1. Program pendidikan kewangan "Bijak Wang" telah disiarkan oleh TV3, mulai 23 Mei 2009 yang lalu. Program bermula jam 7.00 malam hingga 7.30 malam.
2. Program bual bicara ini dikendalikan oleh seorang perantara dan tetamu undangan tetap ialah Azizi Ali, yang saya anggap sifu kewangan terbaik di Malaysia.
3. Slot minggu pertama, Azizi menyentuh soal kewangan secara sepintas lalu. Ungkapan menarik yang dilontarkan ialah:
"Sering kali orang menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak dan sebab itulah, mereka gagal merancang kewangan dengan baik".
Ulasan Azizi: Sebab kita tidak memiliki sumber kewangan yang banyaklah, kita mesti belajar pengurusan kewangan! Kalau wang mengalir keluar hingga melalui telinga kerana terlalu banyak, sudah pasti tidak menimbulkan masalah.
4. Slot atau minggu kedua (30 Mei 2009), Azizi menekankan soal tabungan, khususnya tabungan untuk pendidikan anak-anak. Azizi menyarankan semua ibu bapa membuat tabungan untuk pendidikan anak-anak mereka, kalau boleh sejak mereka berusia sebulan. Jika pada masa ini, dianggarkan kos untuk belajar di IPT memakan belanja sebanyak 100, 000, maka bayangkan 10 atau 15 tahun yang akan datang. Itu untuk seorang anak, bagaimanakah pula jika kita ada 4 orang anak!
5. Setakat dua minggu tersebut, saya melihat satu kepincangan dalam program tersebut, iaitu perantara wanita (kalau tidak silap, namanya Nurun) terlalu banyak bercakap dan mengulas. Nampak sangat dia terlalu ingin menonjolkan diri dan "kehebatan"nya hingga terlupa bahawa dia bukanlah siapa-siapa dalam bidang ini. Azizi "kurang bercakap dan mengulas" kerana tidak diberi ruang yang banyak. Meluat betul dengan perantara wanita itu yang "tidak mahu kalah" dengan Azizi. Orang menonton rancangan ini bukan hendak mendengar dia bercakap, tetapi Azizi!
6. Jikalau saudara berkelapangan, tontonlah program "Bijak Wang". Saya percaya inilah program yang perlu dinanti-nantikan. Saya sendiri terpaksa bergegas dengan segera dari pusat tuisyen agar tidak ketinggalan program ini. Kelas tamat jam 6.45 petang, dan saya hanya sempat menontonnya rancangan ini setelah 10 minit disiarkan. Apa-apapun, saya amat menghormati Azizi Ali kerana beliaulah yang mengubah persepsi, pemikiran malahan tindakan saya tentang dunia kewangan. Melalui buku-bukunya, saya semakin memahami dan meminati dunia ini.
"Kawal kewangan anda, biar wang menghasilkan pulangan dan nikmatilah hidup yang lebih bahagia" - Kulit hadapan buku "Jutawan dari Planet Jupiter!"
Monday, June 01, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Saya telah menontonnya dalam 2 siaran yang lalu. Bila pandang Azizi Ali, teringat Azhar Salleh. Maka, jika saya berpeluang berhubung dengan pihak penerbit Bijak Wang, ingin saya cadangkan perantara wanita tersebut diganti dengan seorang munsyi...adakah anda tahu siapa munsyi itu? Jawabannya, hanya anda yang tahu...
(Pasti rancangan ini akan mendapat ranking tertinggi!).
Salam AZURA,
Baguslah Azura kerana mengambil kesempatan ini. Kalau mengikuti ceramah Azizi, bayaran yang dikenakan sebanyak RM790 utk sehari. Sekarang kita boleh mendengar Azizi bercakap secara percuma! Ruginya kalau tidak mengambil kesempatan ini. Wah, nampaknya hebat Munsyi tu! Tetapi, munsyi biasanya hebat dalam soal bahasa, soal kewangan pun dia teror jugak! Ekstremnya! Azura, rasa-rasanya tak payah la telefon penerbit Bijak Wang utk tukarkan perantara tu, kerana munsyi itu selalu menulis ttg wang dalam blognya! Bukannya apa,takut nanti ada yang tak dapat cari makan pulak! Lagipun, munsyi tu hanya berpendidikan Sijil Perguruan dalam bidang Bahasa Melayu dan berijazahkan bidang Sejarah! Itupun, kalau betullah munsyi yang dimaksudkan itu ialah ...otai rock yang sorang nih! He...he..
Cikgu,
Saya tahu tentang rancangan ini serta sempat 'meninjau' beberapa minit sahaja... belum sempat mengikuti sepenuhnya, waktu yang disiarkan merupakan waktu EKSTREM...! cuma cadangan perlu rasanya diubah pada waktu lain yang sesuai buat umat Melayu-Islam!
Salam RAR,
Mungkin RAR perlu memikirkan cara utk menonton rancangan itu sepenuhnya. Bukannya apa, agak rugi rasanya jika dilepaskan peluang utk melihat kebijaksanaan seorang jutawan Melayu berbicara soal wang, kekayaan, dan panduan ke arah kehidupan yang lebih sempurna dan bahagia. Memang betul, waktunya kurang sesuai, namun apakan daya. Rancangan hiburan yang melalaikan dan memualkan sudah mengambil tempat waktu perdana dan umat Melayu yang menjadi penonton terbanyak. Rancangan pengurusan kewangan sebegini, siapa yang hendak tonton? Lagi satu, bukankah umat Melayu ini merupakan antara bangsa yang termiskin di Malaysia? Dengan pendapatan perkapita yang terendah, dan penguasaan ekonomi yang minimum, rasa-rasanya akan kekallah bangsa ini dalam zon selesa yang akhirnya menjadikan bangsa ini, tidak mustahil, akan merempat di tanah sendiri! CEO TV3 itu Melayu, kan?
salam kanda azhar. dinda menunggu buku 'Bahasa Kewangan' : Menuju Kej(k)ayaan - gabungan kepakaran kanda dalam dua bidang - dilancarkan Azizi Ali. amacam? he.he.
Salam DINDA WAHYU,
Wah, hebat harapan tu! Mudah-mudahan, akan dibukakan ruang dan kesempatan untuk penghasilan buku itu. Jika Azizi Ali lancarkan, maka Azhar Salleh tidak tidur lena empat belas malam! Namun, tidak mustahil buku bertajuk Mazhab Wang dilancarkan dulu, amacam?
Salam Tuan,
Saya sedang membuat kajian tentang program Bijak Wang.
Shamsuddin Kadir
Www.ShamsuddinKadir.com
Salam SK,
Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Memang mengujakan bagi saya apabila nama besar Tuan berada dalam blog saya. Saya telah lama mengenali Tuan kerana di rak buku di rumah saya, berderet buku tulisan Tuan yang telah saya khatam! Tentang kajian Bijak Wang, jikalau ada apa-apa yang dapat saya tolong, saya tidak keberatan untuk membantu. Saya sering melayari laman web tuan, dan mudah-mudahan Tuan akan beroleh kemudahan oleh Allah dalam segala urusan.
Salam Tuan Azhar,
Saya sebenarnya search dalam google berkenaan respons orang ramai berkenaan dengan program bijak wang itu. Laman blog Tuan tersenarai, itu yang membawa saya ke blog Tuan.
Tahniah juga kepada Tuan kerana sentiasa mendorong diri untuk lebih berjaya dari masa ke semasa dengan membaca. Tahniah.
Shamsuddin Kadir
www.shamsuddinkadir.com
Post a Comment