Thursday, December 04, 2008

GRAFITI: ISU KETUANAN MELAYU

1) Setelah Ketua Wanita Gerakan, kini giliran Chua Soi Lek pula menimbulkan isu ketuanan Melayu. Sebelum itu, Zaid Ibrahim telah membangkitkan soal yang sama. Media melaporkan bahawa Koh Tsu Koon dan Ketua Wanita MCA turut ingin menjadi jaguh dalam hal ini.
2) Apakah motif mereka?
3) Mengapakah hal yang telah diputuskan oleh Perlembagaan diungkitkan?
4) Telah banyak maklum balas dan kritikan daripada orang ramai, khususnya para pemimpin UMNO yang membidas golongan yang mengungkit-ungkit atau cuba mempertikaikan ketuanan Melayu ini.
5) Seperti biasa, pemimpin UMNO ini hanya tahu untuk menempelak dan percayalah, seminggu dua lagi isu ini akan menjadi basi.
6) Selepas itu, akan terdengar pula isu yang bersangkutan dengan hak orang Melayu dicanangkan kembali oleh orang bukan Melayu. Episod ini tidak akan terhenti selagi para pemimpin Melayu (khususnya UMNO - bolehkah diharapkan parti pembangkang!) hanya tahu menempelak dan mengeluarkan ayat-ayat seperti ini;
- mereka tidak faham sejarah
- mereka tidak menghormati hak orang Melayu
- mereka ingin mencari publisiti murahan
- mereka ingin menjadi jaguh dalam kalangan orang Cina/India
- tindakan mereka tidak wajar
- jangan cuba bermain api
- dan lain-lain yang bernada seperti di atas.
7) Orang Melayu (peringkat marhaen dan bawahan - saya sudah muak dengan frasa akar umbi) sebenarnya sedang menunggu tindakan yang sepatutnya diambil terhadap mereka yang bersikap kurang ajar ini. Setakat hendak memberikan komen atau ulasan, lebih baik tak payah kerana golongan marhaen ini bukannya bodoh (Nampaknya UMNO masih tidak belajar daripada sejarah).
8) Apakah tindakan yang sepatutnya diambil? ISA? Akta Hasutan? Lucut kewarganegaraan? Atau apa?
9) Di sisi yang lain, pengajaran yang paling ideal daripada kemelut ini ialah orang Melayu perlu bangkit!
10) Bangkit mempertahankan hak dan maruah. Orang Melayu tidak boleh lagi berbangga dengan sikap bersabar, menghormati kaum lain sehingga tahap keterlaluan, bertolak ansur hingga kepala dipijak, dan menjunjung prinsip perpaduan yang ketinggalan zaman dan berat sebelah.
11) Salah satu cara (ada terlalu banyak cara!) ialah melaksanakan pandangan Mukhriz Mahathir, iaitu mewujudkan sekolah satu aliran. Tidak ada di negara ini sejak dahulu lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu, tetapi bercambah-cambah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Sekiranya tidak dapat diwujudkan Sekolah Aliran Kebangsaan, maka orang Melayu (pemimpin Melayu yang memegang kuasa) mestilah mewujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu! Dan jikalau ini pun tidak boleh, apakah lagi yang mampu dilakukan?
12) Dari segi ekonomi, perlu dilaksanakan suatu pendekatan yang lebih drastik dan keras untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Perlukah hanya orang miskin daripada golongan Melayu sahaja dibantu? Perlukah premis perniagaan di bandar besar diwujudkan kuota untuk orang Melayu berniaga? Perlukah cukai perniagaan orang bukan Melayu dinaikkan? Perlukah orang Melayu melaksanakan jihad ekonomi secara terbuka dan besar-besaran; orang Melayu hanya perlu membeli barangan daripada orang Melayu sahaja? Perlukah semua ini dilakukan?
13) Dari segi pendidikan, mengapakah pemimpin Melayu masih ingin mempertahankan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)? Sepatutnya, bahasa Melayu diwajibkan untuk digunakan (perlu lebih keras kerana di Indonesia, nama orang Cina pun perlu ditukar kepada nama berunsur Indonesia) dalam semua subjek. Bahasa vernakular yang lain boleh diajarkan tetapi orang Melayu pun mestilah diwajibkan mempelajarinya (Kenapa? Sebab orang Cina dan India wajib belajar bahasa Melayu!) agar orang Melayu tidak mudah tertipu atau ketinggalan. Dalam masa yang sama, pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan (khususnya kepada murid Melayu di sekolah kebangsaan). Dalam hal ini, kita perlu lebih rasional dengan melihat kepentingan bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu.
14) Orang Melayu perlu memberikan tekanan kepada golongan yang anti-Melayu ini kerana rakyat marhaen sudah muak dan menyampah dengan kritikan dan bidasan yang akan menyebabkan golongan anti-Melayu ini bertepuk tangan, meraikan kesamdolan pemimpin Melayu!
15) Orang Melayu sudah tidak ada pilihan...
16) Kita semua mestilah belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kita mestilah bersatu tanpa mengira bangsa dan agama kerana negara ini tidak memerlukan golongan cauvinis seperti mereka di atas. (baca no.1)
17) Khasnya kepada media massa, tolong hentikanlah rancangan yang melalaikan dan memualkan. Sudak jelak mendengar cerita artis (Melayu!) bercerai-berai, hendak kahwin, malah artis pakai baju apa pun nak dijadikan berita. Belajarlah daripada TV Suria (Singapura) yang banyak memberikan maklumat kepada rakyatnya (TV Suria guna bahasa Melayu baku!).
18) Ketika ini, nasib orang Melayu hampir nazak, dan TV masih terhegeh-hegeh menayangkan kisah artis yang tak habis-habis...Hentikanlah rancangan Melodi! Undanglah pakar motivasi dan pakar ekonomi atau pakar pendidikan yang bersemangat Melayu untuk menaikkan semangat orang Melayu. Mengapa tidak boleh? Bukankah Menteri Penerangan orang Melayu!
19) Sekiranya mendapat tentangan (jika boleh dilaksanakan, pasti golongan bukan Melayu akan menentang), mengapakah orang Melayu mesti gentar? Jikalau hendak pastikan negara aman dan damai, jangan dipersoalkan ketuanan Melayu, jangan mencabar agama Islam dan bahasa Melayu, dan wujudkan sekolah satu aliran!
20) Sayangnya, semua yang tertera pada nombor 1 hingga 19 di atas hanyalah halusinasi!

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Dalam entri ini saya berulang membacanya, semua isi yang baik dan bernas tetapi isi no. 7 yang paling berkesan berbekas di hati.

2. Isi no. 7 (nampaknya UMNO tidak belajar daripada sejarah) : amat-amat saya setuju, selagi tidak berubah sikap, cara kerja dan tindakan... makanya jadi sejarahlah parti ini satu masa nanti...?

3. Sepatutnya orang atasan puak parti inilah yang perlu menjadi benteng pertama dan utama mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Perkara 152.

4. Jika kita telaah dan fikir mendalam... episod-episod 'pertikaikan Melayu' yang berjajar sejak 5-6 bulan ini nampaknya seperti dirancang mengikut skrip dan babak orang kita, puak parti itu dan media...? mungkin untuk beberapa agenda tertentu yang luar pemikiran kita rakyat biasa...?

Sekian.

rar/

Azura said...

Saya kira, orang biasa macam saya ni, tak perlu bercakap tentang politik dan ketuanan Melayu. Cakap banyak pun tak siapa nak dengar. Bagi pendapat pun, tak siapa yang boleh ambil tindakan. Baik fikir fasal 'bagaimana nak buat duit!'. Ada duit lebih, boleh melancong tengok negara orang. Banyak berjalan, luas pandangan!