Tuesday, September 27, 2005

LEWAH YANG LUMRAH

PELITA BAHASA (FEBRUARI 2005)
Dewan Bahasa dan Pustaka

LEWAH YANG LUMRAH
Daripada Kamus Dewan edisi ketiga (1994:805), perkataan lewah didefinisikan sebagai berlebih-lebihan sehingga tertambah perkara, hal, dan sebagainya yang tidak perlu, misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat. Kelewahan, atau hal dan keadaan yang berlebih-lebihan ini sering ditemukan dalam komunikasi, sama ada komunikasi lisan ataupun komunikasi tulisan. Kelewahan merupakan fenomena yang memperlihatkan berlakunya penambahan ataupun pengulangan unsur yang sudah wujud dan pada hakikatnya tidak diperlukan lagi.

Sesuatu idea yang telah terungkap dengan sempurna dalam sesuatu ayat misalnya, tidak sewajarnya diulang atau diganda kerana sifat bahasa yang turut mementingkan sifat ekonominya. Menurut R. L. Trask dalam A Dictionary of Grammatical Terms in Linguistics (1993:231), kelewahan banyak sekali berlaku dalam kebanyakan bahasa. Dalam bahasa Inggeris, ayat “My teacher scolded me last week” jelas menunjukkan fenomena kelewahan kerana penanda kala lampau (past tense) yang ditandai dengan bentuk akhiran –ed pada kata scold diulangi dengan perkataan last week yang bermaksud “minggu lepas”. Ungkapan “five pupils absent” memperlihatkan konsep jamak dinyatakan sebanyak dua kali, iaitu pada kata bilangan five dan pada kata nama pupils.

Dalam bahasa Melayu, konsep kelewahan berlaku disebabkan pelbagai keadaan seperti pengulangan perkataan seperti semua guru-guru, segala bahan-bahan, kebanyakan buku-buku, dan sekawan burung-burung. Bentuk-bentuk ini akan menjadikan ayat yang dibina tidak gramatis. Penggunaan imbuhan yang tidak diperlukan turut menjadikan perkataan tersebut mempunyai unsur kelewahan. Contohnya ialah memperbesarkan, memperolehi, dipersetujui, dan diperhalusi. Yang betul ialah memperbesar, memperoleh, disetujui, dan dihalusi.

Pengulangan kata sendi nama secara berturutan turut disinggung sebagai kelewahan seperti “selain daripada itu” dan “demi untuk”. Kebanyakan pengguna bahasa, khususnya para guru dan pelajar sering didedahkan berkenaan hal ini. Kelewahan telah diberikan penilaian yang negatif, iaitu sebagai bentuk-bentuk yang salah atau tidak gramatis berdasarkan aturan tatabahasa pegangan.

Persoalan yang ingin dikongsi bersama-sama ialah, adakah semua bentuk kelewahan yang wujud dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan bahasa yang baik dan persis? Tanpa menafikan hakikat bahawa bahasa sepatutnya diujarkan atau ditulis dengan paling baik, sempurna, dan tanpa sebarang kesilapan, seharusnya kita turut menyedari bahawa bahasa merupakan alat utama untuk berkomunikasi dan penekanan, pengulangan, mahupun penegasan dalam keadaan-keadaan tertentu akan menguatkan mesej yang hendak disampaikan. Kelewahan adakalanya memperlihatkan falsafah yang dimanifestasikan melalui akal, aspirasi, nilai, dan adat yang didukung oleh masyarakat Melayu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa banyak kelewahan bahasa yang berlaku dalam bahasa Melayu dan ironinya, tidak dianggap melanggar aturan dan hukum tatabahasa.
Jika frasa “hadiah percuma” dianggap tidak gramatis kerana hadiah sememangnya bersifat percuma, bagaimanakah pula dengan “hari Sabtu”? Bukankah Sabtu itu merupakan salah satu hari? Wajarkah perkataan “hari” ditulis?

Sebenarnya banyak contoh kelewahan lain yang perlu diteliti agar bahasa menjadi lebih ekonomis dan persis. Contohnya ialah negeri Kelantan, bunga ros, ikan haruan, warna hijau, orang perempuan, burung enggang, dan tahun 2004. Semua orang sedia maklum bahawa Kelantan itu negeri, ros itu bunga, haruan itu ikan, hijau itu warna, perempuan itu orang, enggang itu burung, dan 2004 itu tahun. Jika demikian, mengapakah kelewahan seperti ini tidak diberikan penelitian dan penilaian yang meluas serta dikaji secara analitis dan kritis?

Contoh-contoh yang diberikan di atas bukanlah kutipan sebarangan, malahan yang diperoleh daripada pengamatan pertuturan dan tulisan, baik dalam situasi formal mahupun yang tidak formal. Menyedari keadaan ini, kelewahan dapatlah ditanggapi sebagai sesuatu yang lumrah akan wujud dalam budaya berbahasa memandangkan khazanah kata bahasa Melayu yang sememangnya kaya dan indah. Dari satu segi, kelewahan dalam berbahasa perlulah diamati dengan saksama kerana jika kita menentukan hukum bahawa sebarang kelewahan akan menyebabkan kesalahan dan pencemaran bahasa, maka kita telah menafikan suatu hakikat terpenting, iaitu kelewahan perlu dilihat juga sebagai satu kekayaan, daya, dan akal dalam sistem bahasa Melayu yang menekankan keperibadian yang tersendiri dan unik.

1 comment:

Anonymous said...

Memang sejak dulu sampai kini masih ramai yang tak sedar tentang kelewahan berbahasa.

Malah ada yang tak tahu dan tak pernah dengar istilah "lewah".

Antara kesalahan yang masih wujud di televisyen bahkan di akhbar & blog-blog ialah:

1. Demi Untuk ("demi" sahaja)

2. Selain daripada itu ("selain itu" sahaja)

3. Dipersetujui/Mempersetujui ("disetujui/menyetujui" sahaja)

4. Memper... + adjektif + kan (betul = tanpa -kan)

5. Memperolehi (betul = memperoleh)


Bagaimanapun, ingin saya kritik Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) yang mengelirukan para penutur Bahasa Melayu, antaranya:

1. Baru vs Baharu

- jika menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 dan ke-4, istilah "baru" adalah baku/standard ---> namun dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (terbitan ke-5 1997) DBP memang kelihatan mempopularkan penggunaan istilah yang lebih panjang iaitu "baharu" untuk kata adjektif sedangkan "baru" telah lama diterima sebagai baku/standard bahkan dalam kamus DBP sendiri sehingga tahun 2012 (Kamus Dewan Edisi ke-4).

Kalau alasan DBP mempopularkan "baharu" dalam buku Tatabahasa itu kerana ia dikatakan ejaan asalnya, jadi kenapa DBP tak popularkan istilah "sahaya" kemudian menghapuskan istilah "saya"? - kerana asal istilah "saya" adalah daripada "sahaya".

-- Salam mesra,
Penutur/Peminat Bahasa Melayu.