Friday, February 20, 2009

TATABAHASA: INI KERANA?

Salam hormat,
1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".
2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.
3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.
4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".
5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?
6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.
7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?
9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?
10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?
11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?
12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.
13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.
14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).
16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.
17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.
18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.
19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".
20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.
21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana...".

* Jika pengunjung memerlukan khidmat nasihat tentang tatabahasa, saya sedia membantu saudara kerana saya percaya bahawa bantu-membantu akan menjadikan kita lebih dewasa dan berfikiran terbuka, luas, dan inilah salah satu cara untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

16 comments:

Anonymous said...

Terima kasih atas maklumat yang tuan kongsikan.

Mohon untuk pautkan blog tuan dan juga mohon untuk ambil catatan tuan (dengan sumber rujukan blog tuan) untuk dikongsikan dalam blog saya.

Terima kasih.

Azhar Salleh said...

Salam MENDEWA,
Saya juga mengucapkan terima kasih kerana saudara mengunjungi blog saya. Salam pertemuan di alam maya. Tentang permintaan saudara, saya tidak keberatan, malah mengizinkannya agar mutu bahasa kita terpelihara dan sama-sama beroleh manfaat.
Teruskan perjuangan ini! Berjihad demi bahasa yang kita sayangi!

Arkib PPSMI said...

Salam.

Maklumat ini sangat berguna. Terima kasih.

1. "Dengan berdasarkan fakta itu, maka dapatlah kita" atau "Berdasarkan fakta itu, dapatlah kita"?

2. "Mengkebumikan" atau "mengebumikan"?

3. "Jerayawara" atau "jerayawara-wara" sebab wara ialah kata dasar yang tidak dapat berdiri sendiri?

Terima kasih atas bantuan tuan.

CIKGU TAN CL said...

Usaha munsyi Dewan amat penting dalam memurnikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pengguna bahasa.
Realitinya, banyak kesalahan umum dalam aspek tatabahasa yang masih digunakan oleh pelajar dan penggunaa bahasa. Saya berharap kita dapat sama-sama membetulkan kesalahan mereka kerana 'betulkan yang salah, biasakan yang betul'.

Salam perkenalan di alam maya.

CIKGU TAN
www.cikgutancl.blogspot.com

Anonymous said...

Salam Bapak Azhar (Cikgu),

1. Sudah 4 hari tidak berkunjung ke blog Bapak serta udah lama ngak mengutus komen dalam blog Bapak ini... ya, saya baru pulang hari ini. Selamat adanya, Bapak Azhar gimana... apa kabar?

2. Ketika di sana, saya sempat ke beberapa toko buku, agak lumayan juga buku yang ada termasuk yang baharu dan terkini... buku kiat keuangan, buku hukum bahasa, buku sastra kreatif dan pelbagai buku bacaan umum yang menarik termasuk PULUHAN BUKU TERJEMAHAN yang ada dalam tempoh terbitan tahun 2008 dan 2009 termasuk buku terjemahan tentang Presiden Baharu AS Barack Obama (sebagai contohnya).

3. Ya... banyak sekali buku kiat keuangan yang memenuhi rak buku di situ (semestinya ada rak istimewa dan khas sifatnya buat buku keuangan) sama ada tulisan asli rakyat negara itu maupun yang terjemahan sifatnya. Tanggapan saya..., jika buku keuangan hingga 3 - 4 rak diletakkan untuk paparan dan jualan, makanya tanggapan mudah saya bahwa rakyat di sana juga 'menggilakan' kiat keuangan kok...?

4. Juga ngak ketinggalan buku-buku hal bahasa, hukum bahasa dan sastra yang juga terdapat di sana menarik perhatian (namun tidak sebanyak buku kiat keuangan).

Sekian Bapak Azhar, makasih ya... hehehe...

rar/

Waris NS said...

Inilah blog yang saya cari. Blog ini akan membantu saya memperbaiki bahasa saya.

Kenapa ahli Parlimen kata "dengan izin" apabila gunakan BI?

Baiknya jangan diizinkan.

Azhar Salleh said...

Salam ARKIB PPSMI,
Terima kasih atas kunjungan saudara.
Berkaitan dengan kemusykilan saudara, izinkan saya memberikan penerangan berdasarkan pengetahuan sedia ada.
1. Pertama sekali, adakah betul binaan "Dengan berdasarkan fakta itu"? "Dengan" ialah kata hubung dan kata sendi nama. Yang pasti, "dengan" pada binaan tersebut bukan kata sendi nama, tetapi kata hubung keterangan cara. Contoh ayatnya, "Dia mengecat rumahnya dengan menggunakan berus". Berdasarkan maklumat itu,tidak menjadi kesalahan jika kita menggunakan bentuk itu kerana "dengan" merujuk kepada unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Namun demikian, sekiranya kita hendak menggunakan bentuk "Berdasarkan fakta itu" sahaja, tidak menjadi kesalahan juga. "Berdasarkan fakta itu" membawa maksud "berdasar pada fakta itu". Kedua, "maka dapatlah kita" atau "dapatlah kita". Kedua-dua bentuk tersebut betul. Perkataan "maka" ialah kata pangkal ayat yang digunakan di bahagian hadapan ayat yang berfungsi sebagai penanda kesinambungan ayat dalam sesuatu wacana. Bentuk "maka" ini berfungsi sebagai unsur penegas tentang hal yang diperkatakan. Jadi, tidak salah jika digunakan "maka dapatlah kita" dan tidak salah jika digunakan "dapatlah kita".
2. Yang betul ialah "mengebumikan". Menurut rumus PTKS, kata dasar yang bermula dengan huruf "k" akan lebur jika diimbuhkan dengan imbuhan "meN-". Contoh lain ialah "mengetengahkan", bukannya "mengketengahkan".
3. "Jerayawara" atau "Jerayawara-wara"? Memang betul "wara" ialah kata dasar yang tidak dapat berdiri sendiri kerana bentuknya yang betul ialah "wara-wara". Namun demikian, bentuk "jerayawara" digunakan dalam Kamus Dewan, dan bentuk "jerayawara-wara" tidak disenaraikan. Dalam proses penggubalan istilah, kadangkala sesuatu bentuk asal akan disesuaikan untuk membentuk makna baharu. Perkataan "jerayawara" berasal daripada perkataan "jeraya" bermaksud "jalan" dalam bahasa sukuan Sarawak, manakala "wara-wara" daripada bahasa Indonesia/Jawa. Oleh sebab bentuk ini merupakan padanan istilah bagi "roadshow", maka bentuk "jerayawara" tidak menjadi kesalahan. Contoh lain ialah "bicarawara" bagi padanan "talkshow".
Saya berharap penjelasan ini dapat merungkaikan kemusykilan saudara. Yang benar dan baik daripada Allah, dan yang serba terkhilaf datangnya daripada saya. Terima kasih.

Azhar Salleh said...

Salam CIKGU TAN C L,
Terima kasih atas kunjungan saudara. Saya berasa bangga dan berbesar hati kerana menerima kunjungan saudara. Ya, saya amat bersetuju dengan pendapat saudara bahawa kita perlu berusaha gigih untuk membetulkan kesalahan bahasa para pengguna atau masyarakat di sekeliling kita. Bukan menjadi tanggungjawab Munsyi Dewan sahaja, malahan sesiapa yang mengaku warganegara Malaysia perlu mengakui hakikat bahawa BM perlu didaulatkan dan dimartabatkan melalui penggunaan bahasa yang betul. Kita perlu bersama-sama untuk mempelajari BM dan menyebarkannya. Salam silaturahim di alam maya, untuk saudara juga.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Jejak kaki di Malaysia, terus layan WITRA! Apa lagi yang mampu saya perkatakan melainkan ucapan terima kasih banyak-banyak! Memang di sana banyak buku terjemahan, tetapi kenapa di sini tidak sedemikian? Adakah ini tandanya kita kekurangan penterjemah? Jikalau demikian,mampukah BM berkembang kerana tanpa terjemahan, bagaimana ilmu dapat disebarluaskan? Ya, sesekali kita perlu memprovokasi perjuangan sendiri! Apa-apapun, syukur kerana RAR telah kembali! Ya, kembali melayani WITRA! Kembali dengan pelbagai misi dan visi! Ada masa, kita boleh berkongsi cerita. Apa kata kalau RAR ikut saya ke Kluang, Khamis ini?

Azhar Salleh said...

Salam WARIS NS,
Terima kasih atas kunjungan saudara. Saya berasa bangga kerana saudara berusaha untuk membaiki (bukannya memperbaiki) mutu bahasa saudara.
Tentang kemusykilan saudara, "Kenapa ahli Parlimen kata "dengan izin" apabila gunakan BI? Baiknya jangan diizinkan".
Bahasa dan bangsa Melayu amat mengambil berat soal kesantunan bahasa. Aspek kesantunan bahasa akan memperlihatkan budi bahasa dan peribadi seseorang. Oleh sebab Parlimen merupakan dewan yang bersifat rasmi (sangat rasmi sebenarnya!), maka BM perlu digunakan seluruhnya. Menjadi kesalahan sekiranya Ahli Parlimen berbicara dalam bahasa-bahasa lain, misalnya BI. Oleh sebab itu, ada sesetengah Ahli Parlimen yang berasakan bahawa ayat atau ungkapan yang hendak digunakan itu lebih jelas maksudnya jika dituturkan dalam BI, maka beliau perlu meminta izin. Memang benar, dan saya sangat bersetuju jika keizinan tidak perlu diberi, namun sudah menjadi adat Ahli Parlimen (khususnya yang berbangsa Melayu)ingin menonjolkan kelebihan berbahasa Inggeris agar kelihatan lebih moden, maka digunakan BI. Dari segi kesantunan, ya, ungkapan itu perlu disebut, tetapi dari segi kewajaran, saya percaya bahawa kita sudah muak dengan mereka yang berlagak itu! Dalam kes-kes tertentu, mungkin ada kewajarannya, tetapi saya melihatnya sebagai "suatu situasi yang memperlekeh BM!" Tahniah kerana saudara berpandangan demikian. Saya menyokong pandangan saudara. Namun demikian, ada ketikanya kita perlu berlapang dada sekali-sekala apabila berhadapan dengan situasi seperti itu. Sekurang-kurangnya, ungkapan "dengan izin" membuktikan bahawa mereka masih menghormati dan mengakui BM sebagai bahasa rasmi. Bagaimanakah pula dengan "pihak yang berkuasa" yang sentiasa mencari ruang untuk mengatakan bahawa BM tidak mampu menjadi bahasa ilmu atau tidak mengakui BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan? Mudah jawapannya, singkirkan sahaja!

Waris NS said...

Salam.

Cikgu,
Terima kasih kerana memberikan penerangan yang jelas. Saya akan berusaha membaiki kesilapan, insya-Allah.

Al-Fatihah untuk Tok Ard.

Arkib PPSMI said...

Salam Tuan Azhar.

Alhamdulillah, semoga Allah memberkati usaha tuan. Semoga tuan bersabar atas pemergian Tok.

Terima kasih atas penjelasan tuan. Memang cukup jelas, tuan.

Insya-Allah, entri blog ini, khususnya yang berkaitan dengan bahasa Melayu, akan menjadi bacaan tetap saya.

Terima kasih sekali lagi.

Unknown said...

Assalamualaikum Cikgu Azhar
Tahniah. Akhirnya dapat juga memiliki sebuah blog. Tak sia-sia perbincangan kita tempohari dengan Cikgu Ghalib dan Cikgu Ujang. Semoga usaha cikgu akan menambahkan keyakinan dan keupayaan rakan guru BM di Johor Bahru dan seluruh Malaysia.

Azhar Salleh said...

Salam CIKGU ABD RAZAK,
Waalaikumussalam, terima kasih kerana mengunjungi blog saya yang tidak seberapa ini. Maklumlah, saya pun bukannya pandai sangat bab komputer ni. Memang tidak sia-sia perbincangan kita dahulu di Singgah Selalu. Bila pulak kita dapat berbual lagi ye? Mudah-mudahan usaha kecil ini mampu memberikan manfaat yang besar. Dan saya berharap agar blog ini akan dapat menjadi medan untuk saya menyalurkan pandangan dan idea. Terima kasih, cikgu!

Anonymous said...

Assalam, terima kasih, perkongsian yg menarik.
Saya ada soalan, adakah betul tatabahasa ayat ini?
-obses dengan duniawi
-jika dilihat pada umat zaman sekarang
-tidaklah hanya sabagai sebuah
-jurusan pengajian islam

Anonymous said...

salam. saya memerlukan sumber sahih mengenai kesalahan penggunaan 'ini kerana' boleh kan tuan memberitahu saya dimana mahu mendapatkan sumber sahih yang menyatakan penggunaan 'ini kerana' adalah salah?