LanH Tue Feb 03, 09 12:12:40 pm MYT
(Sumber Harakahdaily)
Enam tahun bukan tempoh singkat; bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula sejak 2003 bukan menyepi ditelan masa sebaliknya berterusan dan menyinga akhir-akhir ini. Terbaru Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 31 Januari oleh Pengerusinya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad.
Mereka dilaporkan akan menggerakkan massa (menghimpunkan 100,000 peserta), membabitkan pelbagai golongan, daripada kumpulan cendekiawan, pencinta bahasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang ramai bagi menzahirkan bantahan; antara lain menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, dijadualkan pada 7 Mac depan.
Ruangan komentar ini sudah beberapa kali memuzakarahkan isu ini termasuk mengutarakan suara dan rintihan rakyat tetapi kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran belum mengambil suatu pendekatan tegas menanganinya. Pada hujung tahun lalu, diadakan lima pusingan dialog (meja bulat)berhubung PPSMI tetapi apabila sesi persekolahan bermula pada Januari, murid masih mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan forum PPSMI, ada pandangan pro dan kontra mengenainya. Kita memahaminya; kerana masing-masing mahukan yang terbaik bagi masa depan generasi muda dan negara. Bagaimanapun kebanyakannya adalah berdasarkan perspektif dan pengalaman masing-masing, tidak terikat dengan fakta; malahan pelaksanaan PPSMI tidak berdasarkan eksperimen dan kajian emperikal.
Demikianlah jika tidak diselesaikan masalah PPSMI ini, kita percaya ia akan berlarutan bukan saja selepas enam tahun seperti sekarang ini, malah 10, 20 atau 30 tahun akan datang. Perkara ini hanya menghabiskan tenaga dan masa, sedangkan anak bangsa dan negara perlu disiapkan dalam mendepani cabaran lebih hebat.
Kita berpendapat bahawa pro dan kontra PPSMI perlu ditamatkan segera; sebaliknya rujukan perlu dibuat kepada ketetapan 'standard'. Apabila ini dilakukan perbalahan dapat diakhiri manakala pelanggar ketetapan itu dihukum tidak kira apa pangkat dan kedudukan mereka.
Berdasarkan ini kita amat bersetuju dengan tindakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan. Gapena mempunyai premis baik dalam hal ini kerana pemimpin yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apabila sesuatu dasar itu dibuat dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, tentulah ia terbatal dengan sendirinya.
Persoalannya, setakat mana keseriusan Gapena atau pihak-pihak berkaitan dalam mengheret pelaksana PPSMI ini ke muka pengadilan? Kita bimbang tindakan undang-undang akan memakan masa panjang; tiada kelihatan cahaya pada hujung terowong, sedangkan anak-anak di sekolah menjadi mangsa ketidak-tentuan ini.
Demikianlah betapa negara kini dilanda kemelut besar gara-gara pemimpin yang memerintah tidak mengikut hukum sehingga Perlembagaan Persekutuan pun dilanggarnya. Adalah amat bahaya jika seseorang itu memerintah mengikut akal, tanpa mempedulikan undang-undang sedia ada.
Bagi manusia yang akalnya terbatas, Allah SWT telah menyediakan garis panduan (hukum-hakam)nya yang terkandung dalam al-Quran dan diterjemahkan dalam kehidupan oleh Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Manusia termasuk pemimpin tidak akan terpesong jika menuruti hukum-hakam Allah, malah dia dijanjikan kedudukan mulia di sisi Rasul jika memerintah secara adil.
Jika hukum Allah pun tidak mahu diikuti pemimpin, apatah lagi untuk patuh kepada undang-undang ciptaan manusia termasuk Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengikuti nafsu yang akhirnya menyebabkan seluruh negara terjerumus dalam kemelut tiada kesudahan.
Kepada pemimpin berkenaan (siapa makan cili dia terasa pedasnya), insaflah dan kembalilah ke pangkal jalan. Jika sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di sekolah, kembalikanlah kedudukan itu, usah berdalih lagi!
* artikel ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuk yang asal - WITRA
Thursday, February 05, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Ubat degil kerajaan dengan PPSMI sebenarnya ada pada rakyat. Salah satu daripadanya yang akan dibuat pada 7 Mac ini. Selain itu pilihan raya akan datang tahulah apa yang patut dibuat.
Salam MUKHLAS,
Saya berterima kasih kerana saudara mengunjungi blog saya. Saya bersetuju dengan pandangan saudara bahawa rakyat boleh menentukan hala tuju dan nasib PPSMI. Namun, hakikatnya, untuk meraih sokongan rakyat agar menentang PPSMI bukanlah tugas yang mudah. Paling penting, rakyat mestilah diyakini bahawa BM mampu menjadi bahasa ilmu dalam sains dan matematik. Dan BI bukanlah penentu kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Satu pengajaran daripada episod PPSMI ini ialah BM mestilah diyakini dahulu sebagai bahasa yang berwibawa. Jikalau hal ini tidak berjaya dilakukan, saya percaya kita akan kerugian dalam dua perkara; kehilangan martabat BM dan penerusan dasar PPSMI. Yang dikendong berciciran kerana yang dikejar tak dapat! BM harus dibangkitkan dan jikalau kita sendiri mencemarkannya, usahlah ingin mendabik dada sebagai penentang PPSMI! Tidak ada gunakan ludah ke langit, kerana ludah itu akan jatuh ke muka kita sendiri. Apa-apapun, saudara teruskanlah perjuangan ini. Allah bersama-sama dengan orang yang benar, demi bangsa dan agamanya!
Post a Comment