Wednesday, September 21, 2005

PERIHAL SAMPAH

PELITA BAHASA (SEPTEMBER 2003)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Salah satu proses morfologi yang penting ialah penggandaan. Penggandaan menurut definisi Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu (hlm.49) ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata ganda tersebut diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagaian tertentu, dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Menurut John T. Jensen (terj.) Ajid Che Kob (1995:72), penggandaan ialah proses morfologi yang melibatkan pengulangan keseluruhan atau sebahagian daripada morfem untuk mengungkapkan sesuatu kategori morfologi.

Penggandaan dalam bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa, dan penggandaan berentak. Bentuk yang akan disentuh ialah penggandaan berentak atau dikenali juga sebagai penggandaan menyaling, berima, dan bersajak. Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan jenis ini, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. Terdapat tiga jenis penggandaan berentak, iaitu :
(i)penggandaan berentak pengulangan vokal, misalnya lauk-pauk.
(ii)penggandaan berentak pengulangan konsonan, misalnya kayu-kayan.
(iii)pengulangan berentak bebas, misalnya lintang-pukang.

Suatu perkara yang amat perlu disedari oleh pengguna bahasa ialah semua kata ganda kecuali kata ganda separa pada kata dasar tunggal seperti jejari dan sesiku perlu ditulis dengan meletakkan tanda sempang (-), misalnya cerai-berai, simpang-siur, dan hingar-bingar. Salah jika tanda bacaan itu tidak ditulis. Namun begitu, sering berlaku kesalahan ini dalam bahasa tulisan dan sekiranya keadaan ini berlaku, jelaslah bahawa pengguna bahasa itu tidak dapat membezakan antara kata ganda dengan kata majmuk atau frasa nama. Misalnya, bandar raya merupakan kata majmuk, ibu bapa ialah frasa nama, dan mandi-manda ialah kata ganda berentak. Yang ketara ketika menulis ketiga-tiga contoh seperti itu ialah hanya kata ganda mempunyai tanda sempang (-).

Bagaimana pula halnya dengan sampah sarap? Sampah-sarap atau sampah sarap? Yang ditulis dengan tanda sempang atau tidak? Sering kita ketemukan sampah sarap ditulis dengan tanda sempang, iaitu sampah-sarap. Sepatutnya sampah sarap tidak perlu ditulis dengan meletakkan tanda sempang. Hal ini demikian kerana sampah sarap ialah frasa nama, bukannya kata ganda. Kebanyakan pengguna bahasa tidak mengetahui keadaan ini. Kata ganda, seperti kata majmuk tidak boleh ditulis atau diselitkan apa-apa perkataan lain antara kata yang pertama dengan kata yang kedua. Pasti tidak tepat jika ditulis sayur dan mayur, hina lalu dina, dan anak serta pinak. Hal ini berlainan dengan sampah sarap. Jika dirujuki Kamus Dewan Edisi Ketiga (hlm. 1192), kita akan ketemu dengan makna sarap, iaitu sampah (daun-daun kering, debu, dll.). Makna sampah sarap ialah berbagai-bagai sampah. Tidak menjadi kesalahan jika ditulis sampah dan sarap kerana kedua-duanya boleh berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang utuh dan bermakna. Keadaan ini sama dengan frasa nama ibu dan bapa. Adakah berai, muih, pauk, pikuk, manda, kayan, dan pukang boleh berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang utuh ? Hal inilah yang membezakan antara sampah sarap dengan kata ganda berentak yang lain. Oleh sebab itu, sampah sarap tidak perlu ditulis dengan tanda sempang seperti yang menjadi kelaziman pada masa ini.

Di samping itu, jika diteliti, keadaan yang serupa juga sewajarnya berlaku bagi bukit bukau. Kamus Dewan Edisi Ketiga (hlm. 183) mendefinisikan bukau sebagai lembah dan diberikan keterangan bukit bukau sebagai bukit dan lembah. Oleh hal yang demikian, salah jika ditulis bukit-bukau dan sepatutnya frasa nama ini tidak diletakkan tanda sempang, iaitu bukit bukau kerana tidak berada dalam golongan kata ganda berentak seperti yang disangka oleh kebanyakan pihak.

Walaupun begitu, tidak terlambat untuk kita kembali membetulkan yang salah dan yang silap kerana bahasa Melayu sentiasa menuntut kita mengikuti perkembangannya agar beroleh maklumat bahasa yang tepat, jitu, dan meyakinkan.

No comments: