Friday, November 21, 2008

SUMPAH BAHASA

SUMPAH BAHASA
Agak lama suara ini seperti menumpul
bagai bertapa dalam debar mencabar
menanti seorang wira yang akan muncul
melaungkan bicara tentang sumpah bahasa.

Barangkali
bahasa ini sedang meratap
di sebuah perbukitan yang mengharap
kembalikan wibawa di pentas persada
julangkan semula taraf yang dipersenda
janganlah nanti kita berdukacita dan lara
melihat bangsa mengusung keranda bahasa!

Tidak sesekali akan berundur
jiwa bahasa ini pasti tidak akan luntur
demi sebuah bangsa yang merdeka
bahasa ini akan terus bersuara
melaungkan sumpah untuk terus berjasa.

Sejarahnya mengangkat bangsa yang waja
berada di takhta, wajar menjadi petanda
bahasa ini harus berbangga atas sifatnya
santun berbicara, tegar berhujah, batil disanggah
membangunkan nusa, membangkitkan bangsa
menyatukan warga tanpa sekelumit prasangka
mendirikan kota, menyalurkan pengetahuan
menafaskan jati diri mengukuh peribadi
di tanah yang merdeka ini, kita wajar berbangga
dengan bahasa yang menumpahkan andilnya.

1 comment:

cahaya kesayanganku said...

salam..tuan, saya ingin memohon kebenaran tuan untuk mendeklamasikan sajak sumpah bahasa karya tuan ini sempena minggu bahasa yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini. kami adalah sebuah kolej MARA. minggu bahasa ini juga adalah dengan kerjasama pihak DBP. sekian, moga tuan memberi kebenaran kepada kami.