Wednesday, September 21, 2005

MENU

PELITA BAHASA (SEPTEMBER 2004)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Sesekali ingin rasanya menikmati juadah di luar dengan pelbagai tujuan. Untuk merapatkan hubungan keluarga, untuk memberi kerehatan kepada isteri yang tidak jemu-jemu memasak makanan di rumah, selain merasai keenakan makanan di warung mahupun di restoran menjadi antara tujuan apabila memilih untuk makan di luar. Namun begitu, kadangkala selera terbantut sedikit dan waktu yang sepatutnya dapat membangkitkan kegembiraan tersekat. Hal ini demikian kerana menu yang tertulis dan tertera di warung, restoran, atau mana-mana tempat menjamu selera tidak begitu mendaulatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkesan dan sempurna.

Antara contoh kepincangan yang lazimnya berlaku di situ sama ada dalam menu atau pada papan iklan ialah penggunaan bahasa Inggeris seluruhnya ataupun penggunaan bahasa Melayu yang melanggar aturan bahasa. Sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perniagaan juga, bahasa Melayu sewajarnya berada pada kedudukan yang lebih baik. Walaupun bahasa Inggeris lebih diutamakan oleh para peniaga atas sebab ekonomi, namun bahasa kebangsaan tidak wajar diketepikan sama sekali. Oleh itu, sebagai sedikit panduan, di bawah diperturunkan padanan istilah pada menu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

B.Inggeris B.Melayu
seafood makanan laut
curry puff karipap
macaroni makaroni
capuccino kapucino
whipped potatoes kentang putar
swiss roll baulu gulung
congee bubur nasi
banana split pisang sejoli
float minuman apung /flot
prawn paste petis
roast chicken ayam panggang
spaghetti spageti
sky juice air kosong
sausage sosej
oxtail soup sup ekor lembu
sundae sundae
omelette telur dadar
scrambled egg telur masak hancur

Kesilapan dalam menamakan premis perniagaan sering ditemukan kerana melanggar Hukum D-M. Muslim Restoran, Selera Kafe, Sedap Warung, Lazat Medan Selera, dan banyak lagi kesalahan ini dilakukan yang sepatutnya ditulis Restoran Muslim, Kafe Selera, Warung Sedap, dan Medan Selera Lazat. Selain kesilapan dalam menamakan nama premis tersebut, banyak kesilapan lain yang agak mudah dikesan dilakukan oleh peniaga makanan. Antaranya ialah kesilapan ejaan, misalnya :
Salah Betul
bihun sup mihun sup
koay teuw kuetiau
satay / satey sate
mee goreng mi goreng
tahu tauhu
nasi beryani nasi beriani
telor rebus telur rebus
kuih bahulu kuih baulu
tom yam campur tomyam campur
sandwich sardin sandwic sardin

Budaya mencampuradukkan bahasa dalam satu menu turut dikesan. Keadaan ini jika tidak diatasi dan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab pasti akan mencemarkan bahasa Melayu. Persoalannya, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan? Tepuk dada, tanyalah selera!

No comments: