Monday, June 22, 2009

KEWANGAN: SEBAB PERTAMA MENGAPA KEWANGAN KITA KUCAR-KACIR

KITA TIDAK DIAJAR
1. Pertama sekali, terima kasih kepada semua pengunjung setia WITRA kerana memberikan dan menitipkan komen bagi entri yang saya paparkan, khususnya yang berkaitan dengan soal kewangan. Saya perlu mengakui dan berterus terang bahawa saya bukanlah sesiapa untuk berbicara tentang subjek ini kerana saya bukanlah pakar kewangan, akauntan, atau pegawai bank, insurans, dan siapa-siapa yang terlibat dalam bidang kewangan. Seperti biodata ringkas di sebelah, saya hanyalah seorang guru Bahasa Melayu yang mengajar di sebuah sekolah rendah dan dalam masa yang sama, diizinkan Allah untuk menyumbangkan sepicing ilmu yang ada bidang bahasa dan sastera. Itu pun dengan ihsan DBP Wilayah Selatan, yang menjadi tapak untuk saya menyemai budi. Namun demikian, dengan izin Allah jua, saya amat meminati subjek kewangan. Sejarahnya bermula apabila saya membaca sebuah buku berjudul “Jutawan Senyap” tulisan Chef Li. Buku itu membangkitkan kesedaran kepada saya untuk mendalami bidang kewangan peribadi kerana saya percaya, kedudukan kewangan saya pada masa itu amat tidak mantap dan bercelaru. Meskipun buku “Jutawan Senyap” tidak menjurus kepada pengurusan kewangan, namun membangkitkan semangat saya untuk mendalami dan insya-Allah, saya akan cuba untuk menguasai bidang ini, suatu masa nanti.
2. Selepas itu, saya terus mencari dan menelaah buku pengurusan kewangan, dan saya menjadi “gila” terhadapnya. Saya membeli dan membaca pelbagai buku yang asal tajuknya ada perkataan “jutawan”, “wang” dan “kekayaan”, pasti saya tidak teragak-agak membelinya walaupun harganya kadangkala mahal. Hasil daripada pembacaan, saya mendapat idea untuk menguruskan wang saya secara lebih berhemah dan bijak. Saya teringat kata-kata Azizi Ali, kita tidak perlu mencipta idea-idea baharu untuk menguruskan kewangan kita kerana apa yang kita lalui sekarang telah dilalui oleh ribuan orang lain sebelum ini. Jadi, gunakan sahaja idea dan tindakan mereka untuk mengubah diri dan nasib kita. Itulah pandangan hebat yang saya percaya, boleh dipraktikkan. Dan akhirnya, saya membuat keputusan untuk menyesuaikan idea dan tindakan tersebut, dan dengan izin Allah, saya agak berjaya menguruskan kewangan saya dengan lebih baik.
3. Buku-buku terbaik yang ingin saya cadangkan, antaranya “Jutawan dari Planet Jupiter”, “Lahirnya Seorang Jutawan”, “Bagaimana Menjadi Tuan Rumah Jutawan”, “Bagaimana Menjadi Jutawan Hartanah”, “Jutawan Ekstrem”,”Pesara Jutawan”, dan “Pelita Jutawan”, yang semuanya ditulis oleh Azizi Ali. Selain itu, buku “Rich Dad Poor Dad”, “Guide to Investing”, “Why We Want You To Be Rich”, dan “Cashflow Quadrant” tulisan Guru Jutawan, Robert T. Kiyosaki yang saya percaya amat mengujakan. Berulang-ulang kali saya menelaahnya. Begitu juga dengan buku tulisan Donald Trump, Samsudin Abdul Kadir, Razzi Armansur, dan Napoleon Hill. Sekadar menyebut beberapa nama, kerana hal itu tidak begitu penting, yang penting, ilmu dan kemahiran menguruskan wang perlu dipelajari.
4. Siapakah yang akan mengajar kita tentang subjek ini? Sekolah? Universiti? Atau ibu bapa kita? Isteri atau suami? Rakan-rakan sekerja? Ya, persoalannya, siapakah yang akan mengajar kita tentang dunia kewangan ini? Lantaran itulah, kedudukan kewangan kita tidak stabil dan kucar-kacir kerana tidak ada sesiapa yang mengajar kita selama ini. Mungkin ada yang pernah diajar, namun setakat mana?
5. Sebab inilah juga yang menyebabkan ramai orang tidak dapat menguruskan wang dengan baik kerana beranggapan bahawa perkara ini bersifat peribadi dan tidak perlu dipelajari. Pernah sekali, saya “berceramah” kepada tiga orang pegawai bank yang datang ke sekolah saya untuk mempromosikan akaun kepada pelajar. Saya ditugaskan untuk menemani mereka ketika makan di kantin. Tidak disangka-sangka, subjek kewangan menjadi inti pati perbualan kami. Sesuai benarlah subjek ini dibualkan kerana mereka pegawai bank! Dan kesimpulan daripada perbualan itu, mereka, walaupun pegawai bank (salah seorangnya pegawai atasan tentang pelaburan) tidak memiliki pengetahuan yang baik dalam pengurusan kewangan. Tanpa niat apa-apa (mohon dijauhkan sifat angkuh, Ya Allah!), saya pula yang memberikan “taklimat” kepada mereka hingga kami berbual-bual selama hampir dua jam! Dari situ, saya mendapati bahawa pendidikan dan pengetahuan kewangan tidak wajarlah dilihat daripada perspektif “anda siapa”, “apa kelayakan anda”, dan “anda pandu kereta apa”. Azizi Ali, pakar kewangan terbaik di negara ini pun asalnya bukanlah lahir dan berkecimpung dalam dunia kewangan, melainkan beliau seorang juruterbang! Beliau pun memandu Proton Perdana! Adakah nasihat beliau patut dijauhi? Sebelum berpisah, mereka mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memberikan “input” tentang insurans, pelaburan, dan simpanan. Terpancar keikhlasan dan kejujuran daripada ungkapan terima kasih itu. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana dipertemukan dengan mereka. Saya juga mendapat input daripada mereka tentang pelbagai perkara.
6. Mungkin ada rakan yang memandang atau berfikir skeptikal tentang “saya” yang tidak ada kelayakan apa-apa pun, namun saya percaya bahawa saya telah membaca banyak buku kewangan, telah melalui pengalaman yang berkaitan dengan kewangan yang agak mengujakan, dan saya sedang berusaha untuk mencapai satu sasaran, iaitu “kebebasan kewangan”. Insya-Allah, dan saya tidak akan berkecil hati dengan anda.
7. Rakan-rakan, sebagai guru, saya melihat subjek ini tidak langsung diajarkan di sekolah. Sekolah hanya mengajar pelajar menjadi pekerja. “Kamu belajar rajin-rajin, dapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, kemudian carilah pekerjaan yang sesuai dengan anda”. Inilah ayat-ayat yang terpacul dari suara seorang guru, dan ditambah pula dengan ayat-ayat daripada ibu bapa, sebegini, “Kamu pergilah ke sekolah, belajar bersungguh-sungguh, dan dapatkan keputusan cemerlang. Selepas itu, kamu boleh bekerja sebagai doktor, akautan, jurutera, guru, dan pegawai bank. Ingat, tanpa pelajaran, kamu tidak akan diterima bekerja di mana-mana”. Maka, belajarlah si anak tentang semua yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Dan yang menariknya, tidak ada satu pun yang berkaitan dengan cara-cara untuk “menguruskan wang”!
8. Ya, sekolah telah mendidik pelajar untuk menjadi pekerja! Sekolah tidak mendidik pelajar untuk menjadi majikan, melainkan menjadi pekerja. Makan gaji, dan terimalah gaji pada setiap bulan. Pelajar seperti robot, digerakkan dengan sukatan yang kadangkala tidak relevan dengan dunia realiti. Untuk apa sebenarnya kalau semua pelajar diminta belajar tentang “cara-cara untuk membetulkan loceng basikal”? Lainlah kalau pelajar itu ingin membuka bengkel basikal, dan menunjukkan minat dalam bidang itu. Ini tidak, semua pelajar diminta melakukan pekerjaan yang ramai yang tidak meminatinya, dan markah akan diberikan selepas kerja selesai. Untuk mendapat markah, mereka perlu melakukannya. Suatu kerugian, sebenarnya, pada pandangan saya. Entahlah, saya melihatnya sebagai suatu pembaziran dan keterlaluan. Anda, bagaimana?
9. Jelas sekali, sekolah yang sepatutnya mengajar tentang hal yang relevan (pendidikan kewangan amat relevan!) tidak memanfaatkan hal ini dengan sebaik-baiknya. Ketika saya belajar di Tingkatan Enam dahulu, antara kandungan sukatan pelajaran bagi Sejarah ialah Sejarah Negara Asia. Saya pun sudah tidak ingat isi pelajarannya kerana tidak relevan dengan dunia realiti kalau saya perlu menghafal tarikh Myanmar (Burma) merdeka! Sejarah dalam negara pun masih gelap, apatah lagi perlu menghafal peristiwa penting yang berlaku di Myanmar! Dan jelas sekali lagi, kandungan pelajaran di sekolah tidak boleh diharapkan untuk mengajar pelajar bagi mendepani kehidupan realiti. Teringat sedikit kisah Pemberontakan Taiping di China…Lebih baik belajar kisah Chin Peng supaya senang untuk memahami pergolakan di negara sekarang…
10. Kelemahan saya ialah saya suka terpesong…maafkan saya, rakan-rakan! Saya balik kepada persoalan pokok; mengapa kewangan kita kucar-kacir. Ya, sebab pertamanya kita tidak diajar. Setelah sebab dikenal pasti, maka langkah untuk mengatasinya perlu dilaksanakan. Itu hukum kehidupan. Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu belajar. Janganlah mengharapkan orang lain untuk mengajar kita. Kita perlu berdikari. Jika ada yang ingin mengajar kita, bersyukurlah. Antara pengalaman Azizi Ali, beliau tidak pernah mengikuti kursus kewangan pada mulanya. Beliau hanya membaca. Dan sebanyak 600 buah buku kewangan yang dibaca sebelum menulis buku pertamanya! Dan yang menariknya, beliau berjaya. Berjaya memperoleh ilmu dengan bacaan, dan berjaya mendapatkan wang dengan menulis buku. Dalam satu e-mel yang dihantar oleh Azizi, saya difahamkan bahawa buku pertama dan buku keduanya menghasilkan pulangan sebanyak RM1 juta! Nampaknya, beliau bermula seperti kita, dan sedang menjalani kehidupan, yang berbeza daripada kita. Puncanya, beliau belajar tentang subjek wang. Beliau terus belajar sehingga kini. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu. Beliau bermula sebagai individu biasa yang sentiasa tidak berkecukupan wang, dan kini wangnya mengalir seperti air yang paling berani di dunia, air terjun!
11. Pengalaman saya, tuan-tuan. Sebelum saya membaca buku kewangan dan mempraktikkannya, saya berasa sedih kerana saya tidak mampu menguruskan wang saya dengan bijaksana, walaupun pendapatan saya agak baik. Wang hanya menjadikan saya tempat persinggahan untuk sementara. Akhir bulan terima gaji, dan tidak sampai seminggu, hampir semuanya bertukar tangan. Simpanan tidak menggalakkan. Simpanan persaraan jauh sekali kerana memikirkan ada pencen. Wang untuk simpanan anak-anak, kadangkala simpan, dan selalunya tidak. Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk mengendalikan kewangan saya sendiri. Nasib baiklah saya guru, kalau saya pengurus bank, dengan mesin ATM pun nanti kena lelong, termasuk pengawal keselamatan sekali!
12. Selepas saya dibukakan hati oleh Allah Yang Maha Pengasih, saya mula belajar dengan gigih. Gigih, yang saya maksudkan ialah saya boleh menghabiskan sebuah buku kewangan dalam satu malam. Esoknya saya ke kedai buku lagi, dan membeli lagi. Malamnya saya luangkan masa untuk membaca dan begitulah yang saya lakukan sehingga saya benar-benar mengalami pengalaman yang cukup menarik. Saya mula bergerak. Saya mempraktikkan ilmu setakat yang terdaya. Dan, dalam tempoh tiga tahun belakangan ini, alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilapangkan pintu rezeki oleh Allah untuk menikmati kehidupan dengan lebih baik. Nilai aset semakin bertambah. Saya gembira. Isteri saya gembira. Anak-anak saya gembira. Mak ayah saya di kampung tidak terbeban lagi. Adik-beradik dan saudara-mara tumpang gembira dan sama-sama menikmati rezeki Allah. Dan saya percaya, segala-galanya berpunca daripada sedikit ilmu yang ada ini. Saya belajar, tuan-tuan, dan sehingga kini, masih tidak jemu-jemu belajar tentang subjek ini.
13. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, mengapa kewangan kita kucar-kacir, jawabannya kita tidak diajar. Agar tidak kucar-kacir, kita perlu diajar. Jikalau tiada yang ingin mengajar kita, belajarlah untuk berdikari. Dalam masa yang sama, sentiasalah mohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, dicukupkan segala keperluan, dan disihatkan tubuh badan.
14. Peruntukkanlah sedikit waktu untuk hal ini. Kita boleh menonton TV selama satu jam untuk satu program mengapakah kita tidak boleh luangkan lima minit untuk menulis buku atau penyata kira-kira untuk melihat pergerakan kewangan kita. Jikalau kita boleh membaca tiga naskhah akhbar setiap hari, tidak bolehkah kita membaca satu halaman buku tentang hal ini satu hari.
15. Memang soal kewangan bukanlah keutamaan atau minat kita, namun dalam dunia pada hari ini, kita tidak mampu melakukan apa-apa tanpa wang!

5 comments:

panduan menulis buku said...

Saya yakin bahawa idea anda akan dapat disampaikan dalam bentuk buku yang mendatangkan hasil kewangan dan kesan positif lain kepada anda, keluarga, dan negara. Anda harus yakin terhadap diri, dan mulalah menulis. Menulis ialah langkah pertama ke dunia keseronokan dan kepuasan yang yang pasti ingin anda nikmati.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
1. Selaku peminat tegar dan setia yang tinggi serta beterusan terhadap blog Witra ini, saya memperoleh begitu banyak ilmu selain ilmu bahasa apatah lagi ilmu pengurusan kewangan; sama ada saya mengikuti sepenuhnya atau sebahagian panduan yang dinyatakan tentang pengurusan kewangan dalam blog Witra ini - namun ilmu ini banyak memberikan nilai tambah yang cukup mengesankan.

2. Sepanjang pengamatan saya dalam membaca dan meninjau blog Witra ini, entri ini merupakan antara yang yang paling panjang tulisan dan maklumatnya (mungkin benar sifuku).

3. Teruskan menyampaikan maklumat sebegini dalam blog Witra ini kerana penuh makna dan manfaatnya!

Azhar Salleh said...

Salam DR. JENIRI (Panduan Menulis Buku),
Terima kasih atas ziarah ini. Saya amat teruja kerana tulisan kecil saya mendapat perhatian penulis besar seperti Dr. Terima kasih atas nasihat Dr. Sebenarnya, saya sedang membina keyakinan untuk mula mengorak langkah untuk menulis buku. Dan saya percaya, buku-buku tulisan Dr. akan saya halusi untuk memastikan hasil itu nanti berkesan dan mencapai tujuannya. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas kunjungan, titipan, dan kata-kata perangsang Dr.

Salam RAR,
Syukur ke hadrat Ilahi kerana tulisan saya tentang subjek yang menjadi tema WITRA (bahasa, sastera, kewangan) dapat meninggalkan dampak kepada RAR. Saya hanya ingin berkongsi pengetahuan hasil bacaan dan pengamatan saya. Saya percaya bahawa perkongsian ilmu sebegini akan mematangkan kita, dan yang lebih penting, mudah-mudahan diredai Allah jua. Ya, memang tidak syak lagi, entri ini adalah antara yang paling panjang. Mungkin ketika menulisnya, "mood" dalam keadaan baik. Insya-Allah, saya akan terus menulis, selagi ada pembacanya...

Sunthara said...

Salam Tuan,saya sendiri terlibat dalam pendidikan kewangan.Antara lain saya memberi ceramah kewangan kepada wira dan wirawati PLKN di kem-kem di seluruh negara. Kalau sudi boleh membaca beberapa buku kewangan karangan saya.

Sunthara
suntharasegar@gmail.com
http://www.suntharasegar.com
017-8719444
Kolumnis Mengurus Kewangan Mingguan Wanita & Majallah MIDI
Penulis Buku PTS Siri Pengurusan Kekayaan:
1) Kerjaya Perancangan Kewangan Peribadi
2) Rahsia Melabur Dalam Unit Amanah
3) Rahsia Mengurus Insurans Hayat
4) Buat Duit Sebagai Agen Insuran Takaful
5) Buat Duit Sebagai Agen Unit Amanah

Antara Mata, Hati dan Minda Perkasa said...

Salam Cikgu,
Tulisan cikgu cukup baik.
saya bersetuju bhawa sekolah kita tak ajar kita bagaimana menguruskan wang dgn baik.

sistem pendidikan sekolah sekarang hanya nak lahirkan pelajar yang terbaik dalam peperiksaaan dan bukan terbaik dalam kehidupan, terbaik menguruskan kewangan...

sistem sekolah dan pendidikan hanya dilihat sebagai sistem yang melahirkan pekerja sahaja....

saya sendiri belajr di universiti ttg wang dan pengurusan tetapi pengurusan kewangan peribadi, saya belajar sendiri melalui buku-buku yang cikgu sebutkan..

wassalam