersekolah, belang Raja sudah kelihatan. Tidak hairanlah sudah beberapa kali dia dipanggil oleh guru disiplin. Melanggar peraturan sekolah seperti menjadi hobinya. Raja menjadi amat terkenal di sekolahnya disebabkan oleh sikapnya itu. Andy sebagai pengawas di sekolah sering menegur Raja untuk mengubah sikapnya tetapi Andy selalu dikecewakannya. Kadangkala, Andy pula diketawakan oleh rakan karib Raja kerana dia selalu dianggap gemar mencampuri urusan orang lain. Andy pernah berfikir, bolehkah dia berhenti menegurnya? Mesti boleh, tetapi dia ingin mengubah sikap Raja yang buruk itu. Namun begitu, jawapan yang diterimanya selalu menghampakan. Dia mesti menolong Raja! Raja merupakan jirannya dan kawannya, mestilah dia perlu berbuat sesuatu. Tetapi, untuk apa jika yang ingin dibantu itu bersikap keras kepala. Andy mengeluh kecil. Hei Andy, tak usahlah pening-peningkan kepala kamu itu! Andy sering terdengar bisikan kecil yang melintas di cecuping telinganya.
“Eh, siapakah pengawas yang asyik menegur dan menasihatiku ini? Celopar betullah pengawas yang ini! Kau ingat kau wira, ya? Mentang-mentanglah pengawas!” sindir Raja sambil membelalak matanya. Tangannya digenggam-genggam. Dia semakin menghampiri Andy dan cuba untuk melepaskan tumbukan. Andy sempat mengelak. Dia tak menyangka bahawa peristiwa Raja cuba membelasah seorang pelajar di belakang kantin beberapa hari yang lalu menerbitkan perasaan dendam dalam hati Raja setelah kejadian itu dimaklumkan oleh seorang pengawas kepada guru disiplin.
“Raja, selagi kamu bersikap begini, kamu tidak akan berjaya. Bukankah peperiksaan SPM semakin menjelang? Saya mahu kamu menjadi pelajar yang baik dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu. Kamu bukan sahaja rakan sekelas saya malah kita berjiran!” nasihat Andy kepada Raja. Dia masih cuba untuk meyakinkan Raja bahawa masih ada cahaya untuk berubah, jika itu yang dimahukannya.
“Sudahlah Andy! Jangan menjaga tepi kain orang. Dunia kita berbeza bagai langit dengan bumi. Aku lebih mementingkan keseronokan dan kegembiraan. Engkau? Cuma belajar saja. Jadi, pergi belajar hingga kau letih! Aku tidak mencampuri urusan kau, kau pun tidak perlu campuri urusanku! Hati kau bengkakkah jika aku tidak ingin menjadi baik seperti malaikat seperti kau? Tak perlu kau hendak berlagak baik. Ibu bapaku tak pernah menegurku selama ini. Sekarang kamu pula hendak menyibuk! Jangan mencabar aku!” gertak Raja. Andy terdiam membisu. Dia membungkam lalu pergi dari situ dengan penuh kesalan yang membukit.
Langit perhubungan mereka semakin gelap. Mendung yang selama ini menaungi ikatan hubungan mereka tidak ada tanda-tanda akan kembali cerah. Harapan perhubungan yang erat semakin dilupakan. Beberapa hari kemudian Raja dipanggil oleh guru disiplin untuk berjumpa dengannya.
“Raja, semalam ada pengawas mendapati kamu telah merokok di dalam tandas sekolah. Kamu tidak habis-habis menimbulkan masalah. Sejak kamu berpindah ke sini, macam-macam kes kamu timbulkan.”
“Err…minta maaf, cikgu” kata Raja sambil berpura-pura menggigil ketakutan dan matanya bergerak-gerak, agaknya hendak berfikir sesuatu.
Tanpa apa-apa amaran lagi, guru disiplin itu memimpin tangan Raja dan membawanya ke bilik pengetua. Raja ditegur oleh pengetua dan Raja berpura-pura menangis. Seperti yang sering diterimanya, Raja yang gemar merokok tersebut dirotan oleh pengetua. Dia mengerang kesakitan tetapi dalam ruang otaknya, dia menyimpan dendam kepada Andy. Mestilah Andy yang laporkan hal ini kepada guru disipin, fikir Raja sambil memandang ke depan selepas menerima hukuman pengetua. Dia berjalan dengan perlahan balik ke kelasnya. Tiba-tiba, dia terjumpa Andy yang sedang berjalan menuju ke kelas.
“Kamu kena berhati-hati sikit, Andy! Jangan kamu aku lakukan seperti bola!” herdik Raja tanpa dapat menahan rasa amarah yang meluap-luap. Andy terpisat-pisat mendengar laungan ancaman Raja. Andy terdiam sejenak kerana dia memang tidak mengetahui bahawa sebentar tadi, Raja dirotan.
Selepas sesi persekolahan, Raja pun menunggu Andy di luar pagar sekolah. Dendamnya tidak dapat dibendung lagi. Andy mesti dikerjakannya. Dia sudah terlupa bahawa Andy jirannya yang baik. Fikirannya tidak rasional lagi. Kewarasannya hilang. Apabila dia ternampak Andy, satu tumbukan melayang dan singgah di pipi Andy. Andy terlentang dan mengerang kesakitan.
“Ingat, Andy! Jangan kamu campuri urusanku lagi! Aku tahu kamu yang melaporkan hal ini kepada guru disiplin. Walaupun kita berjiran, tetapi sekarang kita bermusuhan. Ibu bapaku pun tidak suka dengan keluarga kamu. Menyesal kami menjadi jiran kamu!” laung Raja tanpa berselindung lagi lalu pergi. Andy bangun perlahan-lahan dan berjalan balik ke rumahnya. Apakah salah diriku, hati kecilnya bersuara. Darah mengalir membasahi bibirnya dek tumbukan kencang Raja itu. Andy tidak mahu melawan kerana dia bimbang, Raja akan memanggil kawan-kawannya untuk turut berperanan. Apabila tiba di rumah, dengan segera Andy melaporkan hal tersebut kepada ibu bapanya. Encik Gan pun bergegas ke rumah Encik Muthu yang terletak bersebelahan mereka.
“Encik Muthu, anak awak telah menumbuk anak saya. Apalah dosa dan salahnya? Bukankah kita boleh berbincang jika menghadapi apa-apa masalah?” kata Encik Gan dengan suara lembut.
“Tidak mungkin! Anakku baik dan sopan! Macam mana dia akan menumbuk anak engkau? Janganlah serkap jarang, Encik Gan. Tak ada gunanya menuduh anakku secara sesuka hati! Aku tidak berminat untuk melayan cakap-cakap begini!” jerkah Encik Muthu sambil menjeling Encik Gan. Encik Gan tidak dapat bercakap apa-apa. Dia menundukkan kepala lalu pergi dari situ. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Esok, dia akan melaporkan hal itu kepada pihak sekolah. Dia benar-benar tidak dapat menerima perbuatan anak Encik Muthu. Memang salah Encik Muthu membela anak tunggalnya itu dengan menyebelahinya, fikir Encik Gan dengan sedalamnya.
Kecewa dan sedih timbul di dalam kalbu Andy. Harapannya untuk mengubah sikap Raja itu telah dianggap mimpi-mimpi abstrak sahaja. Ada apa maksudnya untuk membantu Raja yang degil itu? Tentulah seperti mencurah air ke daun keladi. Hati Andy umpama bunga kelayuan. Penyakitnya telah menginap di badan Andy sejak kecil lagi. Dia pernah terdengar doktor telah memberitahu ayahnya bahawa dia tidak dapat hidup dengan lebih lama kerana kanser peparu yang dihidapinya sukar diubati. Manik-manik jernih mengalir keluar membasahi pipi Andy.
Bulan purnama yang penuh kesuraman telah keluar dari litupan awam. Cahayanya kelam. Raja membawa motosikalnya meluncur laju di jalan raya yang bengkang-bengkok seperti ular kena palu. Dia tidak pernah berfikir bahawa malang tidak berbau. Apabila tiba di satu selekoh berbahaya, Raja yang digelar “Jaguh Rempit” pun membelok motosikalnya. Satu dentuman yang kuat dapat didengari. Raja terbuang dari motosikalnya dan terjatuh. Kepalanya berdarah. Darah membuak-buak tertumpah di atas jalan raya. Dia mengerang kesakitan dalam titisan merah tersebut. Penglihatannya mulai menjadi kabur.
“Ayah! Mak! Tolong, tolong!” jerit Raja sekuat-kuatnya lalu pengsan di atas jalan raya. Kesakitan tersebut yang begitu menusuk hingga tidak dapat ditahan lagi oleh Raja. Pada saat yang penuh kekeliruan, pengguna jalan raya yang melalui selekoh tersebut ternampak kemalangan tragis itu dan segera mengelilingi Raja. Mereka terhendap-hendap untuk menjenguk apa yang telah berlaku. Suasana menjadi cemas.
Keadaan Raja tidak stabil kerana mengalami kecederaan parah. Encik Muthu dan Puan Devi tercengang-cengang mendengar kata-kata doktor yang mengatakan bahawa buah pinggang Raja juga telah rosak. Andy yang kedengaran hal itu daripada ayahnya terkejut. Apa telah terjadi kepada Raja, hati Andy bersuara kecil. Dia pun bersiap-siap untuk melawat Raja. Tatkala dia baru hendak keluar dari rumah, tiba-tiba Andy terjatuh dan dihantar ke hospital. Situasi pada saat itu sangat mencemaskan. Kali ini, Andy telah tidak dapat diselamatkan. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat menulis suatu catatan.
“Raja,
Aku akan betul-betul pergi kali ini. Biarkanlah perpisahan kita ini berpanjangan. Aku telah memikirkan hal ini setelah aku mendengar peristiwa kemalangan itu. Aku akan mendermakan buah pinggang kepadamu. Semoga dengan buah pinggang ini, nyawamu akan dapat diselamatkan dan kamu akan menjadi anak yang baik kepada ibu bapamu, pelajar yang baik kepada gurumu, dan warga yang baik kepada bangsa dan negaramu. Jika ada kesalahamu terhadapku, telah lamu aku maafkan. Selamat berjumpa di syurga, kawan dan juga jiranku yang baik.”
Yang selalu dirindui,
Andy
Andy kembali ke pangkuan Tuhan. Terdapat titisan air mata di pipinya ketika dia dijemput pulang. Encik Gan dan isterinya berpelukan dan menangis tersedu-sedan. Andy telah pergi untuk bersendirian.
Raja beransur pulih. Dia pun meneruskan kehidupannya dengan penuh keseronokan. Hingga satu hari, Raja diberitahu bahawa buah pinggangnya yang berada di dalam tubuhnya itu merupakan milik Andy. Dia terkejut. Sejak kejadian itu, Encik Muthu dan isterinya begitu terhutang budi kepada Andy dan keluarganya. Mereka telah jauh tersimpang dari landasan yang benar.
Hari telah larut malam. Bintang berkelip-kelipan. Raja masih termenung di mejanya. Dia teringat akan Andy. Air mata melingkungi ruang matanya. Andy memang baik kepadanya. Penyesalan singgah di laman nuraninya. Demi menyatakan terima kasih tidak terhingga kepada Andy, Raja telah mencatat nukilan untuk Andy ketika bintang yang tersembunyi bagaikan ingin memunculkan dirinya. Terasa seperti dia ingin menjejaki Andy dan menghulurkan nukilan itu kerana itulah catatan yang penuh bermakna dalam sejarah hidupnya.
Akan kukenang
Segala jasa dan baktimu
Setinggi langit membiru di angkasa
Sedalam samudera yang luas terbentang
Kerana tanpa pengorbananmu yang tulus
Jiwamu yang halus dan kudus
Aku tidak akan mengenal
Erti penyesalan dan makna kesilapan.
Meskipun kini engkau tiada lagi
Yang tinggal hanya secalit memori
Namun dirimu akan terus bermukim
Dan bertakhta di hati ini
Selagi hayat ini dikandung badan
Selagi kaki ini memijak akar bumi
Akan kukenang dan kupahatkan
Nama dan tulus ikhlasmu
Di puncak pengabdian yang paling suci.
Jika suatu masa nanti
Kita ditakdirkan bertemu semula
Biarlah aku menitis air mata kesyukuran
Kerana bertemu engkau di syurga!
Sunday, November 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment