Jimadie Shah Othman Feb 12, 09 2:41pm
(Sumber: Malaysiakini)
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menempelak "media massa tertentu" kerana didakwanya menggambarkan pejuang bahasa yang menentang dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) "seolah-olah bodoh dan fanatik".
Pengerusi jawatankuasa induk gabungan NGO dan parti politik pembangkang itu, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, sejak mereka melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di ibunegara hujung bulan lalu, terdapat usaha di media "memunasabahkan perkara (PPSMI) yang salah".
Beliau yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, media-media itu hanya mengambil pandangan dari tepi-tepi jalan "tetapi tidak bertanya langsung kepada tokoh dan pejuang bahasa".
Dr Hassan juga mendakwa terdapat media yang mengadakan tinjauan pendapat umum "tetapi hanya berdasarkan responden yang terhad antara 500 hingga 1,000 orang sahaja".
"Bagaimanakah kita hendak tentukan nasib bangsa (berdasarkan jumlah responden itu) sedangkan ratusan ribu pelajar mengalami masalah dengan dasar itu? "Kita mahukan media tertentu menggunakan data untuk mempertahankan dasar itu," katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur pagi tadi.
"TV3 misalnya, patut bincangkan perkara ini. Cuba pergi ke Sarawak, duduk dalam kelas, tengok sendiri apa yang berlaku. Janganlah tanya makcik yang tengah goreng pisang, duduk di warung-warung," tambahnya.
Ditanya apakah tujuan media memberikan laporan negatif terhadap GMP, Dr Hassan berkata: "Itu kena tanya dia (media terbabit). Mungkin suara orang atas. Kalau cakap banyak kena buang."
Serah memo pada MP
Dr Hassan bagaimanapun berkata, tidak semua media yang mengamalkan sikap tersebut.Akhbar berbahasa Cina, tambahnya, konsisten menyiarkan fakta-fakta yang betul sehingga menimbulkan kesedaran di kalangan NGO dan ahli parti politik kaum itu - MCA.
Beliau yang juga pengarah Yayasan Karyawan bagaimanapun tidak berniat memboikot media terbabit."Tidak perlu boikot, kalau boikot tidak masuk terus," katanya berseloroh.
Beliau juga berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada semua ahli Parlimen pada 17 Februari depan, untuk meminta mereka menyuarakan perkara itu di Dewan Rakyat.Parlimen akan menyambung sidangnya Isnin depan.
Turut serta dalam sidang media itu ialah Sasterawan Negara A Samad Said, Prof Sains Dr Shahrir Md Zain dan ketua penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kait.GMP dalam sidang media selama kira-kira sejam itu turut mengedarkan kenyataan akhbar setebal 13 halaman yang menyenaraikan fakta-fakta kegagalan PPSMI, berdasarkan kajian ilmiah dan bebas yang dibuat oleh sarjana tempatan.'
Dr M penguncup bahasa'
Sementara itu, A Samad pula berkata, walaupun beliau sendiri seorang sasterawan negara, tetapi pandangannya ada yang tidak disiar atau kurang diberi keutamaan oleh media arus perdana.
Bagaimanapun, penulis pelbagai genre kreatif itu berkata, belum ada karya-karyanya yang digam di media-media."Kalau gam, gamlah. Setakat ini tidak ada. Saya hanya cakap apa yang benar. Saya katakan apa yang benar," katanya.A Samad juga menempelak "sekumpulan kecil elitis kuasa yang sombong" dan tidak mahu mendengar bantahan ahli bahasa dan sastera berhubung gesaan pemansuhan dasar itu.
Katanya, jika perkara itu berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti akhbar-akhbar utama berbahasa Melayu yang lama seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, akan berkubur.
Beliau turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan dasar itu sebagai "penguncup bahasa".Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein pula disifatkan beliau sebagai "pelanjut penguncup bahasa".
Hujung minggu ini, GMP akan memberikan sokongan kepada sebuah lagi badan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang akan membuat laporan polis ekoran pelaksanaan PPSMI yang didakwanya melanggar perlembagaan pada Ahad ini.
* Artikel ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuknya yang asal - WITRA
Thursday, February 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Cikgu,
1. SN A. Samad Said bersuara semakin lantang dan terbuka, tahniah! Paling tertarik dengan kata-katanya di bawah:
Beliau turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan dasar itu sebagai "penguncup bahasa".Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein pula disifatkan beliau sebagai "pelanjut penguncup bahasa".
2. Tahniah juga buat GAPENA kerana tidak akan berganjak untuk membuat laporan polis tentang PPSMI yang didakwa melanggar perlembagaan. Tidak perlu hingga 80 - 90 laporan polis dalam masa 3 - 4 hari (hehehe.... "jangan main-main dengan saya...!") kerana hal bahasa Melayu ini jelas terkandung dalam perlembagaan.
3. Alangkah cantik dan baiknya jika puak-puak dan juak-juak parti Melayu terbesar berusia 60 tahun lebih itu berdemonstrasi secara aktif pasal bahasa Melayu..., ini sibuk dari Perlis hingga Johor berdemonstrasi kerana hal-hal XXXXXXXXX, CUMA TERTANYA-TANYA KINI SIAPA DAN PIHAK MANAKAH YANG BERKUASA DALAM NEGARA YANG MEWUJUDKAN MAHKAMAH KHAS RAJA SATU KETIKA DAHULU? (hehehe.... "jangan main-main dengan saya...!")
Sekian.
rar/
Salam RAR,
He..he..he..Jangan main-main dengan saya juga! Saya percaya bahawa suara Sasterawan Negara dan pejuang-pejuang bahasa seperti Hassan Ahmad dan Awang Sariyan akan dimamah masa dan berlalu dibawa pawana kesesatan yang ditiup oleh pemimpin Melayu! Ya, akan hilang dan lenyap suara-suara keramat yang berani dan tidak gentar itu. Selagi kita masih menyokong golongan ini, saya percaya bahawa mereka akan bertepuk sorak kerana mendakwa mereka disokong. Jadi, bagaimana lagi harus dilakukan, melainkan menamatkan riwayat siasah mereka dengan tanda X! Ya, kita nantikan ketika itu, bangsa yang sedar akan upaya bahasanya akan bangkit dan menentang kezaliman dan ketidakadilan ini. Namun, kita mesti terus bersuara, berbicara dan menegakkan kebenaran walau di tengah laman mereka! Saya pasti suara kita akan lebih melaung dan bergema di mana-mana selagi ada peluang, ruang, dan kesempatan. Namun satu hakikatnya, kita semakin dilemahkan...ya, semakin diperolokkan...Ingat, jangan main-main dengan saya! He...he...he...
Ya, saya bersetuju dengan pandangan RAR tentang mahkamah khas itu. siapa yang mewujudkannya, dan kenapa sekarang berarak dan bertempik setiap hari utk membelanya? Ludah mereka sudah slupprr...jatuh ke muka sendiri! Memang kita perlu bangkit menentang sesiapa yang berkurang ajar, tetapi siapa yang berkurang ajar itu? Siapa yang menghakis imuniti? Siapa yang berkuasa sekarang; sebuah kapal yang karam atau sebuah boneka yang dayus!
Cikgu,
1. Sekadar sesekali ingin buat catatan 'bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran' untuk sama-sama berkongsi idea. Catatan ini dibuat tergesa-gesa kerana balas @ komen blog Hasrina berjudul 'Kisah Tak Sampai' seperti di bawah:
___________________________________
KASIHNYA RACAU
Mereka melalak meracau tiba-tiba
tunjuk rasa hati rasa jiwa
lakaran aksi kata diusik media
demi kasih disalut emosi membara.
Mereka terus melalak meracau
riuh di tanah timah merayau
di tanah lain sama meracau
"hukum penderhaka itu yang kacau"
hak dan istimewa insan terimbau.
Mereka melalak dan meracau itu
sedar! merekalah bersyarat dahulu
ruang bicara khas insan kaku.
Juang mereka ini terkatup sedar
tercatat agenda wajib berkisar
demi bahasa ibundamu besar.
Indahnya andai,
mereka yang melalak dalam pandai
membela darah dan roh insan ramai
demi bahasa ibunda terjaga damai.
rar - 140209
___________________________________
2. Maaf, kerana catatan 'bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran' di atas kurang terarah dan bermutu akibat tergesa-gesa. Namun apa-apapun sekadar ingin berkongsi bersama-sama.
Sekian.
rar/
Post a Comment