Monday, January 26, 2009

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 3

KAD KREDIT LAWAN KAD DEBIT
1) Strategi pertahanan kedua, iaitu yang berkaitan dengan kad kredit, telah saya ulas. Pada akhir bicara itu, saya mencadangkan penggunaan kad debit bagi menggantikan kad kredit.
2) Mengapa kad debit? Saya terdengar saudara bertanya...
3) Sebelum saya menjawab pertanyaan itu, secara ringkas, saya ingin menerangkan latar belakang kad debit. Kad debit masih baru diperkenalkan di negara ini, lebih kurang beberapa tahun belakangan ini.
4) Kad ini sebenarnya ialah kad ATM. Kad ATM digunakan untuk menyimpan wang kita ke dalam akaun simpanan. Dan kita mudah mengeluarkan wang kita melalui mesin ATM. (Itu saya tahulah, tok guru!)
5) Ya, itu memang senang untuk difahami sampai budak sekolah tadika pun tahu! Tapi, sayangnya, bapaknya masih tak tahu apa itu kad debit!
6) Kad debit menjadi keperluan pada masa ini untuk kita lebih bijak merancang perbelanjaan atau pengeluaran. Fungsinya sama seperti kad ATM, tetapi ada satu lagi fungsinya yang tidak ada pada kad ATM iaitu kad debit turut berfungsi sebagai kad kredit.
7) Tok guru, jika kad debit sama macam kad kredit, so, what is the problem? (Amboi, cakap oghang puteh, BI dalam SRP/PMR pun merangkak, nak berlagak cakap oghang puteh! SPM jangan ditanya laa..tauge!)
8) Sabar dulu, anak muridku! Kad kredit, jika digunakan, akan dikenakan caj! Itu yang tidak ada pada kad debit!
9) Kalau begitu, baik guna kad debit daripada guna kad kredit! Anda memang jenis manusia yang tak sabar-sabar...Tok guru cakap tak habis lagi, anda dah menyampuk!
10) Ya, anak muridku! Lebih baik gunakan kad debit kerana fungsinya sama seperti kad kredit, tetapi tidak dikenakan caj apa-apa! Bolehkah saya ulangi, perbelanjaan anda dengan kad debit tidak dikenakan sebarang caj!
11) Caj penggunaan kad kredit lazimnya 18% setahun @ 1.5% sebulan, jika pembayaran tidak dilakukan sebelum bil sampai! Bolehkah saudara beritahu saya, apa lagi pinjaman yang mengenakan caj yang setinggi itu! Sebab itulah, bos Maybank dan CIMB naik Mercedez sebab andalah penanggung bayaran ansurannya!
12) Satu lagi, anda boleh menentukan had perbelanjaan anda pada setiap hari atau setiap bulan atau selama-lamanya. Jika anda ada duit, masukkan duit tersebut ke dalam akaun simpanan. Wang itu akan dijanakan ke dalam akaun simpanan anda, dan anda boleh gunakan wang itu melalui penggunaan kad debit. Yang pasti, anda tidak berhutang dengan bank sebab anda berbelanja dengan wang anda sendiri.
13) Hal ini berbeza dengan kad kredit. Anda berbelanja dengan wang milik bank, yang pastinya anda telah berhutang dengan bank. Dan menyebabkan anda bakal menjadi lebih sengsara apabila anda perlu membayar faedahnya yang tinggi.
14) Tok guru, saya masih kurang jelas dengan kad debit? Bolehkah tok guru ulangi?
15) Baiklah, saya ulangi wahai anak muridku yang lembam! Apasal lah engkau belajar kat sekolah ni? Nanti aku hantar engkau kat kelas pemulihan, baru kau tahu!
16) Seperti yang saya nyatakan, kad debit berfungsi seperti kad kredit. Adakah tok guru bermaksud, kad debit boleh digunakan di seluruh dunia?
17) Jawapannya, ya! Jika anda ingin ke luar negara, anda hanya perlu memberitahu pihak bank agar kad debit anda dapat digunakan dan diaktifkan di mana-mana premis yang tertera logo Mastercard, Visa, dsbnya. Tentulah anda terpaksa berusaha sedikit kerana anda telah diberi kemudahan yang banyak. Saya rasa tidaklah sampai anda perlu memecahkan tabung ayam anak anda untuk menelefon pihak bank!
18) Secara umumnya, penggunaan kad debit ini dapat membantu anda untuk merancang kewangan anda dengan lebih baik, selain mendapat kemudahan sama seperti kad kredit. Jika anda memperuntukkan wang ke dalam akaun simpanan ini, anda tidak perlu risau kerana anda tahu jumlah wang yang boleh dibelanjakan. Apatah lagi, rekod perbelanjaan kad debit telah boleh disemak melalui Internet! (Apa nih, tadi dah nak faham, tiba-tiba je keluar Internet!).
19) Yang saya maksudkan ialah, jika anda menggunakan kad debit Maybank (saya gunakan kad debit ini), anda boleh menyemak rekod perbelanjaan anda melalui Maybank2U. Bukankah ini satu lagi kelebihan yang ditawarkan!
20) Masalahnya, tok guru, bagaimanakah jika saya tidak ada duit di dalam akaun simpanan, dan saya amat memerlukan wang! Pasti keadaan ini menyulitkan saya! Lebih baik saya gunakan kad kredit.
21) Jika demikian fikiran anda, saya percaya ibu bapa anda pasti menangis empat belas malam kerana sedih mempunyai anak yang berfikiran dangkal seperti anda! Eh, mana nenek? Oh...nenek kat ICU sebab cucunya tidak cerdik!
22) Tuan-tuan, jika anda tidak ada duit di dalam akaun simpanan, cuba anda minta daripada pengawal keselamatan kat Maybank tu! Manalah tahu dia boleh pinjamkan anda seringgit dua!
23) Jika anda tidak ada duit, nasihat saya ialah jangan mengada-ngada! Carilah duit kerana duit tak terbang melayang berdesup ke dalam poket anda!
24) Adakah anda fikir wang di dalam kad kredit anda tidak akan habis!
25) Saya ingin tegaskan di sini bahawa jika anda berasa penggunaan kad kredit menyenangkan anda, saya tidak berupaya untuk mengubah pendirian anda. Tetapi, sehingga kini, saya tidak nampak apa sebabnya saya perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kad debit!
26) Rumusnya, jika saya perlukan wang tunai, saya boleh keluarkan wang itu dengan kad debit kerana kad debit itu kad ATM. Jika saya perlu membuat bayaran secara kad (tanpa wang tunai), saya gunakan kad debit kerana kad itu berfungsi seperti kad kredit.
27) Jadi, apa masalahnya? Eh, tok guru! Ada masalahnya?
28) Ya, apa masalahnya? Jangan tanya saya siapa perdana menteri Papua New Gunea, memang masalah besar tu!
29) Masalahnya ialah, kad debit tidak mengenakan caj atau faedah, kan?
30) Bijak...bijak...kita minum dulu! Terus Layan!

3 comments:

Anonymous said...

Tuan Azhar,

a. Selamat bercuti... ya cuti-cuti Malaysia! Semoga tuan berbahagia selalu saya doakan. Tuan layak bercuti kerana tuan pandai uruskan kewangannya (saya mula berangan... bila aku dapat jadi seperti tuan seorang ini...).

b. Tuan selayaknya bercuti kerana tuan arif (ya.. sebenarnya tuan dalam proses ke arah tahap PAKAR dlm pengurusan kewangan ini spt mungkin semacam Azizi Ali... saya doakan tuan akan jadi sepertinya nanti... tidak mustahil tuan!)dalam soal mengurus kewangan, saya dapat rasakan tuan punyai beberapa akaun simpanan apatah lagi akaun khas untuk perbelanjaan bercuti. Bagaimanakah tuan mengawalnya...? Ya... saya rasa saya ada jawapannya (alah... ini cuma tekaan saya sahaja....), ya... tuan memperoleh dana yang banyak hasil penat lelah tuan, tuan layak untuk berbelanja yaa... (ini tekaan klise saya semata-mata aja kot...).

c. Saya setuju dengan tuan atas kelebihan gunakan kad debit (ya.. seumur hidup saya, saya tak pernah ada kad kredit pun, bolehlah saya berkata begitu...!). Entah mengapa tuan saya tidak pernah 'digoda' oleh 'kemewahan' kad kredit.

d. Saya berminat untuk dapatkan kad ATM Maybank (kad debit) yang tuan maksudkan, saya baru tukarkan kad ATM itu tetapi tidak pula tahu tentang kad ATM Maybank itu..., tak mengapa saya tukarkan kembali nanti tapi wang yang ada tidaklah sebanyak manapun...! Timbul persoalan perlukah saya tukar balik kad itu kembali?

e. Ahhh... nanti saya fikirkan kemungkinan gunakan kad kredit atau terus tanpa gunakan kad kredit, tapi kini saya FIKIRKAN BEBERAPA PILIHAN lain iaitu:
i. Apakah perlu saya memilih untuk menyalurkan bantuan wang ringgit kepada mangsa Gaza (setakat ini saya hanya mampu bantu berdoa itu dan ini buat kesengsaraan rakyat Gaza...) atau lebih baik saya salurkan seberapa wang yang ada untuk Gerakan Mansuhkan PPSMI (dalam apa-apa jua cara), kerana ini lebih dekat dan hampir demngan masa depan Malaysia?
*** Untuk pengetahuan tuan, saya dah muak dan mual dengar dan lihat di TV setiap 2 jam dalam sehari seorang Mak Datin pemimpin tertinggi negara merayu agar rakyat derma untuk Gaza, apakah Mak Datin itu derma...? saya yakin Mak Datin itu derma tetapi dia derma duit siapa atau gunakan nama dia sahaja sedangkan duit itu daripada organisasi lain...? Saya tengok Mak Datin ini juga salah satu punca ramai rakyat tak suka kepada sebuah parti Melayu yang telah berusia 60 tahun lebih di negara ini (mungkin telahan saya ini silap tuan...)
ii. Apakah perlu kita sibuk dengan adakan demonstrasi tentang Gaza (ya... sampai budak sekolah rendah darjah satu pun seperti dipaksa untuk 'demo'! hingga orang Felda di Johor pun ber'demo', orang kampung pedalaman disuruh ber'demo', atau lebih baik kita ber'demo' tentang PPSMI atau menentang penyelewengan sang pemerintah atau menentang undang-undang rimba yang berakar umbi sejak pemerintahan satu parti itu sejak 52 tahun lepas?
iii. Apakah perlu saya memilih antara Chelsea atau Liverpool untuk menjuarai Premier League..? Maaf tuan.., ini masalah peribadi pilihan saya bersama 2 anak lelaki saya (abaikan saja tuan, biar saya saja yang menyelesaikannya, hehe..)
iv. Apakah perlu saya memilih apa lagi ya...? entah banyak sangat pilihan kini...!

f. Apa-apapun tuan, saya cukup teruja dengan pandangan tuan dalam hal pengurusan kewangan (walaupun untuk entri ini hanya saya seorang sahaja setakat ini yang berminat untuk beri maklum balas setelah entri ini terpapar sejak 3-4 hari lalu... hehehe...). Ada yang boleh saya buat panduan langkah segera, ada yang perlu saya fikirkan mendalam dahulu, ada kalanya saya kurang faham (maka saya perlu bersemuka dengan tuan segera... tentang kurang faham saya dalam beberapa hal ini, macamlah susah sangat nak faham spt nak jawab soalan PTK pulak...!). Apa-apapun saya tabik tuan...!

Sekian. Terima kasih.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI.

Azhar Salleh said...

Salam INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI,
Izinkan saya menggunakan sistem pengabjadan yang saudara gunakan untuk memudahkan saya mengulasnya satu persatu.
a. Terima kasih atas ucapan. Terima kasih atas doa itu, dan mudah-mudahan doa itu akan kembali kepada saudara juga. Sebenarnya, sesiapa pun layak untuk bercuti ke mana-mana sahaja asalkan ada kemahuan dan kemahuan itu diterjemahkan melalui tindakan. Bukan saya ingin bercuti, tetapi saya percaya bahawa ini merupakan satu cara untuk kita mencapai impian hidup kita. Saudara, hidup ini terlalu singkat untuk berangan-angan! Saya percaya saudara juga berkemampuan dari pelbagai segi untuk bercuti atau berdarmawisata ke mana-mana sahaja, kerana percutian keluarga terlalu banyak manfaatnya. Baiklah, tulis sebuah karangan jenis fakta bertajuk “Faedah-faedah Melancong”! (Itulah poinnya apabila karangan itu siap!)

b. Saya ulangi, sesiapa pun boleh dan layak bercuti sekiranya bijak menguruskan kewangan. Saya mewujudkan satu akaun yang saya namakan akaun kecemasan/pelancongan. Saya tidak menggunakan wang simpanan saya untuk pergi bercuti, kerana saya sudah ada perbelanjaan untuk itu sejak awal tahun lagi. Sedikit wang yang saya simpan akan membolehkan saya pergi bercuti dengan senang hati. Ya, saudara hanya perlu memperuntukkan sedikit sahaja wang atau pendapatan bulanan untuk menikmati percutian yang diidam-idamkan. Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan membawa keluarga saya bercuti ke luar negara kerana mulai bulan Januari, saya sudah menyimpan sedikit wang untuk tujuan itu ke dalam akaun yang saya sebutkan tadi. Saya mengawalnya dengan satu kesedaran, iaitu menyimpan sedikit setiap bulan untuk mengelakkan keluar banyak apabila tiba masanya. Cuba saudara bayangkan, jika saya tidak berbuat demikian, saya yakin saya tidak akan mempunyai sebarang dana untuk menanggung perbelanjaan saya. Jika saya teruskan juga percutian, bermakna saya tidak ada wang lagi untuk tujuan-tujuan lain. Tentang perolehan dana yang banyak hasil penat lelah saya bekerja mencari wang, saya tidak dapat nafikan hal itu. Saya percaya bahawa kita mampu memperoleh pendapatan yang baik jika kita berusaha untuk mencari beberapa sumber yang mampu menjana pengaliran wang (cashflow) masuk ke poket kita. Saya percaya saudara juga mampu, malahan mungkin mampu berbuat lebih baik daripada saya. Ehem..ehem..janganlah memuji saya sangat, kerana saya masih belajar tentang pengurusan kewangan. Mudah-mudahan, doa saudara agar saya mampu menjadi Azizi Ali, akan dimakbulkan oleh Allah!

c. Untuk makluman saudara, ketika saya berada di Pahang dan Terengganu, bayaran penginapan semuanya saya jelaskan dengan kad debit. Yang menariknya, saya tidak perlu memikirkan soal hutang dengan bank! Tentang kad kredit, saya berharap agar saudara tidak akan tergoda kerana kad kredit umpama pedang, jika kita bijak menggunakannya, musuh pasti berjaya ditundukkan. Jika sebaliknya, kita sedang mencari musuh!

d. Jawapan saya ialah, ya! Saudara tukarkan semula kad biasa ATM itu dengan kad debit Visa Maybankard. Kalau saudara menyatakan bahawa wang di dalamnya tidak sebanyak mana, tidak mengapa. Ini bukan soal banyak ataupun sedikit. Kita bercakap tentang kemudahan. Kad ATM saudara tidak mampu berfungsi sebagai kad kredit, tetapi kad debit Visa Maybankard mampu berfungsi sebadai kad ATM dan kad kredit. Jika saudara diberi pilihan untuk memilih kereta Naza Citra atau Proton Waja, atau kedua-duanya sekali boleh diambil, mengapakah tidak memilih pilihan yang terakhir?

e. Ya, sebelum melakukan sesuatu tindakan, berfikirlah semasak-masaknya agar tidak menyesal.
(i) Jika boleh dan mampu, lakukan kedua-duanya; berdermalah kepada mangsa di Gaza atas nama Islam, dan dalam waktu yang sama, jika perlu dan mampu, sumbanglah untuk GAP (Gerakan Anti-PPSMI). Jika saudara ada RM2.00, mengapa tidak RM1.00 untuk Gaza dan RM1.00 untuk GAP. Memang kita perlu membantu insan yang paling dekat dengan kita, tetapi dalam soal PPSMI, saya melihatnya dalam bentuk perjuangan, bukanlah wang ringgit yang menjadi ukuran. Sepatah kata berbisa dan menyedarkan orang ramai lebih baik daripada menyumbang RM1,000.00 kepada GAP. GAP tidak perlukan wang (jika perlu pun, tidaklah menjadi sangat penting), kerana ini soal maruah dan kehormatan. Maruah dan kehormatan tidak boleh, sama sekali tidak boleh dibeli atau diperoleh dengan wang! Kalau saudara sudah muak dengan Mak Datin itu sepuluh kali, saya muak dengannya enam belas juta kali!

(ii) Saya tahu dengan adanya demo membantah kekejaman Zionis, tidak mendatangkan apa-apa manfaat kerana peluru Sang Celaka itu akan terus menghujan di Palestin. Suara kita, siapa yang mahu mendengarnya. Malahan saya percaya Ehud Barak atau Simon Peres pun tak tahu Malaysia itu sebuah negara atau sebuah seterika! Namun demikian, itu lebih baik daripada tidak ada apa-apa langsung yang kita lakukan. Suara kita, walaupun tenggelam, tetapi jika semua negara Islam atau bukan Islam memikirkan dan melakukan tindakan yang sama seperti kita (tidak mengadakan demo), saya percaya lebih ramai rakyat Palestin terbunuh! Dengan suara yang sama di seluruh dunia, setidak-tidaknya masyarakat dunia sedar dan tahu bahawa kita menentang Zionis! Kita membenci Amerika! Ya, memang ungkapan itu klise, tetapi apa lagi yang boleh kita lakukan? Tentang demo PPSMI, kita tunggu sahajalah tindakan selepas Mac ini, adakah pihak kerajaan masih berdegil selepas demo dilakukan. Memang kita perlu berdemo untuk menarik perhatian pemerintah, kerana jika kita tidak lakukannya, pemerintah bukan sahaja akan sewenang-wenangnya meneruskan PPSMI, malahan saya percaya mata pelajaran Bahasa Melayu mungkin akan ditiadakan dalam sistem pendidikan!

(iii) Saya rasa lebih baik saudara memilih Manchester United kerana saya peminat nombor satu Ryan Giggs sejak dahulu lagi!

(iv) Saya pun tidak tahu untuk memilih soalan apa untuk dijawab!

f. Terima kasih kerana saudara turut mengujakan saya. Saya akan terus berkongsi dengan saudara (dan rakan-rakan blog) tentang pengurusan kewangan walaupun tidak ada satu maklum balas pun! Itu nekad saya kerana saya mahu memastikan ilmu (tak banyak mana pun) yang saya baca daripada puluhan buku dan artikeldapat dikongsi bersama-sama. Saya percaya jika catatan tentang kewangan tidak mampu mengubah atau merobah pendirian saudara (atau rakan-rakan blog), sekurang-kurangnya hal ini telah merobah hidup saya! Saya sudah mampu untuk tersenyum sekarang…dengan izin Allah.

Anonymous said...

Tuan Azhar,

a. Terlebih dahulu saya mulakan ungkapan dengan memohon maaf atas tulisan dan soalan serta pandangan benar dari lubuk hati ini untuk ditanya termasuk soalan untuk saja-saja untuk bergurau manja dengan tuan...

b. Saya teruja kerana tuan begitu menyeluruh melayan tulisan saya ya... dengan terperinci mengikut rentak dan kaedah 'abjab' saya itu.. berbanyak terima kasih!

c. Apa-apapun tuan, hakikatnya saya memperoleh banyak manfaat dalam entri dan jawapan tuan ini, apatah lagi tentang menabung untuk bercuti itu... sikit-sikit saya amalkan mengikut kadar yang ada dan mampu... terima kasih sekali lagi buat tuan.

d. Tuan janganlah penat dan bosan melayan saya (maksud saya MELAYAN karenah mengarut yang kadang-kadang muncul dalam tulisan dan pertanyaan saya.. hehehe...). Saya berangan dan cuba ingin menjadi seorang penulis yang PALING SOPAN DAN BERBUDI BAHASA DI ASIA PASIFIK... tapi apakan daya saya ini tuan (tuan pasti mengerti maksud tersirat saya ini... hehehe...).

Sekian. Terima kasih.
Selamat tengah malam Tuan Azhar.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI.