Saturday, February 07, 2009

PPSMI: HUJAH DAN PANDANGAN TUN MAHATHIR

BAHAN INI SAYA PETIK DARIPADA BLOG CHE DET UNTUK KITA RENUNGI BERSAMA-SAMA DAN SAYA BERHARAP AGAR PENGUNJUNG DAPAT MEMAHAMI SEBAB PPSMI DILAKSANAKAN DI NEGARA INI BERDASARKAN HUJAH BELIAU. SEPERTI YANG KITA SEDIA MAKLUM, BELIAULAH YANG MENCETUSKAN IDEA DAN MELAKSANAKAN DASAR YANG KINI SEDANG GIAT DIPERJUANGKAN AGAR DIMANSUHKAN OLEH MAJORITI ORANG MELAYU.

22. Saya ucap terima kasih kepada Cikgu Dari Ulu yang belajar sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya dan sekarang menjadi guru sains dalam bahasa Melayu juga.
23. Namun saudara sokong penggunaan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik. 24. Ya. Program ini bukan untuk memusnahkan identiti bangsa Melayu.
25. Saya sebenarnya mendapat pelajaran dari sekolah rendah hingga ke Universiti (perubatan) dalam Bahasa Inggeris.
26. Saya fikir saya masih boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, walaupun tidak sebaik seperti pakar bahasa.
27. Adat resam dan budaya saya adalah adat resam dan budaya Melayu.
28. Saya percaya saya diterima sebagai Melayu.
29. Jelas menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris tidak menjadikan saya kurang Melayu.
30. Takkanlah hanya kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan kita lupa bahasa kita, dan kita kurang Melayu.
31. Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Untuk ini sudah ada matapelajaran bahasa Inggeris.
32. Penggunaan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik adalah kerana ilmu ini mengguna perkataan-perkataan yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa. Juga ilmu-ilmu baru dalam bidang sains terutamanya diterokai dan diperkenalkan melalui kertas-kertas akademik hampir tiap hari. Dan hampir semuanya didapati di dalam bahasa Inggeris.
33. Kita boleh terjemahkan kertas-kertas ini. Untuk ini kita perlu penterjemah yang fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa kita dan juga berkelulusan dalam bidang sains berkenaan. Kita tidak ada ramai orang seperti ini sekarang pun. Jika ada pun mereka tidak berminat untuk kerja ini sepanjang hayat. Apabila semua belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, di manakah akan kita cari orang yang fasih dalam bahasa Inggeris untuk membuat penterjemahan.
34. Dalam satu pertemuan saya telah beri contoh dalam bidang telekomunikasi, khususnya telefon sel. Kecanggihannya bertambah sepanjang masa. Ini semua adalah hasil pemahaman dalam ilmu dan teknologi "micro circuit", dalam cip, dan bagaimana menulis "software" untuknya.
35. Kita tidak perlu bahasa Inggeris untuk mengguna segala kemudahan dalam cell-phone. Tetapi untuk mencipta dan meningkatkan keupayaan cell-phone kita perlu ilmu yang berkenaan yang mana ilmu ini terdapat dalam bahasa Inggeris. Mungkin sudah ada buku-buku dalam bahasa Melayu berkenaan sains ini tetapi saya belum jumpa buku yang boleh menolong kita mencipta alatan yang mengguna sains ini. Sehingga kita ada buku ini kita perlu buku dalam bahasa Inggeris, syarahan dalam bahasa Inggeris, tunjuk ajar dalam bahasa Inggeris. Jika tidak maka kita akan terus jadi bangsa pengguna.
36. Untuk menjadi bangsa maju kita perlu ilmu pengetahuan yang luas. Hanya boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan kita bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa maju yang lain.
37. Saya sayangkan bahasa saya. Sejak 1947 lagi saya telah perjuangkan bahasa saya. Bukanlah niat saya untuk mengenepikan bahasa dan bangsa saya apabila saya buat keputusan untuk mengguna bahasa Inggeris dalam sains dan matematik. Niat saya ialah sebaliknya. Niat saya ialah supaya bangsa saya tidak ketinggalan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik yang begitu penting dalam menentukan maju/mundurnya sesuatu bangsa. Niat saya ialah supaya bangsa saya akan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang termaju di dunia.
38. Insya'allah apabila kita di masa akan datang sudah dapat mendiri tamadun Melayu yang termaju sama seperti tamadun moden yang terkenal di dunia, apabila pendita-pendita dan saintis Melayu dapat meneroka dan menyumbang kepada keilmuan sains dunia, maka pada masa itu para saintis asing akan mempelajari bahasa Melayu untuk mendapat ilmu sains sepertimana orang Arab mempelajari bahasa Yunani, Hindi, Cina, untuk menguasai ilmu-ilmu yang diterokai oleh bangsa-bangsa ini; sepertimana orang Eropah mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu-ilmu sains dan matematik yang diterokai dan dikuasai oleh orang Arab pada abad ke-15 Masehi.
39. Inilah sejarah keilmuan tamadun manusia sejak zaman Hammurabi lagi.

* Penulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuknya yang asal - WITRA

5 comments:

Anonymous said...

Tuan Azhar yang dihormati,

1. Jika tuan berkesempatan dan berkesudian memantau dan membaca tentang Tun Mahathir@PPSMI, ada komentar yang mungkin agak radikal sikit (maaf ya tuan...) daripada sasterawan prolifik Malaysia dan kawasan utara Semenanjung seperti maklumat di bawah:

http://aziziabdullah.blogspot.com/2009/01/kalau-nak-bersih-lalang-cabut-akar.html

2. Namun... sejak majlis perasmian GMP di Jln TAR (SOGO) KL, ada 'propaganda' dalam media cetak perdana (khasnya Utusan Malaysia) hampir setiap hari banyak memperkecilkan dan 'memandang hina' perjuangan GMP sama ada dalam ruangan Forum Pembaca dan berita oleh Menteri dan pengikut-pengikutnya.

3. Saya sering menerima e-mel tentang pelbagai skim menjana @ menambah pendapatan / jualan langsung / MLM dan pelbagai lagi yang saya terus padamkan (delete). Mohon pendapat Tuan Azhar... apakah perlu 'melayan' sekadar mebacanya..., atau satu salinan e-mel tersebut saya sampaikan (forward) kepada tuan sama ada benar atau tidak 'tawaran-tawaran istimewa dan khas' ini dalam menjana wang atau pendapatan tersebut?!

Sekian. Terima kasih.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI.

songkok hitam said...

Alangkah sayunya diri apabila melihat Melayu 'memadai dengan bahasa mudah untuk percakapan sehari-hari' dan tidak bercita-cita untuk mengangkat martabat bahasa Melayu seperti bahasa yang maju lain.

Tanpa memikirkan akibat bahasa asing yang sedang mengasak dan mangambil alih tempat bahasa Melayu. Bahasa asing sedang mengetepikan bahasa tempatan.

Tetapi kita masih bersikap tak apa, alpa dan lupa. Bacul. Gila.

Chun Ping said...

cikgu, blog cikgu sangat sangat sangat sangat sangat sangat baik!!!!! harap blog cikgu akan dapat nama yg baik di seluruh dunia.
teruskan usaha cikgu!

Azhar Salleh said...

Selamat sejahtera CHUN PING,
Terima kasih kerana mengunjungi blog cikgu. Cikgu akan pastikan blog ini akan sentiasa memuatkan berita dan artikel yang menarik dan sesuai. Cikgu akan terus berusaha untuk memastikan blog ini mencapai tahap yang baik agar dapat dinikmati oleh semua pengunjung.

Azhar Salleh said...

Salam INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI,
Saya telah melawati blog Azizi Abdullah (nasib baik tak tersasul Azizi Ali!) itu, dan mendapati artikel yang ditulis Azizi itu patut direnungi dengan sedalam-dalamnya. Namun demikian, untuk mengheret Tun Mahathir agar mengakui kesilapannya tidak begitu relevan kerana sesuatu dasar yang salah daripada pemimpin terdahulu boleh dibetulkan oleh pemimpin sekarang. Membiarkan kesilapan itu terus berlaku merupakan kelemahan pemimpin sekarang. Jikalau tanpa kuasa, ya, Mahathirlah paksi segala kesalahan, tetapi sekarang, siapa yang berkuasa? Pendek kata, mereka yang meneruskan dasar PPSMI ini berada dalam kesesatan kerana membiarkan kemungkaran ini terus berleluasa.
Tentang e-mel atau risalah tentang menjana pendapatan itu, kita haruslah berfikiran positif. Tidak semua risalah tersebut palsu atau menipu. Ada yang betul dan benar. Terpulanglah kepada kita untuk membuat penilaian dan penentuan. Jika dikatakan palsu atau mitos, bagaimana pula dengan individu yang telah berjaya! Namun begitu, sikap berhati-hati dan skeptikal perlu diamalkan kerana pada masa ini, agak banyak yang bersifat penipuan. Sebab itulah, saya tidak mencadangkan kepada sesiapa pun untuk menyertai apa-apa program menjana kewangan jika kita sendiri tidak memahami operasinya. Jika kita tidak berminat untuk melibatkan diri dalam bidang itu, saya percaya pintu rezeki akan terbuka kepada kita dalam bidang yang lain. Satu pintu tertutup tidak bermakna pintu yang lain tidak terbuka. Yang penting, fahami sesuatu program itu dengan baik sebelum bertindak untuk melibatkan diri dalam bidang atau perniagaan itu. Jika tidak, kita seperti meletakkan leher kita untuk dipancung oleh mereka. Dan yang lebih tragik, tidak ada sesiapa yang akan menolong kita. Nasihat saya, berfikirlah dengan mendalam sebelum wang kita dileburkan.

Salam SONGKOK HITAM,
Terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Saya terharu kerana saudara berada di landasan yang sama dengan pejuang-pejuang bahasa! Saya berharap agar saudara akan terus memperjuangkan bahasa Melayu. Bangsa Melayu yang menyokong PPSMI ini ada kepentingan. Agak menghairankan jika bangsa Melayu boleh menyokong dasar ini jika tanpa kepentingan apa-apa. Misalnya, guru-guru PPSMI, jika ditanya, adakah mereka akan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam BI, jika diberi pilihan (atau tidak diberi imbuhan dan lap top), saya percaya hampir kesemua guru akan menyatakan bahawa PPSMI tidak mungkin dapat memandaikan murid, apatah lagi murid di luar bandar! Namun, sekarang, banyak guru Melayu yang mengajar PPSMI menyokong dasar ini dengan mencipta pelbagai hujah yang memualkan kerana mereka mendapat imbuhan elaun dan lap top! Golongan ini tidaklah ramai kerana masih banyak guru PPSMI yang tidak menyokong dasar ini, namun mereka terikat dengan dasar kerajaan kerana mereka penjawat awam. Saya sendiri pernah memberitahu Guru Besar saya bahawa jika saya dihantar berkursus PPSMI, saya akan mohon tukar ke sekolah lain! Saya lebih menyayangi bahasa saya jika dibandingkan dengan imbuhan 10% dan lap top itu. Maruah bangsa tidak boleh sama sekali dibeli dengan wang! Saya tidak mahu mengkhianati bahasa dan bangsa saya. Kepada guru-guru PPSMI dan menyokong dasar ini, jika anda membaca tulisan ini, percayalah bahawa saya sukar untuk menghormati anda lagi! Anda boleh berhujah dengan seribu hujah untuk menang dalam hal ini, tetapi saya tetap berpendirian bahawa PPSMI bukanlah caranya untuk menjadikan pelajar bijak dalam sains dan matematik! Anda juga perlu tahu bahawa saya juga seorang guru!