1. Tidak dapat dinafikan bahawa kereta merupakan barang keperluan, bukan barangan mewah lagi.
2. Setiap keluarga pasti dan sebaik-baiknya memiliki sebuah kereta. Pada masa ini, terlalu banyak keluarga yang memiliki lebih daripada sebuah kereta. Keadaan ini bergantung pada keupayaan dan keperluan masing-masing.
3. Yang hendak dibincangkan di sini ialah, perlukah kereta yang kita miliki itu diubah suai? Perlukah kereta kita itu ditambah di sana sini agar dapat digolongkan dalam kategori kereta sport? Perlukah spoiler atau rim sport yang hebat?
4. Jawapannya, bergantung pada cita rasa masing-masing. Jika ditanya soalan ini kepada kebanyakan anak muda yang memiliki kereta, kereta Kancil pun perlu kelihatan seperti kereta sport. Jika ditanya kepada kebanyakan orang dewasa, agak ramai yang memilih untuk menjadikan kereta mereka seperti seadanya.
5. Namun begitu, kalau kita perhatikan ramai juga orang dewasa dan sudah berkeluarga memilih keputusan seperti orang muda. Di tempat tinggal saya, saya melihat ada guru yang gilakan aksesori kereta pada tahap yang keterlaluan. Kereta mereka dipasang spoiler sport, rim sport, dan sistem audio yang mahal dengan sistem bunyi yang berdentum-dentum. Mereka memang hebat!
6. Yang menyedihkan, kesemua pengubahsuaian ini memerlukan kos yang bukan sedikit!
7. Mungkin mereka banyak wang. Mungkin. Tetapi saya melihat mereka tidak ada wang! Sebabnya, mereka sudah membelanjakan wang yang banyak untuk pembelian dan pengubahsuaian aksesori kereta. Sayangnya, mereka tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada tabiat buruk itu.
8. Saya menulis entri ini kerana ketika pergi “mengeteh” dengan beberapa orang rakan, mereka bertanya kenapa kereta saya dan kereta isteri saya seperti seadanya, malahan tidak ada satu stiker pun terpampang, kecuali cukai jalan!
9. Saya bertanya kembali, perlukah semua itu?
10. Kereta saya tidak berubah satu apa pun sejak saya beli lebih empat tahun yang lalu. Kereta isteri saya tidak ada spoiler pun! Saya bukannya kedekut, jauh sekali bersifat kemut! Saya suka berbelanja, tetapi tidak sekali-kali untuk memasang aksesori tambahan pada kereta saya. Kerana saya percaya tindakan itu tidak akan menguntungkan, malahan merugikan saya. Semua itu memerlukan kos yang sangat besar, apatah lagi bagi kita yang berpendapatan tidak besar.
11. Tidak ada sesiapa pun yang akan melihat dan memuji kereta kita jika kelihatan tidak seperti seadanya. Kalau seorang rakan saya menaiki Kancil, dan diubah suai dengan begitu “garang”, saya melihatnya dengan pandangan yang cukup sinis. Nak kata tidak cerdik, maaf, dia seorang guru!
12. Yang penting juga ialah, kereta yang diubah suai itu akan lebih sukar untuk dijual! Ya, siapalah sangat yang hendak membeli kereta yang sukar untuk dijual! Kita boleh memasang aksesori tambahan, jika perlu. Dan ungkapan jika perlu, lazimnya bermaksud tidak perlu.
13. Tidak perlulah menyusahkan diri dan keluarga hanya untuk kelihatan bergaya. Tidak perlulah membazirkan wang hanya untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa kita memiliki kereta yang telah diubah suai. Tidak perlulah berfikiran seperti orang muda yang belum penuh ilmu dan pengalaman sekiranya kita hendak dilihat sebagai orang dewasa yang matang dan bijak.
14. Nikmatilah apa yang ada. Manfaatkan keupayaan yang ada. Dalam hal ini, usahlah bersifat ekstrem! Memang sifat ekstrem itu perlu diamalkan dalam banyak perkara, tetapi bagi hal-hal yang negatif, amat malanglah jika kita bertindak keterlaluan hanya untuk merugikan diri sendiri.
15. Percayalah, jikalau anda masih muda dan remaja, tidak ada gadis yang bijak dan cerdik akan melihat anda bijak dan cerdik jika kereta anda seperti kereta filem Back To The Future! Polis trafik pun meluat dengan kereta begitu. Yang sukakannya ialah golongan yang tidak cerdik dan bijak, seperti pemilik kereta itu juga.
16. Belajarlah untuk menghargai apa-apa yang dimiliki. Jikalau kereta Kancil atau Viva, belajarlah untuk menikmati sebuah kereta yang jimat minyak dan mudah dikendalikan. Jikalau kereta Wira atau Waja, nikmatilah kereta itu seperti Wira dan Waja. Jikalau kereta Citra, itulah kereta yang terbaik untuk anda!
17. Usahlah berangan-angan untuk mendaki gunung dengan menaiki Kancil. Usahlah berfantasi bahawa dengan aksesori yang ditambah itu mampu membawa Kancil anda ke Sungai Nil! Ataupun bersaing dengan Schumacher!
18. Belajarlah untuk bersyukur dan menikmati kehidupan. Anda tidak akan berasa gembira sekiranya tertanam dalam hati untuk memiliki segala yang orang lain miliki. Kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara dalam dunia ini.
19. Jikalau ada rakan kita yang mengubah suai keretanya dengan keterlaluan, nasihatilah dia. Tidak rugi jika kita saling menasihati dan menegur.
20. Jikalau dia tidak terima nasihat kita, tidak rugi untuk kita membiarkan dia…
Tuesday, June 02, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
Saya sgt setuju dgn entri ini. Bagi saya sebuah kereta tak lebih daripada sebuah pengangkutan peribadi. Kereta bukan rumah atau bilik tidur yg perlu dihiasi dgn bunga, frame, teddy bear, batal busuk, batal peluk dan segala mcm bantal. Kereta juga bkn dinding mural yg perlu dicat atau dilukis dgn kartun kegemaran. Asal sahaja berupaya membawa saya dan keluarga dgn selamat...maka, tidak perlu pengubahsuaian, sekalipun utk menukar rim, radio,dsb.
Cikgu,
1. Saya pun setuju dengan dengan kata-kata Azura... cuma sebagai tanda kecil sahaja kerana menyokong CHELSEA saya letakkan pelekat kecil bersaiz 5cm x 5cm di cermin kereta hadapan (kecil sahaja) untuk mudah ke Stadium Stamford Bridge, London. Hehehe...
2. Saya tak bersetuju dengan kenyataan EKSTREM bahawa "Jikalau kereta Citra, itulah kereta yang terbaik untuk anda!" Ini semacam promosi percuma untuk saya miliki juga nanti! Tapi tak mungkin saya milikinya kerana saya INSAN YANG SEDAR DIRI AKAN UPAYA KEWANGAN YANG ADA DALAM DIRI... apatah lagi saya tak mungkin 'melawan' sifu... hehehe...
salam kanda azhar, en.rusdi & kak zura. entri yang ini menarik. betul tu, kadang2 kita hairan tengok kereta yang 'disolek' sebegitu - hingga dah tiada rupa kereta, buatkan kita 'kagum' dan senyum sinis sambil berkata, 'membazirnya'.
Azhar,
Ada seorang Ustaz di tempat saya, sering tukar kereta. Selalunya dia beli kereta mercedis lama. Dibetulkan, dicat baru kemudian jual balik dan dapat untung. Begitulah dia merancang, disamping kereta sebagai keperluan dia juga dapat untuk melalui kereta.
Juga tidak payah sibuk berterusan menyokong bank ada riba' bila beli kereta......
Salam AZURA,
Benar, kereta merupakan sejenis alat yang membawa kita dari titik A ke titik B. Rasa-rasanya, itu sahaja, dan yang paling penting, kereta yang kita naiki itu selamat.
Salam RAR,
Pelekat kecil Chelsea itu tidak mendatangkan masalah kerana tidak menggunakan wang yang banyak. Ya, kadang-kadang kita juga ingin berasa gembira dengan pelekat kegemaran. Tetapi, kereta Citra memang kereta yang terbaik kerana itulah kereta yang saya miliki! Saya bersyukur dengan menggunakan kereta itu. Eh, bunyi macam ada keinginan nak tukar kereta je? Exora? Stream? Estima? Atau Citra juga?
Salam DINDA WAHYU,
Benar, memang membazir kereta yang diubah suai tanpa ada apa-apa kepentingan. Kadang-kadang saya hairan, di negara ini seolah-olah ada peraturan yang mengatakan bahawa anak muda mesti mengubah suai kereta! Sebab saya melihat di jalan raya menjalar kereta anak muda (khususnya Kancil dan Myvi) yang diubah suai pada tahap melampau! Kalau Kancil, tetap akan menjadi Kancil kerana tidak mampu Kancil dapat meredah bukit sebagai BMW, biarpun disolek dahsyat!
Salam TUAN HAJI,
Tindakan ustaz itu memang hebat dan patut dicontohi. Bukan sahaja kereta Mercedez, malahan ada orang yang menjadi kaya dengan membeli rumah lelong atau yang sudah buruk, diubah suai, dan dijual semula dengan harga yang lebih tinggi. Dia mendapat untung, dan jikalau proses itu berterusan, akan menjadi kaya, jika kena pada caranya. Ustaz itu melakukan tindakan yang tidak lazim dilakukan oleh orang lain, dan dia bertindak ekstrem!
Salam D'Rimba,
Terima kasih atas kunjungan saudara. Terima kasih kerana titipkan komen. Tentang riba, ya, memang benar, kita tidak perlu berurusan dengan pihak bank, tetapi agak sukar pada masa ini untuk mengelakkannya. Jikalau saudara ada cara yang dapat kita kongsi, mungkin boleh dihulurkan pandangan itu. Saya bersetuju dengan pandangan saudara, namun saya (dan ramai lagi di luar sana) yang masih berurusan dengan pihak bank untuk mendapatkan pembiayaan kereta. Mungkin saudara boleh berkongsi pandangan tentang hal ini. Dan saya yakin saudara ada idea utk kita kongsi bersama agar beroleh manfaat dan iktibar. Terima kasih sekali lagi.
kereta bukanlah hakmilik kekal kannns.. ehehe, salamm
Salam EN_ME,
Salam silaturahim. Memang benar, kereta bukan hak milik kekal, namun saya tak dapat bayangkan jika dunia ini tanpa kereta. Saudara tentu memiliki kereta, kannns?
Saya setuju dengan pendapat saudara tentang pengubahsuaian kereta. Kadang-kadang saya malu sendiri apabila melihat kereta Wira di atas jalan raya yang bertukar jenama. Terpampang besar tulisan 'MITSHUBISHI EVOLUTION'. Tak malu ke pemilik Wira tu jika tiba-tiba EVO sebenar berhenti betul2 di sebelah keretanya di traffic light???
Salam SAUDARA ANONYMOUS,
Terima kasih atas kunjungan dan salam silaturahim. Terima kasih kerana bersependapat dengan pandangan saya. Ya, memang benar, kadangkala kereta Wira menjadi EVO. Kalau kita berangan-angan untuk memiliki dan merasai nikmat memandu EVO, kerja keras, rancang kewangan, kurangkan hiburan dan berbual kosong, dan laburlah wang secara bijaksana, insya-Allah akan tercapai impian itu. Namun, persoalannya, sejauh manakah (khususnya bangsa Melayu) sedar dan berusaha untuk merobah nasib hidup!
Salam,
Saya ingin meminta pendapat rakan2, saya memiliki sebuah kereta Naza Forza dan baru setahun pakai, masalah saye kereta tu memerlukan maintainance yg sgt tinggi jadi saya bercadang untuk tidak memakai kereta atau trade in kereta lain, tapi saya tak tau ape2 tentang trade in atau jual balik pada bank..harap sesiapa dapat membatu saya. TQ
Post a Comment