Sunday, December 07, 2008

Hapuskan PPSMI demi bahasa Melayu

Oleh Nadzmi Yaakob (Berita Harian, 5 Disember 2008)

Forum khas anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia minta pemimpin beri perhatian FORUM Khas: Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI memberi peringatan kepada pemimpin Melayu agar membatalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku. Sekretariat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selaku penganjur turut bercadang mengemukakan saman dan membuat laporan polis terhadap pemimpin Melayu yang melanggar Akta Bahasa 1952 dan Perlembagaan serta mereka yang terus mengekalkan PPSMI kerana dianggap tidak mengikut lunas perundangan.

Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli, berkata pihaknya tidak lagi mahu berlembut dan berbincang apabila pendapat ilmuwan dan tokoh bahasa yang mewakili suara akar umbi tidak lagi didengari, sehingga mendorong mereka untuk mengambil tindakan tegas menyelamatkan bahasa Melayu selepas mendapati bahasa diplomasi tidak lagi difahami. “PKPIM dan mahasiswa melancarkan Gerakan Anti PPSMI (GAP) ini bertujuan menyelamatkan bahasa Melayu, manakala forum hari ini pula diadakan bagi mengumpul dan menyuntik kekuatan untuk menyatakan bantahan terhadap PPSMI. “PKPIM bertekad akan menyaman dan membuat laporan polis terhadap pemimpin Melayu yang melanggar Akta Bahasa 152 dan Perlembagaan serta secara terus terang menggunakan PPSMI yang tidak mengikut lunas perundangan,” katanya pada forum anjuran PKPIM di Pusat, Kompleks Anjung Rahmat di sini, baru-baru ini.
Tokoh bahasa, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, berkata beliau akan menghantar memorandum kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein selepas Aidil Adha agar pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu dikembalikan, sekali gus mengelakkan bahasa itu disisihkan daripada sistem pendidikan secara sistematik.

“Memorandum akan dihantar dalam bentuk buku, Kenapa Kami Bantah PPSMI kerana apabila PPSMI dilakukan sepenuhnya, semua subjek berasaskan Sains dan Matematik akan bertukar ke bahasa Inggeris yang menjadi 96 peratus daripada kurikulum peringkat universiti, manakala subjek yang tidak ada kena-mengena turut beralih ke bahasa itu berikutan fitrah manusia mengikut apa-apa yang menjadi arus perdana. Prof Abdullah memetik surah Ibrahim ayat ke-4 yang terkandung dalam al-Quran, menegaskan keperluan manusia untuk mengajar ilmu dalam bahasa ibundanya dan mengingatkan penyampaian ilmu bukan melalui bahasa ibunda, tidak akan sampai kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus tidak dapat mendemokrasi dan meliberalkan pendidikan. “Dasar pendidikan dalam bahasa Melayu itulah yang menjadikan orang Melayu pandai selama ini sehingga berjaya menjawat doktor, jurutera dan jutawan, tetapi sebahagian daripada mereka ini seperti kacang melupakan kulit,” katanya pada forum yang dipengerusikan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Mohd Faisal Abdul Aziz.

Prof Emeritus Abdullah juga tidak menolak kemungkinan untuk menghantar memorandum kepada Agong dan Sultan dengan menekankan kepentingan bahasa Melayu terhadap institusi Raja Melayu di negara ini, sekiranya tindakan sedia ada tidak membawa kesan positif. Dalam konteks Islam, Koordinator Kampus, Teras Keupayaan Melayu (Teras), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengingatkan pihak yang beranggapan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai asabiah agar menilai sejarah peradaban Melayu yang diangkat dengan kedatangan Islam melalui bahasa Melayu. “Isu bahasa Melayu turut memberi kesan kepada Islam kerana peradaban bangsa Melayu semakin penting selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu, sekali gus menjadi kerugian seandainya orang Islam tidak memahami sejarah yang agung itu,” katanya.

Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, menolak tanggapan pihak yang mempertikaikan usaha mengembalikan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu kepada bahasa Melayu sebagai pembaziran beralasan kerajaan sudah menghabiskan jutaan ringgit untuk PPSMI termasuk membekalkan komputer. “Usaha kerajaan membekalkan komputer sebenarnya tidak membazir sekiranya bahasa Melayu dikembalikan sebagai bahasa pengantar bagi kedua-dua subjek terbabit kerana ia masih boleh digunakan dengan menukar perisian saja, selain syarikat pembekal sedia ada juga masih boleh membuat keuntungan tanpa perlu merosakkan bahasa ibunda berkenaan, ujarnya yang menganggarkan lebih 5.5 juta pelajar yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sehingga bergelar profesor dan saintis sejak bahasa itu digunakan pada 1970 hingga 2001.

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Secara berterusan saya tetap menyokong usaha cikgu memasukkan berita dan artikel tentang PPSMI ini agar dapat dibaca dan difikirkan bersama pengunjung blog ini.

2. Langkah ini dapat menambahkan serta menyebarluaskan maklumat yang benar tentang tentangan terhadap PPSMI yang banyak diselindungkan oleh puak tertentu yang menguasai pemerintahan dan media.

3. Perjuangan ini dalam apa-apa jua langkah dan cara merupakan satu perkara yang harus diingatkan.

Sekian.

rar/

Anonymous said...

Cikgu,

Persoalannya 'PPSMI' telah diperingatkan sekian lama dengan baik dan berhemah agar tidak diteruskan.

Tetapi masih bersikap tidak peduli, tidak apa, degil, dan membutakan kebenaran yang diperlihatkan para cendekiawan negara. Maka per... jawabnya.