Monday, February 23, 2009

SUATU KEHILANGAN: TOK YANG KEMBALI KE RAHMATULLAH

1. Hari ini, jam 2.45 petang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang saudara, Mak Su Shun.
2. Selepas memberikan salam, dan saya menyambut salamnya, dia berkata
"Ard, Tok Asa tak dak dah".
3. Innalillah...itulah sebaris ayat yang mampu saya katakan.
4. Tok yang saya kasihi telah kembali ke rahmatullah. Tok yang amat mengasihi saya telah kembali menemui Allah s.w.t. Pukul 2.30 petang tadi.
5. Terus terbayang di kelopak mata saya, wajah seorang tua yang bersinar. Selama saya hidup, tidak pernah walau sekalipun saya melihat wajahnya berkerut atau rusuh.
6. Minggu lepas, ketika dia masih terlantar di hospital saya menghubungi Mak Su Shun, dan saya sempat berbicara dengan Tok.
7. Saya menyatakan bahawa saya tidak dapat pulang menjengahnya kerana jarak yang jauh. Dia faham keadaan saya. Dia berkata bahawa dia semakin baik. Esok dia akan keluar dari hospital. Saya bersyukur kerana kesihatannya makin pulih. Dia mengalami masalah jantung.
8. Yang mengharukan saya ialah ketika bercakap dengannya, dia berkata begini;
"Tok ingat kat Ard. Tok ingat kat Ard". (Ard ialah nama timangan saya di kampung)
9. Saya tidak dapat menafikan bahawa Tok sangat mengasihi saya. Apabila saya berada di kampung, dia akan menunggu saya datang ke rumahnya. Terpancar kegembiraan apabila saya menziarahinya. Saya akan memeluk Tok dan mencium pipi Tok. Bergenang air mata Tok setiap kali saya memeluknya.
"Ard, jangan lupa mai ghumah Tok bila balik"
"Hangpa dulu Tok yang jaga."
10. Tapi, Tok sudah tiada...
11. Tok akan dikebumikan pukul 10 pagi esok.
12. Ard tahu Tok sangat sayang kepada Ard. Tok selalu beritahu orang bahawa Ard mengambil berat tentangnya. Ard sentiasa teringat Tok. Ard tak dapat memeluk Tok lagi. Dua hari lepas Ard bercerita kepada Sue bahawa gulai Tok sedap kerana Tok guna rempah giling. Sejak kecil Ard makan gulai Tok walaupun gulai itu sudah dua hari dimasak tetapi tidak basi.
13. Ard sedih kerana tak dapat memberikan sedikit wang belanja kepada Tok lagi. Tok mengalirkan air mata apabila Ard bersalam dan menghulurkan sedikit wang apabila Ard balik.
14. Kali terakhir Ard jumpa Tok ketika cuti penggal dulu, bulan 11 dan 12.
15. Ard bawa Tok ke rumah sepupu Ard di Permatang Indah, pergi ke rumah Mak Tih di Permatang Kerai. Tok tak pernah naik kereta Ard. Itulah kali pertama, dan itulah kali terakhir.
16. Ard sedih kerana tak dapat melihat wajah Tok untuk kali terakhir. Ard sangat sedih, Tok!
17. Maafkan kesalahan Ard, Tok. Semoga Tok tenang di sisi Allah. Semoga Tok dikumpulkan dengan orang beriman dan bertakwa. Semoga dosa Tok akan diampunkan Allah. Semoga amal ibadat Tok akan diterima Allah. Semoga Tok akan menjadi kekasih Allah.
18. Ard tidak dapat menulis lagi...Ard menangis, Tok. Ya, Allah, Engkau rahmatilah Tok yang aku kasihi...

7 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

AL-FATIHAH daripada saya buat Tok Asa cikgu.

Sekian.

rar/

Citra Wangsa said...

Aduhaiii...sedihnya. Saya pun tak dapat menahan kesedihan. Mengalir juga air mata ni, walaupun Tok tu bukan Tok saya...

Purba Laira said...

SALAM TAKZIAH CIKGU. SEMOGA ROHNYA DITEMPATKAN DALAM KALANGAN ORANG YANG BERIMAN.AL-FATIHAH.

CHE MAT

Melihat Kesunyataan said...

Sdr. Azhar,
Salam Takziah! Begitulah setiap yang hidup akan kembali kepada-Nya. Redakanlah.

PENGARANG said...

Takziah, Azhar!
Daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

Azhar Salleh said...

Salam CHE MAT, salam TUAN HAJI SHAPIAI, salam CIKGU ABU NAIM, salam RAR, salam AZURA,

Terima kasih atas ucapan, prihatin, dan simpati atas kepergian Tok saya. Pemergiannya menginsafkan kita yg masih hidup. moga-moga rohnya dicucuri rahmat drpd Allah. Al-Fatihah kepadanya,semoga Tok saya tenang di sisi-Nya. Terima kasih banyak-banyak.

CIKGUSITY said...
This comment has been removed by the author.