Wednesday, September 21, 2005

PENANDA WACANA

PELITA BAHASA (JUN 2004)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Dalam sesebuah hasil penulisan, penggunaan penanda wacana atau dikenal juga sebagai perangkai ayat dapat memastikan wujud kesinambungan dan pertautan antara satu idea dengan idea yang lain. Kewujudannya dalam sesuatu wacana secara berkesan akan memantapkan hasil penulisan tersebut selain dapat membuat perkaitan antara ayat dengan ayat, mahupun antara perenggan dengan perenggan.

Beberapa contoh penggunaan wacana dapat diperhatikan di bawah :
1. Kerajaan amat menggalakkan rakyat mempelajari penggunaan komputer. Oleh hal yang demikian, berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk memastikan segenap lapisan masyarakat dapat mempelajarinya dengan berkesan.
2. Para pelajar diseru agar menitikberatkan pencapaian akademik. Di samping itu, kegiatan kokurikulum perlu diberikan perhatian juga.
3. Dia terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarganya. Tambahan pula, bapanya telah meninggal dunia.

Antara contoh penanda wacana yang lazimnya ditemukan dalam sesebuah penulisan ialah selain itu, di samping itu, walau bagaimanapun, apatah lagi, lebih-lebih lagi, jika demikian, oleh sebab itu, oleh itu, justeru, lantaran itu dan namun begitu. Para guru sering mengingatkan para pelajar agar tidak melupakan penanda wacana semasa menulis karangan kerana selain dapat membantu mereka menghasilkan pertautan idea, karangan yang dibina dengan menggunakan penanda wacana yang sesuai akan kelihatan lebih mantap. Penggunaan penanda wacana yang tepat pada tempatnya menunjukkan kematangan para pelajar ataupun seseorang penulis menggunakan bahasa dengan baik.

Namun begitu, kadangkala berlaku kesalahan penggunaan penanda wacana yang berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang cara menulis, fungsinya serta aspek tatabahasa yang perlu dipatuhi. Misalnya, tidak meletakkan tanda koma ( , ) selepas penanda wacana yang berfungsi sebagai frasa. Contohnya,
1. Pihak kerajaan akan memastikan pendapatan para petani dapat ditingkatkan. Oleh itu pelbagai langkah yang difikirkan sesuai sedang direncanakan.
( Sepatutnya : Oleh itu, pelbagai langkah… )
Para pengguna bahasa kadangkala menulis penanda wacana yang tidak tepat dari segi struktur tatabahasanya. Misalnya,
2. Dia amat gemar akan buah manggis. Selain daripada itu, dia juga menggemari buah nangka. ( Sepatutnya : Selain itu,… )
3. Pihak berkuasa akan memperhebat gerakan memburu penjenayah itu. Ini kerana dia sangat berbahaya. ( Sepatutnya : Hal ini demikian kerana… )
4. Suria sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum dan pencapaiannya dalam akademik amat baik. Oleh kerana itu, dia dipilih sebagai Ketua Murid. (Sepatutnya : Oleh sebab itu,… )
5. Dia berlatih di padang setiap petang. Walaubagaimanapun, dia tidak mengabaikan pelajarannya. ( Sepatutnya : Walau bagaimanapun,… )
6. Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Justeru itu, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk mengatasinya. (Sepatutnya : Oleh itu,… )

Kebanyakan pengguna bahasa menganggap justeru itu bermaksud oleh itu. Sebenarnya, jika dirujuki Kamus Dewan edisi ketiga pada halaman 551, kita akan mendapati makna justeru yang diberikan ialah :
1. kebetulan, tepat, kena benar.
2. malahan, bahkan.

Maksud yang kedua, iaitu malahan dan bahkan yang bersinonim dengan justeru. Sebab itulah tidak tepat penggunaan justeru itu kerana tidak wujud bentuk malahan itu ataupun bahkan itu. Penggunaan justeru dalam ayat yang gramatis seperti yang berikut :
7. Saya tidak pernah mengkhianatinya, justeru saya sering membantunya ketika dia dalam kesusahan.
8. Tindakan mereka bukan sahaja melanggar kemahuan orang tua mereka, justeru melanggar adab susila orang-orang timur.

Demikianlah serba ringkas penerangan yang dapat dikongsi bersama-sama dalam usaha kita menggunakan dan menggalakkan penggunaan bahasa yang betul, berkesan, dan menepati hukum bahasa. Semoga bahasa kita dapat dimartabatkan dengan keazaman untuk membetulkan kebiasaan yang salah dan membiasakan penggunaan yang betul.

3 comments:

Anonymous said...

terima kasih..saya dapat 1 ilmu hari ini.

Anonymous said...

Ulasan yang baik dan berkesan.. termia kasih

Anonymous said...

Assalamualaikum...saya nak bertanya bagaimanakah kita mahu meningkatkan kemahiran penggunaan penanda wacana dalam kalangan pelajar?