Wednesday, December 31, 2008

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 1

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
1. Untuk bebas daripada belenggu atau himpitan kewangan, pertama sekali kita haruslah belajar untuk hidup mengikut kemampuan.
2. Hidup mengikut kemampuan tidaklah bermakna kita harus menolak sama sekali keinginan kita. Namun begitu, kita haruslah menyedari bahawa tidak semua barang atau perkara yang dapat kita miliki atau beli walaupun kita ada keinginan untuk memilikinya.
3. Seterusnya, kita hendaklah sedar bahawa wang sebanyak mana pun akan habis dibelanjakan jika kita tidak mengawalnya. Hal ini tidak sulit untuk difahami kerana telah terbukti bahawa terdapat banyak orang yang ada sejarah tentang hal ini. Mereka (mungkin sesekali saya juga!) tidak memikirkan bahawa wang yang diterima setiap bulan itu (jika makan gaji) akan habis jika kita berbelanja tanpa mengira kemampuan yang kita ada.
4. Sepatutnya, kita membeli barang yang kita mampu dan dalam waktu yang sama, kita masih ada lebihan atau baki untuk tujuan yang lain.
5. Saya percaya bahawa ramai antara kita yang bersetuju bahawa pada zaman ini, wang mengalir tanpa henti, malahan panggil Pepaya datang untuk menahannya pun, wang akan terus mengalir. Cuba saudara lihat, pada hari apakah dalam seminggu ini saudara tidak mengeluarkan sesen pun wang dari poket saudara! Saya lihat saudara sudah tergagap-gagap untuk menjawab soalan ini!
6. Mengapa terjadi demikian? Walaupun saya yang bertanya, oleh sebab blog ini saya yang punya, maka saya akan menjawabnya sendiri!
7. Kerana di luar sana, terdapat terlalu banyak tarikan! Cuba kita berkunjung ke Teluk Danga untuk satu malam, saya percaya kalau kita tidak mengajak anak kita balik cepat, alamatnya poket bapaknya akan terkopak!
8. Saya terdengar saudara berkata, "Sesekali, apa salahnya...". Ya, saya sangat bersetuju. Sesekali apa salahnya. Bawalah anak anda berjalan-jalan sambil menghirup udara segar di tepi Pantai Lido itu. Saya sendiri pun selalu pergi ke sana, dan oleh sebab saya bukanlah bapak yang kedekut, banyak juga kertas yang paling berharga itu bertukar pemilik!
9. Nampaknya, saya selalu terpesong daripada idea asal! Tolong jangan potong markah saya, cikgu! Kasihanlah kepada nenek saya di kampung!
10. Hidup mengikut kemampuan bermaksud kita tidak perlu menunjukkan bahawa kita ada kemampuan untuk membeli itu dan ini kerana tidak ada sesiapa yang akan kagum kepada kita jika kita berpakaian mahal atau berkereta mewah. Siapa yang akan membelek baju saudara walaupun saudara membelinya dengan harga yang mahal? Dalam sebuah buku yang saya baca, seorang pereka fesyen yang terkenal (artis-artis sangat kenal dengan dia) pun membeli seluar jeans untuk dipakai di pasar malam! Saya tak dapat bayangkan jika dia terserempak dengan artis yang menjadi pelanggannya itu...
11. Pendek kata, untuk mencapai tahap kebebasan kewangan yang pertama, kita haruslah bersedia untuk hidup mengikut kemampuan. Mungkin saudara perlu tambah hal ini dalam senarai azam tahun baharu 2009!
12. Dalam buku The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan di AS bukan sahaja hidup mengikut kemampuan, malahan hidup di bawah kemampuan! Saya percaya sebab itulah kita tidak menjadi jutawan!
13. Tok guru! Jika hidup mengikut kemampuan, nampaknya tidak berbahagialah kita! Betul tak?
14. Ya, jawapan dan pandangan saudara memang salah! Siapa kata tidak bahagia? Bahagia merupakan suatu hal yang sangat subjektif. Orang yang berpendapat RM100 ribu sebulan, jika dia berbelanja RM110 ribu, saya percaya dia tidak bahagia. Kebahagiaannya akan semakin terhakis jika surat bank dan peguam datang mengucapkan salam! Memang mereka gembira ketika membelanjakan wang itu, tetapi mereka akan menjadi seperti pelakon dalam drama Melayu, akan sengsara akhirnya. Percayalah, ini kisah benar yang berlaku dalam hidup saya. Arwah bapa mentua saya hanya seorang penoreh getah, dan pendapatannya tidaklah seberapa, namun saya melihat bapa mentua dan ibu mentua saya sangat-sangat bahagia! Tidak pernah sekalipun saya melihat siapa-siapa pun antara mereka yang bercakap meninggikan suara! Nah, adakah kebahagiaan diukur dengan jumlah yang perlu kita belanjakan!
15. Walaupun saya sedar, bahawa kebahagiaan adakalanya boleh dibeli dengan wang, namun dalam konteks hidup mengikut kemampuan, kebahagiaan itu merupakan soalan subjektif, kena tulis karangan! Tak ada kertas objektif, ABCD!
16. Seterusnya, dalam konteks ini juga, kita haruslah beringat untuk berbelanja kurang daripada pendapatan. Jika pendapatan saudara sebanyak RM2 ribu sebulan, wajarlah saudara berbelanja untuk semua perkara tidak melebihi RM1800 kerana minimum, 10% daripadanya mestilah disimpan. Jika lebih banyak simpanannya, pasti lebih baik. Hal ini penting kerana dengan berbuat demikian, saudara memiliki wang. Itu sangat jelas! Amat malanglah jika saudara menghabiskan kesemua pendapatan saudara untuk berbelanja. Dan dalam fikiran saya sekarang, saya melihat seorang lelaki sedang berjalan-jalan sambil bercakap seorang diri dan menyelongkar tong sampah! Dia telah berbelanja melebihi pendapatan! Harap-harap lelaki itu bukanlah anda!
17. Sebenarnya, untuk mengamalkan gaya hidup mengikut kemampuan ini, tidaklah sukar sangat kerana saya tidak mencadangkan pun agar saudara makan maggi sebagai sarapan, dan makan roti canai sebagai makan malam. Tidak tuan-tuan! Perlukah saya ulangi bahawa kita tidak diizinkan (malah dalam agama pun) untuk menjadi kedekut! Yang saya tegaskan ialah hidup mengikut kemampuan.
18. Bukankah peribahasa Melayu menyatakan bahawa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, ...( sambunglah sendiri peribahasa ini, senang je,!) Saudara tidak perlu lagi untuk memperagakan pakaian mahal jika orang tahu bahawa gaji saudara sekian banyak. Tidak akan ada orang bertanya harga baju mahal kita jika mereka tahu jumlah pendapatan kita. Inilah realitinya. Ada seorang saudara saya di kampung yang memakai jam tangan berjenama Rado (harganya ribuan ringgit) tetapi kebanyakan kawannya tidak pernah bertanya harganya. Pada suatu malam, dia kelihatan runsing kerana terlalu ramai yang mengatakan bahawa jamnya itu dibeli di kedai kaki lima Giant Alor Setar! Kasihan, kan...!
19. Saya percaya bahawa hidup mengikut kemampuan merupakan langkah awal dan strategi pertahanan pertama yang berkesan untuk memastikan hidup ini lebih bahagia.
20. Saya akhiri coretan malam ini (untuk hal kewangan, saya tidak lagi meletakkan di bawah entri GRAFITI, saya perkenalkan yang baru, KEWANGAN) dengan satu petikan daripada buku The Pursuit of Happiness, moga-moga kita (saya dan saudara juga) akan lebih insaf...
Ada dua cara untuk menjadi kaya. Yang pertama dengan memiliki harta yang banyak. Yang kedua, tidak mempunyai kehendak yang banyak!
Jumpa lagi...

4 comments:

Purba Laira said...

(1) TAHNIAH UNTUK BAKAL JUTAWAN DI MALAYSIA. AYAT-AYATNYA SEBIJIK DONALD TRUMP. BANYAK ILMU YANG DITIMBA.

(2) DIHARAPKAN CIKGU DAPAT MEMBUAT ULASAN MENGENAI PINJAMAN ASB YANG DISEDIAKAN OLEH BANK SEBAGAI PANDUAN UNTUK PEMBACA BLOG CIKGU.

(3) APAPUN TAHNIAH SEKALI LAGI. ULASAN YANG MEMBINA MINDA DAN BENAR-BENAR REALITI

MAT

Azhar Salleh said...

che Mat,
Akhirnya, kita bertemu juga di gelanggang blog! Kalau sebelum ini, kita bersua di medan ceramah, kali ini mudah-mudahan kita akan meneruskan legasi di pentas ini! Rajin-rajinlah layan blog ini, mungkin ada sedikit manfaatnya. Terima kasih atas ulasan dan komen. Tentang pinjaman ASB yang disediakan oleh pihak bank seperti Maybank, insya-Allah akan saya ulas nanti. Harap-harap kerja kat KL mengujakan!
p/s: Ada foto anda dalam blog ini!

Anonymous said...

Tuan Azhar,

a. Salam perkenalan. Saya menggelarkan diri hanya sebagai 'insan kecil yang tidak mahu jadi jutawan tetapi hanya sekadar mungkin nak jadi puluhan @ ratusan ribu RM sahaja satu masa nanti' kerana saya insan yang berpegang kepada realiti dan upaya diri yang ada.

b. Saya memantau dan membaca blog tuan, kesemua saya baca apatah lagi hal-hal pengurusan kewangan yang tuan sampaikan. Menarik serta amat BERMOTIVASI buat insan kecil seperti saya ini, saya ulang sekali lagi AMAT BERMOTIVASI...! Juga setakat ini banyak menimbulkan kesedaran buat saya...

c. Ya! daripada insan kecil yang banyak boros dengan menyimpan kecil-kecilan sahaja(itupun jika ada) hingga menyedarkan saya untuk menyimpan dengan lebih sedikit (bukan mahu jadi jutawan tetapi hanya sekadar mungkin nak jadi puluhan @ ratusan ribu RM sahaja satu masa nanti, saya ulang lagi... kerana saya insan yang berpegang kepada realiti dan upaya diri yang ada).

d. Setelah banyak membaca tulisan dan pandangan tuan dalam blog ini... saya ada beberapa soalan untuk tuan berikan pandangan arif tuan tetapi buat masa ini cukup 1 -2 soalan dahulu 'seperti maklumat di bawah' (seperti dalam surat rasmi sebuah jabatan kerajaan):

i. Saya sejak dahulu hingga kini tidak 'mempunyai nafsu ghairah' (tuan jangan salah faham...) untuk memiliki KAD KREDIT, maka adakah saya ini insan yang kolot atau apa-apa jua istilah seperti 'tidak cerdik' atau 'kurang akal' atau 'kurang memuaskan'? Apakah kelebihan dan kekurangan dalam memiliki atau tidak memiliki KAD KREDIT ini, tolong tuan yang arif jelaskan..?

ii. Baru-baru ini saya mula mencarum dalam sebuah koperasi bernama Koperasi ABC (bukan nama sebenar), saya cuma sahaja-sahaja untuk mencarum tanpa ada sasaran BESAR! Jujur dan ikhlas saya nyatakan, saya terpengaruh dan tidak dapat mengawal nafsu (mungkin nipisnya iman dalam diri ini...) akhirnya saya mula menjadi ahli dan mencarum, saya memilih nilai caruman maksimum pula tu.. (ada pilihan nilai RM untuk mencarum dalam Koperasi ABC ini). Soalannya (baru muncul soalannya...! banyak awalannya pula, maaf Tuan Azhar ya): Apakah tindakan saya ini wajar? Adakah ini satu caruman yang baik..? maksud saya dalam membina 'wilayah kecil kewangan sendiri' seperti saya yang bergelar sekali lagi "bukan mahu jadi jutawan tetapi hanya sekadar mungkin nak jadi puluhan @ ratusan ribu RM sahaja satu masa nanti, saya ulang lagi... kerana saya insan yang berpegang kepada realiti dan upaya diri yang ada"

*** Sekadar beberapa maklumat penting untuk Tuan Azhar tentang Koperasi ABC (bukan nama sebenar):
i. Pembiayaan Bai Al-Inah (maksud mudahnya - Wang Tunai) dan Al-Murabahah (maksud mudahnya -barangan) sebanyak RM15,000.00... [kenapa kita suka sangat gunakan istilah asing bahasa Arab lah @ Inggeris lah, komen Tuan Azhar?]. KEISTIMEWAAN INI BUKANLAH TUJUAN UTAMA SAYA MASUK KOPERASI ABC INI...!
ii. Pembiayaan Al-Qardhul Hassan (maksud mudahnya -Kebajikan /Kecemasan) sebanyak RM1,000.00. KEISTIMEWAAN INI BUKANLAH TUJUAN UTAMA SAYA MASUK KOPERASI ABC INI...!
iii. Mengikut sejarah rekod dividen tahunan Koperasi ABC ini yang dinyatakan antaranya 7% / 8% / 10% serta yang pernah saya dengar hingga cecah 12%...(nanti saya rujuk untuk kepastian). KEISTIMEWAAN INI MERUPAKAN KEISTIMEWAAN YANG BAIK JUGA DALAM KOPERASI ABC INI...!

- Habis kenapa saya masuk Koperasi ABC ini..? saya pun tak pasti... mungkin lebihan duit yang ada... tidak benar sama sekali! kerana banyak lagi hutang yang belum saya bereskan... Tuan Azhar, saya pun keliru ini, tolong...!!! - (cuma petikan iklan semata-mata)

e. Tuan Azhar, maaf saya membebel banyak tetapi tuan memberikan banyak juga ruang motivasi kepada saya dalam hal-hal pengurusan ini serta kesedaran baharu saya tentang kepentingan jati diri bahasa dan sastera dalam blog tuan ini. Saya mula ENDAH tentang hal-hal sastera dan bahasa ini.. saya 'buta' tentang sastera dan bahasa ini, sebelum ini saya hanya insan biasa dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia yang LANGSUNG TIDAK ENDAH tentang sastera dan bahasa... banyak-banyak terima kasih Tuan Azhar kerana menyedarkan saya tentang hal sastera dan bahasa ini.

f. Harap Tuan Azhar SEGERA menjawab soalan saya di atas itu, saya tak sabar menanti MOTIVASI DAN PANDANGAN TUAN LAGI...! Saya ada lagi soalan-soalan hal kewangan tetapi biarlah secara berperingkat (jika besesuaian dengan gelar diri saya, iaitu saya ulang sekali lagi: 'insan kecil yang tidak mahu jadi jutawan tetapi hanya sekadar mungkin nak jadi puluhan @ ratusan ribu RM sahaja satu masa nanti kerana saya insan yang berpegang kepada realiti dan upaya diri yang ada')

Terima kasih kerana Tuan Azhar sudi membaca bebelan saya di atas itu.

Sekian.

Daripada:
INSAN KECIL BIASA YANG SEDAR DIRI TENTANG UPAYA KEWANGAN DIRI YANG ADA (Tuan Azhar? panjang sangatlah pengenalan diri saya ini, mohon cadangan tuan untuk ringkasannya, tetapi diri sebenar saya tetap misteri kerana saya ...INSAN KECIL BIASA YANG SEDAR DIRI TENTANG UPAYA KEWANGAN DIRI YANG ADA, maaf tuan usik mengusik sikit ya...)

julia simon said...

Halo,
nama saya Julia Simon, saya adalah korban penipuan di tangan pemberi pinjaman palsu. Saya telah kehilangan sekitar $ 45.000,00 karena saya membutuhkan modal besar $ 200.000,00. Saya hampir mati, saya tidak punya tempat untuk pergi. Bisnis saya hancur dan dalam proses itu saya kehilangan putra saya. Saya tidak tahan lagi dengan hal ini. pada Januari 2017, teman saya memperkenalkan saya kepada seorang ibu yang baik, Ny. Augusta Ibramhim, yang pada akhirnya membantu saya mendapatkan pinjaman di perusahaan pinjaman tempat dia bekerja. Ibu yang baik, Augusta Ibramhim, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan semoga Tuhan melanjutkan untuk memberkatimu. Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk menasihati sesama orang Indonesia bahwa ada banyak scammer di luar sana, jadi jika Anda memerlukan pinjaman, dan ingin mendapatkan pinjaman dengan cepat, hanya mendaftar melalui Mrs Augusta Ibramhim dan Anda dapat menghubunginya melalui email: (augustaibramhim11 @ gmail.com). Anda juga dapat menghubungi saya melalui email saya: (juliasimon460@gmail.com). jika Anda memiliki keraguan. tolong dia satu-satunya orang yang bisa diandalkan dan dapat dipercaya.

Terima kasih.