Wednesday, September 14, 2005

MORFOLOGI BAHASA MELAYU

JENDELA SELATAN (BIL.11/APRIL 2005)
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan

Morfologi merupakan antara cabang linguistik yang mengkaji struktur pembentukan kata. Tatabahasa Dewan edisi baharu mendefinisikan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk, dan penggolongan kata. Kamus Dewan edisi ketiga menjelaskan pengertian morfologi sebagai kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan. Hockett ( 1958 ) mendefinisikan morfologi sebagai unsur terkecil yang mengandungi makna dalam tuturan sesuatu bahasa. Kajian tentang morfologi bermula di Eropah pada awal kurun ke-19.

Berdasarkan takrif, kajian morfologi tertumpu kepada kata. Kata terbentuk daripada unsur yang dikenali sebagai morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu, serta tidak dapat dipecah-pecahkan lagi. Ada dua jenis morfem, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem atau kata yang dapat berdiri sendiri sebagai satu kata yang utuh dan bermakna serta tidak dapat dipecahkan kepada unit yang lebih kecil lagi. Morfem terikat sebaliknya kerana bersifat tidak sempurna sekiranya tidak digandingkan dengan morfem bebas. Sesuatu perkataan dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Misalnya, bagi perkataan makan, terdiri daripada satu morfem, iaitu morfem bebas, manakala makanan terdiri daripada dua morfem, iaitu makan sebagai morfem bebas dan –an sebagai morfem terikat. Oleh sebab itu, ada perbezaan yang jelas antara morfem dengan perkataan, iaitu semua perkataan ialah morfem tetapi tidak semua morfem itu menjadi perkataan. Perkataan berbentuk bebas, yang bermakna, dan dapat berdiri sendiri, misalnya kereta, kerusi, pengajar, dan kehakiman sedangkan awalan peng- dalam pengajar dan apitan ke-…-an dalam kehakiman menjadi morfem terikat dan bukanlah perkataan.

Tatabahasa Dewan edisi baharu menjelaskan bahawa proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Proses morfologi ialah suatu proses yang mengubah bentuk sesuatu morfem dan perubahan ini bertujuan untuk menambah sesuatu makna kepada morfem tersebut. Dalam kata lain yang lebih mudah, proses morfologi bermaksud cara sesuatu perkataan itu dihasilkan atau diterbitkan daripada bentuk dasarnya. Berdasarkan bentuk dan struktur kata baharu yang dihasilkan, proses morfologi itu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan, dan pengakroniman.

PENGIMBUHAN
Dalam bahasa Melayu, proses pengimbuhan amat penting dan antara yang banyak menimbulkan kekeliruan. Pengimbuhan atau afiksasi ialah proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara menggabungkan imbuhan atau afiks kepada kata dasar. Imbuhan dapat dimaksudkan sebagai unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain, iaitu kata dasar yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Imbuhan tergolong dalam jenis morfem terikat, manakala kata dasar itu lazimnya morfem bebas.

Tersenarai dalam imbuhan ialah bentuk awalan, akhiran, sisipan, dan apitan. Imbuhan awalan atau prefiks (prefix) ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar atau merujuk kepada morfem terikat yang berada di posisi awal kata dasar. Contoh kata terbitan berawalan kata nama ialah pemuzik, pembuat, pendatang, pengganas, pengebom, pelajar, pertapa, pesara, kekasih, juruselam, maharaja, tatabahasa, prasekolah, subsistem, suprasegmental, ekawarna, dan dwibahasa. Contoh kata terbitan berawalan kata kerja ialah merasa, membaca, menduga, menggiling, mengelap, memperhamba, berjalan, berupa, belajar, terjunam, dipukul, dan diperoleh. Contoh kata terbitan berawalan kata adjektif ialah terhitam, teringan, dan senipis.

Selain itu, imbuhan akhiran atau sufiks (suffix) merupakan morfem terikat yang berada di posisi akhir kata dasar. Akhiran dalam bahasa Melayu hanya dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja, misalnya makanan, angkasawan, seniman, seniwati, komunisme, muslimin, hadirat, ustazah, jarakkan, dan turuti. Proses pengimbuhan –an telah menyebabkan berlakunya perubahan kelas kata, iaitu daripada kata kerja menjadi kata nama kerana tidak ada imbuhan –an untuk membentuk kata kerja. Misalnya, kata dasar tulis, buat, lukis, dan tanam merupakan kata kerja tetapi apabila diimbuhkan dengan akhiran –an, akan menghasilkan kata nama terbitan, iaitu tulisan, buatan, lukisan, dan tanaman. Sehubungan dengan hal itu, imbuhan ini tergolong dalam jenis imbuhan derivatif. Imbuhan akhiran asal dalam bahasa Melayu hanyalah –an, -kan, dan –i. Yang lain merupakan imbuhan pinjaman daripada bahasa-bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Sanskrit, dan bahasa Arab.

Bentuk imbuhan yang ketiga ialah sisipan, imbuhan yang tidak produktif lagi dan jika wujud sekalipun, hanyalah ketika mencipta istilah baharu. Namun begitu, agak banyak sisipan yang tersenarai dalam bahasa Melayu. Imbuhan sisipan atau infiks (infix) merujuk kepada morfem terikat yang berada di tengah kata dasar atau menyelit di antara kata dasar. Sesuatu yang menarik tentang imbuhan sisipan ini ialah bentuk fonologinya seperti yang dirakamkan dalam kebanyakan bahasa manusia berstruktur VK, misalnya bahasa Bontoc di Filipina yang mempunyai sisipan –um- bagi perkataan seperti fumikas (menjadi kuat) dan kumilad (menjadi merah) . Di samping itu, satu generalisasi umum tentang sisipan ini ialah konteks penyebarannya di dalam kata, iaitu kedudukannya sentiasa berada selepas konsonan pertama kata dasar. Dalam bahasa Melayu, sisipan dapat bergabung dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif, misalnya –el- bagi perkataan telapak, kelangkang, telunjuk, kelembung, kelengkeng, kelabut, kelebak, selerak, dan gelembung. Sisipan –er- tersisip bagi perkataan seperti serabut, keruping, seruling, dan gerigi. Sisipan –em- mencelah bagi perkataan seperti gemilang, semerbak, gemerlap, kemuning, dan kemuncup. Sisipan –in- muncul bagi perkataan seperti sinambung.

Imbuhan apitan atau sirkumfiks (circumfix) ialah morfem terikat yang melingkungi atau mengapit kata dasar. Dalam bahasa Melayu, apitan wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan, dan kata adjektif terbitan. Dari segi binaan morfemnya, apitan terdiri daripada awalan dan akhiran dan pengimbuhannya dilakukan secara serentak. Selain apitan, imbuhan ini dikenal sebagai imbuhan terbahagi juga. Bagi apitan kata nama, contohnya ialah pelaksanaan, pembinaan, pelajaran, dan perkuburan. Contoh apitan kata kerja ialah menyeramkan, mendermakan, mengecamkan, didekati, diperdengarkan, dan memperingati. Apitan kata adjektif seperti ke-…-an yang membentuk keinggerisan, kearaban, dan kecinaan.

PEMAJMUKAN
Proses pemajmukan ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan yang terhasil membawa makna tertentu atau menerbitkan satu bentuk kata baharu. Kata majmuk perlu dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Tatabahasa Dewan edisi baharu membahagikan kata majmuk kepada tiga kelompok, iaitu yang terdiri daripada rangkaian kata bebas seperti jam tangan dan bandar raya, yang berbentuk istilah khusus seperti atur cara dan mata pelajaran, dan yang mendukung maksud kiasan seperti tumbuk rusuk dan makan angin.

Semua kata majmuk perlu dieja terpisah, namun ada sebilangan kata yang dianggap telah mantap dan utuh perlu dieja sebagai satu perkataan, seperti antarabangsa, olahraga, dan warganegara. Walaupun keadaan ini sering menimbulkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, namun faktor-faktor lain sewajarnya dipertimbangkan untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang. Tidak seperti bahasa Inggeris, kata majmuk bahasa Melayu agak sukar dibezakan dengan frasa nama dan keadaan ini seringkali menyebabkan kesalahan bahasa berlaku. Antara cara membezakan antara kata majmuk dengan frasa nama ialah dengan melihat proses pembentukannya yang ternyata berbeza. Misalnya, “ibu bapa” merupakan frasa nama walaupun pada zahirnya kelihatan sama dengan “guru besar” yang merupakan kata majmuk. “Ibu bapa” boleh menerima sisipan unsur lain seperti kata hubung dan yang akan membentuk “ibu dan bapa”. Keadaan ini tidak boleh berlaku bagi kata majmuk kerana “guru dan besar” tidak membawa makna yang sempurna.

Kata majmuk yang menerima imbuhan awalan dan akhiran masih tetap dieja terpisah seperti mencampur aduk, berurus niaga, dan bersatu padu. Namun begitu, apabila diimbuhkan dengan apitan, maka kata majmuk tersebut dieja sebagai satu perkataan seperti mencampuradukkan, mengurusniagakan, dan disatupadukan. Akan menjadi kesalahan jika dieja terpisah bagi bentuk ini. Bagi kata majmuk yang hendak digandakan, hanya perkataan pertama sahaja yang perlu digandakan seperti buku-buku kerja, balai-balai polis, dan wakil-wakil rakyat. Kata majmuk yang dianggap telah mantap dan dieja sebagai satu perkataan perlu digandakan keseluruhan perkataan tersebut, misalnya jawatankuasa-jawatankuasa, kakitangan-kakitangan, dan setiausaha-setiausaha.

PENGGANDAAN
Penggandaan ialah satu proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara mengulang sebahagian atau keseluruhan elemen yang terdapat dalam kata dasar. Penggandaan sering disebut sebagai reduplikasi (reduplication) dan kata yang terhasil daripada proses penggandaan disebut kata ganda. Terdapat tiga jenis penggandaan dalam bahasa Melayu, iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa, dan penggandaan berentak. Penggandaan penuh ialah proses pengulangan yang menyalin kesemua elemen yang terkandung dalam kata dasar. Kata yang terhasil itu memperlihatkan bentuk dasar dan reduplikannya mempunyai representasi morfem yang seratus peratus sama. Contoh proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak ialah bijak-bijak, anai-anai, dan pemburu-pemburu.

Penggandaan separa ialah proses pengulangan yang menyalin sebahagian daripada elemen atau segmen yang terkandung dalam kata dasar yang boleh terdiri daripada kata tunggal ataupun kata terbitan. Penggandaan separa boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar. Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya, dan letak gandaannya pada bahagian hadapan kata dasar. Misalnya, bagi kata laki-laki, proses pengulangan akan menerbitkan bentuk lalaki, dan proses modifikasi fonologi akan menghasilkan bentuk lelaki, iaitu vokal dalam bentuk gandaan tersebut telah mengalami proses pelemahan menjadikannya vokal e pepet. Contoh kata ganda separa yang lain ialah jejari, tetikus, sesiku, rerambut, dan tetupai.

Kata ganda berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak yang dikenal juga sebagai kata ganda menyaling, berima, dan bersajak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. Ada tiga jenis penggandaan berentak, iaitu bentuk pengulangan vokal seperti kaya-raya dan lauk-pauk, bentuk pengulangan konsonan seperti mundar-mandir dan mandi-manda, serta bentuk berentak bebas seperti anak-pinak dan lintang-pukang. Yang perlu difahami tentang cara menulis kata ganda ialah semuanya menggunakan tanda sengkang (-) kecuali kata ganda separa bagi kata dasar tunggal.

PENGAKRONIMAN
Pengakroniman ialah satu proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara mencantumkan elemen-elemen tertentu daripada beberapa kata dasar yang membentuk satu frasa atau kata majmuk. Akronim ialah kependekan kata daripada gabungan beberapa kata dasar dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar. Misalnya, tabika (taman bimbingan kanak-kanak), kugiran (kumpulan gitar rancak), ubahsuai (ubah sesuai), purata (pukul rat ), dan pawagam (panggung wayang gambar). Selain itu, akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, misalnya UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), JIM (Jemaah Islam Malaysia), dan MAS (Malaysian Airline System). Namun begitu, ada kekeliruan yang wujud dalam kalangan pengguna bahasa apabila menyamakan akronim dengan singkatan. Singkatan, seperti STPM, UKM, dan PKNS bukanlah akronim walaupun kependekan tersebut seolah-olah sama dengan UPSI dan UNIMAS. Hal ini demikian kerana akronim tergolong dalam kata fonologi (phonological word) yang mengandungi konstituen fonologi, iaitu suku kata, tetapi singkatan tidak sedemikian. Di samping itu, akronim boleh dilafazkan, sebaliknya singkatan tidak dan disebut satu persatu hurufnya kerana tidak mempunyai suku kata.

PENUTUP
Banyak kepentingan untuk kita memahami disiplin morfologi dan proses-prosesnya yang mencakupi empat disiplin, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan, dan pengakroniman. Selain dapat memastikan penggunaan bahasa yang lebih berkesan dan cekap, disiplin morfologi ini merupakan tunjang utama dalam Linguistik Tulen yang terdiri daripada fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik. Tanpa pengetahuan tentang morfologi, sukar untuk menghuraikan bahasa dengan mendalam dan terperinci, malah kebanyakan permasalahan bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat, terutamanya warga pendidik dan pelajar berkaitan dengan hal morfologi dan sintaksis.

1 comment:

Unknown said...

Bahan rujukan amat membantu.