Wednesday, September 14, 2005

SOSIOLINGUISTIK DALAM PENGAJARAN BAHASA

DEWAN BAHASA (DISEMBER 2004)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah banyak memberikan penekanan terhadap sistem bahasa seperti sistem ejaan, sebutan, peristilahan, kosa kata umum, morfologi, dan sintaksis. Yang paling banyak disentuh ialah aspek morfologi dan sintaksis. Keadaan ini menyebabkan pemelajaran bahasa kadangkala menjadi kaku dan membosankan, malah menimbulkan kerisauan kerana kononnya bahasa hanya terdiri daripada rumus dan hukum bahasa, dan kesalahan dalam menggunakan sistem bahasa yang betul semasa berada di dalam kelas akan hanya merumitkan keadaan lagi. Guru yang terlatih dari segi pedagogi dituntut menggunakan pelbagai kaedah dan teknik untuk menyampaikan maklumat dan fakta-fakta sistem bahasa dengan baik dan terkini, manakala pelajar seolah-olah dibebankan dengan rumus dan aturan yang memenatkan fikiran, apatah lagi jika diajarkan secara didaktik pula. Jika demikian keadaannya, bagaimanakah fungsi dan matlamat bahasa yang sebenarnya dapat direalisasikan? Bukankah salah satu kepentingan menguasai bahasa adalah untuk membolehkan penuturnya berinteraksi serta berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam masyarakat ?

Telah diungkapkan dalam Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu, iaitu “…bertujuan membimbing pelajar-pelajar menguasai kecekapan berbahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi melahirkan fikiran dan perasaan tentang ilmu pengetahuan, hal-hal persendirian dan kemasyarakatan dalam konteks rasmi, tak rasmi, dan kreatif melalui lisan dan penulisan…”. Menurut Awang Sariyan dalam Teras Pendidikan Bahasa Melayu : Asas Pegangan Guru, pengajaran bahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata (2004 : 191). Sebaliknya, pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan dengan aspek-aspek fungsionalnya bagi membolehkan pelajar mengukuhkan keterampilan berbahasa termasuklah dari segi pragmatiknya. Fungsi bahasa sebagai alat komunikasi sosial merupakan item terpenting dalam membicarakan perkara ini. Mustahil dibuat pemisahan antara bahasa dengan masyarakat sekali gus menegaskan bahawa masyarakatlah yang membina dan mengembangkan bahasa dan bahasalah yang membentuk peradaban yang tinggi dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, guru disarankan agar menggabungjalinkan kemahiran dan teori linguistik yang bersesuaian dalam pengajaran untuk memastikan pelajar dapat menguasai bahasa yang baik melalui aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.

Oleh sebab sesuatu bahasa itu menjadi milik masyarakat, pertimbangan sosial sewajarnya tidak dibatasi oleh aliran linguistik generatif yang memberikan penekanan terhadap “kebebasan sintaksis” (the autonomy of syntax), iaitu penelitian terhadap ayat sebagai satu unsur bahasa yang harus dilakukan secara linguistik semata-mata, yakni tanpa memberikan pertimbangan terhadap aspek-aspek lain, misalnya hubungan bahasa dengan masyarakat. Pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah yang banyak menjurus kepada sistem bahasa menyebabkan tumpuan dalam penggunaan bahasa begitu terbatas dan akhirnya menghasilkan pelajar yang tidak berketerampilan menggunakan bahasa dalam interaksi sosialnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa ilmu berkenaan sistem bahasa amat perlu dititikberatkan, namun keadaan ini seharusnya diimbangi oleh keupayaan menguasai bahasa dari pelbagai segi.

S. Dik dalam Functional Grammar (1978 : 4-5) pernah membuat suatu gagasan yang menarik tentang skop bahasa yang terdiri daripada tujuan formalisme dan tujuan fungsionalisme yang menyaksikan bahasa, jika diteliti dari segi fungsionalnya ialah alat untuk interaksi sosial, berkomunikasi, wahana kebolehan dan kecekapan mengendalikan interaksi sosial, dapatan bahawa pemerolehan bahasa banyak dibantu oleh persekitaran sosial, dan penelitian tentang kecekapan komunikasi mementingkan bahasa dari sudut penggunaannya. Sebagai fenomena sosial, bahasa dilihat sebagai wadah penyalur fikiran dan perasaan yang tidak dapat dihuraikan hanya melalui penelitian terhadap aspek kegramatisan ayat. Berdasarkan hal ini, matlamat yang ingin dicapai dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa merangkum aspek kemahiran dan kebolehan menguasai ilmu bahasa dan seterusnya menggunakan bahasa dengan berkesan dalam pelbagai situasi dan ranah.

Dell Hymes dalam Foundations in Sociolinguistics : An Ethnograpic Approach (1974 : 206) menegaskan bahawa teori bahasa memerlukan penelitian terhadap pertuturan, pemerhatian terhadap persoalan fungsi, dan bahasa tidak terpisah daripada sistem-sistem sosial dan budaya lain yang beroperasi dalam sesuatu masyarakat. Sebenarnya, telah banyak yang diperkatakan oleh ahli-ahli bahasa tentang hubungan yang erat dan padu antara bahasa dengan masyarakat. Hubungan ini dalam kajian bahasa atau linguistik dikenal sebagai sosiolinguistik. Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan aplikasi bahasa yang ada hubungan dengan fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesuatu masyarakat yang tertentu. Menurut Arbak Othman dalam Permulaan Ilmu Linguistik (1983 : 155 –156), sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat komunikasi manusia. Hudson (1980 : 1) dalam Sociolinguistics menyatakan bahawa sosiolinguistik ialah kajian bahasa yang berhubung kait dengan masyarakat yang mengaitkan variasi bahasa dengan faktor sosial atau bahasa sebagai refleksi penuturnya. Keadaan ini berupaya menjalinkan pertalian yang erat antara bunyi bahasa dengan masyarakat bahasa.

Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa, pengetahuan tentang disiplin sosiolinguistik amat perlu untuk guru bagi melahirkan pelajar yang berupaya memanipulasi kemahiran yang dipelajari dan mewujudkan interaksi sosial yang berkesan. Guru perlu menyedari bahawa mengajarkan bahasa bukan sekadar mengajarkan bahasa yang kaku dan statik sifatnya dalam erti kata bebas daripada faktor-faktor sosial yang melingkarinya. Menurut J. B. Pride dalam Sociolinguistics Aspects of Language Learning and Teaching (1979 : ix), sosiolinguistik ialah “…nama yang sering diberikan terhadap kajian tentang siapa yang berkata (atau menulis) kepada siapa, bila, di mana, bagaimana, dan mengapa”. Guru seharusnya memahami bahawa mengajarkan bahasa merupakan proses mendidik pelajar supaya mempunyai kecekapan berkomunikasi seperti yang diharapkan oleh masyarakatnya sebagai wadah meneruskan kehidupan peribadinya, di samping menyumbang kepada penakatan budaya dan sosial masyarakat dan komuniti bahasanya.
Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa secara formal, guru dapat mengukuhkan pemahaman dan pengetahuan pelajar berkenaan dengan beberapa aspek penelitian sosiolinguistik melalui aktiviti lisan, bacaan, dan tulisan. Misalnya, sewaktu mengadakan aktiviti lisan, guru dapat memberikan pendedahan yang meluas kepada pelajar tentang sistem panggilan dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata ganti nama diri (personal pronouns) yang tepat amat penting untuk pelajar bagi mempersiapkan mereka dengan pengaruh sosiobudaya yang pada masa kini kurang mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Dalam ayat “Cikgu, awak belum balik ?” atau “Aku tidak datang ke kelas tambahan, cikgu,” tentulah memberikan persepsi yang kurang baik kepada pendengarnya kerana tidak mematuhi norma berbahasa, walaupun mungkin betul dari segi nahunya. Menurut Nik Safiah Karim, dalam bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri berkait rapat dengan bahasa sapaan. Bahasa sapaan didefinisikan sebagai kata yang digunakan untuk merujuk kepada orang tertentu untuk menunjukkan kedudukan sosialnya.
Kata ganti nama diri orang ialah jenis ganti nama yang merujuk kepada diri orang tertentu. Pengetahuan dan penguasaan yang baik tentang sistem kata ganti nama bahasa Melayu bukan sahaja melambangkan seseorang itu berbudi bahasa dan berhemah, tetapi menguasai pengendalian pelbagai kategori sosial dalam struktur masyarakat Melayu, yang ikut dimanifestasikan melalui pelbagai bentuk bahasa. Penggunaan bentuk ganti nama diri “aku” sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi sahaja dan daripada orang yang rendah kedudukannya kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Jika digunakan dalam suasana rasmi, akan timbullah hal yang luar biasa, misalnya dalam suatu majlis rasmi, seorang pengucap menuturkan ayat “Aku ingin menyampaikan penghargaan kepada sekalian tetamu yang hadir”, maka pengucap tersebut dianggap tidak tahu bahasa. Seseorang guru pasti akan tersentak jika pelajarnya membahasakan dirinya sebagai “aku”.

“Aku” ialah kata ganti nama diri yang dapat menimbulkan kemesraan, khususnya individu yang akrab, seperti teman sebaya atau teman sekumpulan. Dalam konteks seperti itu, penggunaan “saya” akan menyebabkan wujudnya jurang perhubungan. Bukti bahawa kata “aku” dapat menunjukkan kemesraan ialah apabila berhubungan dengan Tuhan melalui kalimah doa. Orang Melayu ( Islam ) menggunakan “aku” apabila membahasakan dirinya dengan Tuhan dan membahasakan Tuhan sebagai “Engkau”. Misalnya, “Ya Allah, kepada Engkaulah aku memohon pertolongan.” Penggunaan “saya” merupakan amalan pemakaian biasa yang digunakan apabila kita berinteraksi dengan orang yang lebih tua, lebih dihormati, dalam konteks formal, dan sebagai penanda hormat dengan orang yang belum akrab dengan kita, walaupun sebaya atau lebih muda daripada kita. Di samping itu, salah satu strategi kesantunan berbahasa ialah penggunaan “saya” sebagai tindak balas untuk memperlihatkan penyertaan seseorang dalam sesebuah percakapan atau interaksi. Bentuk seperti “mm”, “hm”, dan seumpamanya untuk menyatakan maksud penyertaan itu, dikira sebagai kurang sopan. Perkara inilah yang sewajarnya dijelaskan kepada pelajar agar kesedaran tentang penggunaan bahasa yang baik dapat dimanifestasikan melalui perlakuan dan amalan.

Selain itu, untuk maksud kesantunan bahasa, kata ganti nama orang kedua hendaklah digunakan dengan mengambil kira beberapa faktor secara serius; umur, generasi, status, konteks (sama ada rasmi atau tidak rasmi), dan jarak sosial. Bentuk panggilan untuk ganti nama orang kedua boleh terdiri daripada panggilan kekeluargaan, panggilan profesional, gelaran profesional atau kerjaya, panggilan anugerah, dan nama peribadi. Masyarakat Melayu menganggap bahawa kata ganti nama “awak”, “kamu”, dan “engkau” sebagai bentuk kasar kalau digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak-pihak yang lebih tua, berstatus, berkuasa, dan dihormati. Bentuk tersebut digunakan oleh mereka yang yang sudah pun intim dan mesra antara satu sama lain, atau oleh mereka yang lebih tua atau lebih berstatus kepada mereka yang lebih muda atau kurang berstatus. Keadaan ini berbeza dengan bahasa Inggeris kerana boleh menggunakan bentuk “you” kepada sesiapa sahaja. Oleh sebab orang Melayu menyedari bahawa masalah “kekasaran” kesemua kata ganti nama orang kedua , maka bentuk “anda” diperkenalkan pada 1960-an. Bentuk “anda” dianggap sebagai bentuk halus, yakni tidak kasar dalam wacana sopan.

Selain bentuk sapaan, para guru dapat mengajar pelajarnya tentang pantang larang dalam bahasa. Terdapat banyak perkara yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-wenangnya, terutamanya di khalayak ramai. Antaranya ialah berkenaan dengan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Perkataan dan ungkapan yang ada hubungan dengan topik ini tidak boleh diucapkan dengan sesuka hati, dan tidak boleh ditulis, terutamanya dalam wacana sopan. Malah, sesetengah kamus juga tidak menyenaraikan perkataan dan ungkapan ini. Perkara yang menjadi pantang larang untuk dibicarakan secara terbuka disebut tabu bahasa. Kamus Dewan (1994 : 1338) mendefinisikan tabu sebagai “sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali; yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada dipercakapkan”. Perkataan “tabu” berasal daripada bahasa Polinesia, iaitu tapu yang bermaksud “sesuatu yang dilarang untuk digunakan dan sesuatu yang kudus”. Oleh sebab itu, untuk dibicarakan atau dipercakapkan di khalayak, ada dua cara yang boleh digunakan, iaitu penggunaan eufemisme dan penggunaan sirkumlokusi. Eufemisme (euphemism) merupakan perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa asalnya yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji, malah dilarang penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, banyak gejala tabu bahasa dan eufemisme ini. Antaranya ialah kencing, berak, kentut, mati, jamban, babi, tahi, datang haid, beranak, pelacur, dan sebagainya. Eufemisme dapat mengatasi masalah ini dengan menggantikannya dengan buang air kecil, buang air besar, buang angin, meninggal dunia, bilik air, khinzir, uzur, bersalin, dan pekerja seks atau tunasusila. Yang menarik tentang gejala ini ialah fenomena ini tidak pula dianggap kasar atau tidak sopan semasa menyebut atau menulis ungkapan seperti kencing berdarah, kencing nanah, kencing malam, ujian air kencing, berak darah, berak air, berak besar, gila babi, siput babi, membabi buta, tahi minyak, dan tahi lalat. Peribahasa Melayu turut menggunakan ungkapan siapa hendak mengaku berak di tengah jalan dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kepentingan memberikan huraian dan penerangan yang berpada kepada pelajar akan menjadikan mereka lebih bersopan, mengerti dan akhirnya matlamat dan falsafah pendidikan bahasa akan tercapai sekiranya dijadikan amalan yang dipupuk setiap masa. Sirkumlokusi pula merujuk kepada penerangan yang panjang lebar, dan kadangkalanya bersifat berbelit-belit dan kaedah ini sesuai digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja.

Di samping itu, laras bahasa perlu diterangkan kepada pelajar kerana laras bahasa merupakan fenomena yang penting dan mendidik pelajar untuk menghayati situasi yang berlainan yang wujud di sekitar mereka. Menurut Nik Safiah dalam Laras Bahasa (1989), laras bahasa ialah satu gaya bahasa atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Pengetahuan tentang laras bahasa akan memberikan panduan dan pilihan yang tepat untuk pelajar menentukan laras yang sepatutnya mengikut situasi yang cocok agar pelajar berupaya dan berkemampuan menggunakan bahasa secara teratur yang menggambarkan kepekaan mereka terhadap situasi sosial yang berlainan. Malahan, kecekapan berbahasa juga merujuk kepada penggunaan berbagai-bagai variasi bahasa yang bersesuaian dengan masyarakat di sekitarnya. Kegagalan pelajar menggunakan laras bahasa yang betul memberikan gambaran bahawa mereka telah mengetepikan salah satu aspek penting untuk mendampingi sifat dan fungsi bahasa. Guru sewajarnya menerapkan disiplin ini untuk melahirkan warga pelajar yang bukan sahaja berkemahiran menggunakan bahasa dalam komunikasi, malah dapat membantu pelajar semasa menghadapi peperiksaan. Pelajar perlu mengetahui laras bahasa yang sesuai dan tepat sewaktu menulis yang dapat dikesan melalui penggunaan perkataan tertentu, frasa tertentu, dan ayat tertentu dalam keadaan-keadaan yang tertentu pula. Malahan, dalam bidang penterjemahan, guru dapat mendidik pelajar untuk membuat terjemahan yang baik dan berkesan tanpa menjejaskan maksud daripada bahasa sumber. Keadaan ini akan memperkaya perbendaharaan kata pelajar, selain memastikan terjemahan yang dilakukan persis dengan sumber asalnya. Oleh sebab negara kita sekarang berada dalam dunia yang semakin mengecil kerana taraf perhubungan antara negara yang memuaskan, bahasa Melayu harus mempunyai satu sifat yang disebut keupayaan menterjemahkan buah fikiran untuk disalurkan kepada bahasa-bahasa tersebut. Sebagai contoh, perkataan kabinet dalam bidang pertukangan bererti “sejenis almari”, tetapi dalam bidang sains politik kata tersebut bermakna “jemaah menteri”. Kata “sudden death” jika diterjemahkan secara langsung pasti tidak bertepatan maksudnya jika diucapkan dalam situasi permainan golf. Menyedari hakikat ini, laras bahasa seharusnya turut mendapat tempat yang lebih dominan dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah-sekolah.

Sebagai misalan, oleh sebab bidang sastera telah diperkenalkan kepada pelajar melalui Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat menengah, laras bahasa dalam sastera sering gagal didepani dengan baik oleh pelajar. Pengaruh laras bahasa sastera telah membuka ruang kepada disiplin stilistik atau ilmu gaya menganalisis karya sastera dengan dari sudut bahasa sesuai dengan sifatnya dalam hubungan yang lebih luas. Para pelajar akan didedahkan dengan menilai kemampuan karyawan memanipulasikan segala keupayaan mereka mengeksploitasikan kemungkinan bahasa. Kekuatan sesebuah karya terletak pada kekuatan bahasanya, dan sudah semestinya bergantung pada kebijaksanaan pengarangnya mengungkapkan wacana melalui fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan pragmatik. Pengetahuan yang baik dalam laras bahasa akan membantu pelajar menghayati karya yang dipelajari dan hal inilah yang memungkinkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dalam peperiksaan. Pelajar harus didedahkan dengan beberapa banyak laras yang ada supaya mereka dapat menggunakan bahasa dengan baik dan berkesan. Pelajar hendaklah juga dibantu oleh guru dalam penggunaan laras yang pelbagai untuk kesesuaian konteks dan situasi dalam mengungkapkan fikiran tentang ilmu yang ada. Kepentingan mengajarkan laras bahasa dapat ditemukan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang mengesyorkan satu peraturan hendaklah dibuat untuk memastikan kursus latihan guru dalam perkhidmatan hendaklah mengandungi unsur laras bahasa bagi bidang ilmu yang diajarkannya.

Hakikat yang amat perlu disedari ialah penerapan disiplin sosiolingusitik terlalu luas skop dan penelitiannya. Menurut Nik Safiah Karim dalam Beberapa Persoalan Linguistik Bahasa Melayu (1990 : 5), ahli bahasa menyedari bahawa bahasa berfungsi dalam masyarakat, dan bahasa berubah dan berkembang selaras dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku kepada masyarakat penuturnya. Bahasa bukan satu cara pertuturan yang digunakan dalam keadaan statik, oleh semua orang bagi semua situasi, dan dalam bentuk yang sama. Sebaliknya, bahasa berbeza-beza bergantung pada faktor persekitarannya. Dengan berlandaskan pandangan tersebut, ternyata disiplin sosiolinguistik dapat membantu guru merencanakan dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pemelajaran bahasa yang lebih hidup, menarik, dan membantu mencapai objektif pendidikan bahasa.

Dalam buku Explorations in the Functions of Language (1973), Halliday menyatakan tujuh fungsi bahasa yang wajar dikuasai, iaitu instrumental, penentu, interaksi, peribadi, heuristik, imaginatif, dan perlambangan. Fungsi instrumental berkaitan dengan tujuan bahasa digunakan untuk mencapai kesejahteraan hidup manusia, fungsi penentu berkaitan dengan tindakan atau gerak-geri penutur, sama ada menghukum, mendenda, merayu, dan sebagainya, fungsi interaksi berkenaan dengan hubungan antara sesama manusia lain, fungsi peribadi berkaitan dengan penggunaan bahasa yang mencerminkan keperibadian penuturnya, dan fungsi heuristik berkaitan dengan peranan bahasa sebagai saluran penyataan pandangan, pengetahuan, dan sikap. Selain itu, fungsi imaginatif berkaitan dengan aplikasi bahasa untuk melahirkan pandangan dan cetusan dengan cara yang estetik, indah, dan berseni, manakala fungsi perlambangan berkaitan dengan penggunaan bahasa secara lebih tersirat dan implisit. Dengan menelusur fungsi bahasa yang digariskan oleh Halliday ini, para guru pasti akan menyedari bahawa penerapan disiplin sosiolinguistik amat wajar diterapkan kepada pelajar supaya fungsi bahasa dapat dikecap oleh pelajar dengan lebih efisien.

Apabila membicarakan soal ini, hasil kajian Basil Bernstein, ahli sosiologi dari Universiti London pada era 60-an dan 70-an dapat dijadikan pegangan dan fahaman bahawa umumnya manusia mempunyai dua kod bahasa yang digunakan, iaitu bahasa terbina (elaborated code) dan bahasa terbatas (restricted code). Bahasa terbina merupakan jenis bahasa yang kurang dikuasai tetapi penting dalam sistem pendidikan, sebaliknya bahasa terbatas digunakan dalam lingkungan yang tidak formal oleh golongan dalam lingkungan sosial yang sama. Dialek merupakan contoh bahasa terbatas dan tidak mungkin dapat dihilangkan dalam sistem pendidikan bahasa yang formal kerana kajian mendapati unsur atau pengaruh dialek dapat memperkaya kosa kata pelajar. Dalam pengajaran, guru diharapkan dapat membimbing pelajar untuk memahami unsur dialek, khususnya dalam karya kreatif agar pelajar beroleh kemampuan dan rangsangan untuk menggunakannya dalam situasi yang berbeza.

Oleh sebab itu, disiplin sosiolinguistik yang menjadi antara cabang kajian linguistik yang terpenting mutakhir ini sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa. Yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan dan penerapan disiplin ini adalah penting bagi guru melaksanakan dasar dan objektif yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, fleksibel, dan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang berkehendakkan pelajar yang mampu menguasai bahasa dengan baik, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah dapat membina peradaban yang cemerlang melalui penggunaan bahasa yang betul dan kena pada tempatnya.

No comments: