Monday, December 22, 2008

REAKSI: Pelaburan Forex

KOMEN/PERTANYAAN
Cikgu, apa pendapat cikgu tentang pelaburan FOREX? Ramai kawan-kawan saya yang terlibat dengan FOREX. Saya masih mengkaji lagi dan belum mahir sepenuhnya. Adakah FOREX satu pelaburan yang menguntungkan?


ULASAN/JAWAPAN
1. Terima kasih kerana ingin berkongsi pandangan dengan saya. Tentang pelaburan Forex, saya sebenarnya pun masih meneliti fakta dan keberkesanannya. Sehingga kini, saya belum meyakini pelaburan tersebut walaupun ada rakan yang menyatakan bahawa mereka telah berjaya melaluinya. Yang paling penting, kita mestilah mengetahui bahawa pelaburan seperti Forex ini tidak ada jaminan bahawa kita akan mendapat pulangan yang lumayan.
2. Saya terdengar saudara berbisik bahawa ramai rakan saudara telah berjaya dalam pelaburan ini.
3. Saya tidak menyatakan bahawa pelaburan ini suatu penipuan seperti skim cepat kaya yang lain (sebenarnya skim cepat miskin!). Selagi tidak ada bukti sedemikian, tidak adil untuk kita mengatakan pelaburan ini suatu penipuan.
4. Namun begitu, cuba perhatikan anekdot ini:
Empat orang rakan memberitahu saya dengan yakin bahawa mereka telah berjaya dalam suatu pelaburan di luar negara. Mereka menunjukkan bukti (apa lagi kalau bukan fotostat cek dan fotostat akaun bank yang terpapar sejumlah wang!) bahawa pelaburan mereka menghasilkan pulangan yang besar. Saya pasti teruja, lantas mengeluarkan wang simpanan saya dan memberikan wang itu kepada mereka untuk dilaburkan dalam skim tersebut.
5. Persoalannya ialah:
6. Mungkinkah saya menjadi pelabur kelima dalam skim itu yang akan menjadi pelabur pertama yang akan kehilangan wang?
7. Apakah jaminan bahawa saya akan mendapat keuntungan?
8. Siapakah yang akan membayar ganti rugi kepada saya jika saya kehilangan wang itu?
9. Tiga soalan tersebut sudah cukup untuk dijawab dahulu sebelum kita membuat keputusan melaburkan wang di tempat yang kita tidak pasti, kita tidak berada di situ, dan kita tidak tahu-menahu tentang operasinya. (Saya percaya mungkin rakan saudara pun tidak tahu di mana pejabatnya!)
10. Pelaburan Forex ada persamaan dengan pelaburan skim cepat kaya yang lain seperti Swisscash, skim piramid, skim ala Ponzi, dan yang sedondon dengannya.
11. Itu pandangan atau persepsi awal saya sahaja.
12. Dan pandangan ini akan menjadi benar sekiranya kita tidak tahu apa-apa tentang pelaburan yang kita lakukan.
13. Saya menjadi hairan dengan sikap sesetengah orang kita yang tidak mendalami bentuk pelaburan yang ingin disertainya. Mereka ini golongan tamak, dan anjing pun telah terjatuh ke dalam air kerana sikap tamaknya! Namun, adakalanya mereka bercakap besar! Pernah seorang rakan bercakap tentang pelaburan luar negara, dan saya bertanya sedikit tentang offshore kepadanya, dan dia sendiri pun tidak tahu makna offshore itu!
14. Masih ingatkah lagi kita semasa Swisscash menjadi kegilaan dahulu? Semua orang yang terlibat menegaskan bahawa pelaburan ini halal, dijamin, dan tidak ada unsur penipuan. Malah ada yang menulis surat kepada akhbar dan menegaskan hal ini, seolah-olah Swisscash itu memang tidak tipu!
15. Seorang rakan saya sekarang tidak bercakap lagi tentang wang dengan saya kerana anda tahu, dia salah seorang pelabur Swisscash!
16. Saya bimbang Forex pun ada unsur-unsur seperti itu. (sekadar bimbang, bukan menuduh!).
17. Nasihat saya ialah kaji pelaburan Forex itu betul-betul, fahami operasinya, tahu wang kita dilaburkan di mana, tahu siapa pengendalinya, dan apakah jaminannya? Jika pelaburan itu benar, dan amat menguntungkan, saya agak hairan kerana amat jarang saya mendengar atau melihat orang bercakap tentangnya. Ironi sekali!
18. Oleh sebab saya masih meneliti prospek pelaburan ini, saya tidak berani untuk menyatakan sama ada pelaburan ini menguntungkan ataupun tidak. Saya tidak berani memberikan apa-apa cadangan kepada saudara untuk melabur di dalamnya.
19. Jika saudara ada rakan yang telah berjaya, minta pandangannya dan bersikap skeptikal sedikit dalam hal ini kerana dia mungkin mendapat pulangan, anda belum tentu lagi selagi wang tidak berada di dalam akaun anda!
20. Akhir sekali, bacalah buku Azizi Ali, Mencari Maut untuk mengetahui banyak hal tentang pelaburan, apatah lagi skim cepat kaya! Jangan kita terjerat dan setiap malam menyanyikan lagu "Jerat Percintaan"! (Ubah sikit - Jerat Pelaburan!)

3 comments:

Azura said...

Terima kasih, cikgu. Saya akan 'Mencari Maut'!

Zaid Akhtar said...

Salam.
Saya pun tak mahir sangat tentang muamalat ni. Tapi kini kita sudah ada seorang pakar fiqh muamalat yang boleh kita rujuk. Beliau sdg menyambung PhD di Wales.

Sila ke www.zaharuddin.net

Rasanya persoalan tentang FOREX ada sebut dalam laman webnya.

Azhar Salleh said...

Saudara Zaid,
Terima kasih atas info ini. Tuan Zaharuddin memang pakar dalam bidang ini dan tulisannya telah banyak saya ikuti.

Kepada Azura,
Untuk maklumat lanjut tentang FOREX, sila kunjungi laman www.zaharuddin.net (yang dinyatakan oleh saudara Zaid). Mungkin ada panduan di sana untuk dirujuki. Naskhah "Mencari Maut" sangat sesuai untuk dibaca sebelum terlibat dlm pelaburan yg canggih-canggih ni. Bukannya apa, takut kita kehilangan wang yg kita cari susah payah!