Wednesday, September 14, 2005

PERANCANGAN BAHASA : SIAPA, APA DAN BAGAIMANA

PELITA BAHASA (JULAI 2005)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Einer Haugen, perintis disiplin perancangan bahasa menegaskan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh pertubuhan atau jawatankuasa yang dibentuk, yang mencakupi segala tindakan untuk menyuburkan dan memupuk satu norma bahasa yang standard dikenal sebagai dasar perancangan bahasa. Aktiviti perancangan bahasa hendaklah dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa dalam konteks sosial, budaya dan perubahan teknologi yang lebih luas. Demikianlah pandangan yang diketengahkan oleh Sutan Takdir Alisjahbana (1961). Dalam Tatabahasa Dewan edisi baharu, perancangan bahasa bermaksud usaha-usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju (1995).

Sekian banyak takrifan yang dikemukakan oleh ahli bahasa berkenaan dengan definisi perancangan bahasa. Namun begitu, dalam beberapa banyak definisi yang diutarakan, yang dapat dikesan ialah aspek perancangan bahasa turut berpaut erat dengan kerangka sosiolinguistik yang menekankan persoalan siapa, apa dan bagaimana. Siapa dalam konteks perancangan bahasa akan menjurus ke arah peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh dua pihak, iaitu pihak berwenang atau berautoriti dan pihak yang akan menerima segala dasar dan keputusan yang telah diputuskan. Dalam konteks negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu-satunya agensi yang diamanahkan untuk menjalankan tugas pembinaan, pemantapan dan pengembangan bahasa. DBP tidak bersendirian, justeru pelbagai pihak turut bertindak proaktif dengan menggerakkan perencanaan dan penggemblengan usaha untuk mengisi agenda perancangan bahasa.

Selain pihak yang merancang dan menjalankan dasar bahasa, di sisinya harus ada pihak yang akan menggunakan, memartabatkan dan memurnikan dasar bahasa tersebut. Dalam hal ini, warganegara yang mengaku setia dan menjunjung perlembagaan serta undang-undang negara perlulah akur dengan segala ketetapan dasar tersebut. Persoalan siapa yang dibangkitkan ini sewajarnya turut melihat perancangan bahasa sebagai dasar yang merentas pelbagai disiplin lain, yang menuntut penglibatan menyeluruh daripada masyarakat yang bernaung dalam disiplin lain juga. Menurut Awang Sariyan dalam Ceritera Bahasa, dasar bahasa ialah dasar negara yang meliputi kepentingan semua warga dalam sesebuah negara. Hakikatnya, asas perancangan bahasa merupakan penggabungan atau penerapan disiplin sains sosial yang banyak antaranya tidak ada pengaruh dalam penentuan korpus bahasa, misalnya. Hal ini disinggung oleh Rubin dan Jernudd dalam Can Language Be Planned? (1971) yang menyatakan bahawa sifat kepelbagaian disiplin ilmu perancangan bahasa amat penting oleh sebab perancangan bahasa tidak berlaku atau wujud dengan sendirinya, ringkasnya secara evolusi. Dengan kata lain, perancangan bahasa tidak akan terbina dalam kekosongan vakum.

Gabungannya dengan ilmu sains politik merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan kerana perancangan bahasa melibatkan usaha pihak berwenang yang disetujui oleh pihak kerajaan untuk memenuhi tiga peringkat perancangan bahasa, iaitu peringkat membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang di samping kedudukan bahasa-bahasa lain, peringkat pelaksanaan rancangan yang telah disusun yang melibatkan proses pengekodan dan pemupukan, dan peringkat penilaian, iaitu peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan aktiviti perancangan. Perkara inilah yang dinyatakan dalam Tatabahasa Dewan edisi baharu (1995:21).

Penglibatan pihak kerajaan amat besar memandangkan tugas perancangan bahasa memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi atas rasional kepentingannya yang berkait rapat dengan sosiobudaya sesebuah negara, malahan pada peringkat antarabangsa. Mengantarabangsakan bahasa, dalam konteks bahasa Melayu merupakan satu mandat yang dipikul dengan kesedaran bahawa majunya sesebuah bahasa akan meletakkan taraf bangsa dan negara di persada dunia. Aspirasi inilah yang diperjuangkan oleh DBP selama ini. Dalam membicarakan konsep untuk siapa, bahasa yang dirancang bukan sekadar untuk mengisi keperluan di dalam negara, malah menjangkaui sempadan negara, malahan tidak mustahil bahasa Melayu yang menjadi bahasa keempat terbesar dunia akan mempunyai jumlah penuturnya melebihi 300 juta orang jika skop perancangan bahasa diperluas secara giat. Syaratnya yang utama ialah sesuatu bahasa itu hendaklah mampu mengungkapkan pemikiran yang tinggi, berupaya menterjemahkan kemajuan dan tamadun yang luhur, serta berkemampuan menjadi sarana pelbagai ilmu pengetahuan dan kebudayaan. Hal ini pernah ditegaskan oleh Valter Tauli dalam Advances in Language Planning (1974).
Dengan merujuk kepada perkembangan bahasa Melayu sehingga kini, tarafnya tidak sewajarnya dipertikaikan lagi. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di empat buah negara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Jika melihat pengertian bahasa dunia yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bahasa Melayu sepatutnya telah sekian lama dinobatkan sebagai bahasa dunia kerana digunakan secara meluas dan menjadi bahasa kebangsaan di empat buah negara, namun ironinya taraf tersebut tidak diberikan. Hal ini demikian kerana bahasa dunia menurut definisi PBB ialah bahasa yang dijadikan bahasa kebangsaan oleh sekurang-kurangnya dua buah negara. Antara bahasa dunia yang diberikan pengiktirafan oleh badan dunia tertinggi itu ialah bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Sepanyol dan bahasa Rusia. Yang lebih mendukacitakan ialah bahasa Rusia mempunyai jumlah penutur yang hampir sama banyak dengan bahasa Melayu. Menurut James T. Collins, bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa antarabangsa kerana sentiasa memperlihatkan ciri antarabangsa sejak zaman prasasti lagi. Kegemilangan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan abad ke-17 membuktikan kebenaran ini. Oleh sebab itu, perancangan bahasa pada masa kini tidak seharusnya mengetepikan hakikat bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama khususnya di rantau ini dan segala perancangan perlulah berpaksikan suasana pada masa ini, fokus pada masa hadapan, serta sentiasa membongkar sejarah agar perancangan bahasa menjadi lebih terarah kerana sasarannya telah termaktub dalam agenda perancangan.

Untuk menjawab persoalan apa, DBP telah berperanan untuk memantapkan pengisian korpus bahasa yang merangkum sistem bahasa termasuk ejaan, pembentukan istilah, penyediaan kamus, pembakuan bahasa, dan aktiviti kodifikasi bahasa. Telah diakukan bahawa perancangan korpus bahasa di negara ini telah mencapai tahap yang terbaik malah menjadi rujukan di negara-negara lain di rantau ini. Kerjasama dan permuafakatan yang terjalin antara Malaysia dengan Indonesia, Singapura, Brunei, dan negara lain di seluruh dunia seperti China dan Belanda memungkinkan tahap penguasaan dan keseragaman yang tinggi. Yang perlu difokuskan ialah perancangan status bahasa yang semakin tercabar sebagai akibat ledakan globalisasi dan modenisasi yang menyaksikan penguasaan bahasa Inggeris yang amat dominan. Masyarakat perlu disedarkan bahawa untuk mencapai taraf negara maju, bukanlah ditentukan oleh hanya satu bahasa. Menurut Awang Sariyan, dalam konteks pembinaan negara yang berdaulat dan bermaruah, bahasa kebangsaan yang diwartakan melalui Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan akan menjadi tonggaknya.

Untuk memenuhi idealisme yang terungkap dalam Fasal 152, Perlembagaan Malaysia, bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, dan bahasa ilmu perlulah digunakan secara meluas dalam semua ranah kehidupan. Sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, taraf bahasa Melayu sentiasa dipertingkatkan selaras dengan perkembangan semasa. Untuk memperoleh kesempurnaan dalam penggunaan bahasa Melayu yang berkesan, usaha yang bersepadu antara semua pihak mestilah diberikan perhatian yang lebih wajar. Tidak akan bermakna jika masih ada pihak yang meragui kemampuan bahasa Melayu untuk menongkah cabaran. Pihak inilah yang harus dikejutkan agar tidak terus hanyut dengan pandangan yang sempit. Sejarah perkembangan negara telah membuktikan bahawa bukan sedikit individu atau masyarakat yang cukup berjaya dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu.

Bagaimana dalam aspek perancangan bahasa menjurus kepada kaedah dan strategi untuk mencapai tahap tertentu seperti yang dikehendaki. DBP sebagai badan yang dipertanggungjawabkan memikul amanah dan mandat rakyat dalam pengekalan dan penyebaran bahasa perlu menentukan teknik terbaik dalam perancangannya. Setakat ini, dan diharapkan pada masa akan datang juga, DBP berjaya memainkan peranannya dengan begitu cemerlang kerana bahasa Melayu semakin diperteguh dan berada dalam landasan yang benar dengan program pelaksanaan yang memberikan impak kepada masyarakat di dalam dan di luar negara. Bagaimana dalam erti kata sebenarnya ialah suatu proses penggunaan teori perancangan bahasa yang sistematik, rasional dan efisien. Teori atau falsafah perancangan bahasa menjadi model deskriptif tentang prosedur empirikal yang akan diaplikasikan bagi mencapai matlamat yang dihajatkan.

Banyak model dan teori perancangan bahasa yang dapat diterapkan, misalnya Model Haugen (1966) yang menegaskan empat prosedur, iaitu pemilihan, pengekodan, pelaksanaan dan peluasan. Model Kloss (1969) melihat perancangan bahasa terdiri daripada dua dimensi, iaitu perancangan taraf dan perancangan bahan. Menurut Hassan Ahmad (1988), antara matlamat yang ingin dicapai dalam perancangan bahasa ialah bahasa tersebut dapat diterima oleh masyarakat atau pengguna bahasa dalam pelbagai ranah. Oleh sebab itu, model yang sesuai untuk digunakan atau digubal hendaklah mengambil kira keperluan masyarakat agar bahasa tersebut akan terus hidup dan utuh. Soal keperluan masyarakat hendaklah bersandar kepada konteks linguistik dan sosiologi bahasa agar bahasa yang ingin dibina dan dimartabatkan itu selari dengan norma umum masyarakat.

Dalam isu bahasa Melayu, proses perancangannya telah mencapai tahap yang praktis dan menepati rangkuman falsafahnya, malah bahasa ini telah memenuhi syarat untuk menjadi bahasa moden atau bahasa ilmu dalam maksud sebenarnya. Yang penting untuk digerakkan dan difokuskan ialah pembudayaan dan pemasyarakatan bahasa.

No comments: