Monday, June 29, 2009

BAHASA: PEDALAMAN DAN PENDALAMAN

Saya muatkan maksud "pedalaman" dan "pendalaman" yang saya kutip daripada Kamus Dewan, bersempena dengan Kembara Mahkota Johor yang akan bermula 4 Julai 2009 ini. Kembara Mahkota Johor pada kali ini menggunakan tema "Jelajah Pedalaman".


Untuk makluman, ketika saya menghadiri mesyuarat di DBP Wilayah Selatan pada 3 Jun 2009 yang lalu tentang pertandingan Sahibba, saya telah diminta untuk memberikan penjelasan kepada pegawai undang-undang negeri Johor tentang ketepatan penggunaan perkataan "pedalaman" ini. Beliau telah menghubungi DBP Wilayah Selatan melalui telefon dan bertanyakan kemusykilan ini.


Menurut beliau, Tengku Mahkota, asalnya mahu menggunakan perkataan "pendalaman". Setelah saya menghuraikan makna "pedalaman" dan "pendalaman", beliau menyatakan bahawa perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya. Dan, alhamdulillah, perkataan "pedalaman" yang digunakan akhirnya. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya tema program tersebut ialah "Jelajah Pendalaman" kerana perkataan tersebut salah dari segi makna yang ingin disampaikan.


Usaha beliau untuk mendapatkan kepastian daripada pihak DBP Wilayah Selatan amat disanjung tinggi dan sekiranya sikap ini dicontohi oleh semua kakitangan kerajaan dan swasta, insya-Allah, mutu dan taraf bahasa Melayu akan meningkat dari masa ke masa. Saya percaya bahawa DBP Wilayah Selatan sentiasa bersemangat dan komited untuk membantu semua pihak ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Tahniah kepada pihak DBPWS dan syabas kepada Kerajaan Negeri Johor!

pedalaman
daerah yg jauh dr pantai (yg terletak di ceruk pelosok atau di hulu negeri), hulu:
dia menjadi orang yg paling berpengaruh di daerah pedalaman;
penjahat-penjahat sedang bersembunyi di daerah pedalaman;
pendalaman
perihal mendalamkan, tindakan (proses dll) mendalamkan.
SUMBER: KAMUS DEWAN DBP

2 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Saya terperasan di Jalan Skudai (dari Senai ke Johor Bahru) hebahan bersaiz besar tentang program ini menggunakan perkataan 'pedalaman'.
2. Saya juga (kalau tak silap yang dilihat, apa-apapun akan dipastikan kembali) terperasan pada satu gegantung tiang tertulis 'pendalaman'?
3. Apa-apapun tahniah atas usaha nasihat dan pandangan cikgu tersebut kepada pihak yang berkenaan.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
1. Syukur, pedalaman digunakan.
2. Tak syukur, sebab pendalaman salah dalam konteks tersebut.
3. Terima kasih. Jasa saya sekelumit cuma.