Wednesday, February 11, 2009

PPSMI : TEMU RAMAH DENGAN PAKAR FIZIK UKM, PROF. DATUK DR. MOHD YUSOF OTHMAN

Siaran : Berita @ Bernama (Rangkaian 502 Astro BERNAMA TV).
Tarikh / Masa : 10 Februari 2009 / 1.45 tengah hari.
Tajuk : Bahagian 2 Laporan PPSMI.
Jumlah Masa Rakaman : 4 minit 26 saat.
(Catatan: Di bawah ini disertakan sedikit transkripsi hasil daripada rakaman dalam temu bual tersebut. Hampir 80% rakaman sebenar dapat ditranskripsikan.)
_____________________________________________________________ v/o: (Dalam laporan kedua ini, wartawan BERNAMA TV, Rohana Nasrah mendapatkan pandangan pakar sains dan matematik untuk mengetahui tentang pengajaran sains dan matematik. Menurut pakar fizik UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusof Othman; jika pengajaran sains dan matematik menggunakan bahasa yang tidak difahami, ilmu sains itu tidak akan berkembang, dan ia boleh dianggap salah.)

Kalau kita ingin nak tahu sains, kita mesti fahami apa itu teori ilmu dalam sains, jadi dalam teori ilmu sains ini, mengajar ilmu sains dalam bahasa yang tak difahami oleh seseorang itu adalah salah, salah 100%! salah sungguh! salah yang amat sangat! Ini tak bererti bahawa kita menolak bahasa Inggeris, tak! Bahasa Inggeris itu penting, tapi bahasa Inggeris perlu diajar dalam epistemologi bahasa Inggeris, teori ilmu bahasa Inggeris.

v/o: (Katanya, bukan ingin menolak kepentingan bahasa Inggeris, tetapi bahasa kebangsaan itu sudah mempunyai peranan yang besar bagi memastikan negara mencapai kemajuan berteraskan jati diri bangsa.)

Berapa ramai orang-orang termasuk diri saya sendiri yang buat PHD, yang jadi medical doctor, menjadi ahli cermin mata, ahli farmasi yang berjaya melalui bahasa Melayu. Saya tak kata bahasa Inggeris tak penting ia penting, tapi bukan di peringkat rendah di peringkat sekolahpun, ia penting terutama di universiti.

v/o: (Mohd. Yusof berkata, mata pelajaran sains itu mempunyai bahasa istilahnya sendiri, dan jika tidak menggunakan bahasa Inggeris, pelajar masih boleh memahami proses sains tersebut, tetapi pemahaman menyeluruh terhadap proses sains tercapai jika diterangkan dalam bahasa yang difahami pelajar.)

Kita ambil 3 tabung uji, letak 3 kapas, letak air, letak baja urea, 3 kacang sama, letak tabung uji di tempat panas, gelap, dan di tingkap, yang mana tumbuh segar? Yang tengah panas, pokok perlu cahaya matahari tak perlu pergi ke fotosintesis tak perlu, perlu bahasa Inggeris tak? Di sekolah-sekolah cikgu kelam kabut mengajar! sebab budak tak faham bahasa Inggeris.

v/o: (Menurutnya, negara Jepun jauh lebih maju daripada Malaysia, mereka menggunakan bahasa Jepun dalam sistem pendidikannya. Katanya, negara Jepun dibentuk berdasarkan peradaban negara itu bertunjangkan peradaban berdasarkan bahasa dan budayanya.)

v/o: (Mohd. Yusof menegaskan, akta yang termaktub dalam perlembagaan dan menjadi asas kepada rukun negara perlu sentiasa dihormati, beliau bimbang jika bahasa Melayu tidak lagi digunakan. Jelasnya, statistik pencapaian bukannya justifikasi untuk mengajar dalam bahasa orang lain.)

Statistik bukan justifikasi untuk kita ajar dalam bahasa orang lain, apatah lagi di Malaysia ini, bahasa Melayu itu ada dalam perlembagaan, lagi salah! maka ini salah konteks dalam perlembagaan, rukun negara, keluhuran perlembagaan, kita tak bangunkan rukun negara itu.

v/o: (Ilmu terbangun dalam tuntutan berbudaya, Ilmu matematik dan proses sains akan terbangun apabila komunikasi dua hala dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami antara tenaga pengajar dan pelajar, ilmu itu pasti berjaya.)
________________________________________________________________ v/o - suara ulasan wartawan dalam laporan tersebut.


* Bahan ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuk asal yang telah dihantar oleh Saudara RAR. Terima kasih atas sumbangan ini. - WITRA

3 comments:

al-Misri said...

Salam cikgu, & apa khabar? Saya sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Dr. Mohd Yusof Othman tentang bahasa sebagai teras ilmu. Kalau ilmu itu bukan daripada bahasa yang mudah difahami, maka sukarlah kita untuk memahami dan menghayatinya. Kita harus terus bangkit!

Lumut Pagi said...

Salam...

Prof Yusof sentiasa 'di atas kakinya' apabila menyatakan sesuatu yang sudah nyata akan jawapannya..Saya tumpang gembira sebagai anak didiknya..


p/s: Jemput ke rumah 'kami' Jumaat ini..:)

Azhar Salleh said...

Salam Saudara AL-MISRI,
Sememangnya telah terlalu banyak hujah dan pandangan dikemukakan kepada mereka yang masih berdegil tentang isu ini. Tetapi, pintu hati mereka tertutup begitu rapat hingga menjadi terlalu gelap! Bagi mereka, ini bukan soal ilmu lagi, tetapi lebih kepada periuk nasi masing-masing yg perlu dijaga. Soal maruah bahasa dan bangsa bukanlah soal yang utama bagi mereka kerana kekayaan dan harta milik rakyat yang dikuasai perlu diagihkan kepada juak-juak mereka. Saya percaya bahawa mereka sedang menuju ke satu zaman; zaman kehancuran!

Salam LUMUT PAGI,
Bertuahlah saudara kerana tok guru anda seorang yang berani. Saudara mestilah bersama-sama dengan guru saudara utk memperkatakan kebenaran, biarpun kita diasak dan digertak. Ya, kebenaran akan muncul dan akan menghapuskan kejahilan. Itu sudah pasti dan sekarang kita sedang melihat pergolakan dalam kalangan bangsa Melayu, adakah itu satu petanda bahawa perjuangan kita diperkenankan Tuhan? Adakah itu petanda bahawa bangsa Melayu (dibaca;pemimpin Melayu) semakin menghampiri pembalasannya? Ya, saya percaya!