Tuesday, September 27, 2005

JALAN ROSAK, BAHASA PUN ROSAK

PELITA BAHASA (MEI 2005)
Dewan Bahasa dan Pustaka

JALAN ROSAK, BAHASA PUN ROSAK
Sewaktu memandu kenderaan di jalan raya, para pemandu perlu berhati-hati agar tidak ditimpa kecelakaan dan perjalanan menjadi selamat ke destinasi. Untuk mencapai tujuan tersebut, deria penglihatan memainkan peranan penting dengan melihat keadaan sekeliling supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Walaupun begitu, yang perlu kita sedari ialah ajal maut di tangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Apatah lagi, malang tidak berbau.

Walaupun begitu, masih ada yang dapat kita ubah dan menjadikannya lebih baik, misalnya aspek bahasa yang terpampang di bahu jalan melalui papan tanda yang dinaikkan bertujuan untuk memberitahu pemandu tentang sesuatu maklumat atau pemberitahuan. Sering benar kita berhadapan dengan jalan yang sedang dibaiki dan para pekerja di situ akan meletakkan papan tanda yang biasanya tertulis “Harap Maaf. Jalan Sedang Dibaiki. Kesulitan Amat Dikesali”. Bagi pemandu yang tidak peka dengan bahasa kebangsaan, pasti mereka tidak berasa apa-apa, malah bersedia memaafkan pihak berkenaan kerana menimbulkan kesulitan kepada mereka. Namun begitu, adakah para pengguna jalan raya sedar bahawa akibat penggunaan bahasa yang tidak mendukung maksud yang hendak disampaikan akan menyebabkan pengguna jalan raya pula yang kena marah ?

Merujuk kepada Kamus Dewan edisi ketiga, pada halaman 663, kata kesal bermaksud “berasa kecewa atau tidak senang hati, berasa sebal, dan berasa jengkel atas sesuatu perkara, perbuatan, dan lain-lain”. Dengan perkataan lain, “berasa marah atas sesuatu sebab”. Dalam ayat yang tertera pada papan tanda di atas, timbul pertanyaan, siapakah yang sepatutnya berasa kesal; pengguna jalan raya atau pihak yang membaiki jalan raya yang rosak itu? Mengapakah pihak yang berkenaan berasa marah, kecewa, atau tidak senang hati kepada pengguna jalan raya? Mereka yang memberikan kesulitan kepada pemandu, tetapi pemandu yang kena marah? Betulkah begitu?

Hal ini dapat dibetulkan kerana maksudnya jelas, tetapi oleh sebab penggunaan bahasa yang tidak persis, maka tidak tercapailah maksudnya. Ayat tersebut sepatutnya ditukar menjadi “Harap Maaf. Jalan Sedang Dibaiki. Kesulitan Amat Disesali”. Kamus Dewan pada halaman 1266 memberikan definisi bagi kata sesal ialah “perasaan tidak senang kerana telah melakukan sesuatu yang tidak baik (dosa dan lain-lain), keinsafan telah bersalah”. Perkataan sesal lebih tepat digunakan untuk menyampaikan maksud pada papan tanda itu bagi menggantikan kata kesal. Kesilapan ini berlaku mungkin kerana bunyi kedua-dua kata tersebut seakan-akan sama dan dianggap mendukung makna yang sama. Apatah lagi, sentimen dan semangat mencintai bahasa kebangsaan tidak begitu dimurnikan oleh pihak-pihak yang terlibat sejak dahulu lagi.

Papan tanda tersebut jika digunakan kata disesali akan merujuk kepada pihak yang membaiki jalan raya berasa bersalah, menyesal serta berasa insaf kerana membuat “dosa” atau kesalahan dengan menyukarkan perjalanan para pengguna jalan raya. Jika masih digunakan kata dikesali pasti akan merujuk kepada perasaan tidak berasa senang, kecewa, dan marah kepada pengguna jalan raya yang tidak bersalah apa-apa dalam hal ini. Terlupakah kita akan peribahasa yang menyatakan bahawa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Jelaslah, peribahasa ini telah lama mengungkapkan maksud sesal dengan tepat dan jitu, tetapi tidak begitu diendahkan oleh pengguna bahasa.

Bukan itu, sahaja, malahan banyak lagi papan tanda yang sejak dahulu terpacak di tepi-tepi jalan raya menggunakan bahasa yang tidak tepat. Contoh yang paling mudah ialah “Awas, Selekoh Merbahaya”. Mengapakah tidak mahu ditukar perkataan merbahaya itu, sedangkan imbuhan mer-.. tidak wujud dalam bahasa Melayu? Perkataan yang betul ialah berbahaya, iaitu kata bahaya menerima awalan ber-….Oleh sebab itulah, masih banyak pelajar misalnya, masih menggunakan kata merbahaya kerana mereka berasa perkataan tersebut wujud kerana sering dilihat, khususnya di kawasan jalan raya yang berbahaya.

Banyak lagi kesalahan bahasa yang dapat dikesan sepanjang menyusuri jalan raya ataupun lebuh raya. Jika kita menggunakan lebuh raya, pasti akan ternampak papan tanda ini “Nyalakan Lampu Bila Kabus”. Penulis papan tanda tersebut mungkin tidak menyedari perbezaan golongan kata dan makna yang didukung oleh bila dan apabila. Sepatutnya, ayat tersebut ditulis “Nyalakan Lampu Apabila Kabus”. Kesalahan bahasa yang lain pada papan tanda seperti tidak menjarakkan kata sendi nama di seperti dihadapan ataupun menjarakkan awalan di-… seperti di baiki memang lazimnya ditemukan. Aspek ejaan sewajarnya turut diberikan perhatian memandangkan banyak kesilapan yang dilakukan.

Penulisan pada papan tanda sebenarnya bukan sahaja dapat memberikan makluman yang diperlukan tentang keadaan jalan raya, malah dapat mendidik masyarakat agar menggunakan bahasa dengan betul. Oleh sebab jalan raya menjadi alat perhubungan yang terpenting, seyogianya hal ini tidak diremehkan.

No comments: