Wednesday, September 28, 2005

PUISI PILIHAN BERITA MINGGU

ASTAKONA BENUA
(BERITA MINGGU, 15 SEPTEMBER 2002)

Di penjuru tanjung ini
ada riak permata sembunyi
antara sesat perjalanan
dan rumpun bakau keras mati
nyalinya rebak mekar
melela serata maya

Menyelongkar khazanahmu
disapa misteri
membedah juntaian akar piai
madah berbunga restu
dan ketika menongkah perut laut
langit jingga dijunjung makna
menunggu kunang-kunang menyeri
dengan tari yang melamar mesra
memugar tanah di penjurumu
altar suci menyalut fatamorgana
Tuhan Maha Tahu, Maha Kudus

Di penjuru astakona Tanjung Piai
mengagumi makna alam cinta

******************************************************

PENDETA BANGSA
(BERITA MINGGU, 12 JUN 2005)

Dialah pendeta bangsa yang terkasih
antara wajah hemah bestari dan khusyuk
bertafakur menggenggam seberkas janji
merandai duka demi menjulang cemerlang
sasana wibawa tercatat di lembar sejarah
yang dikait dari bintang bergemerlapan lalu
terangnya bersuluh terserlah di rimbunan perkasa

Dialah ayahanda pertiwi di tanah hijau damai
memacak akar ilmu teguh di dada para wangsa
disanggah diterjah itulah lawan yang membaja
dahanan rendang dengan kilau mutiara berzaman
dialah lidah bangsa yang berkata hikmah dan bersusila
dialah indera mata jauh memandang saujana terbentang
dialah nadi pembela merakam abad yang mewangi setia

Ayahanda bangsa menguntum kasih selamanya
seteguh jambatan azammu kami temalikan warisnya
setinggi menara wawasanmu kami gapaikan di bumantara
di datar kemakmuran kami tajalikan tanda
terima kasih kerana andil yang terbilang
maafkanlah jika ada terlanjur mencalar
menafikan hasrat yang terarca pasti
dalam utusan doa penuh takzim terdakap
kami memohon selaksa limpah rahmat sakral
pemergian ini tidak ternoktah untuk bersimpati
dan akrablah bersama bahagia bersama jernih
di telaga suci yang akan kami warisi

******************************************************

LENTERA BAHASA
(BERITA MINGGU, 21 OGOS 2005)

Nyalakanlah
dengan berani dan pasti
lentera bahasa kita
di tengah gelap yang gelita
api akan menyala
dari sumbu tekadnya
membakar segala prasangka

Pada malam yang pucat
lentera bahasa bernyala gagah
menerangi kembara ke jalan sejahtera
yang diselaputi kabus jelaga
sejak berabad lamanya
lentera tetap setia
tidak akan terpadam
biar diterjah apapun jua

Nyalakanlah
lentera bahasa kita
supaya waris nanti akan mengenal
akar budi cerminan peribadi
tunjang hadhari bijak bestari
nyalaan bahasa yang murni
terus gemerlap di laman peribumi

******************************************************

HAKIKAT
(BERITA MINGGU, 2 FEBRUARI 2003)

Telah selaut budi kami sirami
dengan air yang kami gali dari perigi janji
demi menegakkan keakraban antara kita
menafaskan kemanusiaan dalam degup yang sama
catatan sejarah tidak pernah lupa
dari darah dan daging yang sama kita diberi nyawa
hanya keangkuhan dan lagak sandiwara
menjadi garis pemisah meruntuhkan tambak setia

Wahai raja di rimba yang terluka
belajarlah untuk mengasihi saudara
kerana martabat tidak minta dicabuli
kerana kehormatan tidak minta diperjudi
kami tetap akan mempertahankan segala
tanah biarpun hanya sekangkang kera
darah biarpun hanya setitis yang tumpah
maruah biarpun hanya secarik dikhianati
wangsa berdaulat tidak pernah lena atau lupa
menuntut kebenaran suatu hakikat !

******************************************************

PADA PERSIDANGAN ITU
(BERITA MINGGU, 12 SEPTEMBER 2004)

Melangkah ke dewan dengan matlamat
berkata hujah jangan bertelingkah
menyokong tidak berpaling tadah
membantah tidak berhajat memecah
mendengar bukan hanya halwa
dibawa pulang segala agenda
melihat tidak bermata nafsu
nasib bangsa dibela perlu

Bawalah bersama mata fikir
berbicaralah dengan lidah benar
membisik rasa di telinga maruah
mendengar pendekar berkata hemah
berbincang untuk menabur hikmah
jangan pula akhirnya nanti
peribumi terdera di tanah sendiri !

Sebelum persidangan tidak berseteru
semasa persidangan kata bersatu
akhir persidangan tugas dipacu
bangsa bermaruah tegap di mercu

******************************************************

CATATAN SYAWAL
(BERITA MINGGU, 15 DISEMBER 2002)

Kala Syawal menjemput perantau pulang
di anak tangga ibu tersenyum mesra menganyam renungan
di bawah rumah raut wajah ayah merendang damai
kerana ketika gema takbir
memisahkan Syawal dengan Ramadan
ketika itu mereka dipersatukan
dengan rahmat dan keinsanan

Ibu yang telah lama tidak bersua dengan anak warga kota
memaut kasih di dalam dakapan yang bersilih
ayah yang sebati dengan wajah harapan yang uzur
menitiskan air mata tatkala ampun direla memadamkan dosa
anak yang masih sedar akan jalan pulang
cuba membongkar semula kisah silam yang belum tenggelam
bersama teman, pelita, lemang, dan rendang daging ayam

Ramadan yang menghilang menimbulkan purnama Syawal
dan Syawal juga terpaksa memahatkan suatu kenangan
anak juga akan meninggalkan tanah halaman
meninggalkan ibu yang kembali merenung di anak tangga
menyaksikan ayah yang masih diburu pengharapan
agar anak bukan hanya akan pulang ketika lebaran
usahlah didewakan medan kehidupan yang menyesakkan
di sini ada damai
di sini masih ada teman alam yang menghiburkan
selalulah pulang menjengah titik asal-usulmu

Kala Syawal masih didiami oleh kunjungan saudara dan taulan
ibu dan ayah memberikan buah tangan sebagai bekalan pulang
nun jauh di penjuru hati mereka berkata
pulanglah anakku selalu
Syawal bagi ayah dan ibu
sentiasa bernafas di dalam rindu
selagi detik masa berlalu

******************************************************
KAMUS KEHIDUPAN
(BERITA MINGGU, 13 MAC 2005)

Kamus kehidupan
merakam seluruh pengalaman
yang tidak pernah terlupa
mencatat segala peristiwa
yang melitari diri

Kamus kehidupan
menjadi cermin yang benar
menoleh sejarah yang dilakar
meramal agenda yang disasar
buat insan yang mengerti
kamus kehidupan
terlalu murni menggunung erti

******************************************************
NURBISA SAKTI
(BERITA MINGGU, 13 OKTOBER 2002)

Kekasih
kurentang permaidani yang kukutip dari sisa pelangi
untuk kau alas di hujung hati yang bersalju
dan maya seakan mengalah akan kehendakku
ghairah memasak tiang seri rindu
dikibar panji kecintaanku

Kekasih
tanpa jemputan dan undangan
kukirim sejambak mekar ingatan
yang kutenun dari bebenang harapan
ke singgahsana rindu di nyawa sakralmu

Kekasih
telah kukubur hempedu silam
di bawah nisan sesarang madunya
kerana aku semakin tahu
engkaulah nurbisa saktiku.

******************************************************
MENCEMAR MARUAH
(BERITA MINGGU, 2 NOVEMBER 1997)

Jika bentala ini mahu menyumpah
berselirat akar bergegar dewala
sang sibar tempiar kesasar
menancap peri tingkah anak-anak
yang malunya sekadar agenda
yang maruahnya terlontar ke mana

Telah terempar kemudi bicara
tinta epigoni hilang taring
nadi politikus berhutang tekad
para cendekia asyik bertanya punca
dan terasa sebak singgah di laman
alim ulama bahan dipersenda
dibidas seolah epik legenda !

Dasawarsa begini
amat gharib di tajalli minda
apa mungkin akal lena nidera
dan nifak jahil anggun bersultan
sedang kita yang terbeban
tiada jumpa epilog polemiknya

Maaf atas ketelanjuran ini
tampil sekadar mengisi
kelantangan teori konspirasi !

******************************************************

No comments: