Friday, June 05, 2009

KEWANGAN: BELILAH SESUATU KURANG DARIPADA KEMAMPUAN

1. Judul ini seharusnya berbunyi begini “Belilah barangan sekadar yang mampu”. Namun begitu, saya memilih untuk menyatakan sebaliknya, iaitu ”Belilah sesuatu kurang daripada kemampuan”.
2. Tuan-tuan, sebenarnya judul yang saya berikan ini benar, pada firasat saya, kerana saya melihat kebanyakan daripada kita akan dan suka membeli sesuatu pada tahap kemampuan mereka. Dan hal ini tidaklah mengecewakan sangat berbanding dengan membeli sesuatu melebihi kemampuan. Orang yang kedua, pasti akan bergelumang dengan hutang atau mereka jenis yang tidak memiliki kesedaran kewangan yang baik.
3. Sifu, tolong berikan contoh! Saya masih tidak faham judul ini lagi. Kalau judul pun masih tak faham, macam mana saya nak teruskan bacaan. Baiklah, saya akan berikan contoh, wahai anak muridku yang budiman dan kacak!
4. Jikalau anda ada peruntukan sebanyak RM100, 000.00 untuk membeli sebuah rumah, adakah anda akan mencari rumah yang berharga RM100, 000.00 juga? Jawapannya ya, tok guru kerana itulah kemampuan yang saya ada. Baiklah, jikalau demikian, anda akan tidur di lantai! Tidakkah anda terfikir bahawa menghabiskan wang sebanyak itu akan menyebabkan anda tidak akan ada lagi peruntukan untuk membeli katil, perabot, hiasan dalaman, dan yang lebih penting, anda akan meraba-raba dalam kegelapan untuk mencari botol susu anak anda sebab lampu tidak ada!
5. Oh, jikalau itu yang dimaksudkan, tidak payah beritahulah sebab saya sudah tahu! Saya berikan contoh kedua kerana contoh pertama anda sudah tahu!
6. Jikalau had kewangan anda membenarkan anda membeli sebuah kereta Mercedez yang berharga RM300,000.00, adakah anda terus ke kedai jualan dan membuat tempahan? Jikalau wang mengalir keluar daripada telinga anda (meminjam kata-kata sifu Azizi), tidak mengapa kerana anda ada terlalu banyak wang. Jikalau dikaji, kereta Mercedez yang berharga RM200, 000.00 juga tidak kurang hebatnya. Tidak akan ada orang yang akan mengatakan bahawa kereta Mercedez berharga RM200,000.00 itu tidak hebat. Saya sendiri pun, kalau wang mengalir ikut telinga, kereta Mercedez itu sudah cukup memadai.
7. Namun apakan daya, hiduplah di bawah paras kemampuan kerana dengan cara itu, saya akan mempunyai wang lebihan untuk tujuan yang lain.
8. Tuan-tuan, kadangkala kita melihat orang membeli rumah dan kereta melebihi tahap kemampuan hingga mereka terbelenggu dengan hutang lapuk dan akhirnya, mereka tidak ada wang lagi untuk tujuan lain. Sebab itulah, belilah sesuatu pada tahap kurang daripada apa yang kita mampu. Saya percaya bahawa membeli kuranga daripada kemampuan akan lebih menguntungkan kita.
9. Baiklah tuan-tuan, pengalaman saya sendiri, dan tidak ada sebesar biji sawi dalam diri ini untuk menunjuk-nunjuk atau mengharapkan sanjungan. Saya memiliki pendapatan yang agak baik (dengan izin dan rahmat Allah) kerana saya gigih melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara kehidupan di bandar raya JB ini. Sekiranya dicongak secara kasar, saya mampu memiliki kereta (atau MPV – saya suka MPV kerana lebih yakin ketika mengendalikan sterengnya) yang berharga ratusan ribu ringgit atau yang ;ebih mahal berbanding kereta yang ada sekarang. Insya-Allah. Tetapi, saya melihatnya sebagai tidak perlu.
10. Dengan MPV Citra saya, saya bergerak ke sini sana tanpa ada masalah. Dan orang tidak mengatakan bahawa saya memandu kereta yang tidak hebat, tidak selesa, dan tidak dapat meluncur dengan baik. Kereta Citra sangat baik dan sangat selesa untuk saya sekeluarga. Kereta itulah yang telah berbakti kepada saya hingga tahap yang maksimum setakat ini. Saya bangga dengan Citra itu. Tidak ada alasan yang benar-benar kukuh untuk saya menggunakan kereta yang jauh lebih mahal.
11. Ketika model kereta terbaharu keluaran Honda dilancarkan akhir tahun 2008, saya benar-benar teruja untuk memilikinya. Harganya RM178,000.00. Saya telah ke pejabat jualan dan memandu uji kereta tersebut, meredah jalan yang sibuk di Jalan Tebrau. Memang saya tidak nafikan, memang selesa dan mewah memandu kereta itu. Saraf saya bergetar ketika memegang stereng dan memijak pedal minyaknya. Apabila balik ke rumah, saya tidak jadi untuk menempahnya kerana saya tidak memerlukannya, walaupun (minta maaf!) saya mampu memilikinya.
12. Jikalau saya inginkan kereta yang bertaraf mewah, insya-Allah saya ada bukti pendapatan yang baik untuk meyakinkan pihak penjual dan pihak bank. Tetapi, oleh sebab saya memilih untuk menggunakan kereta yang lebih murah tetapi masih bermutu, saya tidak menempah kereta yang mahal itu kerana saya mempunyai komitmen lain yang tidak kurang pentingnya. Saya ada tiga orang anak dan isteri yang perlu ditanggung. Saya ada keluarga di kampung yang perlu dibiaya. Dan saya ada komitmen lain yang tidak kurang penting, termasuklah untuk dana pelaburan, dana persaraan, dan dana pendidikan anak-anak. Tidak lupa juga dana kecemasan dan dana pelancongan selain perbelanjaan seharian.
13. Ya, semua itu memerlukan wang yang bukan sedikit. Jika saya menggunakan alasan “saya mampu untuk membeli kereta yang mahal”, saya percaya suatu masa nanti, saya akan terjelepok dan terseliuh seluruh urat sendi kerana saya sudah terperangkap dalam lubang kesempitan yang saya sendiri gali! Ramai orang tersilap ketika membuat keputusan untuk membeli kereta. Kebanyakan mereka menyangka bahawa had kemampuan itulah nilai sebenar harga kereta yang ingin dibeli. Saya tidak mahu menyatakan bahawa mereka tersilap, tetapi jikalau saya yang melakukannya, saya pasti akan menyatakan bahawa saya tersilap!
14. Dalam satu peristiwa lain, pada akhir tahun lalu, ketika saya memutuskan untuk terus menetap di JB, saya dan isteri bersiar-siar di sekitar JB untuk melihat dan meninjau kawasan perumahan yang sedang dibangunkan. Saya ke Bandar Seri Alam, saya ke kawasan Gelang Patah (Nusajaya), saya ke Sierra Perdana, saya ke beberapa tempat lagi untuk mengenal pasti lokasi rumah yang akan dibeli, termasuklah di Permas Jaya, kawasan kediaman saya.
15. Akhirnya, saya membeli sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn selepas membuat tinjauan daripada pelbagai perspektif dan selepas saya memikirkan hal ini masak-masak. Sebenarnya, banyak sebab lokasi itu dipilih.
16. Ketika meninjau rumah contoh, saya amat tertarik dengan sebuah rumah contoh yang berharga RM338,000.00 (harga bumiputera). Dan saya dan isteri begitu berkenan dengan rumah itu atas banyak sebab. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya membayar depositnya. Memang menarik rumah tersebut, pada pandangan saya dan isteri.
17. Tetapi, oleh sebab saya berpegang dan percaya pada prinsip “Belilah sesuatu kurang daripada kemampuan”, maka akhirnya bukan rumah itu yang dibeli tetapi rumah lain, yang tidak kurang menariknya dengan harga yang lebih rendah. Sebuah rumah yang terletak di Jalan 10/21 itu akhirnya menjadi milik saya. Saya bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malahan saya percaya bahawa itulah rumah yang terbaik pada pembelian kali ini. Mungkin bukan pembelian yang terbaik untuk orang lain, tetapi sekurang-kurangnya terbaik untuk saya kerana saya membelinya pada tahap kurang daripada kemampuan.
18. Saya percaya bahawa sebagai akibat suka membeli sesuatu sehabis-habis yang termampu, ramai orang tidak pernah cukup wang, dan hal ini tidak seharusnya berlaku. Jikalau anda mampu membeli baju kemeja berharga RM100.00, kemeja yang berharga RM80.00 pun masih berkualiti untuk anda. Dan anda ada lebihan wang sebanyak RM20.00 untuk melakukan tujuan-tujuan lain. Saya tidak percaya jika anda mengatakan bahawa anda tidak ada keperluan lain kerana bagi pengurusan kewangan peribadi yang bijak, seharusnya ada beberapa jenis penabungan dan simpanan. Demikianlah analoginya. Tidak ada sesiapa yang berani menyatakan kemeja berharga RM80.00 itu tidak ada kualiti. Selagi kemeja itu selesa dipakai, itulah yang patut menjadi keutamaan.
19. Suatu hal yang perlu diingat ialah “langit tidak selalunya cerah, dan awan tidak selalunya berarak putih”. Sesekali langit yang cerah bertukar gelap dan awan yang berwarna putih bertukar hitam, pada ketika itu kita akan lebih memahami mengapa kita perlu sentiasa menyediakan payung. Biarlah kita hidup di bawah paras kemampuan, tetapi dalam masa yang sama, kita tidak dibelenggu masalah kewangan yang meruncing. Kita boleh tidur di dalam rumah yang selesa dan ditemani anak serta isteri yang bijak dan cantik. Kita ditemani kehidupan yang bahagia. Dan kita tidak menjadi cepat botak kerana tidak ada wang!
20. Walaupun pandangan ini boleh dikongsi, namun akhirnya anda yang tentukan penerimaannya. Saya hanya ingin berkongsi pandangan hasil pengamatan, pembacaan, dan pengalaman yang amat sedikit ini. Mudah-mudahan, dapat dijadikan panduan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bahagia. Jikalau anda menyatakan bahawa tulisan ini tidak sesuai dengan pandangan anda, saya tidak ada hak untuk menyatakan bahawa anda salah, dan saya berharap, anda tidak akan menyatakan bahawa saya salah. Selagi kita boleh bertukar pandangan secara sihat, saya percaya akhirnya, yang akan menang ialah kejujuran dan keikhlasan.

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Nampaknya saya juga perlu memiliki Citra itu...?, tapi ikut nasihat cikgu bahawa ”Belilah sesuatu kurang daripada kemampuan”, saya kuburkan terus hasrat itu. Ditambah saya INSAN YANG SEDAR AKAN UPAYA DIRI DAN KEWANGAN YANG ADA DALAM DIRI... hehehe...
2. Pandangan dalam entri ini dalam beberapa bahagiannya boleh diterima 100% namun ada yang hanya boleh diterima 50% sahaja kerana kemampuan seseorang itu tidak sama... apatah lagi upaya pendapatan seseorang serta cita rasa berbeza, tetapi KAEDAH yang ada dalam entri ini boleh dicontohi mengikut upaya yang ada.
3. Dalam konteks pengurusan kewangan, saya tak boleh nafikan saya peroleh banyak maklumat dalam tulisan (dan lisan) cikgu, paling tidakpun saya semakin EKSTREM mengikut kadar yang mampu untuk menabung! Terima kasih banyak-banyak cikgu!

Citra Wangsa said...

Wahhh...hebat entri ini, hebat lagi penulisnya! Tahniah kerana akan bermastautin terus menerus di bandar raya ini. Tapi, sejak kebelakangan ini, hati saya tak tenteram dgn pujian melambung tinggi terhadap Si CITRA. Apa bagussss sgt ke dia, sehingga hajat membeli Si HONDA terkubur? (Kecik hati pemandu HONDA...).

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Nampaknya dalam bab beli kereta dan beli rumah Azhar lebih bersikap sederhana...tidaklah ekstrem..hehe.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Saya rasa RAR telah melakukan yang terbaik dengan tidak memiliki Citra itu, kerana benarlah kata RAR, kemampuan dan cita rasa seseorang tidak sama. Saya masih tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan dengan hanya 50% sahaja yang boleh diterima kerana lontaran idea ini jelas sekali tidak mendesak mana-mana pihak untuk memiliki Mercedez, atau Citra, atau apa-apa model, termasuklah juga isu kemeja yang berharga RM100.00 atau RM80.00. Yang ditegaskan dalam entri ini ialah "belilah sesuatu pada tahap kurang daripada kemampuan", dan definisi "kemampuan" itulah yang membezakan antara sesama kita. Sekiranya kita membeli sesuatu pada tahap yang kita mampu atau melebihi apa yang kita mampu sekali pun, saya rasa entri ini jelas tidak mempengaruhi pembaca untuk membuat keputusan. Ya, saya tidak pernah menyatakan apa-apa tindakan yang kita lakukan itu tidak tepat, kerana kita berhak untuk menentukan sama ada tindakan kita betul ataupun tidak. Saya memahami maksud RAR bahawa kemampuan dan cita rasa masing-masing sangat berbeza, dan rasa-rasanya itulah yang menjadi pegangan saya, dan RAR juga. Apa-apapun, kita harus sedar bahawa walau siapa pun kita, berapa banyak pun pendapatan kita, dan apakah yang menjadi pegangan kita, akhirnya yang akan penentu ialah hasilnya. Saya pun amat berterima kasih atas segala pandangan dan nasihat daripada RAR, malahan yang paling penting, sokongan dan motivasi daripada RAR yang menghidupkan jiwa WITRA! Tahniah dan syabas kerana telah melalui waktu yang mengujakan tatkala melihat simpanan semakin bertambah dari masa ke masa! Teruskan usaha RAR dan jikalau RAR sepuluh kali gembira, saya seratus kali tumpang bahagia! Teringat falsafah "jikalau aku memberi saudaraku sesuatu makanan, rasanya akan melekat di halkumku dahulu!"

Salam AZURA,
Terima kasih. Saya tidaklah "sebesar dan sehebat" mana pun. Saya, seperti RAR juga, sedar akan upaya diri yang ada, akan terus belajar dan berkongsi pandangan. Tentang Citra, oleh sebab saya memilikinya, tentulah saya akan menyatakan si Citra itu hebat (walaupun mungkin ada kepincangan di sana sini) kerana mustahillah sesuatu itu sempurna dalam segala hal, sama seperti kita, wahai manusia yang diciptakan Allah! (Perghh...gaya khatib berkhutbah!)Bukan hasrat untuk memiliki Honda berkubur, tetapi disimpan dahulu hasrat itu, dan akan kembali marak jika tiba ketikanya...Wahai pemandu Honda, janganlah kecik hati kerana saya menyatakan bahawa adrenalin saya bergetar ketika memegang sterengnya!

Azhar Salleh said...

Salam TUAN HAJI,
Ya, mungkin benar dalam bab ini, saya bersikap sederhana. Tetapi, yang saya maksudkan sebelum ini dengan konsep "ekstrem" ialah tindakan yang kita lakukan, Tindakan yang wajar (berdasarkan konsep ekstrem) ialah melakukan sesuatu pada tahap yang melebihi batas sederhana. Tindakan yang tidak atau kurang dilakukan oleh orang lain, dan kita lakukan, maka kita berada di pentas ekstrem. Namun begitu, dalam konteks yang kurang atau tidak begitu memberikan pulangan (misalnya kereta)haruslah kita bertindak tidak seperti yang lazim dilakukan. Mungkin ramai orang akan membeli sesuatu (misalnya kereta atau rumah) pada tahap yang kemampuan, tetapi saya membelinya pada tahap kurang daripada kemampuan. Dari satu segi, saya tidak bersikap sederhana kerana jalan yang saya pilih, berbeza daripada tindakan lazim atau yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang. Jadi, saya tidak melihatnya sebagai suatu tindakan yang sederhana. Malahan, saya percaya inilah tindakan ekstrem! Dan satu lagi, saya percaya bahawa ekstrem (rujuk entri terdahulu) lebih menjurus kepada tindakan atau usaha yang dilakukan ke arah mencapai keuntungan. Dalam konteks entri ini, saya melihat pembelian kereta dan rumah (bukan semua pembelian rumah menguntungkan dan hampir semua pembelian kereta tidak menguntungkan kerana kereta menjadi liabiliti) perlulah dilakukan secara lebih berhati-hati dan tindakan ini tidak wajarlah disamakan dengan tindakan ekstrem untuk mencari keuntungan atau mencipta pencapaian. Dalam konteks perbelanjaan, maka tindakan ekstrem yang perlu dilakukan ialah "membeli sesuatu kurang daripada kemampuan". Terima kasih Tuan Haji kerana sering menggerakkan minda dan akal fikir saya untuk terus mencatat, demi pengunjung setia WITRA! Terima kasih banyak2 kerana Tuan Haji telah mengajar saya untuk berfikir...Saya sering menanti komen daripada Tuan Haji, yang amat saya hormati.
Salam ekstrem dari Pulau Guan Eng!