Tuesday, June 23, 2009

TATABAHASA: BERTEMPAT DI PERSADA

Salam hormat.
Selain persoalan berkaitan dengan tanda sempang (-), saya turut dikemukakan persoalan ini. Lihat bentuk bahasa di bawah.

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT DI PERSADA
Persoalannya, perlukah bentuk atau perkataan "di" selepas perkataan "bertempat"? Ada pandangan yang menyatakan bahawa kata sendi nama "di" tidak perlu diletakkan kerana perkataan "bertempat" sudah merujuk kepada "tempat". Pandangan ini ternyata tidak tepat sama sekali.

Untuk menjawab kemusykilan ini, sila baca ayat di bawah.
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT PERSADA

Selepas bentuk di atas dibaca, tidak berasa janggalkah dengan bentuk tersebut? Oleh itu, jelas sekali bahawa kata sendi nama "di" perlu diletakkan selepas perkataan "bertempat", dan bentuk yang terhasil serta tepat adalah seperti yang di bawah.
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT DI PERSADA


Hukumnya, selepas kata kerja tak transitif, kita mestilah meletakkan kata sendi nama apabila hendak diperluas. Contoh ayat di bawah, sebagai analoginya, dapat dijadikan penegasannya.

1) Saya berkelah di pantai.
2) Kami berbaring di sofa.
3) Dia berada di luar negara.

Sebagai huraian ringkas, bentuk asal ayat (1) ialah:
1 a) Saya berkelah.
Jika hendak diperluas, maka kata sendi nama "di" hendaklah diletakkan. Ayat yang terhasil ialah:
1 b) Saya berkelah di pantai.
Ayat di bawah tentulah tidak tepat sekiranya kata sendi nama "di" tidak diletakkan.
1 c) Saya berkelah pantai.

Oleh itu, bagi menjawab kemusykilan di atas, selepas kata "bertempat", kata sendi nama "di" mestilah diletakkan. Sekiranya tidak diletakkan, bentuk yang terhasil tidak tepat. Harap maklum.

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Masih perkatakan tentang HSDT. Moga 'hatrik' ini melonjakkan lagi nama penulis itu yang amat ku bangga ke tahap yang lebih tinggi kerana penulis itu juga bermula DARJAH SATU hingga ke tahap ini.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda azhar. iyelah, betul kata en.rusdi tu.

Melihat Kesunyataan said...

Cikgu Azhar,
Terima kasih kerana dapat menjelaskan lagi persoalan yang selama ini jarang diberi perhatian oleh banyak pihak. Jadi terpaksalah saya merujuk sifu/munsyi. Terima kasih lagi sekali.
"Tentang majlis HSDT VII bertempat di Persada tu akan diadakan pada 17Julai 2009, insyaAllah!. Datanglah! Tentu surat jemputan telah diedarkan.'
Agaknya ayat di atas tu betul tak?

Zaid Akhtar said...

Wah, tahniah!
Di Persada, Tuan Munsyi pakai batik warna apa?
:-)

en_me said...

ahaha.. dh lamer tak bajar bahasa ghitewww.. salamms cikgu azhar

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Bukahkah dari DARJAH SATU, jikalau ada usaha diiringi oleh keyakinan, kita mampu MELASTIK KE BINTANG! Terima kasih banyak-banyak atas segala sokongan dan dorongan selama ini.

Salam DINDA WAHYU,
Terima kasih atas segala aspirasi dan inspirasi.

Salam TUAN HAJI,
Terima kasih kerana sudi merujuk kepada saya, seorang guru biasa yang ingin menjadi luar biasa/ekstrem! Tentang 17 Julai, insya-Allah, jikalau ada undangan, saya akan pergi. Dan jikalau tiada undangan pun, saya akan pergi!

Salam SAUDARA ZAID,
Terima kasih. Saya kena rujuk kepada perunding imej dahulu untuk tentukan warna baju batik tu!

Salam EN_ME,
Kalau dah lama tak bajar bahasa ghitewww, mulai skrg, kene la rajin-rajin jengah blog saya! Banyak info ttg bahasa ghiteww!