Wednesday, September 14, 2005

BOLEHKAH BAHASA DIRANCANG?

PELITA BAHASA (APRIL 2005)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Bolehkah bahasa dirancang ? Benarkah pandangan yang menyatakan bahawa bahasa harus berkembang secara evolusi, dan tidak seharusnya dirancang oleh mana-mana pihak? Persoalan seperti ini suatu ketika dahulu pernah mengundang kontroversi dan polemik kerana sebelum munculnya ilmu perancangan bahasa, ahli bahasa di Barat beranggapan bahawa bahasa sewajarnya terpisah daripada konteks sosial, yakni tugas mengkaji bahasa tidak seharusnya dilibatkan aspek sosial kerana berada di luar lingkungan disiplin linguistik. Sarjana bahasa pada ketika itu seperti Noam Chomsky memberikan fokus huraian terhadap teori dan penelitian korpus bahasa seperti fonologi, morfologi, dan sintaksis. Penolakan teori sosial dalam pengkajian bahasa telah menyebabkan aspek perancangan bahasa terkesamping, apatah lagi dengan saranan Chomsky bahawa yang harus diberikan tumpuan dalam analisis bahasa ialah aspek pengetahuan berbahasa.

Fenomena ini disulitkan dengan andaian yang mengekang penerimaan konsep perancangan bahasa seperti yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa yang lain yang berpendapat bahawa bahasa tidak boleh dipaksa perkembangannya. Hal ini sebenarnya amat berkait dengan konsep evolusi, iaitu bahasa harus berkembang secara tersendiri tanpa perlu diganggu. Pendukung teori evolusi bahasa menganggap bahawa perkembangan bahasa haruslah berlaku secara perlahan-lahan, beransur-ansur, dan tidak seharusnya dipaksa-paksa. Robert Hall dalam “Leave your Language Alone” mempertahankan kenyataan ini, iaitu bahasa tidak harus diganggu, apatah lagi untuk dirancang. Kekangan yang lain dalam menolak konsep perancangan bahasa ialah bersandarkan alasan bahawa fungsi utama sesuatu bahasa hanyalah bertujuan untuk mengajar seseorang itu bertutur, membaca, dan menulis. Pandangan-pandangan ini, pada suatu ketika yang lalu amat berpengaruh dan meneguhkan penyataan bahawa bahasa itu tidak boleh dirancang.

Namun begitu, hasil perkembangan ilmu dan kemunculan individu atau kumpulan tertentu telah berjaya menangkis pandangan-pandangan yang kurang relevan tersebut. Hal ini demikian kerana telah dibuktikan bahawa bahasa sememangnya dapat dirancang untuk mencapai matlamat-matlamat yang luhur dan unggul dalam pelbagai bidang dan konteks untuk memajukan sesebuah negara. Pada tahun 1959, Einer Haugen yang dianggap sebagai perintis perancangan bahasa pada peringkat antarabangsa telah berjaya membentuk, membina, dan membangunkan Landsmal, sebuah dialek yang akhirnya menjadi bahasa kebangsaan di negara Norway. Sumbangan Haugen ini merintis langkah dasar dan perancangan bahasa di kebanyakan negara, khususnya di negara-negara Asia dan Afrika, yang baharu sahaja mencapai kemerdekaan dan menyedari bahawa bahasa tempatan perlu diangkat melalui kegiatan perancangan bahasa yang sistematik. Turki, telah berjaya mengubah haluan daripada pengaruh bahasa Arab kepada gaya bahasa Eropah hasil inisiatif pemimpinnya, Kamal Ataturk yang menginginkan kemodenan dan kemajuan bangsa, bahasa, dan negaranya. Negara-negara maju seperti Perancis, Sepanyol, dan Sweden juga telah membentuk akademi bahasa masing-masing untuk menyelaraskan bahasa mereka dengan harapan bahasa dan bangsa mereka akan maju ke hadapan dengan lebih cemerlang mengikut acuan dan model bahasa yang telah dirancang. Individu dan negara-negara ini telah berjaya memberikan nilai yang tinggi terhadap bahasa selain berusaha membinanya dengan sebaik-baik mungkin untuk keperluan masyarakat, bangsa, dan negara.

Konsep perancangan bahasa yang dimulakan oleh Miller pada tahun 1950 dan dimurnikan melalui suatu konvensyen antarabangsa pada tahun 1969 di Universiti Hawaii telah mendapat perhatian yang serius daripada kalangan penyelidik dan perancang bahasa kerana beranggapan bahawa konsep ini dapat menjadikan sesebuah bahasa lebih kental dan berdaya maju untuk meniti peredaran masa yang semakin menuntut perkembangan bahasa yang lebih menyeluruh dan global. Konsep ini turut dirujuki sebagai penjuruteraan bahasa (language engineering), pembangunan bahasa (language development), dan perekayasaan bahasa. Noss menamakannya sebagai pembangunan bahasa (language development), manakala Gorman menamakannya sebagai peraturan bahasa (language regulation), dan Jernudd dan Neustupny cenderung menggunakan istilah pengurusan bahasa (language management). Menurut Haugen (1959), perancangan bahasa merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa yang tertentu, yang mencakupi segala usaha untuk penyuburan bahasa yang berorientasikan pembinaan, pengubahsuaian, dan pembakuan sesuatu bahasa. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) mentakrifkan perancangan bahasa sebagai aktiviti yang dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa dalam konteks sosial, budaya, dan perubahan teknologi yang lebih luas. Beliau, yang dianggap pelopor dalam memperkenalkan istilah perancangan bahasa di Malaysia pada sekitar tahun 70-an pernah mengkritik ahli-ahli bahasa mikro yang hanya melihat bahasa secara teoretis tanpa menyelesaikan masalah bahasa dan hubungannya dengan masyarakat bahasa. J. Rubin dan B. H. Jernudd (1983) menghuraikan konsep perancangan bahasa sebagai perubahan bahasa yang disengajakan, iaitu perubahan-perubahan dalam sistem kod bahasa atau ujaran atau kedua-duanya yang direncanakan oleh organisasi yang tertentu atau yang diberikan mandat untuk memenuhi tujuan tersebut. J.A. Fishman (1991) menterjemahkan maksud perancangan bahasa sebagai langkah-langkah yang dirancang untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang biasanya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan. Berdasarkan beberapa takrifan yang diberikan, jelaslah bahawa aspek perancangan bahasa amat diperlukan untuk merancang, membina, dan menyelaraskan bahasa melalui jawatankuasa atau badan yang diberikan autoriti di sesebuah negara. Di Malaysia, tugas dan peranan ini diamanahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Apabila membicarakan soal konsep perancangan bahasa, tidak dapat dipisahkan hal-hal yang bersangkutan dengan dasar-dasar bahasa di sesebuah negara. Hal ini demikian kerana dasar bahasalah yang akan menentukan hala tuju dan keberkesanan sesuatu perancangan bahasa. Tanpa dasar yang kukuh dan mantap, perancangan bahasa yang akan dilaksanakan akan terkekang dan menjadi hambatan untuk mencapai fungsi serta matlamat perancangan bahasa. Awang Sariyan dalam “Ceritera Bahasa” (1994 : 22) menyatakan bahawa dasar bahasa ialah salah satu dasar yang meliputi kepentingan semua negara dalam sesebuah negara. Dasar bahasa di Malaysia telah banyak disinggung oleh cendekiawan bahasa dari pelbagai perspektif. Selain itu, menurut Hassan Ahmad dalam “Pembudayaan Bahasa : Cabaran terhadap Dasar dan Martabat Bahasa Melayu di Malaysia” (1999), bahasa Melayu di negara ini telah melalui empat aspek atau elemen penting dalam perancangan bahasa, iaitu dasar bahasa, pelaksanaan, pengembangan taraf, dan pemasyarakatan bahasa. Dasar bahasa kebangsaan telah termaktub dengan jelas dalam Fasal 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Dari segi pelaksanaan, dasar pendidikan yang dicetuskan oleh gagasan Laporan Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menjadi pemangkin yang kuat untuk menjadi wahana perancangan dan pengembangan bahasa sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar dalam sistem pendidikan. Dari segi pengembangan taraf, Hassan Ahmad menegaskan bahawa usaha ini telah dilakukan oleh media massa, khususnya melalui penerbitan yang diwakili oleh agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menurutnya dalam “Bahasa Sastera Buku : Cetusan Fikiran”(1988 : 200), DBP merupakan satu-satunya badan perancangan bahasa di dunia ini yang bukan sahaja berperanan untuk membina dan mengembangkan bahasa, malah telah berjaya membudayakan dan memasyarakatkan bahasa, iaitu melalui penerbitan dan penyebaran buku dan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.
Dalam ledakan teknologi maklumat dan gelombang globalisasi, sewajarnya aspek perancangan bahasa yang lebih berkesan digembleng bersama-sama untuk memantapkan perancangan bahasa di negara ini. Tugas ini secara hakikinya sememangnya disandang oleh DBP, namun sebagai warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, dan sentiasa melaungkan ikrar mempertahankan martabat bahasa, semua pihak hendaklah memainkan peranan untuk menyokong segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan oleh DBP. Perancangan bahasa pasti akan menemukan kerumitan, malah kegagalan sekiranya tidak dimurnikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Oleh hal demikian, setelah kekuatan bahasa yang dibina sejak sebelum merdeka lagi seolah-olah hampir “dilumpuhkan” pada belakangan ini, setelah taraf bahasa Melayu bagaikan dipinggirkan oleh sesetengah pihak, dengan semangat dan iltizam yang masih membara, nasib dan martabat bahasa Melayu harus diperjuangkan oleh semua pihak tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain. Bukankah seorang ahli fikir telah berkata, “kita boleh menguasai bahasa asing, tetapi janganlah sampai bahasa asing menguasai kita ”. Setiap perancangan bahasa yang digubal perlulah dibuktikan dengan sokongan dan penglibatan yang menyeluruh. Hanya kesungguhan dan cita-cita yang akan membuahkan kejayaan ; kejayaan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, dan bahasa ilmu yang unggul. Usahlah kita hanya menjadi penonton yang asyik menunggu masa untuk bersorak, kelak nasib bahasa kita yang akan tergadai !

No comments: