1. Terima kasih kerana memberikan pandangan dan komen, khususnya Encik Rusdi yang menjadikan blog ini sebagai suatu santapan harian! Terima kasih banyak-banyak!
2. Berkenaan dengan ASB yang saya ulas sedikit semalam, Encik Rusdi telah memberikan komennya. Terima kasih.
3. Dalam melakukan pelaburan, sewajarnya kita bermula secara kecil-kecilan. Sebab itulah, saya memberikan contoh RM200 sahaja yang perlu disimpan sebulan (jika anda ingin menjadi jutawan ketika bersara dan ketika ini anda berumur 20 tahun). Dalam pelaburan, konsep compound interest (dengan izin!) merupakan suatu keadaan yang akan mengakibatkan wang yang kita laburkan berkembang hanya dengan penambahan dividen, tanpa perlu kita lakukan apa-apa.
4. Sebab itulah ada ramai kawan saya yang tidak bersetuju dengan angka yang saya berikan, bahawa dengan RM200 sahaja, kita mampu menjadi jutawan ketika bersara pada umur 55 tahun (sekali lagi diulang, anda mestilah berumur 20 tahun ketika ini!).
5. Ambillah kalkulator canggih, bukan yang dibeli di kedai dua ringgit untuk mengira dapatan ini.
6. Untuk makluman saudara, 90% jutawan yang pernah hidup di muka bumi ini menjadi jutawan secara beransur-ansur, dan berdikit-dikit. Jika anda dilahirkan dalam keluarga jutawan, hal itu tidaklah menghairankan. Tetapi, berapa ramai yang bapanya mewariskan wang sejuta ketika dia dilahirkan?
7. Untuk menjadi jutawan dengan mudah, jika anda perempuan, mudah sedikit, kahwinlah dengan jutawan! Itupun, jika bernasib baik dan muka anda lebih cantik daripada Ratu Cantik India!
8. Oppss...saya sudah hilang punca!
9. Tajuknya masih ASB, kawan!
10. Walaupun ASB memberikan pulangan 8.75% pada tahun ini, namun suatu fakta yang perlu kita sedar ialah kadar inflasi ketika ini mencapai tahap 7 % hingga 8%! Di sisi yang lain, jika anda melabur dalam ASB dan mendapat pulangan 8.75% tersebut, wang dividen anda akan hangus dimakan oleh inflasi! Anda seolah-olah tidak mendapat keuntungan! Jikalau demikian, mengapakah saya perlu melabur dalam ASB jika demikian keadaannya? Anda bertanya...
11. Saya menjawabnya dengan soalan juga.
12. Bolehkah anda bayangkan jika anda tidak melabur langsung dalam ASB? Adakah wang anda akan bercambah? Adakah anda menjadi lebih bertuah dan menang dalam isu ini?
13. Mungkin anda menyatakan bahawa ada banyak instrumen lain yang boleh dilaburkan wang anda, yang mungkin mendapat pulangan yang lebih besar daripada ASB.
14. Ya, saya bersetuju dengan pendapat ini, tetapi adakah anda berbuat demikian?
15. Untuk makluman saudara, saya juga melabur dalam saham amanah Public Mutual Fund, namun pulangannya masih rendah jika dibandingkan dengan ASB! Saya ingin mengingatkan saudara bahawa Public Mutual Fund (yang terbaik di Malaysia!) merupakan saham amanah yang hanya akan mendatangkan pulangan besar dalam tempoh masa yang sederhana atau panjang. Mustahil anda boleh membuat keuntungan besar dalam tempoh yang singkat melaluinya.
16. Mengapakah saya berkata demikian? Kerana saya telah mengkaji hal ini, dan turut menjadi pelaburnya.
17. Hei, tolong jangan sebut skim cepat kaya! Saya tidak pernah percaya dengan skim itu semua! Jika anda berjaya menjadi jutawan dengan skim cepat kaya, hubungilah saya. Saya ingin memasukkan semua wang simpanan saya ke dalam skim itu! Beberapa orang rakan saya sekarang sudah malu untuk bercakap tentang skim cepat kaya dengan saya kerana mereka menjadi mangsanya! Bacalah buku Azizi Ali, Mencari Maut untuk memahami skim cepat kaya ini.
18. Selain ASB, seharusnya anda mempelbagaikan pelaburan anda kerana dengan cara ini, anda mengurangkan risiko kerugian yang mungkin akan mengetuk pintu pelaburan anda. Sebagai contoh, jika anda ada sejumlah wang untuk disimpan pada bulan ini, cuba anda laburkan sebahagiannya dalam ASB, dan sebahagiannya dalam Tabung Haji. Saya tidak mencadangkan kepada anda untuk menyimpan dalam akaun semasa di bank, kerana kadar dividennya masih rendah, lebih kurang 3 hingga 4% sahaja. Jangan terkejut jika anda melihat ramai bukan Melayu (khususnya orang Cina) menyimpan wang mereka dalam akaun semasa di bank. Anda perlu tahu bahawa mereka tidak berpeluang untuk melabur dalam ASB!
19. Mulai sekarang, saya menyeru diri saya dan saudara untuk bersama-sama membuat pelaburan dan simpanan dalam ASB kerana sejarah tidak pernah menipu kita. ASB, dari segi sejarahnya tidak pernah mengecewakan. Eh, bukankah bulan ini, kakitangan kerajaan akan mendapat bonus setengah bulan gaji lagi! Anda mungkin boleh mengagak bahawa duit bonus itu akan saya letakkan di mana!
20. Saya percaya bahawa setiap daripada kita harus belajar tentang cara menguruskan wang kerana 24 jam hidup sehari semalam, semuanya memerlukan wang! Jumpa lagi...
Thursday, December 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Apabila seorang munsyi dewan bercakap tentang kewangan dan pelaburan, rasanya tak lama lagi ada lah mana-mana company yang minta munsyi berceramah tentang ASAS-ASAS PELABURAN! Kalau adaaa...eemmm...2 persen!!!
Cikgu, apa pendapat cikgu tentang pelaburan FOREX? Ramai kawan-kawan saya yang terlibat dengan FOREX. Saya masih mengkaji lagi dan belum mahir sepenuhnya. Adakah FOREX satu pelaburan yang menguntungkan?
syabas, kanda azhar. saya suka blog kanda. berkongsi rahsia tentang kekayaan jutawan; saya menunggu buku 'Guru Jutawan'. saya menunggu juga bila agaknya asb nak buat kejutan beri dividen dan bonus pada kadar luarbiasa masa zaman Dr.M dulu. tentu kanda juga masih ingat.
Salam,
Dinda Wahyu, terima kasih atas sokongan melayani blog ini. Saya akan cuba mengupas sebaik-baik mungkin tentang panduan dan pengurusan wang agar kita sama-sama memperoleh manfaat. Saya sedar bahawa ramai rakan kita di luar sana memerlukan maklumat yang relevan dan realistik untuk mencapai tahap kebebasan kewangan. Insya-Allah, semoga Allah membuka akal dan fikiran saya untuk terus berkongsi pandangan dengan rakan-rakan blog. Tentang buku "Guru Jutawan", insya-Allah saya akan usahakan agar terbit juga nanti. Doakan agar saya terus diberi kekuatan untuk menyiapkan naskhah tersebut. Pendapat saya tentang dividen dan bonus ASB, pada masa ini agak sukar untuk kita memperoleh kadar lebih daripada 10%. Namun begitu, teruskan menyimpan wang dalam ASB. Kita tidak akan menyesal dan rasa-rasanya belum pernah sesiapa yang menyimpan dalam ASB mengalami kerugian. Selain itu, cuba rebut peluang dan kesempatan lain untuk membuat pelaburan. Terdapat pelbagai bentuk pelaburan yang dapat kita sertai. Yang penting kita hendaklah terus berusaha untuk menambahkan ilmu tentang bidang ini. Blog ini akan cuba membincangkan bentuk pelaburan lain yang dapat kita sertai, misalnya pelaburan dalam hartanah. Saya mengharapkan dinda Wahyu terus melayani blog ini...dan lebih penting, terus berikan komen dan ulasan untuk kita sama-sama bincangkan. Terima kasih banyak-banyak.
Cikgu,
Saya doakan usaha menghasilkan buku 'Guru Jutawan' akan segera menjadi jutawan. Impaknya sangat besar! Semua orang akan bercita-cita menjadi GURU! Percayalah!
pembetulan: ...segera menjadi kenyataan.
Azura,
Doa Azura dan rakan-rakan sedang bergema dan bertingkah dalam sanubari ini! Tunggulah waktu dan ketikanya, naskhah "Guru Jutawan" akan menjadi realiti! Ya Allah, Engkau permudahkan langkah ini...Amin.
Kanda Azhar yang dikagumi,
terima kasih kerana memberikan info tambahan. dinda teringat pula kepada koperasi seperti Bank Rakyat, Koperasi Permodalan Felda - yang konsisten memberi pulangan sehingga lebih 15%. dinda sangat kagum dengan perolehan itu. cuma susahnya, bila nak melabur ada tempoh matang setahun dan nak keluarkan pun susah juga. apa komen kanda azhar?
Dinda Wahyu,
Terima kasih kerana terus layan blog ini. Tentang pelaburan dalam koperasi, saya akan ulas dalam minggu ini kerana seorang rakan blog ini turut mengemukakan isu yang sama. Memang pelaburan dalam koperasi, ada antaranya memberikan pulangan yang tinggi. Kita akan membahaskan hal ini dari sudut pro dan kontranya. Tunggu ya!
Post a Comment