Sunday, December 21, 2008

REAKSI: Insurans Menguntungkan?

Komen/Pertanyaan:
Saya lebih berminat melabur dalam insurans. Saya kira pelaburan dalam insurans lebih menjamin masa depan jika dilihat dari sudut keuntungan-keuntungan lain (bukan dividen dan bonus). Jaminan yang disediakan bukan setakat jaminan kewangan tetapi juga jaminan keselamatan (security). Lagi-lagi kalau kita beli insurans nyawa, pendidikan, kesihatan dan insurans am (untuk aset seperti rumah, kereta, dll).

Ulasan/Jawapan:
1. Insurans sudah bernyawa kira-kira 500 tahun yang lalu. Tidak dinafikan bahawa insurans merupakan alat kewangan yang jika diuruskan dengan betul akan memudahkan hidup kita. Namun begitu, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar faham akan insurans? Kebanyakan daripada kita membeli insurans (selain insurans kereta - sebab tak ada pilihan!) seperti insurans pendidikan dan insuran nyawa kerana terpengaruh dengan kata-kata ejen.
2. Tujuan insurans, antara lainnya adalah untuk memindahkan risiko kepada syarikat insurans dengan sejumlah wang (premium). Dengan cara ini, kerugian yang lebih besar (jika berlaku sesuatu) tidak dibebankan kepada kita. Inilah tujuan utama pembelian insurans.
3. Ingat, jangan menginsuranskan perkara-perkara yang kecil dan tidak menelan kos yang besar, misalnya banyak insurans yang menawarkan bayaran harian hospital. (Buat apa hendak menuntut duit tidak banyak mana, tetapi kena tunggu berbulan-bulan!) Oleh sebab itu, insuranskan benda yang penting sahaja dan kosnya tinggi, misalnya kereta, rumah, dan hilang upaya untuk mencari rezeki. Satu hal lagi, jangan peruntukkan terlalu banyak wang anda dalam sebulan untuk membayar premium insurans. Biarlah jumlahnya kecil dan pastikan jumlah simpanan mestilah melebihi bayaran premium insurans.
4. Berdasarkan komen di atas, yang saya ingin tegaskan ialah INSURANS BUKAN SUATU ALAT UNTUK MEMBUAT WANG ! Memang benar insurans memang memberikan jaminan dan sayangnya, tidak memberikan pulangan. Sebab itulah, jarang-jarang (atau hampir tiada!) ejen insurans bercakap tentang peratus keuntungan insurans. Yang banyak diperkatakan ialah jumlah wang terkumpul apabila tempoh matang. Percayalah kawan-kawan yang budiman, ambil kalkulator dan cuba kira peratus keuntungan apabila tempoh matang. Pasti tidak begitu menggembirakan kerana lazimnya, peratusnya tidak sampai angka 5%!
5. Namun begitu, insurans mesti dibeli kerana tujuannya adalah untuk melindungi diri kita, keluarga kita (jika kita sudah tiada!), dan harta benda kita.
6. Sekiranya kita beranggapan bahawa membeli insurans merupakan suatu produksi untuk membuat dan mencetak wang, kita salah!
7. Ada pendapat yang mengatakan bahawa selain menyimpan wang, dengan insurans, kita juga dilindungi. Itu betul!
8. Tetapi, jika ejen insurans asyik bercakap tentang keuntungan selepas tempoh matang, jika anda boleh jauhi dia, jauhilah dengan seberapa segera kerana air liur ejen itu sudah berjejer-jejer melihat poket anda! Mungkin anda perlukan roket!
9. Suatu hal lagi, jika anda masih muda dan belum berbini atau berlaki, tidak perlu beli insurans hayat! Siapa yang bergantung pada anda? Lebih baik wang itu simpan dalam ASB! Helo kawan, insurans hayat bukannya murah!
10. Bagi insurans hayat, lebih baik anda dapatkan insurans hayat sementara, bukannya insurans sepanjang hayat. Mudah hendak difahami, insurans hayat sementara ialah bayar sekali, misalnya RM500 dan dilindungi sepanjang tahun itu, tetapi wang itu akan terkubur selepas tamat tempoh setahun.
11. Insurans sepanjang hayat ialah bayaran premium bulanan, misalnya RM50 sebulan dan anda dilindungi selama 25 tahun, misalnya. Untuk makluman, insurans ini sangat mahal kerana anda perlu membayar, biasanya lebih tiga atau empat kali ganda lebih banyak berbanding insurans sementara dalam setahun.
12. Katakan anda memilih insurans sepanjang hayat, dan premium setahun RM1500. Saya memilih insurans hayat sementara dan premiumnya RM500 setahun. Bukankah anda terlebih bayar daripada saya sebanyak RM1000.00! Wang sebanyak itu bukanlah lebih baik dilaburkan dalam ASB (lagi-lagi ASB!).
13. Dan, biasanya, jumlah perlindungan insurans hayat sementara lebih tinggi!
14. Saya pernah membeli insurans hayat sementara dengan AIA dengan bayaran sebanyak RM132.00 setahun dan perlindungannya sebanyak RM50,000.00 dan meliputi satu keluarga! Wah, bertuahnya saya!
15. Jika anda beranggapan bahawa anda berasa rugi kerana wang anda akan lebur kerana membeli insurans hayat sementara ini, anda tersilap kerana insurans bukanlah alat untuk membuat untung, melainkan untuk membiayai keluarga jika kita sudah tiada. Soal pulangan tidak seharusnya menjadi keutamaan. Jika difikirkan soal pulangan, anda haruslah melabur dalam instrumen pelaburan yang lain. (Perlukah saya nyatakan ASB sekali lagi!)
16. Jika kita bercakap soal jaminan keselamatan dan bukannya jaminan kewangan, memang insuranslah tempatnya. Berbalik kepada komen di atas, memang benar pandangan tersebut.
17. Saya sebenarnya kurang (bukannya tidak!) berminat untuk bercakap tentang insurans pendidikan anak-anak, kerana saya lebih mempercayai bahawa simpanan di tempat yang mendatangkan pulangan yang lebih tinggi lebih wajar untuk pendidikan anak-anak. Bukanlah bermaksud insurans pendidikan itu tidak baik, tetapi ada yang lebih baik daripada itu. Mengapa tidak kita melaburkan wang untuk pendidikan anak-anak di tempat yang lebih baik? Tempat yang turut ada jaminan, misalnya pasaran saham atau saham amanah.
18. Di situ, pulangannya jauh lebih besar! Apatah lagi, kos pendidikan anak-anak semakin tinggi dari tahun ke tahun. Saya bimbang jika anak anda mengambil jurusan perubatan (kosnya sangat tinggi), anda akan menjadi pesakit pertamanya! Bagaimanakah pula dengan kadar inflasi. Misalnya, anda membayar premium keseluruhan sebanyak RM70,000.00 dan mendapat pulangan daripada keuntungannya sebanyak RM30,000.00. Hal ini bermakna anda berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM100,000.00 untuk membiayai pendidikan anak-anak. Inflasi (sekarang kadarnya lebih 8%) akan memakan nilai wang itu sehingga kurang daripada RM100,000.00. Dan pasti anda tidak dapat membiayai pelajaran anak anda kerana wangnya masih tidak mencukupi. Kalau saya di tempat itu, maka bertambah cepatlah kepala saya botak!
19. Jika anda menabung atau melabur wang anda di saham amanah, keuntungannya lebih tinggi. Sekurang-kurangnya, instrumen ini lebih baik berbanding dengan insurans pendidikan kerana pulangannya jauh lebih besar. Anda bertanya, bukankah dengan insurans pendidikan, anak anda akan dilindungi dan dalam waktu yang sama, mendapat keuntungan?
20. Saya menjawab, lagi-lagi anda bercakap tentang keuntungan! Bukankah saya telah menyatakan bahawa ada tempat lain yang lebih menguntungkan! Dan saya pun meminta anda mencarum dalam insurans hayat. Anak anda tetap dilindungi (kerana membeli insurans hayat (yang sementara), dan wang untuk pendidikan anak anda lebih banyak terkumpul (kerana anda melabur dalam saham amanah, contohnya).
21. Satu-satunya tujuan insurans dibeli adalah untuk membiayai perbelanjaan dan kewangan kepada keluarga anda apabila anda sudah ditalkinkan. Dan untuk penegasan, itu sahaja yang sepatutnya anda fikirkan dan pertimbangkan sewaktu membeli insurans. Meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam insurans bukanlah tindakan yang bijak. Contoh yang mudah, berapa kalikah anda menggunakan kemudahan insurans untuk menampung kos hospital anda selama ini? Berapa kalikah anda menerima cek daripada syarikat insurans kerana kerosakan kereta anda? Saya belum pernah! Eh, anda salahkah adik anda pula! Janganlah begitu...
22. Namun begitu, untuk menyemai amalan menabung untuk pendidikan haruslah dipuji. Ini suatu amalan yang sungguh mulia. Baiklah murid-murid, keluarkan buku latihan dan jawab soalan objektif ini!
23. Saya akan berbicara lagi tentang hal-hal yang bersangkutan dengannya lagi...insya-Allah, malam esok atau malam seterusnya...doakan umur saya panjang.
24. Sebentar isteriku, sudah sampai ayat terakhir nih!

2 comments:

Anonymous said...

Hahahaa...cikgu memang hebat! Baru tersedar yang insuran tidak mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda seperti pelaburan saham. Namun, saya tidak akan sesekali membatalkan polisi insurans yang telah dilaksanakan sekian lama. Dan pelaburan dalam ASB juga akan diteruskan (tengoklah...lambat juga nak jadi jutawan, sekalipun semua kaedah menjadi jutawan telah dilaksanakan dengan jayanya).

Apa lagi perkara yang boleh dilaksanakan untuk menjadi jutawan? (Jangan bagi jawapan yang sama...ASB!).

Bolehkah kakitangan kerajaan menjadi jutawan? (sebelum bersara wajib dan tidak mencapai tahap JUSA).

Zaid Akhtar said...

Tuan Azhar,
rupanya senyap-senyap tuan juga berblog ya. Tahniah.

Tuan, ubahlah template sekali-sekala. Sekadar cadangan. Saiz tulisan pada blog tuan ini adalah lebih baik jika lebih jelas.

Jangan lupa, masukkan juga gambar-gambar tuan yang tampan itu tatkala berceramah di sana-sini. Atau ketika mengembara mencari ilham di Tg Piai.

salam hormat.