Wednesday, September 28, 2005

PUISI PILIHAN MINGGUAN MALAYSIA

GAPURA MERDEKA
(MINGGUAN MALAYSIA, 12 OGOS 2004)
*Puisi ini telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Darul Takzim V)

Satukan suara dalam laungan kebebasan
suburkan taman dengan nurani kedamaian
pasakkan di penjuru tanah tiang peradaban
kitalah penghuni setia di kota kemakmuran

Genggamlah tangan dengan erat satu bangsa
pandanglah ke hadapan dengan indera terbuka
beriringan ke gapura merdeka yang tersergam
kita lintasinya dengan nafas seirama
semangat juang yang dijulang
bergemilang memahat tugu wawasan

Gapura merdeka
menanti warga yang cekal berhati waja
berani menongkah arus menjejak permata
mengisi ruang terbuka dengan jutaan agenda
membentengi pertiwi dengan darah perwira
tanpa gentar agungkan bumi sejahtera
yang meruah dengan makmur dan kurnia

******************************************************

MENGUBAH SEJARAH
(MINGGUAN MALAYSIA, 21 NOVEMBER 2004)

Sejarah tidak pernah terlupa
untuk memberitahu kita
tentang keagungan
kemasyhuran dan kekuasaan
akan rebah di kaki
seorang pejuang
seorang penentang
seorang perempuan
malah seorang jalang !

Sejarah setia bersama kebenaran
tidak gentar mengkhabarkan cerita
tentang kedaulatan
kebijaksanaan dan keperwiraan
akhirnya kecundang
dirasuk syaitan
diterjah nafsu
ditabur intan

Inginkah kita mengubah sejarah
yang turut merakam kisah
seorang marhaen
seorang petualang
seorang yang kerdil
menjadi besar dalam sejarah
menjadi gagah tanpa digugah !

******************************************************

TANGISAN MARHAEN
(MINGGUAN MALAYSIA, 25 APRIL 2004)

Pernahkah kaukunjungi
injakkan kaki di permaidani guni
tempat bangsamu yang bergelandangan
merenung sayup riwayat dan hikayat
yang khabarnya gagah dan sempurna
gagah bertingkah !

Kamilah marhaen yang kembali mentafsir
lembar sejarah yang berbuih dengan benar
mungkin ada yang terlupa
sekadar ingin kami bertanya
kakimu telah terpijakkah
di atas guni yang bersampah
tempat kami menilai mimpi !

******************************************************

PELURU SESAT
(MINGGUAN MALAYSIA , 5 SEPTEMBER 2004)

Sulit untuk menaksir harga nyawa
jika diterjah dengan peluru
yang kononnya tersesat
picunya dipetik menghala sasaran
yang rebah terbakar bersuara parah
entah apa yang berselindung
di balik matamu yang merah
menyala bagaikan neraka

Katamu
caturmu tak terjangka tak tersangka
peluru sesat meradak dan meratah
entah bila akan terpantul kembali
mengejar dan menjejaki sipendusta
katamu itu peluru yang tersesat
atau dongeng cita-citamu yang tersesat !

******************************************************

MELUKIS POTRET MERDEKA
(MINGGUAN MALAYSIA, 3 OGOS 2003)

Di atas sekeping tanah yang berbaur
dengan perjuangan pembela kebebasan
singkirkan anasir petualang yang menjarah
para warga penggenggam cinta dan setia
melakar sejarah yang tertumpah air mata
menguning warnanya dengan kedaulatan
membiru warnanya dengan padu sekata
memutih jiwa penegak kasih luhur
membara merahnya darah tanpa undur

Di atas sekeping tanah yang bermaruah
kami lukiskan wajah kemerdekaan
dengan nukilan kecekalan tanpa gentar
di atas dada ibunda yang menghijau subur
dengan rahmat menitis dari langit sejahtera
pewaris bangsa akan berhemah mencalit warna
agar tidak tergelincir daripada garisan
potret kemerdekaan yang tergantung kukuh

******************************************************
TUMBUK RUSUK
(MINGGUAN MALAYSIA, 22 MEI 2005)

Mengapa masih mengalir
darah membusuk dan hanyir
di lohong nafsu
yang merajai akal budi

Mengapa masih ditagih
nanah pekat dan bisa membusa
pada segala keputusan
yang meruntuhkan tambak amanah
dan membina tugu sengketa
melenyapkan cita sentosa
membuak derita bangsa

Itulah daging yang akan tumbuh
itulah darah yang akan memerah
menjadi busuk dan bernanah !

******************************************************
KERIS BANGSA MERDEKA
(MINGGUAN MALAYSIA, 24 JULAI 2005)

Itulah keris
pernah meratah daging pejal penjarah
menyanggah gusar yang retak
pada mimpi sejarah yang rabak
meluap darah di dalam jasad
terpusar segala mantera pusaka
yang inginkan merdeka
tanpa luka menghunus senjata

Keris bangsa ini
berlok liku perjuangan yang satu
ceritera yang sudah kami mamah
setangginya meruap menyentap persada
anak yang terlelap bangkitkan segera
keris ini telah menjadi bukti
terhimpun khazanah gelora derita
di pustaka hayat yang payah
akan abadi selamanya
selagi dijulang semangatnya
oleh kita, anak merdeka !

******************************************************

PULANG KE TANAH
(MINGGUAN MALAYSIA, 27 MAC 2005)

Adalah kita khalifah di sfera hijau
bertiang ancala mencuram ke lembah
itu jeladeri yang berbumbung bumantara
berpuput nyaman udara menghembus
kelongsong rasa yang mengusap maya
untuk sementara kita dibekalkan nyawa
menikmati segala isi yang tersedia
dari negeri paksina yang segar
dalam kembara ke daksina yang mekar

Sekepal tanah adalah kita
temulang dan daging yang membungkus
dikembalikan nanti dengan seketul hati
untuk diadili itulah janji
tanah akan pulang ke tanah
semuanya akan terpisah

******************************************************

MENCARI BAHASA
(MINGGUAN MALAYSIA, 7 NOVEMBER 2004 )

Prasasti lampau semakin kabur
untuk kembali mengukir wajah bahasa
dahulunya bersemayam di singgahsana
ungkapan terbilang wahana cemerlang
arus kemajuan memadamkan gemilang
di peta yang koyak nasibnya seakan hilang

Berkembaralah
menegakkan semula maruah bahasa
itulah nyawa dan jiwa bangsa
pengungkap madani zaman bersilih
tutur sopan hemah bersusila
indah mekar bicara sang penyair

Kembara menjejak bahasa
cerminan akar budi bangsa
santapan berdaulat bangsa bermartabat
tinggi langit membiru di angkasa
tinggi bahasa tegak di mercunya !

******************************************************
KULEWATI TANJUNG INI
(MINGGUAN MALAYSIA, 30 NOVEMBER 2003)

Dari pinggir datar dingin di sempadan
salam bayu menghantar nukilan damai
untuk dijengah dan dibisik kalimah
yang sempurna berakar sejahtera
ketika peta perjalanan hidup yang kacau
kabur dengan tingkah manusia menderu
kukunjungi langit yang meneduh tanjung ini

Bagai bakau yang sentiasa bernyawa
sesekali ombak mengirim salam dari garisan
menyambut perkhabaran hemah bersusila
walau sering jiwa dipanah dilema
air di tanjung ini sentiasa setenang fikiran
riaknya kecil telah matang mentafsir hajat
dan malamnya menggeletar mendengar kocak
air angkuh setelah terleka dalam mimpi sejarah
di sini masih ada kekunang yang mengerlip bicara
lantas kulewati tanah di hujung benua yang pasrah
dengan janji akan kembali lagi.

******************************************************

No comments: