Sunday, December 13, 2009

SUARA AKHIR TAHUN

Sesekali pengalaman mendampingi
kita meresahkan iktibar diri
sedang denyut nurani sentiasa dewasa
mendegupkan rentetan kisah
untuk menjadikan diri bermaruah.

Gelita dan terang pengalaman
dingin dan panas perasaan
gentar dan berani tindakan
cangkat dan dalam pengetahuan
sejernih jiwa bersih
atau sekeruh nafsu meranum
membajai perjalanan
tumbuh segar dalam ingatan
siang dan malam mendewasakan.

Di depanmu terdiri jambatan
berkerlip cahaya di hadapan
tinggalkan suara semalam
dalam kantung kemanusiaan
atau di kepuk pengajaran.

Mingguan Malaysia, 10 Disember 2006

5 comments:

Unknown said...

Salam. Apabila Si Hebat bermadah, butiran kata-kata indah meluncur tanpa galangan. Dengan hanya tiga rangkap puisi, seluruh tujuan yang dikasadkan tercapai - Ekonomik sekali. Setiap bait kata penuh dengan kimahnya dan hamba terasa semakin jauh daripada kepandaian itu...

Anonymous said...

seronok membaca penulisan kewangan cikgu....tulislah lagi

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Terima kasih tuan. Mudah-mudahan, ungkapan tuan menjadi doa untuk saya. Kiranya, saya tidaklah setangkas mana dalam menyusun bicara, melainkan tampil sekadar mengisi gantang susastera yang memperuntukkan sepicing ruang di tepinya, bagaikan melukut. Namun, puisi tuan tetap memperlihatkan kekuatan. Ikhlas.

Salam SAUDARA ANONYMOUS,
Terima kasih kerana membaca tulisan kecil saya ttg kewangan. Saya seorang guru, bukan pakar kewangan yang ada tauliah. Namun begitu, sedikit pengetahuan yang dikurniakan Allah SWT melalui pembacaan dan pengalaman, memungkinkan saya akan terus mencatat subjek ini. Insya-Allah, titipan tuan membarakan aspirasi saya. Saya percaya bahawa Tuan Samsudin (MyBabah)pasti jauh lebih terampil dalam hal ini.

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Saya amat menyanjung usaha SAHABAT memaparkan puisi-puisi lama SAHABAT dalam entri WITRA. Apatah lagi kebanyakan puisi ini belum saya baca (mungkin pernah terbaca) tetapi pada waktu itu saya belum mengenali SAHABAT.

Azhar Salleh said...

Salam SAHABAT,
Terima kasih kerana masih tegar dengan titipan ikhlas dan merangsangkan. Pemaparan semula puisi 'otai' ini kerana hamba rasa dalam blog ini, mungkin dapat dijadikan kutubkhanah @ pusat dokumentasi yang agak sukar untuk lesap dan lenyap. Satu lagi, hamba tidak ada puisi terbaru...he..he..he