Wednesday, September 21, 2005

MANTAP DAN KEKECUALIAN

PELITA BAHASA (MEI 2004)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Setiap bahasa di dunia mempunyai sistemnya yang tersendiri. Sistem bahasa ini merangkumi aturan dan hukum-hukum yang perlu dipatuhi agar bahasa tersebut dapat digunakan dengan lebih berkesan dan mantap. Selain itu, sistem bahasa juga perlu dipelajari kerana sifat bahasa itu sendiri yang dinamik dan sentiasa berlaku perubahan seiring dengan perkembangan dan perancangan bahasa.

Namun begitu, suatu perkara penting yang amat perlu disedari oleh semua pengguna bahasa ialah konsep kekecualian yang wujud dalam sistem bahasa untuk menangani sesuatu permasalahan. Kekecualian dapatlah difahami sebagai sesuatu yang menyimpang, berlainan, serta terasing daripada suatu peraturan atau hukum. Konsep ini digunakan apabila sesuatu gejala bahasa terutamanya dalam aspek tatabahasa tidak dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan akibat faktor-faktor tertentu, misalnya penggunaannya yang telah meluas dan disepakati umum sebagai bentuk yang wajar walaupun ternyata tidak menepati hukum dan rumus bahasa.

Antara contoh yang dapat dikemukakan ialah pengejaan kata majmuk.Tatabahasa Dewan (TD) edisi baharu menegaskan bahawa semua kata majmuk perlulah dieja terpisah, misalnya tengah hari, urus setia, reka bentuk, jalan raya, dan kereta api. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil kata majmuk yang dieja sebagai satu perkataan walaupun bentuk kata tersebut jelas mengandungi dua kata dasar, misalnya antarabangsa, sukarela, kakitangan, olahraga, dan bumiputera. Dalam TD, tidak dinyatakan sebab yang meyakinkan keadaan ini berlaku selain menyatakan bahawa bentuk yang dieja rapat itu merupakan bentuk yang telah mantap. Persoalannya, apakah ukuran yang digunakan untuk membuktikan bahawa bentuk tersebut sebagai mantap ? Adakah para pengguna bahasa disarankan agar menghafal 15 kata majmuk yang mantap itu ? Kekecualian ini tidak mempunyai asas yang kukuh dan boleh dibahaskan.

Selain itu, aspek pengimbuhan yang melibatkan sebilangan kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s turut terkecuali daripada hukum bahasa. Kebanyakan pengguna bahasa mengetahui bahawa apabila imbuhan awalan meN-…digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan konsonan tersebut, maka konsonan tersebut akan berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya (homorganik), misalnya memakai daripada kata dasarnya pakai, menangkap (tangkap), mengutip (kutip), dan menyapu (sapu). Namun begitu, peraturan ini tidak berlaku bagi perkataan terbitan menternak, mentertawakan, mempelopori, mempengaruhi, mempelawa, mempercayai, mempunyai, mempedulikan, dan mengkaji. Oleh sebab itu, konsep kekecualian digunakan untuk menjelaskan sebab huruf pertama perkataan tersebut tidak mengalami penyesuaian walaupun perkataan tersebut bukanlah kata pinjaman.

Di samping itu, bentuk awalan ber-… yang membentuk kata kerja turut mengalami kekecualian. Peraturan bahasa yang dipetik daripada TD menyatakan bahawa apabila imbuhan ini bergabung dengan kata dasar yang mempunyai suku kata pertamanya –er-, misalnya serta, maka r dalam awalan ber-… tersebut tidak gugur dan akan membentuk berserta. Contoh lain ialah berderma, berserban, dan bercermin. Namun begitu, hukum ini bertentangan dengan perkataan terbitan bekerja, iaitu r pada imbuhan ber-… telah digugurkan melalui proses disimilasi. Walaupun bekerja dianggap sebagai suatu kekecualian, namun keadaan ini boleh mengelirukan pengguna bahasa. Oleh sebab TD merupakan buku tatabahasa pegangan, maka sewajarnya diberikan hujah yang lebih berpada untuk menerangkan sebab r tidak digugurkan selain bekerja.

Kekecualian turut berlaku bagi perkataan pembelajaran yang ternyata tidak menepati proses pembentukan kata terbitan. Bentuk yang betul ialah pemelajaran kerana bentuk tersebut terbit daripada kata kerja transitif mempelajari, bukannya daripada kata kerja tak transitif belajar yang disangka oleh kebanyakan pihak. Oleh sebab perkataan pembelajaran begitu meluas digunakan, maka diputuskan kedua-dua bentuk, iaitu pembelajaran sebagai bentuk kekecualian dan pemelajaran sebagai bentuk yang tetap diterima. Walaupun demikian, sepatutnya para pengguna bahasa, terutamanya warga pendidikan menggunakan perkataan pemelajaran kerana kesalahan tetap menjadi kesalahan dan tidak seharusnya dipermudah.

Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah, misalnya di kampung, di dewan, di sana, dan di selatan. Bagaimana pula dengan frasa sendi nama di kalangan, seperti dalam ayat Tabiat menabung di kalangan pelajar tidak begitu memberangsangkan? Adakah betul frasa ini atau frasa dalam kalangan lebih tepat? Berdasarkan hukum penggunaan sendi nama di, jelaslah bahawa kalangan tidak menunjukkan tempat atau arah tetapi bermaksud lingkungan atau golongan. Oleh itu, penggunaan frasa dalam kalangan sepatutnya digunakan kerana menepati hukum bahasa. Walaupun demikian, sekali lagi konsep kekecualian diaplikasikan kerana frasa di kalangan dianggap telah mantap dan digunakan sejak dahulu lagi. Jika kita sering menggunakan alasan “mantap” untuk menerima bentuk yang tidak tepat, kita seolah-olah cuba menutup ruang untuk dibahaskan.

Kesimpulannya, walaupun bahasa ditegakkan dengan sistemnya yang padu, namun kekecualian tetap akan berlaku dalam mana-mana bahasa sekalipun kerana bahasa merupakan milik sesuatu masyarakat dan masyarakat tersebut lebih memahami bahasanya sendiri. Walaupun demikian, kekecualian tidak seharusnya dianggap sebagai suatu pelarian dan sewajarnya diminimumkan demi memastikan bahasa kita tetap terpelihara, unggul, dan mampu merungkai segala persoalan !

No comments: