Oleh Salbiah Ani (Berita Harian, 5 Disember 2008)
Langkah bagi pertahan kedudukan bahasa Melayu PERSATUAN Penulis Nasional (Pena) tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada menjadi anggota Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) ekoran sikapnya yang berdiam diri dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sikap Gapena yang dingin dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam perjuangan menolak PPSMI dari dulu sampai sekarang serta enggan menggunakan kesempatan memperjuangkan PPSMI pada Wacana Gapena - Dilema Melayu tidak dapat diterima.
Timbalan Pengerusi Tetap Pena, Dr Ibrahim Ghaffar, berkata Gapena sepatutnya menggunakan wacana itu sebagai kesempatan untuk menolak PPSMI memandangkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, bertanggungjawab menyebabkan PPSMI dilaksanakan pada 2003. “Kepimpinan Gapena boleh memanggil ahli gabungan dari seluruh negara untuk membuat ketetapan dan mengemukakan beberapa resolusi berhubung PPSMI untuk disampaikan kepada pihak berkenaan,” katanya ketika menghubungi Sastera. Dr Ibrahim berkata, Pena menyokong cadangan Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, agar isu PPSMI dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi mengembalikan hak bahasa Melayu di tempatnya.
“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan kebiadapan semakin berleluasa di kalangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Pena menyokong pandangan dalam Godam minggu lalu, PPSMI: Surat terbuka kepada Menteri Pelajaran,” katanya. Justeru, Pena mendesak Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk memperjuangkan hak bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik di samping selaku Ketua Pemuda Umno, buatlah jasa kepada orang Melayu agar dikenang sehingga ke anak cucu. “Pena mencabar kepimpinan Pemuda Umno Malaysia mengemukakan hal ini pada Perhimpunan Agung Umno 2009 dan mengemukakan suara kami kepada barisan kepimpinan Barisan Nasional untuk diberi perhatian,” katanya yang pernah dilantik sebagai Ketua Umno Bahagian Klang dan melalui tiga zaman badan politik terbabit iaitu Umno lama, Umno penaja dan Umno baru dari tempoh 1988 hingga 1992, sebelum mengundurkan diri pada 1993. Baginya pemimpin mesti lebih peka dan mengambil berat isyarat daripada akar umbi, khususnya orang Melayu selain tidak hanya mengambil isyarat politik saja kerana budayawan, penulis, sasterawan dan ahli akademik juga akan menentukan kerajaan bila sampai masa mengundi.
“Jika yang dipilih pada masa ini tidak meyakinkan, pilihan ada di tangan kami dan pengundi. Kami mempunyai pengikut yang ramai dan tidak teragak-agak untuk mengambil langkah yang mengejutkan sekiranya maruah bahasa Melayu tidak dikembalikan,” katanya. Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran yang masih berteka-teki terhadap pelaksanaan PPSMI. “Selepas enam tahun dan daripada lambakan kajian, Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan (JPP), PKPIM berasa sudah tiba masanya PPSMI dimansuhkan. PPSMI bukan cara terbaik meningkatkan penguasaan bahasa pelajar kerana tiada teori yang membuktikan persepsi ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam. Baginya PPSMI suatu kesilapan besar pemerintah khususnya Kementerian Pelajaran kerana secara dasarnya menyalahi peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar pendidikan negara serta perlu segera diperbetulkan.
“PPSMI menafikan hak bahasa kebangsaan untuk menjadi pengantar ilmu di seluruh peringkat institusi pendidikan negara. Ia juga kilang memproses bahasa rojak yang menghakis keunggulan bahasa Melayu sebagai wahana terpenting dalam perhubungan masyarakat Malaysia. JPP- PKPIM yakin bahawa keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 gagal membuktikan dengan jelas bahawa PPSMI tidak mendiskriminasi golongan pelajar kurang upaya dan mereka di kawasan pedalaman. “Perangkaan terperinci dan profil lengkap keputusan terbabit masih gagal dikemukakan kepada umum oleh pihak Kementerian Pelajaran. Sedar atau tidak, PPSMI secara terangan menggagalkan usaha meliberalisasikan pendidikan yang bermatlamat ‘pendidikan untuk semua’,” jelasnya.. Beliau meminta Kementerian Pelajaran membuka ruang kepada mahasiswa khususnya PKPIM pada Persidangan Meja Bulat PPSMI kerana keterbukaan dan pembabitan kelompok tidak berpihak, badan tidak berkepentingan diyakini mampu memberi kesan positif dalam menyelesaikan isu PPSMI. “Pendedahan semua kajian oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, NGO, swasta dan orang perseorangan tanpa sebarang tapisan perlu demi menjamin ketulenan kajian. Kami menolak tindakan pilih kasih dalam pemilihan kajian yang terpencil yang menyokong pelaksanaan PPSMI,” tegasnya.
Sunday, December 07, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment