Tuesday, February 17, 2009

TATABAHASA: REFLEKSIF, BENEFAKTIF, LOKATIF DAN KAUSATIF


oleh Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan DBP)
(Sumber: Akhbar Sisipan Tutor)

Dalam tatabahasa bahasa Melayu terdapat beberapa banyak istilah khusus yang dikaitkan dengan makna sesuatu kata terbitan. Istilah tersebut bertujuan bagi menggambarkan konsep atau makna yang terkandung dalam kata tersebut.

Kebanyakan istilah ini diserap daripada kata bahasa Inggeris yang dimelayukan ejaannya, yakni diubahsuaikan ejaannya secara minimum daripada ejaan bentuk asalnya. Antara istilah tersebut termasuklah istilah refleksif, benefaktif, lokatif, dan kausatif. Kesemua istilah yang tersebut itu berkait rapat dengan kata kerja, iaitu salah satu golongan kata utama bahasa Melayu.

Refleksif (reflexive) ialah makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam sebarang ayat bagi menandakan perbuatan yang melibatkan diri sendiri, ataupun perbuatan yang mengenai diri sendiri. Dengan bahasa yang mudah hasil kerja atau akibat kerja yang dilakukan oleh seseorang pembuat akan mengenai dirinya sendiri, tidak mengenai orang atau benda lain. Contohnya; bercukur, berhias, berjemur, berbedak, berdandan, bersandar, bersembunyi, dan lain-lain sebagainya.

Jika kita mengatakan “Abang sedang bercukur, dan kakak masih berhias”, maksudnya abang melakukan perbuatan bercukur; maka yang kena cukur ialah (misai) abang. Demikian pula kakak kena oleh perbuatan hias yang dilakukan olehnya sendiri. Kedua-dua kata kerja bercukur dan berhias ialah kata kerja tak transitif berawalan “ber-”, yang menunjukkan hasil perbuatan yang mengenai diri sendiri.

Kausatif mendukung maksud makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam ayat. Kaitan ini bagi tujuan menandakan perbuatan yang menyebabkan sesuatu keadaan atau kejadian yang berlaku. Imbuhan yang dimaksudkan ialah akhiran “-kan” dan “-i”, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”. Contohnya:
1. Raju menghadiahkan sehelai kain sari kepada Kamaladevi.
2. Raju menghadiahi Kamaladevi sehelai kain sari.
3. Akan saya baiki kerosakan ini.
4. Sambungkan tali ini.

Ayat 1 dan 2 ialah ayat penyata yang mengandungi kata kerja transitif menghadiahkan dan menghadiahi. Ayat 3 pula ialah ayat pasif pelaku pertama yang mengandungi kata kerja pasif berimbuhan akhiran “-i”, sementara ayat 4 merupakan ayat arahan yang mengandungi kata kerja transitif berakhiran “-kan”.

Kesemua ayat 1 – 4 tersebut mendukung makna kausatif, kerana wujudnya keadaan suatu pihak melakukan sesuatu perbuatan. Dalam ayat 1 dan 2, Raju melakukan perbuatan (menghadiahkan), dan wujud juga perbuatan penerimaan oleh Kamaladevi. Maksud yang dibawa keadaan ini ditandai oleh imbuhan “me-...-kan”, dan “me-...-i”.

Ayat 3 dan 4 mempunyai kata kerja kata baiki dan sambungkan. Akhiran “-i” dan “-kan” pada kata kerja transitif itu menunjukkan maksud kausatif. Maksud tersebut digambarkan oleh fungsi akhiran “-i” dan “kan-”.

Maksud benefaktif atau manfaat ditandai oleh imbuhan “-kan”, “me-...-kan” dan “me-...-i”. Pengertian manfaat merujuk sesuatu perbuatan yang dilaksanakan untuk faedah pihak lain, bukan pihak yang melakukan perbuatan itu. Contohnya:
5. Abang membelikan adik kasut roda.
6. Adik membacakan ayahnya surat.
7. Gorengkan ikan ini untuk suamimu.

Ayat 5 menyatakan bahawa abang melakukan perbuatan (membeli) untuk faedah adiknya. Adik, dalam ayat 6, melakukan perbuatan (membacakan) surat untuk faedah atau manfaat ayahnya. Dalam ayat perintah 7, seseorang melaksanakan perbuatan (menggoreng) untuk manfaat atau faedah suaminya. Begitu pula dengan maksud imbuhan dalam kata membacakan dan gorengkan.

Istilah lokatif bermaksud makna tatabahasa yang berkaitan dengan imbuhan dalam ayat yang menandakan tempat berlakunya sesuatu perbuatan. Imbuhan yang mendukung maksud ini ialah “meN- ...-i” atau akhiran “-...i”. Misalnya dalam ayat:
8. Kami menaiki bas setiap hari.
9. Ali menghampiri lembaga itu.
10. Hendaklah kami dampingi orang yang berilmu.

Secara perbandingan, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”, mempunyai persamaan dan perbezaan maksud. Yang ketara ialah kedua-duanya membentuk kata kerja transitif dengan maksud kausatif. Kelainannya pula bahawa “me-...-i” memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat; manakala akhiran “-kan” mengandungi unsur benefaktif.

Demikian maksud beberapa istilah yang dikaitkan fungsinya dengan kata kerja terbitan berimbuhan.

4 comments:

Anonymous said...

Tuan Azhar yang dihormati dan dihargai,

a. Terima kasih atas komen balas tuan terhadap tulisan saya dalam entri 'KEWANGAN:
RAHSIA MENAMBAHKAN PENDAPATAN MELALUI PEMASARAN INFORMASI'. Saya tertarik pandangan tuan iaitu ‘Seperkara lagi, saya melihat saudara agak (amat?) skeptikal tentang isu nasional yang hangat diperkatakan.’
( Dalam KD4, skeptikal (sképtikal) waswas, kurang percaya, ragu-ragu. )
Mohon maaf Tuan Azhar jika pandangan sinis saya terhadap pemerintah agak (amat?) skeptikal itu.... hehehe….

b. Sebentar tadi saya mendengar dan menonton berita TV, dalam laporan sukan pemberita mengucapkan ayat berikut:
"XXXXX telah berjaya menjaringkan gol keempat pasukan XXXXXXX dalam perlawanan tersebut MELENGKAPI kemenangan besar pasukannya."
Soalan: Apakah penggunaan MELENGKAPI dalam konteks ayat di atas itu salah, jika salah... bolehkah tuan membetulkan dengan memberikan sedikit penerangan?

( Dalam KD4, melengkapi 1. menokok tambah supaya lengkap: pengantin itu dilengkapi sepertinya: 2. mempersiapkan, memperalati (dgn senjata dll) supaya lengkap: kilang itu dilengkapi jentera-jentera moden; )

c. Satu lagi, saya tertarik dengan ayat tuan iaitu ‘Namun, bersediakah bangsa kita? Ya, saudara bersedia, tetapi di luar sana, banyak anjing yang sedang meratah tulang bangsanya, ataupun menunggu peluang untuk menjamah sisa hampas yang keluar dari usus mereka! Ironi sekali...tragik dan meloyakan!’ Ya Tuan Azhar… sesuatu yang tengah melanda kini secara berperingkat-peringkat!

Sekian, terima kasih Tuan Azhar.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI

Azhar Salleh said...

Salam INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI

Pertanyaan saudara tentang "melengkapi" dalam ayat XXXXX telah berjaya menjaringkan gol keempat pasukan XXXXXXX dalam perlawanan tersebut MELENGKAPI kemenangan besar pasukannya."

Ayat di atas betul kerana "melengkapi" dalam konteks ayat di atas bermaksud gol yang dijaringkan itu merupakan penokok tambah bagi ketiga-tiga gol yang telah dijaringkan sebelum itu. Lazimnya, keadaan yang berlaku itu menggunakan bentuk "meN...i" kerana "meN...kan" merujuk kepada seseorang melakukan sesuatu supaya terhasil kata kerja yang digunakan. Misalnya, banjir menenggelami rumah. Adik menenggelamkan itik DIGI. Ada perbezaan makna dalam kedua-dua ayat itu; satu berlaku sendiri dan satu lagi berlaku kerana ada orang yang mengambil tindakan. Dalam konteks di atas, jika hendak digunakan bentuk "melengkapkan", ayat contohnya ialah Pemain itu melengkapkan kemenangan pasukannya.
Demikianlah serba ringkas penjelasan saya.

Anonymous said...

Tuan Azhar yang dihormati,

1. Berbanyak terima kasih atas jawapan dan penerangan yang baik dan mudah oleh tuan di atas.

2. Saya akan ke luar negara bermula 20 - 23/2/09 ini atas urusan rasmi dan tidak rasmi. Hanya 1 jam perjalanan menaiki pesawat untuk sampai ke sana. Semenjak mengikuti dan membaca blog tuan terutama dalam hal-hal pengurusan kewangan, saya akan cuba tinjau-tinjau dahulu di toko buku 'di luar negara' ini jika terdapat buku-buku yang berkenan di hati...? Namun, pantau dan baca blog tuan akan cuba diusahakan juga kerana ingin terus secara dekat dan konsisten mengikuti tulisan dan pandangan serta kutipan entri dalam blog tuan walaupun berada 'di luar negara'. Hehehe...

Sekian, terima kasih Tuan Azhar.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI

nafysha masri said...

salam,boleh tak tuan letak ruangan follower utk blog tuan ni? saya pelajat stpm dan saya sgt perlukan update daripada blog tuan kerana sukatan pelajaran bahasa malaysia stpm lebih mudah difahami melalui bacaan di blog tuan,bacaan ini sangat menbantu saya,harap tuan maklum tentang perkara berkenaan,;)