Tuesday, June 23, 2009

TATABAHASA: TANDA SEMPANG

Salam bahasa kepada rakan-rakan WITRA.
Petang tadi, saya dihubungi oleh seorang kenalan yang amat saya hormati, bertanyakan tentang kedudukan tanda sempang bagi bentuk bahasa di bawah.

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE-VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII

Yang manakah yang betul? Bagi menjawab persoalan itu, pertama sekali kita haruslah membuat rujukan. Sumber yang saya rujuki ialah Lembar Bahasa Bil. 2/2001 (6) dan Lembar Bahasa Bil. 1/2001 (5).
Tercatat pada Lembar Bahasa yang diterbitkan oleh DBP itu ialah:
Tidak perlu ada tanda sempang (-) sebelum huruf roman. Contoh yang diberikan ialah, Sukan SEA X. Jikalau ditulis Sukan SEA ke-X, maka bentuk tersebut dianggap tidak tepat.
Contoh yang kedua ialah:
ke-V (salah )
V (betul)

Berpandukan lembar tersebut, jelaslah bahawa selepas huruf roman, perkataan "ke" dan tanda sempang (-) tidak perlu digunakan. Berbalik kepada persoalan di atas, bentuk yang betul dan perlu digunakan ialah:

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE-7
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KETUJUH


Di samping itu, pada halaman 87-88, Gaya Dewan Edisi Ketiga DBP, diberi contoh bentuk yang berikut:
Sultan Muhamad IV
Bahagian V
Perang Dunia I

Mudah-mudahan, maklumat ini akan dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan dan pengunjung WITRA. Salam hormat.

3 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Semacam ada kena mengena tentang hal HSDT kali ini yang istimewa? Selain ingin membetulkan penggunaan bahasanya, mungkin kerana ada 'pilihan kata serta penggunaan bahasa yang terpilih dan indah' yang berkaitan juga dengan 'hatrik'.

Apa-apapun, gimik menjadi... hehehe...

Citra Wangsa said...

Cikgu, dua entri tentang tatabahasa yang terbaharu ini sangat menarik dan menajamkan lagi daya ingatan dan pemahaman saya yg sering berdepan dgn 'permainan kata' setiap hari. Terima kasih.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
He..he..he...sebenarnya saya tidak gemar utk berteka-teki dan memberikan persoalan. Soalan yang dikemukakan oleh kenalan kita ini, turut disusuli dengan sepucuk surat bersampul kuning yang menyatakan sesuatu, dan sesuatu itu ialah 'pilihan kata serta penggunaan bahasa yang terpilih dan indah' yang pernah saya nukilkan. Hatrik, ya mungkin!

Salam AZURA,
Saya bercadang untuk membuka gelanggang perbahasan ttg tatabahasa suatu masa nanti. Biarlah saya berterus terang. Rasa-rasanya saya agak sedikit bosan dgn isu2 bhs dan politik akhir-akhir ini. Kalau dibahaskan soal tatabahasa, atau apa-apa yg berkaitan dgn ilmu (misalnya ilmu pengurusan kewangan), rasa-rasanya lebih bermanfaat. Apa-apapun, teruskan usaha Azura mendaulatkan BM di bumi selatan!