Tuesday, December 08, 2009

BICARA TENTANG KEGAGALAN

1. Sudah lama tidak mencatatkan sesuatu dalam blog ini. Sebenarnya, saya masih berada di kampung di Pulau Pinang. Dua tiga hari lagi baru balik ke JB, meneruskan tugas.
2. Namun begitu, saya berasa perlu untuk terus mencatat sesuatu. 3. Tuan-tuan mungkin pernah membaca buku "Dare To Fail" atau "Berani Gagal", tulisan Billi P.S. Lim? Saya percaya saudara pernah atau sudah khatam membacanya, ataupun setidak-tidaknya saudara tahu tentangnya. Saya sudah berulang-ulang kali membacanya kerana buku ini diterbitkan sudah lama, lebih sedekad yang lalu.
4. Saya berasa perlu untuk saya "bangkit" daripada suatu lena selepas menelaah pemikiran penulisnya. Buku ini ditulis khusus untuk orang yang berasa dirinya gagal dan ingin bangkit . Penulisnya terus mendapat gelaran "Guru Kegagalan". Buku ini tidak ditulis untuk orang yang berputus asa atau sentiasa berkeluh kesah.
5. Saya mencadangkan, sekiranya sesiapa yang belum membacanya, silalah berbuat demikian kerana saya percaya (pandangan peribadi), buku ini seharusnya menjadi bahan bacaan wajib untuk dibaca! Ya, bacaan wajib, bagi sesiapa yang percaya akan perlunya kejayaan dalam kehidupan.
6. Ringkas cerita, seusai membacanya buku ini sedekad yang lalu, saya mengalami beberapa perubahan dari segi pemikiran dan langkah, dengan izin Allah SWT, kerana saya sedaya upaya menyerap falsafahnya setakat termampu. Mungkin pada masa lain, akan saya kongsi cerita dan langkah tersebut.
7. Entri ini, hanya untuk menjentik sekali imbas tentang beberapa falsafah yang terkandung dalam naskhah tersebut. Mudah-mudahan, dapat dijadikan renungan kita bersama. Dan semoga saya diberi kelapangan dan keizinan Allah SWT untuk meneruskan catatan tentang hal ini.

MEREKA MERUPAKAN TOKOH AGUNG YANG CACAT!
Shakespeare – Lumpuh
Beethoven – Pekak
Alexander the Great – Bongkok
Edison – Pekak
Stephen William Hawking - Lumpuh

KEBANYAKAN TOKOH AGUNG DI DUNIA INI BERJAYA KERANA MEREKA PERNAH MENGALAMI KEGAGALAN
SETIAP KEGAGALAN MERUPAKAN SESUATU PENGAJARAN YANG MENDORONG SESEORANG SUPAYA MENCUBA SUATU PENDEKATAN YANG BELUM PERNAH DICUBANYA DAHULU

KITA TIDAK MUNGKIN MENEMUKAN LAUTAN BARU JIKA KITA TIDAK BERANI BELAYAR JAUH DARI PANTAI

ADA SATU CARA PASTI UNTUK MENGELAKKAN KRITIKAN: JANGAN MENJADI APA-APA, JANGAN BERFIKIR APA-APA, DAN JANGAN BERBUAT APA-APA. BEREHAT DAN MENGELAMUN SAHAJA SEPANJANG MASA DAN BUNUH SEGALA CITA-CITA.

SEMAKIN GELAP LANGIT DI ANGKASA, SEMAKIN BERSINAR BINTANG-BINTANGNYA

MANUSIA MEMERLUKAN PENGALAMAN GETIR UNTUK MENJADI HEBAT DAN CEMERLANG

JIKA KAMU TERUS MELAKUKAN APA YANG TELAH SENTIASA KAMU LAKUKAN, KAMU AKAN MENDAPAT APA YANG TELAH SENTIASA KAMU PEROLEH

YANG PENTING, BUKAN SEDALAM MANA ANDA TERJATUH, TETAPI SETINGGI MANA ANDA BANGKIT KEMBALI!

APA YANG ORANG NAMPAK PADA KEJAYAAN SAYA HANYALAH SATU PERATUS DARIPADANYA, TETAPI APA YANG MEREKA TIDAK NAMPAK IALAH 99 PERATUS, IAITU KEGAGALAN-KEGAGALAN SAYA - Soichiro Honda

TAKDIR DAN NASIB TIDAK PERNAH MENENTUKAN KEGAGALAN KITA. SEBENARNYA, KITA YANG MENENTUKAN KEGAGALAN KITA SEBAGAIMANA ORANG YANG BERJAYA MENENTUKAN KEJAYAAN MEREKA

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
SUATU KEGAGALAN DILAKUKAN DALAM NYATA SEDANGKAN SEGALA SUMBER TELAH ADA DALAM TANGAN JIKA SESEORANG YANG BELUM PUNYAI BUKU SENDIRI UNTUK DISEBARKAN... (catatan sumber: Suara Kecil dari sudut terpencil Larkin)
Hehehe... suatu lagi provokasi...

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Saya sokong saranan Rusdi. Bila lagi berjuang untuk berani gagal menerbitkan buku?

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Wah, nampaknya Azhar Salleh kena ambil berat provokasi yang bertali arus ini...Oh, buku puisiku! Mengapa engkau masih belum menjelma? Di mana engkau bersembunyi? Kau takut? Ohh...tidakkkkk....Aku BERANI GAGAL!

Salam TUAN HAJI,
Nampaknya, provokasi bukan setakat bertali arus, malahan datang daripada pelbagai sudut! Oh...rakan-rakan seperjuangan, nantikan ketibaan sebuah buku puisi Azhar Salleh pada...(entahlah!) Saya akan berjuang untuk berani gagal, tuan haji! Ya, BERANI GAGAL!

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Hehehe... sekadar usikan manja dalam bentuk provokasi cuma... tapi bukan buku puisi semata-mata maksud hamba itu tapi juga buku TATABAHASA dan KEWANGAN - ya... itu selayaknya serta cikgu mampu amat melakukannya @ menerbitkannya. Luangkanlah masa, hamba sejak dahulu TIDAK PERNAH GAGAL DAN BERPUTUS ASA berhasrat untuk membantu dalam hal ini, ya selagi hamba masih berada di JB ini...

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Sebenarnya sudah lama juga saya ternanti-nanti entri seperti ini daripada tuan. Hehehe... Orang yang pernah gagal dan bangkit selepas kegagalannya, dia akan menjadi orang yang lebih berjaya. Saya pernah terbaca artikel tentang Thomas Alfa Edison. Beliau telah gagal 9999 kali mencipta mentol sebelum berjaya menyalakan sebiji mentol!

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Nampaknya, saya perlu terus mengakui bahawa dorongan saudara begitu hebat. Insya-Allah, saya akan berusaha utk menulis buku puisi, buku tatabahasa, dan buku kewangan tersebut kerana jikalau saudara memberikan kepercayaan yang tinggi kepada saya, mengapakah saya tidak memiliki keyakinan yang lebih tinggi daripada saudara? Yang penting, saya memerlukan masa. Memang masa terus berjalan malahan berlari, namun saya percaya bahawa biarlah saya lambat bergerak, asalkan saya tidak berundur. Dan saudara pasti menjadi tulang belakangnya...tetapi, kenapa "selagi hamba masih berada di JB ini"?

Salam SAHABAT,
Terima kasih kerana sentiasa mengikuti tulisan saya. Terima kasih banyak-banyak! Memang benar, boleh dikatakan tidak ada seorang pun yang berjaya pada tahap dunia melainkan dia menempuh pelbagai kegagalan dahulu, seperti pencipta mentol itu!